ISLAM DAN REAKSI SENYUM

 ISLAM DAN REAKSI SENYUM



▪️Senyuman Dapat Pahala Sedekah


Di dalam Islam, konsep ganjaran pahala sangat luas kerana limpahan kurniaan Allah terlalu banyak dan melimpah ruah. Apa sahaja kebaikan dipandang remeh oleh manusia ia tetap bernilai di sisi Islam. Sehinggakan dalam reaksi senyuman turut mendapat pahala sedekah.


Senyuman adalah fitrah manusia di kala ceria dan gembira. Ia petanda keluatan seseorang di kala sedih namun masih tersenyum. Ia juga menjadi penawar kepada seseorang yang berada dalam keadaan sulit dan tertekan. Sebab itu, besar makna di sebalik senyuman tersebut, maka tidak pelik galakan senyum di dalam Islam sehingga ditawarkan ganjaran pahala sedekah.


Dari Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,


تَبَسُّمُكَ فِى وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ


“Senyummu di hadapan saudaramu (sesama muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu“ - riwayat al-Tirmizi dan Ibn Hibban


▪️Seyumlah Untuk Menggembirakan Orang Lain


Seyuman salah satu tindakan yang mampu membuat manusia rasa gembira. Menjadikan senyuman termasuk dalam umum tindakan yang berkaitan ibadah yang memasukkan kegembiraan di dalam hati manusia yang turut menjadi ibadah yang hebat. Ini kerana amalan sebegini ada dinyatakan dalam hadith bahawa ia merupakan amalan yang disukai oleh Allah selepas amalan-amalan fardhu.


Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ


Maksudnya :

Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya, sedangkan amal yang paling dicintai oleh Allah adalah kebahagiaan yang engkau diberikan kepada diri seorang muslim. - riwayat al-Tabrani.


Jadi, senyumlah bila berhadapan atau berjumpa dengan manusia agar mereka merasa gembira. Senyumlah, kerana ia merupakan amalan yang hebat. Mengapa susah untuk senyum? Adakah kita tidak mahu memperolehi pahala? Latih diri untuk kita berusaha menggembirakan orang lain. Malahan perbuatan ini sebagai tanda kita mencari pengampunan darinya dengan amalan kita.


Sayidina Hasan bin Ali meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


 إِنَّ مِنْ مُوْجِبَاتِ الْمَغْفِرَةِ إِدْخَالُ السًّرُوْرِ عَلَى أَخِيْكَ


Maksudnya :

“Rasulullah bersabda: “Di antara hal yang mendatangkan ampunan Allah, adalah memberi rasa bahagia kepada saudaramu” riwayat al-Tabrani


▪️Sentiasa Senyum Adalah Sunnah


Rasulullah SAW sentiasa menyenangkan dan menggembirakan sahabat Baginda SAW. Baginda SAW adalah insan yang sangat mesra didekati dan dalam masa yang sama memiliki haibah yang dihormati.


Malah karakter Rasulullah SAW dalam keadaan yang biasa (bukan di medan perang atau berhadapan musuh) adalah banyak senyum.


Abdullah bin Al Harits bin Jaz`i meriwayatkan bahawa :


مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَكْثَرَ تَبَسُّمًا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya :

“Aku tidak pernah melihat seseorang yang paling banyak senyumannya selain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.” - riwayat al-Tirmizi


Ummi Darda’ meriwayatkan bahawa :


كَانَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَا يُحَدِّثُ بِحَدِيثٍ إِلَّا تَبَسَّمَ فِيهِ فَقُلْتُ لَهُ إِنِّي أَخْشَى أَنْ يُحَمِّقَكَ النَّاسُ فَقَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُحَدِّثُ بِحَدِيثٍ إِلَّا تَبَسَّمَ

 


Maksudnya :

Adalah Abu Darda tidak membicarakan suatu pembicaraan kecuali sambil tersenyum. Aku berkata kepadanya; “Aku khawatir orang-orang akan menganggap kamu orang pandir.” Abu Darda` berkata; “Ketahuilah bahwa tidaklah Rasulullah SAW membicarakan sesuatu kecuali beliau tersenyum.“ - riwayat Ahmad


▪️Senyuman Adalah Perkara Baik, Jangan Diremehkan


Dengan senyuman, manusia boleh termotivasi mendapat rangsangan dan kekuatan untum bangkit melakukan sesuatu. Dari keadaan duka kembali positif melakukan perancangan sesuatu bagi mencari peluang kejayaan. Malahan senyuman secara psikologi meringankan bebanam yang terpikul kerana psikologi yang ceria secara langsung memberikan tambahan tenaga kepada seseorang.


Sehubungan itu, tidak pelik Islam mendidik umatnya untuk sentiasa ceria, tenang dan juga senyum agar termotivasi dan memotivasi orang lain sama. Malahan terdapat teguran dari Rasulullah SAW kepada mereka yang cuba meremehkan perkara kebaikan termasuk reaksi senyuman.


Jabir bin Sulaim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


وَلاَ تَحْقِرَنَّ شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ وَأَنْ تُكَلِّمَ أَخَاكَ وَأَنْتَ مُنْبَسِطٌ إِلَيْهِ وَجْهُكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنَ الْمَعْرُوفِ


Maksudnya :

“Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun walau hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan tersebut adalah bagian dari kebajikan.” - riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi


Abu Dzar juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ


Maksudnya :

“Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun juga walau engkau bertemu saudaramu dengan wajah berseri” - riwayat Muslim


▪️Senyumlah! Jaga Niat Dan Tepat Pada Masanya


Dalam mengamalkan reaksi sentiasa senyum, perlu jaga 2 perkara iaitu :


1. Niat yang betul. Jangan berniat jahat disebalik senyuman seperti senyuman sinis mengejek-ejek.


2. Tepat pada masanya. Ini kerana ada masa manusia berada dalam situasi berbeza yang memerlukan reaksi yang beza. Seperti ketika serius berhadapab musuh dan kematian menerima sesuatu berita yang menyedihkan.


Justeru, menjaga niat dan tepat pada masanya, senyuman juga menjadi penarik dalam berdakwah dan mengeratkan hubungan persaudaraan yang terjalin. Maka senyumlah!


Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa :


ما رآني رسول الله صلى الله عليه وسلم منذ أسلمت إلا تبسم في وجهي


Maksudnya :

Rasulullah SAW tidak pernah melihat aku semenjak aku memeluk Islam melainkan Baginda SAW tersenyum ke wajahku. - riwayat al-Bukhari


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman


Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2xga0A1

Comments