ISLAM DAN PARTI POLITIK

ISLAM DAN PARTI POLITIK




▪️
Parti Politik Pemegang Kuasa Eksekutif

Parti politik merujuk kepada kumpulan yang terlibat langsung dengan kerja-kerja politik dan pilihanraya dalam kerangka demokrasi yang diamalkan oleh sesuatu negara. Parti politik menjadi pemegang kuasa yang bersifat eksekutif dengan kemenangan yang dikecapi menerusi pungutan suara majoriti dalam sesuatu pilihanraya yang berlaku.

Di Malaysia sendiri yang menerima sistem demokrasi yang disyaratkan oleh pihak penjajah British sebelum meninggalkan Tanah Melayu agar kuasa pemtadbiran diberikan kepada parti yang mendapat sokongan majoriti rakyat. Berlakulah pilihanraya pada 1955 dan dimenangi oleh UMNO dengan gabungan kerjasama MCA dan MIC. Manakala PAS memperolehi 1 kerusi di negeri Perak.

Parti politik menjadi peranan penting dalam urus tadbir sesebuah kerajaan dalam menggubal, pinda, tambah, dan hapus sesuatu polisi, dasar malah Akta di peringkat Pusat serta Enakmen di Peringkat Negeri manakala Ordinan di Borneo.

Memandangkan Malaysia mengamalkan sistem Federalisme yang mengasingkan kuasa Pusat dan Negeri namun dalam masa yang sama kuasa Negeri terbatas pada Perkara 75 Perlembagaan. Lantaran itu persaingan di peringkat Pusat pada pilihanraya yang melibatkan Parlimen manakala di peringkat Negeri disebut pula Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kuasa politik yang dipegang oleh kerajaan dilihat sangat besar secara pengamalan dan operasi yang berlaku walaupun uniknya Malaysia ini yang mengamalkan sistem Feudalisme iaitu sistem Beraja namun ia terhad pada konteks yang diperuntukkan.

Malaysia tidak sama seperti sesetengah negara yang meletakkan Parlimen kuasa tertinggi, kerana apa sahaja di Malaysia terikat dengan Perlembagaan. Sejauh mana kuasa politik tersebut dalam melaksanakan sesuatu maka ia tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan.

Walaupun begitu, kuasa dan perbincangan dalam menggubal sesuatu Akta dalam Perlembagaan mesti diluluskan dan mendapat persetujuan Sidang Parlimen sama ada yang memerlukan 2/3 persetujuan atau memadai majoriti mudah (simple majoriti) adalah bergantung pada apa inti pati dan hubungkait Akta yang dibincangkan tersebut.

▪️
Parti Politik Menjadi Wadah Perjuangan Islam

Menyedari realiti semasa dalam konteks pentadbiran sesuatu kerajaan dan sistem kenegaraan Malaysia ini, kewujudan parti politik adalah sesuatu yang mesti apatah lagi untuk memastikan perlaksanaan syariat dapat digezekkan (التقنين) untuk dilaksanakan (التنفيذ).

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhwi menyebutkan di dalam kitabnya "Jenayah Murtad Dan Hukumannya" (جريمة الردة وعقوبتها) bahawa peringkat kewajipan sesuatu perkara terbahagi kepada 2 iaitu :

1. Individu
2. Pemerintah

Bagi peringkat pemerintah inilah yang memerlukan kuasa untuk melaksanakannya. Tanpa kuasa politik maka tiada kekuatan untuk melaksanakannya kerana tiada punca kuasa iaitu tidak digezekkan di peringkat perundangan.

Maka apa-apa perlaksanaan yang memerlukan punca kuasa seperti perundangan jenayah Islam yang ada padanya hudud dan qisas antaranya tidak mampu dilaksanakan kerana tiada punca kuasa ditambah lagi terdapat Akta sedia ada yang menghadkan kuasa mahkamah syariah dalam menjatuhkan sesuatu hukuman atas jenayah dan kesalahan.

Justeru, parti Politik yang meletakkan dasar dan perlembagaan partinya ialah perjuangan Islam dan untuk menegakkan syariat Islam merupakan parti yang menjadi wadah bagi tujuan yang termaktub tersebut. Penglibatan dalam sistem demokrasi yang diterima pakai adalah langkah berhadapan secara aman (مواجهة سلمية) dalam pertembungan perebutan kuasa politik dari parti-parti politik. Perebutan kerusi / kuasa adalah wasilah yang penting bagi tujuan perjuangan Islam selama mana niatnya yang tulus dan menjadi batasan syarak.

Dato Seri Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyebutkan di dalam kitabnya "Peta Politik Dan Pertembungan Parti-parti Politik Di Malaysia" (الخريطة السياسية والصراع بين المراكز القوى في ماليزيا) bahawa kewujudan PAS dengan penglibatan dalam pilihanraya bagi mencapai kemerdekaan adalah untuk memastikan kemerdekaan negara yang akhirnya tertegak hukum hakam Islam, berbeza dengan tujuan oleh parti politik sekular yang diredhai oleh penjajah British.

▪️
Parti Politik Memikul Tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar

Parti politik yang memperjuangkan Islam menjadi kuasa itu sesuatu yang penting dalam konteks realiti pemerintahan negara ini kerana tanpanya tersekat atau terganggu agenda Islam yang memerlukan punca kuasa.

Kaedah fiqh menyebutkan :

ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجب

"Sesuatu kewajipan yang tidak sempurna kecuali sesuatu dengannya maka ia menjadi wajib"

Namun begitu, parti politik Islam tidak menjadikan semata-mata kuasa maka apa sahaja sanggup dilakukan tanpa mengira dosa dan pahala. Ini kerana Islam tidak membenarkan matlamat menghalalkan cara. Sekalipun matlamat baik namun cara tidak boleh bercanggah dengan sesuatu hukum atau syarak.

Kaedah menyebutkan :

الغاية لا تبرر الوسيلة

"Matlamat tidak menghalalkan cara"

Justeru, parti politik mengambil tanggungjawab kewajipan amar makruf nahi munkar pada setiap masa mengikut tahap kekuasaan, kemampuan dan kekuatan. Sebab itu parti politik yang memperjuangan Islam tidak sama dengan parti-parti politik lain yang dasar sekular, liberal, komunis dan lain-lain.

Firman Allah SWT :

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya :
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." - [Surah Ali Imran 104]

Justeru, ahli parti politik Islam akan berperanan sama ada di pihak kerajaan jika menang, atau pembangkang jika kalah untuk memastikan :

1. Menggubal atau meminda Akta yang bertentangan dengan syariat Islam.
2. Menyokong Akta yang diusulkan yang membawa kebaikan rakyat umum dan menepati kehendak maqasid al-syariah yang selari dengan syariat.
3. Membangkang Akta yang diusulkan yang bercanggah dengan syariah dan juga membawa kemudaratan serta kerugian pada rakyat dan negara.

Tahap-tahap mencegah kemungkaran ini merujuk sebagaimana hadith dari Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya:
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” - riwayat Muslim

▪️
Parti Politik Menjadi Tuntutan Asas Dalam Negara Demokrasi

Tidak dapat tidak, dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, penglibatan perjuangan Islam menerusi parti politik menjadi tuntutan asas. Matlamatnya adalah menegakkan hukum Allah. Justeru Islam adalah yang pertama. Maka apa sahaja kebaikan dan kepentingan untuk Islam, parti politik Islam akan bersama dan mendokong.

Ini kerana Islam adalah matlamat, dan parti politik adalah wadahnya dalam kerangka demokrasi realiti sesebuah negara. Menafikan parti politik secara mutlak dan meremahkannya adalah jahil realiti semasa sesebuah tempat atau negara.

Ini kerana kaedah ada menyebutkan :

الحاجة تنزل منزلة الضرورة

Maksudnya :
"hajat menepati darurat."

Maksud hajat ialah jika tidak disempurnakan nescaya melibatkan atau mendatangkan kesukaran atau kesusahan. Tanpa parti politik maka dalam kerangka negara yang amalkan demokrasi tidak dapat terlaksana sebagaimana perbincangan di atas sebelum ini.

Justeru, PAS yang ditubuhkan sebagai Harakah Islamiah melibatkan diri dalam gelanggang arena politik dengan didaftarkan sebagai parti politik kerana memahami realiti semasa dan konteks kenegaraan yang diamalkan di Malaysia ini.

Sebab itu, dalam memahami perjuangan Islam PAS sangat mudah untuk difahami dalam apa jua strategi dan tindakan politik yang diambil, antaranya ialah :

1. Islam yang pertama.
2. Apa sahaja kepentingan Islam maka ia menjadi kepentingan PAS.

.


Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/39kwwoc

Comments