ISLAM DAN DEMOKRASI

ISLAM DAN DEMOKRASI




▪️
Definisi & Sejarah Demokrasi

Demokrasi memberikan maksud rakyat yang memerintah. Iaitu rakyat mempunyai kuasa dalam memilih pemerintah bagi negara mereka melalui sistem pilihanraya. Hal ini bermaksud undang-undang yang diguna pakai oleh negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini adalah berdasarkan suara majoriti rakyat.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, demokrasi memberikan maksud pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihanraya.

Perkataan asal bagi demokrasi adalah berasal dari Yunani. Ia memberikan maksud sebagaimana yang telah dinyatakan di atas iaitu pemerintah rakyat atau kuasa rakyat.

Demokrasi ini pada asalnya merupakan satu bentuk aliran pemikiran berpolitik yang mana diguna pakai di bangsa Yunani sejak sebelum kelahiran Nabi Isa AS. Mereka menggunakan sistem demokrasi ini sebagai satu sistem dalam membentuk kesatuan dalam kalangan rakyat apabila sistem ini berjaya mengumpulkan seluruh rakyat untuk memilih ketua mereka. Dengan wujudnya sistem ini, ia menolak sistem diktator iaitu pemerintahan yang ditentukan oleh kerajaan tanpa ada ruang oleh rakyat untuk memilih.[1]

Sistem ini mula berkembang di Eropah selepas zaman kegelapan yang berlaku. Zaman kegelapan menyaksikan apabila rakyat dizalimi dan dikuasai penuh oleh sati sistem pentadbiran yang dikawal oleg gereja dan paderi. Gereja mempunyai kuasa mutlak dengan mendoktrin rakyat bahawa kuasa tuhan diberikan kepada paderi-paderi dalam menentukan sesuatu walau ia bertentangan dengan undang-undang yang sedia ada. Selain itu lapisan masyarakat juga dibahagikan kepada 2 lapisan.

Lapisan golongan bangsawan oleh pembesar-pembesar dan paderi-paderi mempunyai layanan yang istimewa dan kemewahan serta pangkat yang diwarisi. Manakala lapisan golongan bawahan oleh petani dan hamba sentiasa hidup dalam keadaan kemiskinan serta ditindas oleh kerajaan.

Bermulanya kebangkitan dengan bangkitnya golongan cendiakwan dan golongan cerdik pandai untuk membebaskan kongkongan gereja ke atas mereka dengan membawa perjuangan menyucikan atau meninggikan akal pemikiran yang dimiliki. Iaitu gereja tidak boleh lagi menghambakan rakyat atas nama wahyu, akidah, amanat tuhan dan sebagainya. Selagimana akal membenarkan sesuatu perkara, maka ia adalah benar.

Hal ini terjadi apabila gereja menggunakan kuasa mereka dengan menolak secara total dengan menggunakan doktrin "gereja atau paderi merupakan pengganti Tuhan" ke atas ilmu-ilmu moden dan teori-teori sains yang membawa kepada pembentangan ilmiah.

Hasil daripada itu, dalam Revolusi Perancis, rakyat terutama golongan bawahan mula bersatu dan bangkit bagi menjatuhkan kerajaan yang sedia ada bagi menggantikan satu kerajaan yang baru yang membela hak asasi kemanusiaan sejagat.[2]

Maka hasil daripada itu, sistem demokrasi mula dipakai secara meluas di negara-negara Eropah. Dan sehingga kini, sistem demokrasi ini juga digunakan di rata-rata negara termasuklah negara kita, Malaysia yang mengadakan pilihanraya bagi rakyat memilih wakil-wakil mereka sebagai pemerintah.

▪️
Alasan Golongan Yang Menolak Sistem Demokrasi

Terdapat golongan yang menolak sistem demokrasi ini secara mutlak. Mereka tidak menerima bahawa demokrasi kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam. Bahkan sistem demokrasi ini sebegini atas alasan mereka tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah SAW.

Terdapat beberapa alasan yang dikemukakan oleh golongan yang menolak sistem demokrasi ini secara mutlak :

1- Sistem dari pihak Barat bukan asal usul dari Islam.
2- Demokrasi memberikan kuasa penuh kepada rakyat dalam membuat sebarang undang-undang bahkan dalam konteks yang melibatkan syara. Sedangkan Islam menetapkan bahawa hukum adalah milik Allah.
3- Demokrasi meletakkan asas bahawa suara majoriti sebagai penentu sedangkan suara majoriti tidak menjamin akan keputusan yang pasti betul.
4- Demokrasi bertentangan dengan konsep syura yang dianjurkan dalam Islam apabila konsep pilihanraya memberikan hak dan peluang kepada rakyat untuk memilih walaupun mereka tidak memenuhi syarat layak sebagai ahlul halli wa aqdi (anggota penilai dan pemutus keputusan) sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam

Beberapa hujah yang digunakan oleh mereka ialah :

1) Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :
مَنْ أَحْدَثَ في أَمْرِنا هذا ما لَيْسَ مِنْه فَهُوَ رَدٌّ

“Sesiapa yang melakukan sesuatu yang baharu dalam urusan kami (agama) ini maka perkara tersebut bukanlah daripada urusan agama, maka ia adalah tertolak”. – riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat lain oleh Muslim :

مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنا فَهُوَ رَدّ

“Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dan ia bukan daripada urusan kami (dalam agama), maka ia tertolak.”

Daripada ‘Irbadh bin Sariyah, Nabi SAW bersabda :

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وسُنَّةِ الخُلَفاء الراشِدِين المَهْدِيِّين عَضُّوا عَليها بالنَواجِذ وَإِيّاكُم وَمُمْحَدثات الأُمُور فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَة ضَلالَة

“Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku, dan sunnah sahabat Khulafa’ Ar-Rasyidin yang mereka ini diberikan hidayah dan gigitlah ia dengan gigi geraham (berpgang teguh dengan sunnah tersebut), maka jauhilah kami daripada pembaharuan yang yang direka-reka (dalam agama), maka sesungguhnya setiap bid’ah tersebut adalah sesat.” - Abu Daud dan At-Tirmizi

Justeru, sistem demokrasi adalah tertolak kerana ia merupakan rekaan di dalam Islam dan dicetuskan oleh pihak Barat.

2) Ayat Al-Quran pada Surah Al-A’raf pada ayat yang ke-3 :

ٱتَّبِعُوا۟ مَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِیَاۤءَۗ قَلِیلࣰا مَّا تَذَكَّرُونَ

“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.”

Firman Allah dalam surah Yusuf pada ayat ke-67 :

إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِۖ

“Kuasa menetapkan sesuatu (hukum) itu hanya tertentu bagi Allah”

Justeru, golongan ini berhujahkan bahawa demokrasi adalah bertentangan dengan Islam yang mana demokrasi memberikan kuasa sepenuhnya kepada rakyat dalam menggubal dan mencampuri urusan undang-undang bahkan syarak. Sedangkan syarak adalah milik Allah dan Islam menetapkan bahawa Allah adalah kuasa mutlak yang tertinggi.

3) Dalam Islam, konsep syura adalah bagi mereka yang layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Islam. Dan syura inilah yang akan menentukan sesuatu keputusan yang dilakukan walaupun bilangan anggotanya adalah sedikit.

Hal ini dapat dilihat ketikamana perlantikan Sayiduna Abu Bakar menjadi khalifah yang pertama, beliau dibai’ah dahulu oleh 5 sahabat kemudian barulah diikuti oleh para sahabat yang lain. Hal ini berbeza dengan sistem demokrasi dalam pilihanraya yang meletakkan konsep majoirti adalah penentu.

Dalam Islam, sesuatu perkara hendaklah dirujuk kepada ahlinya, bukan hanya berdasarkan kepada majoriti suara semata-mata.

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا

Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” - Surah an-Nisa' 59

Ulama sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan kembali atau rujuk kepada Allah dan rasul adalah rujuk kepada Al-Quran dan hadis. Maka bukan semua orang mampu atau berautoriti dalam menguruskan hal ini melainkan ulama dan mereka yang mendalami ilmu agama. Maka dalam sistem pilihanraya, jelas ia bertentangan dengan Islam, kerana bukan semua rakyat adalah ulama dan mendalami ilmu agama, maka bagaimana boleh dikira suara majoriti mereka adalah penentu?

Sayiduna Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya memilih 6 sahabat sebagai anggota syura dalam membincang pelbagai perkara. Bahkan banyak pembaharuan yang dilakukan di zaman beliau. Beliau, Sayiduna Umar al-Khattab tidak mengambil majoriti suara rakyat yang berada di bawah, namun hanya memadai dengan suara majoriti daripada 6 sahabat yang dipilih. Hal ini menunjukkan suara majoriti rakyat sebagaimana yang digunapakai dalam sistem pilihnaraya demokrasi ini bukanlah menjamin sesuatu keputusan tersebut adalah betul. Bahkan konsep syura adalah bergantung kepada ahlinya iaitu mereka yang mempunyai kelayakan bukan semua rakyat.

▪️
Demokrasi Dari Kacamata Islam

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, demokrasi merupakan sistem yang memberikan ruang kepada rakyat untuk memilih wakil-wakil mereka dalam pilihanraya yang diadakan. Ia mengambil kira majoriti suara rakyat dan meletakkan ia sebagai timbangan pilihan rakyat secara bebas.

Sistem demokrasi adalah tidak lain, pada asalnya bagi memberikan hak sama rata kepada rakyat dan kebebasan. Maksudnya setiap individu layak untuk bertanding menjadi calon. Ia sekaligus menolak sistem pemerintahan secara diktator. Rakyat juga diberikan ruang untuk menilai dan muhasabah pemerintah yang sedia ada bagi menentukan pemerintah bagi sesi akan datang.

Justeru, dalam Islam, demokrasi yang dilihat dari sudut politik ini dalam memberikan kebebesan untuk memilih pemimpin mereka melalui pilihanraya yang adil dan telus adalah menepati syariat Islam. Dan inilah sebenar tuntutan Islam dalam mewujudkan pentadbiran yang adil.

Sehubungan itu, alasan dan serta hujah yang dibawa oleh golongan yang menolak sistem demokrasi secara total dijawab dengan beberapa hujah berikut :

1) Menjawab : Sistem demokrasi adalah celupan daripada pihak Barat dan ia merupakan rekaan dalam Islam

Berdasarkan hadis-hadis yang menerangkan berkenaan bid’ah dan kewajipan memegang sunnah merupakan perkara yang disepakati oleh ulama. Sistem demokrasi walaupun ia tidak pernah dilakukan oleh baginda SAW namun ia bukanlah menjadi hujah ia tertolak. Hal ini demikian kerana, bid’ah yang terlarang adalah yang bercanggah dengan Islam. Demokrasi membawa ke arah kebebesan bersuara dan hak sama rata dan ia tidak bercanggah dengan Islam. Disebabkan itu, alasan “apa yang Nabi SAW tidak pernah lakukan” bukanlah hujah.

Bahkan Islam tidak melarang untuk mempraktikkan sesuatu teori atau teknik (dalam konteks urusan keduniaan) daripada orang bukan Islam. Dalam peperangan Khandak, sistem parit adalah hasil idea daripada Farsi. Bahkan selepas peperangan Badar, Nabi SAW menyuruh setiap tawanan Badar untuk mengajar menulis dan membaca akan 10 kanak-kanak Islam di Madinah. Saidina Umar di zaman pemerintahannya juga melaksanakan sistem jabatan dan cukai melihat kepada kerajaan dunia yang lain. Maka inilah yang disebutkan sebagai :

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ‏"‏ ‏

Maksudnya :
“Kebijaksaan tersebut adalah barang hilang kepunyaan orang mukmin, maka sesiapa orang Islam yang mendapatinya maka ia (orang Islam) lebih berhak untuk menggunakannya.”

2) Menjawab : Demokrasi memberikan manusia kuasa mutlak mengatasi kuasa Allah

Demokrasi yang diterima dalam Islam bukanlah sehingga memberikan hak mutlak kepada rakyat dalam memerintah sehingga perkara syarak dan melebih kuasa tuhan. Islam menjaga akan ketetapan-ketetapan yang telah diperuntukkan.

Dalm konteks demokrasi yang diterima dalam Islam, hak memerintah adalah bagi memilih pemerintah untuk mengurusan dan mentadbir urusan dunia sahaja. Bermaksud, kebebasan tersebut adalah untuk memilih pemimpin mereka untuk melaksanakan amanah dalam menjaga agama dan hak asasi secara adil.

Dr Yusuf Al-Qardhawi berkata di dalam kitab Ad-Din Wa As-Siyasah (الدين والسياسة تأصيل ورد شبهات) :

“Yang kita maksudkan dengan demokrasi (yang diterima dalam Islam) ialah dari sudut politiknya iaitu intipati demokrasi ialah rakyat memilih pemerintah yang akan mentadbir urusan negara. Maka ini sebagaimana yang ditekankan oleh Islam melalui konsep syura dan bai’ah. Hal ini demikian kerana Islam menolak dan mencela sistem pemerintahan firaun dan diktator. Dan sesungguhnya Allah bersama-sama dengan jemaah.

Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar al-Khattab :

لَو اجْتَمَعْتُمَا فِي مَشُورَةٍ مَا خَالَفْتُكُمَا

"Sekiranya kamu berdua bersepakat dalam satu pandangan, maka aku tidak akan bertentangan dengan kamu."
- Ahmad. Hadis ini menjadi dalil bahawa Nabi SAW memperakui akan suara majoriti.”

Disebabkan itu, dalam sistem demokrasi yang diterima oleh Islam ialah kita bukan taqlid iaitu mengikuti secara mutlak sebagaiman yang dilakukan oleh pihak Barat. Akan tetapi kita mengambil apa yang baik dan bersesuaian dengan tidak bercanggah dengan Islam. Justeru, apabila demokrasi yang dijalankan dari sudut politikl iaitu memberikan ruang untuk rakyat menilai dan memilih pemerintah tanpa melebihkan sehingga melampaui had syara, maka ia tidak bermasalah.

Justeru, yang dimaksudkan dengan kuasa rakyat atau pemerintahan rakyat ialah dari sudut menafikan pemerintahan mutlak seseorang atau diktator, bukannya menolak kuasa Allah dari konteks syara’.

3) Menjawab : Konsep syura adalah tidak sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam

Intipati demokrasi ialah syura dalam memilih pemerintah melalui pilihanraya. Islam juga akan mementingkan konsep syura kerana Allah bersama-sama dengan jemaah. Dan juga keputusan yang dibuat melalui syura iaitu perbincangan adalah terlebih baik daripada keputusan individu semata-mata.

Hal ini demikian kerana pemerintahan secara diktator menggunakan kausa mutlak untuk memilih pengganti atau mengadakan pilihanraya sebagai gimik namun suara majoriti rakyat diketepikan.

Justeru demokrasi yang diterima oleh Islam ialah melihat kepada intipati sistem tersebut iaitu konsep syura. Adapun hujah berdasarkan ayat Al-Quran dalam surah An-Nisa pada ayat ke-59 yang memberikan maksud hanya ulama dan mereka yang mendalami ilmu agama sahaja yang layak dalam konteks rujuk dan mengkaji mengani urusan agama. Perkara ini adalah sepakat ulama. Namun begitu, perlu ingat bahawa ia hanya dalam konteks agama kerana ulama adalah orang yang mempunyai kemahiran dalam bidang agama.

Adapun dalam konteks urusan keduniaan seperti pilihanraya yang merupakan wasilah yang bersesuaian pada kehidupan hari ini, maka ia merupakan perkara ijtihad dalam urusan dunia yang terserah kepada manusia umum untuk membuat pilihan. Justeru, ia mestilah memerlukan kepada suara majoriti dalam membuat sesuatu keputusan sebagaimana juga dalam konteks syura atau mesyuarat.

Maka ia tidak ada masalah kerana bukanlah apa yang ditentukan oleh manusia tersebut akan sesuatu pilihan adalah tercela secara mutlak. Justeru, dalam konteks ini Allah memberikan ruang kepada akal yang diberikan untuk menilai dan membuat pilihan selagimana pilihan tersebut tidak bertentangn dengan syara’.

Maka jelas, rakyat merupakan ahlinya dalam memilih pemerintah mereka kerana mereka tahu apa akan calon-calon yang bertanding dan mereka mampu menilai mana calon yang akan menjalankan amanah dengan baik dan adil.

Dr Wahbah Az-Zuhaily berkata 3 syarat bagi menjadikan mereka sebagai ahli dalam sesuatu perbincangan dan keputusan seperti pengundi :

- Adil dalam membuat keputusan
- Mempunyai pengetahun asas berkaitan sifat yang mesti dimiliki oleh seorang pemerintah
- Bijaksana ketika membuat pilihan atau undian

Justeru, dengan kemajuan teknologi yang ada, sumber maklumat yang luas dan jaringan media yang tersebar, maka rakyat mampu menilai dalam konteks pilihanraya. Maka apabila rakyat mempunyai syarat ini maka, pilihanraya jelas menjadi konsep syura yang terbesar dalam menentukan pemerintah mereka.

Mengenai bilangan ahli syura sebagaimana alasan atau hujah yang dibawakan oleh pihak yang menolak demokrasi secara total dengan mengatakan memadai Saidina Umar melantik 6 sahabat sebagai ahli syura beliau, maka tidak ada dalil daripada Al-Quran dan sunnah serta ijma’ yang menetapkan bilangan yang tertentu. Ia adalah bergantung kepada ijtihad.[3]

Justeru, tidak ada masalah jika, dalam pilihanraya, kerajaan menetapkan bahawa semua rakyat yang mencukupi syarat-syarat tertentu untuk mengundi ia dikira sebagai saksi dalam memberikan undi. Dan ia tidaklah bertentangan dengan konsep syura dalam Islam.

Firman Allah SWT :

وَشَاوِرۡهُمۡ فِی ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ

“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam sesuatu perkara. Maka apabila kamu telah berazam maka tawakkallah kepada Allah." - Surah Ali Imran : 159

▪️
Kesimpulan

Berdasarkan kepada kita, jelas bahawa demokrasi wujud di dalam Islam sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Namun begitu, sistem demokrasi di dalam Islam mestilah bukan sebagaimana yang dianjurkan oleh pihak Barat iaitu sehingga melampaui had syarak.

Maka selagimana demokrasi yang diamalkan dari sudut politik dalam mengadakan pilihanraya yang adil dan telus untuk memberikan rakyat menilai dan membuat pilihan untuk memilih wakil mereka, maka ia tidak bercanggah dengan syara’. Hal ini dikuatkan lagi apabila demokrasi yang ada pada hari ini adalah :

1- Menolak sistem diktator atau pemerintahan ala firaun yang menggunakan kuasa yang sewenang-wenang dengan menzalimi rakyat.

Firman Allah SWT :

إِنَّ فِرۡعَوۡنَ عَلَا فِی ٱلۡأَرۡضِ وَجَعَلَ أَهۡلَهَا شِیَعࣰا یَسۡتَضۡعِفُ طَاۤىِٕفَةࣰ مِّنۡهُمۡ یُذَبِّحُ أَبۡنَاۤءَهُمۡ وَیَسۡتَحۡیِۦ نِسَاۤءَهُمۡۚ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلۡمُفۡسِدِینَ

Maksudnya :
“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas satu puak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” - Surah al-Qasas : 4

2- Pilihan adalah berdasarkan keputusan suara majoriti. Ia merupakan eleman dalam syura bagi membuat sesuatu pilihan selagi bukan perkara yang taabbudi dan tidak bercanggah syariat.

3- Pemerintah yang dipilih merupakan pilihan majoriti rakyat. Pemerintah yang dikasihi dan diredhai oleh kebanyakkan rakyat.

Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan, Nabi SAW bersabda :

ثلاثة لا ترتفع صلاتُهم فوق رؤوسهم شبرًا: رجل أمَّ قومًا وهم له كارهون، وامرأة باتَت وزوجها عليها ساخط، وأخوان متصارمان

Maksudnya :
“3 golongan yang tidak diterima solat mereka : lelaki atau satu kaum yang mereka ini dibenci, wanita (isteri) yang dimurkai oleh suaminya dan dua saudara yang bermusuh-musuhan.” – Ibnu Majah

Berdasarkan hadis di atas, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebut, maka apabila seseorang yang dipilih untuk menjadi imam solat hendaklah ia disukai oleh para makmumnya supaya solat yang diimami tersebut diterima. Justeru, penjagaan ini dalam konteks imam solat, maka lebih-lebih lagi dari konteks pemerintah negara, ia mestilah disukai dan disenangi oleh rakyatnya.

Hadith dari Auf bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda :

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذينَ تُحِبُّونهُم ويُحبُّونكُم، وتُصَلُّونَ علَيْهِم ويُصَلُّونَ علَيْكُمْ، وشِرَارُ أَئمَّتِكُم الَّذينَ تُبْغِضُونَهُم ويُبْغِضُونَكُمْ، وتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ

“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan merekan dan mereka mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu dan kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.” – Muslim no 1855



.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

**********************************
[1] kitab Qadhaya Fiqhiyyah Muasorah,tahun 4, Universiti Al-Azhar, Kaherah – m/s 8
[2] Kitab Fiqh An-Nawazul, bab Al-Ahzab Al-Islamiah Fi Al-Islam, oleh Sofi Ar-Rahman Al-Mubarakfuri – m/s 7-14
[3] Wahbah Az-Zuhaily, kitab Fiqh Adillah Wa Adillatuh, jilid ke-8 – m/s 6172

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2vU0MbO

Comments