COVID-19 : PATUHI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN, STAY AT HOME

COVID-19 : PATUHI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN, STAY AT HOME



▪️Mencegah Lebih Baik Dari Berubat
Dalam keadaan sekarang rakyat Malaysia perlu lebih peka dan cakna dengan mengambil perhatian serius agar penularan wabak COVID-19 dapat dikurangkan dan diberhentikan. Setakat 18 Mac, kes telah pun mencecah 710 orang dan telah mencatat kematian sebanyak 2 orang. Perintah Kawalan Pergerakan adalah bagi membataskan orang ramai dari : 1. Berhimpun. 2. Bersosial jarak dekat. 3. Bersentuhan antara orang ramai. Kesemua ini merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih mudarat dan parah. Ia adalah bertepatan dengan kaedah : الوقاية خير من العلاج Maksudnya : "Mencegah lebih baik dari berubat." Islam agama yang amat mementingkan kesihatan dan penjagaan diri dari terjadinya mudarat sama ada atas diri sendiri atau ke atas pihak orang lain. Islam agama praktikal dalam kehidupan manusia. Di waktu berlaku peperangan, tentera Islam tetap memakai baju besi perang sekalipun niat mencari syahid. Di waktu ditimpa sakit, umat Islam tetap berusaha mencari ubat dan kesembuhan sekalipun orang mukmin rindukan untuk bertemu dengan Rabb al-Jalil dan tidak sabar memasuki syurga. Di waktu lapar, umat Islam berusaha bekerja mencari nafkah dan rezeki sekalipun hati tetap berpaut dan bergantung harap dengan doa yang dipohon kepada Tuhan yang bersifat dengan sifat ar-Razzaq dan al-Wahhab. Inilah sikap yang diajar oleh Islam kepada umatnya. Usaha yang wajib yang diberikan dalam masa yang sama keyakinan yang dipegang teguh berlandaskan aqidah yang sejahtera. Usaha wajib, selagi mana mampu berusaha. Sebab itu mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah SWT kerana memiliki lebih tenaga untuk lakukan usaha yang lebih. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : اَلْمُؤْمِنُ اَلْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلىَ اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِيْ كُلٍّ خَيْرٍ، اِحْرِصْ عَلىَ ماَ يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلاَ تَعْجِزْ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلاَ تَقُلْ لَوْ أَنِّيْ فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَّرَ اللَّهُ وَماَ شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَـفْتَـحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ.” أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ . Maksudnya : “Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah, namun pada masing-masing (dari keduanya) ada kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang berguna bagimu, mohonlah pertolongan kepada Allah, dan jangan menjadi lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, jangan berkata kalau aku berbuat begini, maka akan begini dan begitu, tetapi katakanlah Allah telah menakdirkan, dan kehendak oleh Allah pasti dilakukan. Sebab kata ‘kalau’ itu dapat membuka perbuatan syaitan.” - riwayat Muslim ▪️Haram Memudaratkan Diri Sekalipun Tiada Larangan Pemerintah Islam melarang umatnya memudaratkan diri sendiri. Sama ada ketika itu ada arahan dari pemerintah yang melarang atau tidak, tetap hukum haram umat Islam mendedahkan diri kepada apa jua kemudaratan dan kebinasaan. Apatah lagi jika tindakan membunuh diri maka ia lagilah termasuk dalam kategori dosa besar. Firman Allah SWT : وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِینَ Maksudnya : ".. dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." - [Surah Al-Baqarah 195] Firman Allah SWT : .. وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا Maksudnya : ".. dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu." - Surah an-Nisa' :29 Islam datang membawa manfaat pada kehidupan manusia. Islam datang memberikan kemudahan pada manusia dalam sesuatu urusan. Jika sempit diperluaskan dan jika sudah longgar maka diperkemaskan dan didisplinkan kembali. Demi menjaga agar tidak berlaku kemudaratan pada manusia, adanya keringanan dan kelonggaran bahkan pengecualian pada waktu tertentu berdasarkan displin ilmu yang berbahas berpandukan wahyu. Inilah rahmat Allah kerana Allah Maha Mengetahui manusia itu dalam keadaan lemah. Firman Allah SWT : یُرِیدُ ٱللَّهُ أَن یُخَفِّفَ عَنكُمۡۚ وَخُلِقَ ٱلۡإِنسَـٰنُ ضَعِیفࣰا Maksudnya : "Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah." - [Surah An-Nisa' 28] Sehinggakan jika tiada jalan lain jalan yang halal, maka diberikan pengecualian dalam keadaan dharurah bagi mengelakkan mudarat atau menepis mudarat yang lebih besar. Inilah prinsip amalan Islam dalam kehidupan manusia : 1. Menolak sebarang mudarat. 2. Menepis kemudaratan yang besar dengan terpaksa melakukan mudarar kecik. 3. Jika dharurah maka diharuskan perkara yang haram untuk elak mudarar. Antara contoh yang dirakam dalam al-Quran ialah memakan bangkai di waktu dharurah demi memelihara nyawa. Inilah Islam. Mengajar realiti. Bukan hanya semangat semberono tanpa panduan ilmu apatah lagi tindakan yang membuta tuli. Firman Allah SWT : .. فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَیۡرَ بَاغࣲ وَلَا عَادࣲ فَلَاۤ إِثۡمَ عَلَیۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ Maksudnya : ".. maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - [Surah Al-Baqarah 173] ▪️Berdosa Sengaja Memudaratkan Orang Lain Kerana Kedegilan Dalam isu penularan wabak COVID-19, pemerintah telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi larangan orang ramai berhimpun. Malah perintah ini juga bertujuan agar orang ramai tidak keluar dari rumah tanpa tujuan yang mustahak. Ia ekoran bagi membendung penularan wabak COVID-19 agar tidak dijangkiti dan berjangkit. Keputusan pemerintah ketika ini adalah bagi tujuan memelihara maslahat umum yang besar. Maka rakyat wajib mentaatinya agar tidak berlaku mudarat besar yang tidak diingini. Apatah lagi, keputusan atau perintah tersebut tidak bercanggah syariat, maka ia sah di sisi syarak. Dr Mukhtar Marzuq Abd Rahman, mantan Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar cawangan Asyut memberikan pandangan mengenai "Hukum Melanggar Arahan Kuarantin Berada Dalam Rumah (Untuk Tidak Keluar)" seperti berikut : ولا بد أن يعلم الإنسان أنه إذا خالف ووقع بسبب هذه المخالفة في مرض أو نقله لغيره سيكون إثمه عظيمًا يوم القيامة "Orang ramai mesti tahu bahawa jika ia melanggar arahan (kuarantin untuk tidak keluar dari rumah) dan berlaku dengn sebab keingkaran (langgar arahan kuarantin) akan sakit dan berjangkit kepada orang lain maka ia adalah dosa besar pada hari kiamat." - rujuk sumber :
https://www.albawabhnews.com/3942367 Justeru, orang ramai diminta untuk patuh pada perintah duduk di rumah dan tidak keluar melainkan perkara mustahak dengan menjaga aspek kebersihan dan keselamatan di tahap yang tinggi. Amat menyedihkan apabila, ada yang panik dan ada yang degil apabila terus menerus berada di luar dan berhimpun seperti melepak di kedai makan sekalipun telah bermula Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020. Perkara ini mesti dibendung dengan : 1. Orang ramai menjadi agen penerangan agar semua orang sampai maklumat dengan jelas. 2. Tingkatkan kesedaran dan keprihatinan agar orang ramai sedar betap serius wabak COVID-19 yang melanda untuk terus dibendung. 3. Memberikan peringatan dan ancaman dari sudut dosa pada syarak agar berasa takut kerana sikap dan tindakan tidak menurut perintah boleh mengundang bahaya dan memudaratkan orang lain. ▪️Beri Manfaat Pada Manusia, Bukan Beri Mudarat Islam menekankan aspek manusia yang terbaik ialah manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain. Inilah kebaikan yang utama dan mesti diberikan perhatian oleh orang ramai. Islam mencela sifat keakuan atau bodoh sombong yang mengakibatkan kemudaratan pada pihak lain. Didik diri menjadi manusia terbaik. Beri manfaat jangan beri mudarat. Kebaikan yang diberikan itu hakikatnya kembali kepada diri sendiri, begitu juga mudarat tersebut kembali kepada diri sendiri. Firman Allah SWT : مَّن یَشۡفَعۡ شَفَـٰعَةً حَسَنَةࣰ یَكُن لَّهُۥ نَصِیبࣱ مِّنۡهَاۖ وَمَن یَشۡفَعۡ شَفَـٰعَةࣰ سَیِّئَةࣰ یَكُن لَّهُۥ كِفۡلࣱ مِّنۡهَاۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ مُّقِیتࣰا Maksudnya : "Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." - [Surah An-Nisa' 85] Islam agama yang membentuk kehidupan bermasyarakat. Selama mana umat Islam memberikan kebaikan kepada umum maka ia merupakan ibadah yang terbaik lebih dari ibadah persendirian. Ini boleh dilihat pada saranan Baginda SAW dalam perkara memberi kebaikan dan manfaat pada orang lain dan orang ramai. Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ Maksudnya : “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى Maksudnya : “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” - riwayat at-Tirmizi Jadilah orang yang memberikan manfaat dalam keadaan semasa berikut COVID-19 untuk patuhan arahan dari masa ke semasa dari Majlis Keselamatan Negara dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menyelamat negara dan orang ramai dari dijangkiti dan mencegah penularan wabak ini. Orang yang degil dan sombong dengan enggan menuruti perintah ini adalah orang yang "buruk akhlaknya" serta membawa kejahatan kerana tindakannya yang sengaja tersebut mengundang kebimbangan orang ramai dan boleh menyebabkan kemudaratan ke atas pihak lain dan menjadikan keadaan bertambah buruk. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ « أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ ». قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا. قَالَ « خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ …» Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri di hadapan beberapa orang, lalu bersabda: “Mahukah kalian aku beritahukan sebaik-baik dan seburuk-buruk orang dari kalian?” Mereka terdiam, dan Nabi bertanya seperti itu tiga kali, lalu ada seorang yang berkata: “Ya, kami mau wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami sebaik-baik dan buruk-buruk kami,” beliau bersabda: “Sebaik-sebaik kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan sedangkan keburukannya terjaga…” - riwayat at-Tirmidzi Kepada semua rakyat Malaysia, dengarkan rayuan dan patuhi arahan untuk : STAY AT HOME! . Disediakan oleh : Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3am9qyJ

Comments