ISLAM DAN KEBEBASAN

 ISLAM DAN KEBEBASAN



▪️Kebebasan Yang Terikat Dengan Dosa Pahala


Islam meraikan kebebasan selama mana ia memenuhi fitrah kemanusiaan namun masih lagi terikat dengan dosa pahala. Makna kata, kebebasan pada perkara yang dibenarkan bukan pada perkara yang dilarang.


Bebas jangan sampai menjadi tiket semua dibolehkan tanpa displin sehingga apa yang wajib ditinggalkan, yang haram dilanggar dan sempadan-sempadan hukum diceroboh.


Islam memberikan kebebasan secara berdisplin. Bukannya kebebasan tanpa akhlak dan moral sehingga kelakuan "pelampau dan perosak" juga dianggap satu kebebasan. Tidak ada di dunia ini, satu negara sekalipun tanpa ada undang-undang. Bukan bermakna negara yang mempunyai itu rakyat tidak bebas, namun kebebasan hendaklah berdisplin agar tidak terbabas sehingga melakukan kerosakan dan kelakuan pelampau.


Abu Tha'labah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


إنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلَا تَعْتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا


Maksudnya :

Sesungguhnya Allah ta’ala telah menetapkan kewajiban-kewajiban, maka janganlah kalian mengabaikannya, dan telah menetapkan batasan-batasannya janganlah kalian melampauinya, Dia telah mengharamkan segala sesuatu, maka janganlah kalian melanggarnya. - riwayat al Darqutni


▪️Kebebasan Meraikan Fitrah Kehidupan, Bukan Terbabas Menjadi Kebinatangan


Islam memberikan hak kepada manusia, temasuk hak kebebasan. Manusia bebas memiliki harta, bekerja, bersuara dan sebagainya dengan 2 syarat :


1. Berpandukan agama

2. Meraikan fitrah manusia yang harus


Islam tidak menyekat manusia untuk salurkan nafsu syawat dalam berpasangan, maka disyariatkan bernikah. Islam tidal menyekat manusia untuk makan minum, disyariatkan makanan minuman yang halal lagi baik. Islam tidak menghalang mansia bekerja mencari kekayaan, disyariatkan pekerjaan yang patuh syariat.


Adapun doktrin kebebasan Barat dengan doktrin hedonisme sehingga manusia lalai melampaui dengan hiburan maka itu bukan kebebasan tetapi terbabas menjadi kebinatangan. Berpakai menjolok mata atau bertelanjang atas alasan kebebasan hak peribadi maka itu terbabas menjadi kebinatangan. Jika semakin mendedahkan aurat itu tanda moden, maka binatang terlebih moden kerana tidak berpakaian!


Kebebasan yang rasional adalah kebebasan yang berdisplin, ada aturan, ada protokol. Bukan main hentam kemudian dakwa ia kebebasan. Itu terbabas bukan kebebasan.


Malah Allah melarang akan sikap melampaui sehingga menyekat kebebasan yang diberikan. Ini kerana Islam memberikan kebebasan yang memenuhi fitrah manusia yang sihat menurut kehendak Syarak. Menegah kebebasan tanpa asas kerana melampaui juga adalah terlarang.


Firman Allah SWT :


(قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِینَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِیۤ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّیِّبَـٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِیَ لِلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا خَالِصَةࣰ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِۗ كَذَ ٰ⁠لِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡـَٔایَـٰتِ لِقَوۡمࣲ یَعۡلَمُونَ)


Maksudnya :

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. - [Surah Al-A'raf 32]


▪️Kebebasan Intelek Bukan Tiket Menghina Agama


Islam terkehadapan dalam soal kebebasan intelek. Islam mengajar umatnya untuk tidak menghina dan mencela sembahan penganut agama lain sekalipun dasar tegasnya kebenaran hanya hak milik Islam.


Firman Allah SWT :


وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِینَ یَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَیَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَیۡرِ عِلۡمࣲۗ 


Maksudnya :

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. - [Surah Al-An'am 108]


Dialog, muzakarah dan berdebat dibenarkan sama ada dalam mencari kesepakatan, solusi atau mengajukan hujah yang benar namun tetap etikanya dalam keadilan yang sihat iaitu tidak sampai wujud mencela dan menghina. Inilah kebebasan intelek yang sihat.


Jika kebebasan intelek sehingga membenarkan menghina agama maka itu adalah sikap pelampau kerana mencetuskan kemarahan, permusuhan dan pergaduhan. Malangnya hanya Islam sahaja yang dimangsakan dalam kebebasan intelek kiblat Barat ini.


Akhirnya Barat menerima kebebasan berpakaian seksi namun tidak menerima untuk penganut Islam memakain pakaian mengikut cara Islam. Barat hanya mahukan manusia menjadi "Barat" atau berkiblatkan Barat, bukannya meraikan kebebasan.


▪️Kebebasan Tidak Boleh Lari Dari Nilai Tanggungjawab


Rashid al Ghannushi dalam satu artikelnya menulis bahawa kebebasan ialah :


الخضوع الواعي لنواميس الكون والشرع. إنها ليست استباحة: افعلوا ما تمليه عليكم رغائبكم، فتلك "حرية" الحيوان، وإنما افعلوا الواجب الذي أمركم الله به تتحرروا من أهوائكم ومن تسلط بعضكم على بعض. إن الحرية والمسؤولية لا تنفصلان


Maksudnya :

Tunduk pada hukum alam semesta dan undang-undang. Kebebasan tidak boleh diterima dengan : Lakukan apa yang dikehendaki oleh keinginan anda kepada anda, kerana itu adalah "kebebasan" binatang itu. Sebaliknya, lakukan tugas yang diperintahkan oleh Tuhan untuk anda lakukan, bebaskan diri anda dari keinginan anda dan sebahagian dari anda yang menguasai satu sama lain. Kebebasan dan tanggungjawab tidak dapat dipisahkan.


Ini kerana akal yang waras dan kebebasan merupakan 2 syarat utama manusia itu dipertanggungjawabkan ke atas ala yang mereka pilih serta lakukan. Tanpa akal yang waras atau berlakunya keterpaksaan manusia tidak dipertanggungjawab atas sesuatu yang berlaku.


Sehubungan itu, kebebasan bukanlah manusia boleh lakukan apa sahaja tanpa bertanggungjawab. Manusia berbeza dengan haiwan yang tidak memiliki akal.


Ibn Abbas meriwayatkan sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :


إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِيْ عَنْ أُمَّتِي : الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ


Maksudnya :

Sesungguhnya Allah ta’ala memaafkan umatku karena aku (disebabkan beberapa hal) : Kesalahan, lupa dan segala sesuatu yang dipaksa. - riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi


.


Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhailk bin Dr Hj Saiman


Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : http://bit.ly/3orWUVU

Comments