ISLAM DAN POSISI DALAM PEMERINTAHAN

ISLAM DAN POSISI DALAM PEMERINTAHAN


▪️4 Jenis Gambaran Dalam al Quran

Pemerintahan di atas muka bumi ini Allah memberikan gambaran menelusuri kisah para Rasul yang diutuskan sebagai teladan dan pengajaran bagi umat manusia. Tidak semua Rasul diizinkan oleh Allah memiliki kuasa pemerintahan, malah ada di antara mereka yang diburu sehingga ke akhir hayar mereka.

Namun, ada juga kalangan sebahagian Rasul yang diberikan izin oleh Allah diberikan kuasa pemerintahan sama ada sebahagian atau penuh. Kedua-dua situasi sama ada dalam pemerintahan atau luar pemerintahan, ia menunjukkan bagaimana teladan yang perlu dipelajari oleh umat manusia kerana al Quran adalah pedoman bagi manusia sepanjang zaman bagi umat akhir zaman.

Di sinilah kita perlu memahami realiti kondisi kedudukan perjuangan Islam dalan kerajaan pemerintah semasa di tempat mereka secara realitistik agar tidak terpengaruh dengan sindiran sinis musuh yang mahu menggoyahkan pendirian ahli-ahli yang terlibat dengan perjuangan Islam.

Asasnya, 4 gambaran yang terdapat dalam al Quran ialah :

1. Berada di luar kerajaan pemerintah dan diburu seperti Nabi Isa.

2. Berada di luar kerajaan pemerintah namun ada ruang suara di dalamnya seperti Nabi Musa yang dibesarkan dalam istana Firaun.

3. Berada di dalam kerajaan pemerintah namun bukan keseluruhan kuasa tetapi hanya pada skop kerja kedudukan tertentu seperti Nabi Yusuf yang diberikan taklifan sebagai Menteri Perbendaharaan dalam kerajaan di Mesir.

4. Memegang kuasa penuh dalam kerajaan pemerintah seperti Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan begitu juga Nabi Muhammad SAW di zaman masing-masing.

Gambaran di atas jelas perbezaan keterlibatan perjuangan Islam yang pastinya adalah berbeza cara gerak gerinya namun masih atas dasar yang sama iaitu kepentingan Islam dan kemahuan melaksanakan sepenuhnya.

Gagal memahami perbezaan 4 gambaran ini, akan menyebabkan umat Islam keliru dan gopoh menyebabkan akhirnya sangka buruk berlaku terhadap perjuangan Islam.

▪️Political Will Membezakan Sikap Kerajaan Pemerintah

Dalam situasi realiti perjuangan Islam yang berada dalam kedudukan kerajaan pemerintah, maka ahli perjuangan Islam jangan gopoh. Dalam masa yang sama pimpinan kena terus kuat bekerja agar dilihat bekerja dan rakyat merasai impak kerja dilakukan.

Kadang kala ahli yang gopoh bertanya soalan seperti "kan dah berkuasa, bila nak laksana hudud?" Ini antara contoh soalan yang menggambarkan fahaman yang kurang mantap kerana tidak memahami realiti semasa keterbatasan perjuangan Islam dalam kerajaan pemerintah yang bukan sepenuhnya.

Jika ditanya, apa bezanya dengan kerajaan yang tidak laksanakan sebelum ini? Beza secara asasnya ialah kemahuan politik atau political will yang ada pada pemerintah semasa. Sudah pasti dengan pilitical will akan mencari jalan untuk memastikan pelaksanaannya. Sama ada dapat dilaksanakan secara kadar segera atau berperingkat.

Dan dalam konteks kenegaraan yang tertakluk kepada prosedur dan lunas perundangan memerlukan masa yang melibatkan pindaan Akta sebagai punca kuasa perundangan untuk dilaksanakan.

Justeru, isu pelaksanaan syariah (تنفيذ الشريعة) bergantung kepada gezet perundangan atau taqnin al-syariah (تقنين الشريعة). Dan untuk taqnin al-syariah akan boleh dikuatkuasakan dengan political will. Inilah bezanya.

▪️Pengukuhan Dan Kestabilan Jadi Aspek Terawal

Pemerintahan Rasulullah SAW menjadi teladan bagaimana strategi yang disusun dalam politik Islam menerusi kerajaan pemerintah yang dibentuk. Pengukuhan mendokong kuasa Islam dibina menerusi permulaan Baiah Aqabah 1 dan 2 sehingga berjayanya persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar serta membentuk kestabilan dengan perdamaian persaudaraan antara Aus dan Khazraj.

Inilah yang diungkap oleh Rasulullah SAW mengenai hadith yang berbunyi :

الأئمة من قريش

Maksudnya : Pemimpin dari kalangan Quraisya.

Ibn Khaldun menyatakan hadith di atas fokus kepada pengukuhan dan kestabilan kuasa politik tersebut menerusi dokongan yang kuat. Jika tidak, kerajaan tersebuh goyah dan mudah dikalahkan oleh musuh.

Apatah lagi dalam konteks negara kita dan negara yang mengamalkan sistem demokrasi maka soal majoriti adalah aspek penting. Kita tidak beriman dengan angka namun gelanggang demokrasi ialah soal angka. Maka pentingnya penyusunan bagaimana memperolehi majoriti dalam memenangi kerusi.

Jika menang sorak undi popular, namun masih belum memiliki majoriti maka tetap tidak dikira mendapat kelayakan memerintah. Namun bukanlah sehingga menggadaikan prinsip. Selama mana menjaga prinsip dan tidak bercanggah syariat maka perlumbaan mendapatakan sokongan majoriti adalah dibenarkan.

Dan hari ini kita lihat pembentukan kerajaan PN yang memiliki majoriti namun amat tipis pastinya di sana pentingnya fahaman berkenaan perjuangan Islam dalam memberikan fokus terawal :

1. Memperkukuh dan menjamin kestabilan menerusi perpaduan ummah.
2. Perbezaan kerjasama antara parti dalam kerajaan dengan lebih memfokus hal yang disepakati iaitu kepentingan Islam, ummah dan negara secara asas dan umum.
3. Mengekang kuasa politik lawan yang telah terbukti menyebabkan tekanan dan ancaman kepada agama dan ummah.

Dalam masa yang sama, ruang dan peluang yang berpotensi dan memungkinkan perubahan sedikit demi sedikit terus dilakukan secara bertahap dan berperingkat sebagaimana yang boleh kita lihat pada jawapan YB Ahmad Marzuk berkenaan jawapan lisan terhadap soalan perkembangan RUU. Dan begitu juga dengan hal-hal lain.

Di sini memerlukan kefahaman selok belok dalam pemerintahan agar tidak gopoh atau termakan polemik keliru yang dilontarkan oleh musuh lawan. Selok belok pemerintahan di Malaysia dengan sistem federalisme, prosedur RUU dalam Sidang Dewan Rakyat, seni berinteraksi dengan Institusi Diraja serta had sesuatu bidang kuasa kementerian, PBT dan lain-lain lagi.

▪️Walau Bukan Dominan, Namun Perlu Berpotensi

Keberadaan perjuangan Islam dalam kerajaan pemerintah sekalipun bukan dominan dalam memiliki suara eksekutif pemutus namun ia bersifat berpotensi. Ini boleh dirujuk menerusi peranan Nabi Yusuf dalam kerajaan Mesir.

Peranan Nabi Yusuf adalah berpotensi iaitu mendapat kepercayaan dari sang Penguasa utama dan dirasai hasil kerjanya ke atas rakyat di bawah kerajaan tersebut.

Inilah menjadi fokus pada situasi perjuangan Islam dalam kedudukan kerajaan pemerintah yang tidak dominan. Ada had dan limitasi kuasa namun perlu dilihat berperanan pada skop kerja serta menjadi "pihak penting" dalam kerajaan sedia ada.

Maka dalam situasi yang sama ini, apatah lagi dalam konteks gelanggang demokrasi pilihanraya maka penting untuk ahli perjuangan Islam untuk :

1. Tidak gopoh dan terus membantu pimpinan dari perjuangan Islam.
2. Membantu menularkan promosi gerak kerja pimpinan perjuangan Islam agar dirasai oleh rakyat umum.
3. Menggunakan peluang pada posisi yang ada membuktikan perjuangan Islam bersedia memerintah sepenuhnya dan terbukti lebih baik.

Pentingnya promosi "watak" yang membawa prinsip perjuangan Islam adalah langkah pertama sebagaimana Rasulullah SAW sejak di Mekah dikenali dengan gelaran al-Amin sekalipun belum berkuasa lagi. Sebab itu, walaupun Rasulullah SAW sudah berhijrah ke Madinah, bukan lagi di Mekah, namun tetapi dimusuhi dan diperangi oleh musyrikin Mekah kerana watak Baginda SAW tetap berpengaruh sekalipun keberadaan Baginda SAW ketika di Mekah belum lagi diberi izin oleh Allah untuk berkuasa memerintah.

Jadi, fahamilah situasi gambaran semasa agar tindakan kita membantu dan bukannya membebani. Membaca al Quran adalah tuntutan manakala memahaminya dengan sahih adalah satu kewajipan.

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : http://bit.ly/38deXb9

Comments