ISLAM DAN PENJAJAHAN KE ATAS SYARIAT
Islam Agama Yang Syumul Iaitu Meliputi Semua Aspek
Keadilan yang dibawa oleh Islam merupakan keadilan ke atas semua manusia bahkan menjadi rahmat ke atas sekalian alam. Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah sebagai panduan bagi kehidupan manusia.
Islam membawa kepada 3 unsur utama iaitu berkaitan akidah, syariat dan akhlak. Adapun lapangan yang berkaitan syariat menjelaskan bahawa kehidupan manusia tidak lari dari sudut perspektif Islam walaupun satu bahagian. Hal ini demikian kerana syariat yang dibentangkan kepada manusia adalah mencangkupi lapangan ibadah, kewangan, pernikahan dan institusi kekeluargaan serta perlaksanaan hukuman ke atas jenayah dan pemerintahan.
Disebabkan itulah, mereka yang mencari penyelesaian selain daripada Islam maka mereka telah mengecilkan skop Islam. Sedangkan secara jelas Islam tidak hanya tertumpu kepada konteks ibadah semata-mata bahkan Islam adalah agama dan kehidupan.
Imam Hassan Al-Banna dalam menerangkan maksud kesyumulan Islam, beliau menyatakan bahawa :
الإسلامُ نِظامٌ شاملٌ يَتَناوَل مَظاهِر الحَياةِ جميعا فَهُوَ دَوْلَةٌ وَوَطَنٌ أَوْ حُكُومَةٌ وَأُمَّة وهو خُلُق وقُوَّة أَوْ
رَحْمَة وَعَدَالَة وهو ثَقافَة وَقانُون أَوْ عِلْم وَقَضاء وَهُوَ مادَّة وثَرْوَة أَوْ كَسْب وَغَنِىّ وَهُوَ جِهاد وَدَعْوَة
أَوْ جَيْش وَفِكْرَة كما هو عقيدة صادِقَة وعِبادَة صَحيحَة سَواءٌ بِسَواء
Maksudnya :
Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah negara dan tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.
Firma Allah SWT :
وَنَزَّلۡنَا عَلَیۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ تِبۡیَـٰنࣰا لِّكُلِّ شَیۡءࣲ وَهُدࣰى وَرَحۡمَةࣰ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِینَ
Maksudnya :
"Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam." - [Surah al-Nahl 89]
Dalam kitab Sirah An-Nabawiyah, karangan Imam Ibnu Kathir, terdapat kisah Nabi bersabda kepada kabilah Bani Syaibanbin Tsa’labah, ketika baginda memperkenalkan dirinya di Mekah :
ما أَسَأْتُم الرَدّ إذا أَفْصَحْتُم بالصِدْق ، إنه لا يَقُومُ بهذا الدِّينِ إِلّا مَن أَحاطَه مِن جَمِيعِ جَوانِبَهُ
Maksudnya :
”Kamu tidak menolak dengan cara yang jahat sekiranya kamu berterang-terangan dengan kebaikan. Tidak akan tertegak agama ini melainkan dengan orang yang mencangkupinya di setiap ruang.” – rujuk kitab Nazorat Fi Risalah At-Ta’lim
Golongan Yahudi dahulu ditegur dan dimurkai oleh Allah kerana mereka hanya mengambil sebahagian yang dibawa oleh para rasul dalam masa yang lain menolak sebahagian yang lain.
Firman Allah SWT :
أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضࣲۚ فَمَا جَزَاۤءُ مَن یَفۡعَلُ ذَ ٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡیࣱ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَیَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ یُرَدُّونَ إِلَىٰۤ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ
Maksudnya :
“Maka apakah kamu hanya beriman dengan sebahagian Kitab (Taurat) dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat sedemikian itu daripada antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” - Surah al-Baqarah : 85
Penjajahan Ke Atas Syariat Islam
Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah secara rasminya pada tanggal 3 Mac 1924, negara-negara Islam mula dipecah-pecahkan dengan pentadbiran yang pelbagai dan ideologi-ideologi yang berasingan. Hal ini demikian kerana taktik yang dipanggil ‘pecah dan perintah’ ini adalah bagi memastikan umat Islam tidak bersatu dan sekaligus menghadkan skop syariat dalam kehidupan manusia.
Sebagaimana yang berlaku di Tanah Melayu ketika penjajahan British, pihak penjajah terus mengekalkan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama dan pihak penjajah juga tidak mengisytiharkan agama selain Islam sebagai agama rasmi. Namun begitu, pihak penjajah selain menjajah wilayah dan kawasan, mereka juga menjajah syariat Islam dan hari ini penjajahan ke atas syariat ini diteruskan sendiri oleh orang Islam yang berkiblatkan ideologi pihak barat.
Kita dapat lihat sejarah bagaimana sistem penasihat kepada Raja iaitu Residen berjaya menghadkan Islam kepada skop yang amat kecil iaitu urusan-urusan agama yang melibatkan solat, adat istiadat dan pernikahan sahaja. Manakala sistem yang berkaitan urusan pemerintahan negara dari sudut undang-undang, jenayah dan sebagainya diketepikan dan dihakis sedikit demi sedikit.
Syeikh Muhamad Al-Ghazali menyebutkan :
“Kita orang Islam diperintahkan oleh Allah untuk melaksanakan syariat Islam. Mana mungkin melaksanakan syariat berpandukan kepada hawa nafsu manusia iaitu dengan melaksanakan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Hal ini demikian kerana Islam terdiri dari sudut iman dan akhlak dan kesyumulan Islam itu sendiri yang mencangkupi seluruh alam dan kejadian. Maka mana mungkin dikira melaksanakan Islam dengan melakukan satu bidang dalam masa yang sama menafikan bidang yang lain. Lihat sahaja kepada 2 firman Allah iaitu mengenai kewajipan puasa dan kewajipan melaksanakan qisas.” – Majalah Al-Azhar bagi keluaran Jamadil Akhir 1433
Justeru, penjajahan yang masih berlaku sehingga ke hari ini ialah penjajahan ke atas syariat Islam dengan mengecilkan skop syariat Islam tersebut. Maka kewajipan umat Islam pada hari ini ialah membebaskan syariat Islam agar dapat dilaksanakan dengan sepenuh sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Dan penjajahan ini adalah melalui ideologi-ideologi yang ditanam oleh pihak musuh semenjak dahulu lagi dan sehinggalah mereka berjaya melahirkan pelapis-pelapis mereka dari kalangan umat Islam itu sendiri namun hakikatnya mereka tersebut merupakan hamba kepada iedologi barat yang disebut sebagai عبيد الفكر الغربي .
Abi Umamah Al-Bahili berkata Nabi SAW bersabda :
لَتَنْقُضَنَّ عُرَى الإسْلامِ عُرْوَةً عُروةً فَكُلَّما انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ الناسُ بالتي تَلِيها وَأَوَّلُهُنَّ نقضاً: الحكم، وآخِرُهُّن الصلاة
Maksudnya :
“Akan terlerai satu persatu ikatan-ikatan Islam, maka setiap kali terlerai satu ikatan maka akan berpaut pada ikatan yang seterusnya. Ikatan pertama yang akan terlerai ialah pemerintahan dan akhir sekali ialah solat.” – dalam Musnad Ahmad
Ideologi Yang Menjajah Syariat Islam
Penentangan ke atas Islam bermula sejak zaman dahulu lagi, bahkan sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terahir, penentangan Islam juga sudah bermula dengan pelbagai ideologi yang jelas karut antaranya penyembahan berhala, binatang dan apa jua yang dianggap tuhan, serta penafian wujudnya tuhan dengan menyucikan akal pemikiran dan sebagaimana.
Firman Allah SWT :
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡیَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَىِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَاۤءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِی جَاۤءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرٍ
Maksudnya :
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu." - [Surah al-Baqarah : 120]
Hari ini penentangan tersebut diteruskan lagi dengan menggunakan istilah yang berbeza-beza dan lebih tersusun, namun kehendaknya adalah sama iaitu memastikan Islam tidak menang.
Ideologi yang paling berjaya digunakan oleh pihak musuh ialah dengan menaikkan sentiasan ‘kebebasan’ sehingga ke tahap mutlak iaitu tanpa sebarang displin dan peraturan. Perkara sebegini didoktrin ke atas semua manusia supaya tidak menundukkan diri kepada Islam yang dikatakan mengongkong umatnya kerana peruntukkan-peruntukkan dalam syariat dikatakan sebagai menyekat kebebasan mutlak sebagai hak asasi manusia.
Maka ideologi inilah yang disebutkan sebagai Liberalisme. Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa hari ini liberal sudah masuk ke dalam konteks demokrasi iaitu menjadi demokrasi yang sebenar mengikut telunjuk ideologi liberal. Justeru, hasil daripada itulah konsep demokrasi sekarang ini memisahkan antara agama dan urusan politik yang disebutkan sebagai sekularisme. Hal ini demikian bagi menjamin kebebasan dalam menguruskan perkara yang berkaitan dengan sosial hidup.
Bahkan konsep liberal ala demokrasi ini disebutkan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi menghasilkan beberapa ideologi yang lain dalam konteks menjauhkan umat Islam daripada Islam iaitu :
- pemisahan agama dan politik : sekularisme
- semangat perkauman / nasionalisme
- sistem kewangan kapitalisme mahupun sosialis
- hak asasi manusia dengan kebebasan mutlak
- persaingan gender dalam melibatkan kebebasan wanita sebagaimana lelaki : feminisme
- pemikiran bebas tanpa terikat dengan panduan wahyu : liberalisme
Hasil daripada ideologi-ideologi yang ciptakan oleh manusia ini, ditambah dengan ideologi yang lain seperti komunisme, sosialisme dan sebagai adalah semata-mata bagi menjajah minda umat Islam serta mengubah identiti mereka daripada menjadi seorang muslim yang benar-benar menepati syariat.
Firman Allah SWT :
وَمَن یَبۡتَغِ غَیۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِینࣰا فَلَن یُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ
Maksudnya :
“Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka ia tidak akan diterima sama sekali, dan di akhirat kelak ia akan tergolong dari kalangan orang yang rugi.” - Surah Ali Imran : 85
Kewajipan Mempertahankan Hukum Allah
Kewajipan bagi umat Islam ialah mempertahankan hukum Allah serta melaksanakannya tanpa ada sebahagian yang ditolak walaupun sedikit. Penjajahan ke atas syariat Islam merupakan satu kemungkaran maka umat Islam wajib membebaskan syariat Islam daripada terus dijajah agar syariat Islam dapat ditegakkan.
Maka selagimana Islam masih dijajah, kewajipan umat Islam ialah berjuang dan berjihad dengan segenap usaha mengikut kesesuaian dan peringkat. Hal ini demikian kerana di zaman Nabi SAW, pensyariatan berperang adalah untuk mempertahankan dakwah Islam, negara Islam dan membebaskan negara-negara yang dijajah oleh pemerintah yang zalim. Peperangan yang berlaku bukanlah menunjukkan Islam itu pengganas atau Islam itu tersebar melalui mata pedang sebagaimana yang difinah oleh pihak musuh.
Firman Allah SWT :
أُذِنَ لِلَّذِینَ یُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُوا۟ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِیرٌ
Maksudnya :
"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)." - [Surah al-Hajj 39]
Daripada Sa’id bin Zaid bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن قُتِل دُوْنَ ماله فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُوْن أَهْله فهو شهيد، ومن قتل دُوْنَ دِيْنه فهو شهيد، ومن قتل دون دَمِه فهو شهيد
Maksudnya :
“Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka ia dikira syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya maka ia dikira dikira syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya ia dikira syahid dan sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya ia dikira syahid.” – riwayat at-Tirmizi dan al-Nasa'i
Justeru, siri-siri peperangan yang berlaku selepas penghijrahan Nabi SAW bersama para sahabat ke Madinah dan mendirikan sebuah negara Islam di Madinah adalah semata-mata bagi mempertahankan dakwah Islam serta menentang kezaliman yang berlaku.
Peperangan Badar al-Kubra tercetus apabila pihak musyrikin Mekah mula berasa entiti masyarakat Islam di Madinah mula mengancam mereka apabila para sahabat Muhajirin merancang mengambil kembali harta-harta mereka yang telah dirampas dan ditinggalkan di Mekah. Peperangan Uhud pula tercetus ekoran pihak musyrikin Mekah ingin membalas dendam di atas kekalahan mereka dalam peperangan Badar Al-Kubra. Manakala pengusiran kaum Yahudi dari Madinah dalam peperangan Bani Nadhir disebabkan kaum Yahudi tersebut mencabuli perjanjian yang berlaku. Bahkan mereka merancang untuk membunuh Nabi SAW. Demi mempertahankan baginda SAW dan keselamatan serta keharmonian di dalam Madinah maka tercetuslah peperangan Bani Nadhir.
Begitu juga dalam peperangan Ahzab atau Khandak, ia berlaku disebabkan pihak musyrikin Mekah merancang untuk menghancurkan kekuatan umat Islam di Madinah. Mereka mengumpulkan puak-puak serta kabilah-kabilah yang memusuhi Islam untuk melakukan kerjasama beramai-ramai dalam menghancurkan Islam. Dan lagi, peristiwa Fathul Makkah juga berlaku disebabkan pihak musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang dimeterai di antara pihak Islam dan musyrikin Mekah.
Sehubungan itu, pengarang kitab Ghazwat Ar-Rasul iaitu Ahmad Hamid At-Thohir menyebutkan bahawa kalaulah tidak disyariatkan berperang nescaya kebatilan akan menguasai kebenaran. Namun begitu, janji Allah yang pasti, kebenaran tetap dipertahankan dan kewajipan mempertahankan kebenaran telah pun dilaksanakan oleh para sahabat ketika dahulu dengan sepenuh pengorbanan yang diberikan.
Kewajipan Melaksanakan Syariat Islam Secara Menyeluruh
Islam adalah yang syumul dan meliputi semua aspek di dalam kehidupan sebagaimana yang terdapat dalam di awal kajian yang dibentang. Tidak ada satu urusan dalam kehidupan manusia yang terlepas pandang dari konteks syariat Islam samada perkara tersebut melibatkan individu, masyarakat apatah lagi negara.
Hari ini penjajahan ke atas syariat Islam berlaku ke atas negara apabila pemimpin di negara-negara Islam atau negara yang mengisytiharkan agama rasminya ialah Islam, tidak menjalankan hukum Allah secara menyeluruh. Konteks syariat Islam yang telah disempurnakan di zaman Nabi SAW dihakis satu persatu sehingga disempitkan dalam ruang lingkup yang begitu kecil. Bahkan menjadikan ideologi barat yang menjajah minda mereka sebagai perundangan yang adil serta saksama di zaman sekarang. Dan ini juga telah jelas dalam kajian di atas yang menerangkan konsep penjajahan ke atas syariat Islam melalui dengan mendokongi ideologi-ideologi ciptaan barat.
Maka dalam soal melaksanakan hukum Allah iaitu syariat Islam secara menyeluruh para ulama bersepakat bahawa ia merupakan kewajipan ke atas umat Islam. Bahkan negara Islam atau negara yang dikuasai oleh umat Islam wajib melaksanakan perundangan Islam samada konteks hukuman ke atas jenayah, kehakiman, dan politik.
Firman Allah SWT :
ٱتَّبِعُوا۟ مَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِیَاۤءَۗ قَلِیلࣰا مَّا تَذَكَّرُونَ
Maksudnya :
"Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan". - [Surah al-A'raf 3]
Maka para ulama memutuskan bahawa perintah “ikutilah” tersebut merupakan kewajipan dan yang dimaksudkan dengan “ikut apa yang diturunkan oleh Allah” ialah mengiktiraf Islam sebagai syariat Allah dan melaksanakan apa yang diperuntukkan dalam syariat. – Majalah Buhuth Islam, jilid pertama pada keluaran pertama pada tahun 1395 Hijriah yang dikeluarkan oleh Institusi Fatwa di Kerajaan Arab Saudi.
Syeikh Abdul Qadir ‘Audah menyebutkan :
“Sesungguhnya Islam mewajibkan manusia untuk mengikuti apa yang telah diturunkan oleh Allah dan mewajibkan mereka untuk melaksanakan hukum Allah tanpa ada campur aduk daripada hukum yang selainnya.” – kitab karangan beliau yang berjudul Al-Mal Wa Al-Hukm Fi Al-Islam
Firman Allah SWT :
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰلِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا
Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." - [Surah An-Nisa' 59]
Berdasarkan ayat di atas umat Islam wajib mentaati pemimpin mereka iaitu yang melaksanakan Islam serta mempertahankan dasar Islam. Hal ini demikian kerana pemimpin yang disebutkan di atas merujuk kepada pemimpin yang boleh ditaati. Maka pemimpin yang boleh ditaati adalah pemimpin itu juga mentaati Allah dan rasul, nescaya pemimpin tersebut melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah dan rasul secara penuh, dikira sebagai mentaati Allah dan rasul.
Firman Allah SWT :
وَأَنِ ٱحۡكُم بَیۡنَهُم بِمَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَاۤءَهُمۡ
Maksudnya :
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka.” - Surah al-Maidah : 49
Firman Allah SWT :
فَلَا وَرَبِّكَ لَا یُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ یُحَكِّمُوكَ فِیمَا شَجَرَ بَیۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا یَجِدُوا۟ فِیۤ أَنفُسِهِمۡ حَرَجࣰا مِّمَّا قَضَیۡتَ وَیُسَلِّمُوا۟ تَسۡلِیمࣰا
Maksudnya :
“Maka demi tuhanmu, mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak berasa berat hati dari apa yang telah engkau hukumkan dan menerima menerima keputusan tersebut dengan sepenuhnya.” - Surah al-Nisa' : 65
Abi Umamah Al-Bahili berkata Rasulullah SAW bersabda :
لَتَنْقُضَنَّ عُرَى الإسْلامِ عُرْوَةً عُروةً فَكُلَّما انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ الناسُ بالتي تَلِيها وَأَوَّلُهُنَّ نقضاً: الحكم، وآخِرُهُّن الصلاة
Maksudnya :
“Akan terlerai satu persatu ikatan-ikatan Islam, maka setiap kali terlerai satu ikatan maka akan berpaut pada ikatan yang seterusnya. Ikatan pertama yang akan terlerai ialah pemerintahan dan akhir sekali ialah solat.” – dalam Musnad Ahmad
Sayyid Qutb menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan thaghut ialah :
“Setiap perkara atau urusan yang tidak dibenarkan oleh Allah dan juga setiap hukum atau perundangan yang tidak mempunyai sandaran kepada syariat Allah.” – Tafsir Fi Zilal Al-Quran
Kewajipan Menentang Kemungkaran Dan Kezaliman
Ideologi-ideologi ciptaan barat yang menjadi penjajah ke atas syariat Islam melalui pemimpin yang zalim wajiblah ditentang. Tidak ada istilah yang ketiga daripada Islam dan thaghut sebagaimana yang telah disebut oleh Sayyid Qutb dalam kitab tafsir beliau. Maka sekiranya tidak dilaksanakan hukum Allah maka ia telah melaksanakan agenda taghut.
Dan hari ini thaghut yang berbentuk ideologi barat mestilah ditentang sehinggalah syariat Allah dapat dilaksanakan dengan menyeluruh. Tidak kira samada ideologi yang berbentuk liberalime, sekularisme, sosialisme, kapitalisme dan sebagainya.
Bahkan dalam negara Islam pemimpin yang tidak melaksanakan hukum Allah ia dikira zalim dan telah melakukan kemungkaran yang besar. Hal ini sekiranya pemimpin tersebut masih percaya dan iktikad bahawa hukum tersebut adalah diturunkan oleh Allah. Sekiranya ia telah menafikan hukum tersebut dengan manganggap ia bukanlah hukum Allah dan mempersendakannya maka ia telah pun dikira terkeluar daripada Islam.
Kewajipan menentang kemungkaran dan kezaliman ini jelas berdasarkan al-Quran, hadis dan ijma’ ulama. Hal ini demikian kerana mempertahankan dan melaksanakan syariat Allah secara menyeluruh merupakan kewajipan dan mengingkarinya merupakan satu kemungkaran dan kezaliman.
Firman Allah SWT :
كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ
Maksudnya :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi umah manusia kerana kamu menyeru kepada perkara yang baik dan mencegah sebarang kemungkaran serta bberiman kepada Allah.” - Surah Ali Imran : 110
Firmam Allah SWT :
لُعِنَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِیۤ إِسۡرَ ٰۤءِیلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِیسَى ٱبۡنِ مَرۡیَمَۚ ذَ ٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ یَعۡتَدُونَ * كَانُوا۟ لَا یَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرࣲ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُوا۟ یَفۡعَلُونَ
Maksudnya :
“Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat melalui lidah Nabi Daud dan Isa Ibnu Maryam. Yang demikian tersebut disebabkan mereka menderhaka dan melampaui batas. Mereka sentiasa tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka lakukan.” - Surah al-Maidah : 78 - 79
Daripada Abu Said Al-Khudri, Nabi SAW bersabda :
مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِه، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِلِسانِه، فَإن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِه، وذلك أَضْعَفُ الإِيْمان
Maksudnya :
“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran,maka wajib mengubahnya dengan menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”– riwayat Muslim
Justeru jelas kepada kita kewajipan dalam mencegah kemungkaran dan kezaliman di seluruh peringkat samada individu, masyarakat dan pemerintah. Hal ini demikian kerana dalam hadis tersebut menunjukkan lafaz umum dan tidak tertumpu kepada mana-mana pihak yang tertentu.
Bahkan Rasulullah SAW menggariskan cara pencegahan ke atas kemungkaran tersebut yang didapati. 3 peringkat tersebut adalah wajib dan berubah ke peringkat yang rendah apabila tidak ada kemampuan, bukan berdasarkan pilihan.
Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan dalam konteks mencegah kemungkaran, pihak yang menjalankan kewajipan mencegah tersebut menepati syarat 4 syarat iaitu :
1- Kemungkaran tersebut merupakan perkara haram yang disepakati. Tidak dinamakan kemungkaran melainkan ia adalah perkara yang haram. Seperti tidak melaksanakan hukum Allah, minum arak dan sebagainya. Tidak dinamakan perkara mungkin apabila ia merupakan perkara khilaf dari sudut furu’ kerana khilaf tersebut tidak haram.
2- Kemungkaran tersebut jelas berlaku di hadapan mata atau jika tidak, ia mempunyai bukti yang kukuh.
3- Dalam konteks mengubah melalui kuasa, maka hendaklah mempunyai kemampuan untuk melakukan pencegahan ke atas kemungkaran yang berlaku.
4- Yakin tidak akan berlaku kemungkaran yang lebih besar ekoran pencegahan yang dilakukan tersebut. Iaitu tidak mendatangkan kemungkaran yang lebih besar daripada kemungkaran yang sedia ada, secara yakin.
Kesimpulan dalam permasalahan penjajahan ke atas syariat Islam ini menjadi kewajipan yang besar kepada umat Islam untuk memastikan syariat Islam dapat dilaksanakan dengan sepenuh. Hal ini disebutkan oleh Imam Hassan al-Banna sebagai membebaskan negara daripada segala perkara thaghut iaitu ideologi ciptaan Barat serta pemerintah yang menjadi boneka kepada agenda barat kemudiannya mendirikan negara pentadbiran Islam di negara tersebut.
.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2UnvK5u
Comments
Post a Comment