ISLAM DAN KEKUASAAN

ISLAM DAN KEKUASAAN


▪️Tiada Kekuasaan Yang Kekal Mutlak

Sehebat mana manusia mahupun sesuatu kerajaan itu, ia tidak ada jaminan kekal mutlak. Ia tetap terdedah kepada keruntuhan dengan taqdir Allah SWT. Begitu juga ia naik dengan taqdir Allah SWT.

Allah Maha Berkuasa memberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya atas limpahan kurniaan-Nya mahupun ujian dari-Nya.

Firman Allah SWT :

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِی ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَاۤءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَاۤءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاۤءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاۤءُۖ بِیَدِكَ ٱلۡخَیۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣱ

Maksudnya :
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." - Surah Ali Imran : 26

Dalam al-Quran ada dirakamkan jenis kerajaan sama ada yang baik seperti kerajaan Nabi Sulaiman, Kerajaan Saba' yang dipimpin oleh Balqis dari menyembah matahari sehingga berubah mengEsakan Allah serta ada juga kerajaan jahat seperti Namrud dan Firaun. Kesemuanya tidak kekal. Atas izin Allah SWT memberi tempoh pada setiap kerajaan yang ada.

Malah kerajaan dunia di zaman Rasulullah SAW iaitu Rom dan Farsi akhirnya jatuh dan naiknya kerajaan Islam yang semakin meluas sehingga lebih 1/3 dunia. Kemudiaan kerajaan Islam iaitu Khilafah Terakhir di Turki juga jatuh sebagaimana Khilafah Umayyah dan Abbasiyyah yang dahulunya gah kemudian taqdir Allah SWT keduanya jatuh.

Justeru, pegangan kita, kekuasaan mutlak hanya milik Allah SWT. Kerajaan Allah SWT yang tiada tolok banding. Kekuasaan dan kemenangan hak mutlak Allah, atas izin-Nya untuk diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Kita hanya berjuang, berusaha dan berkorban. Urusan keputusan berada dalam genggaman kekuasaan Allah. Yang penting niat yang ikhlas, matlamat yang sahih dan gerak kerja berterusan yang menuju redha Allah SWT.

Firman Allah SWT :

وَلَیَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن یَنصُرُهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِیٌّ عَزِیزٌ * ٱلَّذِینَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡا۟ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

Maksudnya :
"Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." - [Surah Al-Hajj 40 - 41]

▪️Yang Berkuasa Usahlah Sombong

Mereka yang diberi oleh Allah kemenangan dan kekuasaan jangan sombong kerana tiada yang kekal mutlak. Mereka yang sombong akan dibenci oleh Allah SWT. Kekuasaan menjadi alat untuk melaksanakan perintah Allah. Salah guna kuasa sehingga melakukan kerosakan adalah dimurkai oleh Allah SWT.

Allah SWT merakamkan bagaimana sikap Firaun supaya menjadi teladan kepada umat sepanjang zaman. Ini boleh dilihat menerusi firman-Nya :

إِنَّ فِرۡعَوۡنَ عَلَا فِی ٱلۡأَرۡضِ وَجَعَلَ أَهۡلَهَا شِیَعࣰا یَسۡتَضۡعِفُ طَاۤىِٕفَةࣰ مِّنۡهُمۡ یُذَبِّحُ أَبۡنَاۤءَهُمۡ وَیَسۡتَحۡیِۦ نِسَاۤءَهُمۡۚ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلۡمُفۡسِدِینَ

Maksudnya :
"Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan." - [Surah Al-Qasas 4]

Kesombongan pihak berkuasa adalah petanda kekuasaan dan kerajaan yang dimiliki adalah kerajaan yang dimurkai oleh Allah. Sebab itu, Islam menjadikan kuasa sebagai amanah yang akan diperhitung di hari akhirat kelak.

Teladan dari Sayiduna Umar al-Khattab bahawa beliau menangis apabila menghayati ayat al-Quran mengenai perihal perhitungan amalan. Beliau merasakan sangat bimbang kerana jawatan yang dimiliki selaku Amirul Mukimin bukanlah kecil tetapi besar yang sudah pasti akan banyak dipersoalkan. Kebimbangan itu, mendorong beliau untuk tawadhuk dan bersungguh dalam menjalankan tanggungjawab sehingga beliau membuat rondaan khususnya di Madinah bagi meninjau melihat keadaan rakyat yang memerlukan bantuan pertolongan.

Ayat yang beliau hayati antaranya ialah firman Allah SWT :

وَقِفُوهُمۡۖ إِنَّهُم مَّسۡـُٔولُونَ

Maksudnya :
"Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal." - [Surah As-Saaffat 24]

▪️Allah Berkuasa Menggilirkan Kekuasaan Kepada Sesiapa Sahaja

Hidup merupakan ujian. Islam tidak sentiasa di atas, sebagaimana Islam juga tidak berterusan di bawah. Allah menjadikan giliran kekuasaan itu sebagai ujian. Hikmahnya melihat sesiapa yang benar-benar sabar dan istiqamah dengan meyakini janji Allah SWT.

Pertukaran atau pergiliran kekuasaan adalah ketetapan Allah atas ilmu dan kehendak-Nya. Orang yang berjaya adalah mereka yang istiqamah dengan janji Allah walau di saat menghadapi kekalahan. Mereka yang diberi kuasa oleh Allah dikira menang apabila berusaha menggunakan kuasa untuk mendaulatkan agama Allah SWT.

Firman Allah SWT :

إِن یَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحࣱ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحࣱ مِّثۡلُهُۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَیَّامُ نُدَاوِلُهَا بَیۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِیَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَیَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُهَدَاۤءَۗ وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِینَ

Maksudnya :
"Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim." - [Surah Ali Imran 140]

Justeru, umat Islam terus bersabar sangat ditindas di bawah kekuasaan yang zalim serta bersabar di saat diberikan kekuasaan untuk melaksanakan kerja mendaulatkan agama Islam. Inilah kemenangan hakiki di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT :

مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ رِجَالࣱ صَدَقُوا۟ مَا عَـٰهَدُوا۟ ٱللَّهَ عَلَیۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن یَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُوا۟ تَبۡدِیلࣰا

Maksudnya :
"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." - [Surah Al-Ahzab 23]

▪️Allah Berkuasa Memberi Kemenangan Pelbagai Cara

Umat Islam hanya berusaha selebihnya menyerahkan urusan kepada Allah SWT. Jangan disangka hanya kita dan musuh sahaja merancang, namun Allah SWT memiliki perancangan-Nya yang tanpa disangka sangka.

Peristiwa Pembukaan Kota Mekah dan menerusi Surah al-Nasr menyaksikan umat Islam iaitu para sahabat diberi kemenangan oleh Allah tanpa disangka-sangka. Umat Islam diberikan :

1. Pembukaan Kota Mekah. Masuk bukan sekadar untuk laksana ibadah namun mentadbir Mekah.

2. Tiada titisan darah yang tumpah, tiada peperangan. Masuk dalam keadaan aman dan bergaya. Siapa sangka, walhal rekod sebelum ini sentiasa bertembung, perang dan ada jiwa yang terkorban.

3. Ramai yang menganut Islam secara berbondong-bondong. Kejayaan bukan sekadar menang atas musuh, mentadbir Mekah namun penduduk Mekah pula masuk Islam.

Ini pengajaran besar, di saat sebelum ini dalam pemikiran kemenangan dan kekuasaan hanya dimiliki hanya menerusi jalan peperangan, namun Allah SWT tunjukkan kekuasaan-Nya Islam menang dengan jalan damai dan aman tanpa tercetus peperangan.

Usaha manusia terbatas namun jangan ia membataskan pergantungan kita kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa melakukan sesuatu tanpa disangka-sangka. Justeru, perintah Allah SWT :

فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا

Maksudnya :
"Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat." - [Surah An-Nasr 3]

▪️Allah Beri Kekuasaan Jika Kita Displin

Jangan pula salah faham bila Allah SWT Maha Berkuasa beri kekuasaan kepada sesiapa sahaja sehingga kita tidak berusaha, tidak bersungguh, abai displin dan duduk bersahaja tanpa pengorbanan. Ini kefahaman yang silap yang perlu diperbetulkan.

Dr Raghib as-Sirjani menyatakan di dalam kitabnya "Kita Bukan Lagi Di Zaman Abrahah" (لسنا في زمان أبرهة) bahawa tuntutan berkorban adalah menjadi pra syarat kemenangan yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merujuk kepada firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن تَنصُرُوا۟ ٱللَّهَ یَنصُرۡكُمۡ وَیُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." - [Surah Muhammad 7]

Namun jika umat Islam tidak berdisplin, maka peperangan Uhud boleh dijadikan pengajaran. Ini kerana apabila pasukan pemanah hampir keseluruhan meninggalkan tempat posisi mereka sebelum diperintah oleh Rasulullah SAW. hilangnya displin maka Allah SWT uji dengan kekalahan.

Sedangkan Baginda SAW sudah berpesan kepada pasukan pemanah di atas Bukit Uhud :

إِنْ رَأَيْتُمُونَا تَخْطَفُنَا الطَّيْرُ فَلَا تَبْرَحُوا مَكَانَكُمْ هَذَا حَتَّى أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ وَإِنْ رَأَيْتُمُونَا هَزَمْنَا الْقَوْمَ وَأَوْطَأْنَاهُمْ فَلَا تَبْرَحُوا حَتَّى أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ

“Apabila kalian melihat kami disambar oleh burung (menderita kekalahan) maka janganlah kalian meninggalkan posisi kalian, sampai aku mengutus seseorang kepada kalian. Dan apabila kalian melihat kami berhasil mengalahkan mereka, maka janganlah kalian meninggalkan posisi kalian sampai aku mengutus seseorang kepada kalian.” – riwayat al-Bukhari

Justeru, kadang kala pimpinan sudah membuat sesuatu keputusan namun jika ada ahli yang tidak berdisplin ia akan menatijahkan sebaliknya. Maka berikan hak kepada pimpinan membuat keputusan, selagimana tidak bercanggah syariat maka diberikan thiqah, maka ini displin yang dijaga. Bila displin dijaga insha Allah, diberi kemenangan oleh Allah SWT.

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/33TjTPV

Comments