ISLAM DAN LOGIK FIKIR

 ISLAM DAN LOGIK FIKIR


▪️Islam Menuntut Manusia Berfikir


Kedatangan agama Islam bukanlah untuk membendung manusia dari berfikir. Malah Islam mengangkat kedudukan akal pada kedudukan yang selayaknya. Ini kerana zaman jahiliyah manusia tidak berfikir dengan cara yang benar menurut pertimbangan Islam, akan tetapi mereka bekukan otak mereka hanya dengan mengikut tradisi nenek moyang mereka sekalipun ia sangat tidak logik.


Firman Allah SWT :


(وَإِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةࣰ قَالُوا۟ وَجَدۡنَا عَلَیۡهَاۤ ءَابَاۤءَنَا وَٱللَّهُ أَمَرَنَا بِهَاۗ قُلۡ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یَأۡمُرُ بِٱلۡفَحۡشَاۤءِۖ أَتَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ)


Maksudnya :

Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?" - [Surah Al-A'raf 28]


Sikap membekukan otak atau jumud dengan berhujahkan tradisi turun temurun sekalipun tidak logik, bersifat keji adalah sesuatu yang tidak diterima oleh Islam. Ini kerana logiknya, agama tidak akan menyuruh manusia melakukan perkara yang keji!


Malah berfikir secara logik antara salah satu kaedah mencari kebenaran. Ini boleh dilihat kepada saranan Islam untuk manusia melihat kejadian alam dengan berfikir akan kejadian tersebut.


Firman Allah SWT :


(أَفَلَا یَنظُرُونَ إِلَى ٱلۡإِبِلِ كَیۡفَ خُلِقَتۡ ۝  وَإِلَى ٱلسَّمَاۤءِ كَیۡفَ رُفِعَتۡ ۝  وَإِلَى ٱلۡجِبَالِ كَیۡفَ نُصِبَتۡ ۝  وَإِلَى ٱلۡأَرۡضِ كَیۡفَ سُطِحَتۡ)


Maksudnya :

(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? - [Surah Al-Ghashiyah 17 - 20]


▪️Kaedah Berfikir Logik Ialah Mengajak Berhujah


Logik ialah sesuatu yang dapat diterima oleh akal menerusi hujah. Kesilapan kita apabila mendefinisikan logik ialah sekadar apa yang mampu dicapai pancaindera, akhirnya logik akan dilihat bertentang dengan Islam sekaligus menjadikan seolah-olah Islam tidak meraikan manusia dalam berfikir.


Sedangkan logik fikir ialah kaedah berfikir yang tepat dalam mencari sesuatu kebenaran berdasarkan hujah yang benar. Berfikir tanpa hujah maka ia adalah falasi, yang berlawanan dengan logik.


Justeru itu, hujah dibahagikan kepada naqli dan aqli. Kedua-duanya membawa manusia berhujah dan menerima penghujahan ialah logik fikir. Tanpa sebarang hujah yang benar manusia akan berfikir tidak seimbang yang akhir membawa kepada penyelewengan atau kesesatan.


Pada perkara kebiasaan menerima adat dan akal, hujah diterima pada perkara yang tidak berlawanan. Seperti contoh melihat makanan yang terhidang maka akal kita menerima pastinya makanan tersebut dimasak oleh seseorang.


Namun jika melibatkan perkara pelik luar kebiasaan atau mencarik adat, maka ia memerlukan hujah yang membenarkan. Tanpa hujah maka ia tidak diterima. Sebagaimana api yang sifatnya membakar namun tidak membakar Nabi Ibrahim. Ia dikenali sebagai mukjizat. Maka dengan hujah dari ayat al Quran maka kita menerimanya kerana ada hujah. Tanpa hujah, akal kita tidak akan menerima.


Justeru, pada perkara bersifat ghaibiyyat atau mencarik adat iaitu di luar kebiasaan memerlukan hujah nas. Tanpa hujah nas, kita boleh menerima. Di sinilah logik fikir. Tidak semua pemberitahuan melibatkan ghibiyat diterima kecuali adanya hujah nas jika tidak ia hanya dakwaan yang bersifat falasi.


Sebagaimana dakwaan kaum penyembah patung berhala, apabila Nabi Ibrahim mencabar Namrud untuk patung pahala yang besar menceritakan "siapa" yang menghancurkan patung berhala kecil lain, maka Namrud tiada hujah untuk membenarkan kelakuan mereka yang menyembah patung tersebut sebagai Tuhan. Kerana hakikatnya patung tersebut tidak boleh bercakap, melihat dan melakukan apa-apa. Maka tidak logik Tuhan bersifat lemah sedemikian! 


Begitu juga apabila musyrikin Mekah yang mendakwa Rasulullah SAW mencipta ayat-ayat al-Quran sedangkan Baginda SAW adalah bersifat ummiy. Musyrikin tiada hujah dalam menafikan ketulenan al Quran dari Allah maka dakwaan mereka bahawa ayat al Quran rekaan Rasulullah SAW tidak boleh diterima kerana tidak logik disebabkan tiada hujah! 


Firman Allah SWT : 


(وَإِن كُنتُمۡ فِی رَیۡبࣲ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُوا۟ بِسُورَةࣲ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُوا۟ شُهَدَاۤءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ)


Maksudnya :

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. - [Surah Al-Baqarah 23]


▪️Mitos Adalah Perkara Ghaib Tanpa Hujah


Islam adalah agama tertegaknya dengan hujah. Sekalipun ada perkara ghaibiyat yang dibawakan maka ia tertegak dengan hujah nas. Sekalipun yang bersifat ghaibiyat mestilah dengan hujah nas. Tanpa hujah nas, ia hanyalah mitos. Sesuatu khayalan semata-mata kerana tiada hujah nas.


Justeru, perkara ghaibiyat adalah perkara melibatkan ilmu Allah. Kita tidak mampu menggambarkan secara hakikat secara gambaran keduniaan namun kita menerima kerana adanya hujah nas.


Sebagai contoh, roh. Roh ialah perkara ghaibiyat, kerana kita tidak mampu capai menerusi pancaindera kita. Namun kita wajib menerimanya kerana ada hujah nas dari al Quran dan al Sunnah. Namun kita tidak mampu menggambarkannya menerusi gambaran keduniaan kerana ia di luar ilmu kita. Penerimaan kita terhadap roh kerana adanya hujah nas. Ia logik fikir kerana berhujah yang kita wajib terima dan tidak mampu menafikannya. Lantaran itu tatkala Rasulullah SAW diasak pertanyaan mengenai roh, Baginda SAW menjawab bahawa ia adalah urusan Allah.


Firman Allah SWT :


(وَیَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنۡ أَمۡرِ رَبِّی وَمَاۤ أُوتِیتُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِ إِلَّا قَلِیلࣰا)


Maksudnya :

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja". - [Surah Al-Isra' 85]


Justeru, displin ilmu Islam ialah perkara ghaibiyat memerlukan hujah nas yang kuat. Tanpa hujah nas yang kuat, dakwaan berkenaan ghaibiyat hanyalah mitos yang bersifat khayalan yang tidak wajib dipercayai malah boleh menjadi haram kerana menjerumus kepada penipuan rekaan. 


▪️Falasi Ialah Berfikir Yang Tidak Mengikut Landasan Yang Tepat


Lawan kepada logik fikir ialah falasi. Falasi ialah cara berfikir yang salah menjadikan kita berhujah dengan tidak betul berdasarkan pertimbangan syarak. Falasi boleh terjadi dengan 2 alasan :


1. Secara formal

2. Secara tidak formal


Falasi secara formal ialah apabila hujah yang diberikan bertentangan dengan kebenaran yang dibawakan oleh hujah nas muktamad. Contoh seperti hujah yang diberikan oleh Iblis dalam keingkarannya sujud "hormat" kepada Adam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. 


Falasi secara formal ini berbunyi, api lebih kuat dari tanah maka api lebih dimuliakan dari tanah yang dipijak-pijak maka Iblis adalah lebih mulia kerana Iblis diciptakan dari api. 


Firman Allah SWT :


(قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ)


Maksudnya :

Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." - [Surah Al-A'raf 12]


Seterusnya contoh falasi secara tidak formal ialah berhujahkan sesuatu dengan andaian awal yang tidak fokus. Seperti mengatakan apa yang disebutkan oleh doktor perubatan tidak betul kerana doktor tersebut sendiri sakit berpenyakit. Akhirnya andaian awal dibuat menatijahkan tidak boleh menerima apa yang diperkatakan oleh doktor perubatan tersebut disebabkan doktor tersebut juga sakit sekalipun apa yang diperkatakan olehnya adalah benar.


Begitulah falasi tidak formal kaum musyrikin Mekah yang menolak kerasulan Rasulullah SAW kerana Baginda SAW kalangan manusia dan kalangan bukan orang berada serta berjawatan. Andaian awal mereka seorang Rasul mestilah dari Malaikat, sekalipun dari kalangan manusia mestilah terpilih kalangan mereka kerana mereka kalangan berada dan berjawatan berpengaruh di Mekah.


Firman Allah SWT :


(وَقَالُوا۟ مَالِ هَـٰذَا ٱلرَّسُولِ یَأۡكُلُ ٱلطَّعَامَ وَیَمۡشِی فِی ٱلۡأَسۡوَاقِ لَوۡلَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡهِ مَلَكࣱ فَیَكُونَ مَعَهُۥ نَذِیرًا ۝  أَوۡ یُلۡقَىٰۤ إِلَیۡهِ كَنزٌ أَوۡ تَكُونُ لَهُۥ جَنَّةࣱ یَأۡكُلُ مِنۡهَاۚ وَقَالَ ٱلظَّـٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلࣰا مَّسۡحُورًا)


Maksudnya :

Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya). "Atau diberikan perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun untuk ia makan hasilnya". Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula (kepada orang-orang yang beriman): "Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang tidak siuman".

[Surah Al-Furqan 7 - 8]


▪️Logik Fikir Kebenaran Dengan Berhujah, Bukan Sentimen Emosi


Antara polemik dalam berhujah ialah bermain sentimen yang lari dari manhaj berfikir. Yang akhirnya menjadikan kebenaran ditentukan oleh sentimen emosi bukannya hujah dari logik fikir.


Maka timbullah persoalan-persoalan menyeleweng seperti "kalau Allah bersifat Maha Penyayang kenapa diciptakan neraka"?


Begitu juga dakwaan "kuatnya seseorang itu beribadah sehingga tidak makan bertahun-tahun".


Justeru, dalam hal sedemikian ia menjadikan kebenaran yang dimainkan berdasarkan sentimen emosi bukannya hujah sama ada hujah naqli atau aqli. Sedangkan agama ialah agama bersifat realistik. Sehingga Rasulullah SAW menegur beberapa sahabat keterlaluan dalam keinginan beribadah sehingga melanggar sunnah Rasulullah dan fitrah manusia dengan antara mereka yang mahu berpuasa tidak mahu berbuka, berjaga malam tidak mahu tidur dan tidak mahu kahwin kerana menganggap akan mengganggu urusan ibadah.


Walaupun sentimen emosi nampak indah namun ia bukan berhujah. Ini kerana kebenaran mestilah berpandukan hujah. Maka berhujah ialah logik fikir dengan cara berfikir dengan manhaj yang benar menurut pertimbangan syarak.


Bahkan penceritaan dalam al Quran mengenai kisah Rasul dan umat terdahulu adalah bentuk pengajaran berdasarkan hujah nas menjadi petunjuk bahawa fakta yang dikaitkan mestilah mempunyai hujah bukannya bersifat sentimen emosi yang hanya mahu "mencantikkan" sesuatu akhirnya berlaku mitos dan rekaan yang tertolak. Maka di sinilah beza pendakwah dengan penglipur lara dalam menyampaikan sesuatu kisah yang berfakta.


Firman Allah SWT :


(لَقَدۡ كَانَ فِی قَصَصِهِمۡ عِبۡرَةࣱ لِّأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِۗ مَا كَانَ حَدِیثࣰا یُفۡتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصۡدِیقَ ٱلَّذِی بَیۡنَ یَدَیۡهِ وَتَفۡصِیلَ كُلِّ شَیۡءࣲ وَهُدࣰى وَرَحۡمَةࣰ لِّقَوۡمࣲ یُؤۡمِنُونَ)


Maksudnya :

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. - [Surah Yusuf 111]


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman


Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : http://bit.ly/3eGrXJ0

Comments