ISLAM DAN SERANGAN PEMIKIRAN

ISLAM DAN SERANGAN PEMIKIRAN





▪️
Serangan Pemikiran Bagi Merobek Syariat Islam

Al Quran dan al-Sunnah menjadi pegangan asas kepada umat Islam. Ia sumber utama dalam merangka kehidupan yang berasaskan syariat Islam dalam halatuju pengabdian diri kepada Allah serta mengurus tadbir bumi.

Al-Quran sendiri memiliki keunikan dan keistimewaan yang tersendiri dan tiada tolok bandingnya. Ia merupakan mukjizat yang kekal sepanjang zaman sekalipun musuh Islam cuba merubah dan merosakkan intipati kandungannya menurut nafsu mereka. Namun Allah memelihara al-Quran yang menjadi sumber asas kepada syariat Islam terus kekal dan relevan.


Firman Allah SWT :
إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ

Maksudnya :
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." - Surah al-Hijr : 9

Menerusi sumber wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah, diterangkan syariat Islam yang mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang menjadikan Islam berbeza dengan ciptaan ideologi Barat yang menyerang pemikiran umat Islam untuk merosakkannya. Islam berasaskan wahyu manakala ideologi Barat ciptaan nafsu manusia.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam kitabnya "Bagaimana Islam Memerintah Negara?" menyatakan keistimewaan syariat Islam iaitu :

i. Rabbani : mempunyai hubungan keimanan kepada Tuhan.
ii. Kemanusiaan sejagat : tidak bersifat asabiyyah dan nasiolisme yang dilarang.
iii. Keadilan mutlak : tidak kepentingan kronisme.
iv. Teguh dari segi prinsip dan matlamat , anjal dari segi cabang dan cara perlaksanaannya.
v. Kamil dan mutakamil : syumuliah Islam yang merangkumi semua aspek.

Serangan pemikiran ke atas umat Islam telah berlaku sejak awal dalam salah tafsir yang menyeleweng terhadap nas al-Quran dan al-Sunnah sehingga merosakkan malah menyesatkan. Inilah yang cabaran yang berlaku di zaman awal iaitu selepas kewafatan Baginda SAW akan perpecahan umat antaranya :

i. Khawarij : yang menolak majlis tahkim atas alasan hujah yanh menyeleweng إن الحكم إلا لله serta mengkafirkan secara ekstreme akan pelaku maksiat.
ii. Golongan yang enggan membayar zakat : kerana hujah menyeleweng akan nas menyuruh kutip zakat hanya khusus ke atas Nabi SAW dengan kalimah مفرد iaitu خذ من أموالهم صدقة..
iii. Jabariyyah : menyeleweng tafsir pada memahami qadr menerusi nas antaranya إن الله على كل شيء قدير sehingga beranggap manusia ini dipaksa tanpa ada pilihan dan kurniaan usaha.
iv. Qadariyyah : menyeleweng tafsir pada memahami qadr menerusi nas antaranya لها ما كسبت ولكم ما كسبتم sehingga beranggapan semua manusia tentukan tanpa ada hubung kait dengan kekuasaan Allah.

▪️
Serangan Pemikiran Bagi Melondehkan Akal Manusia

Akal dianugerahkan oleh Allah agar menjadi alat manusia mencari kebenaran dan analisis maklumat agar mampu membezakan hak dan batil berpandukan wahyu. Sebab itu akal termasuk dalam dharuriyat al-khams yang wajib dipelihara dan dijaga.

Dr Ziyad Muhammad Hamidan di dalam kitabnya "Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah" menyatakan antara penjagaan akal ialah :

1. Menuntut ilmu.
2. Tidak meminum arak.
3. Tidak mengambil maklumat dan info yang menyesatkan.
4. Menolak sebarang bentuk keraguan dan syubhat atas islam.

Cabaran ke atas akal ialah doktrin liberalisme yang mengajak manusia antaranya untuk kebebasan berfikir. Slogan kebebasan ini sehingga tahap cara berfikir manusia :

1. Dilondehkan dari keterikatan displin dan manhaj ulamak dalam berijtihad.
2. Menempatkan waqi' di tempat utama dalam penentuan keutamaan hukum bukannya soal wahyu yang menekannya iman dan pengabdian.
3. Setiap manusia boleh berijtihad walau tanpa displin ilmu yang sahih.

Imam al-Ghazali di dalam kitabnya "Minhaj al-Abidin" di dalam bab ilmu dan makrifat menyatakan wajib bagi manusia mengenali Allah dan mentauhidkan-Nya dengan qat'i iaitu tanpa sebarang keraguan walau sedikit.

Selain liberalisme, doktrin orientalisme juga ancaman yang membawa keraguan ummah kepada agama Islam secara halus. Menisbahkan kepada Islam tetapi menimbulkan keraguan ke dalam Islam.

Mahmud Hamdi Zaqzuq di dalam kitabnya "Al-Istisyraq wal Khalfiah al-Fikriah Lissiro' al-Khadori" menyatakan orientalis adalah mereka yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan jarum mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam tentang agama mereka dan golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan gereja. Terdapat orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya. Keadaan ini banyak berlaku ketika zaman penjajahan ketika emperialisme British, Belanda dan sebagainya.

Beliau juga membahagikan kumpulan orientalis kepada 5 iaitu :

1. Kumpulan pengkaji yang suka mencari kisah ganjil, pelik dan dongeng. Jenis ini banyak mereka cipta kisah bohong dan fitnah terhadap Islam. Muncul dengan pesat di awal kemunculan gerakan Orientalis, bagaimanapun semakin berkurangan dari masa ke semasa.
2. Kumpulan yang meluangkan sepenuh masanya dalam kajian Islam dan Arab dalam usaha membekalkan maklumat kepada Barat dari sudut Ekonomi dan Politik dan Penjajahan baru.
3. Kumpulan yang sangat benci dan bermusuhan dengan Islam lalu sengaja menutup kebenaran dalam tulisan-tulisan mereka.
4. Kumpulan yang memperkenalkan diri mereka sebagai pengkaji akademik yang tulus ikhlas dan professional, bagaimanapun sebenarnya mencari kelemahan Islam serta meragukan kesahihan Risalah Islam, Aqidah Tauhid, kesahihan Al-Quran, Hadith dan lain-lain.
5. Kumpulan yang benar-benar membuat kajian secara ilmiah dan professional tanpa sebarang sentimen agama, yang mana setengahnya membawa mereka kepada Islam.

Antara bentuk penulisan yang terpengaruh dengan doktrin orientalisme ialah :

1. Prof. Ahmad Amin : - Kitabnya bernama ‘Fajr al-Islam' · Di antara dakwaan di dalam buku ini kononnya Abu Hurairah r.a. lemah dalam meriwayatkan Hadith, Imam Abu Hanifah tidak mempunyai Hadith, menuduh Ibn Mubarak lalai, mempertikaikan keadilan Sahabat Nabi, menimbulkan keraguan terhadap Imam Bukhari.
2. Ismail Adham :- Tulisan mengenai Sunnah (tahun 1353 H) . Mengisytiharkan hadith sahih dari kitab-kitab sunan tidak sah, serta menuduh ianya mawdu' (rekaan).
3. Prof. Ali Hasbullah:- Buku "Usul At-Tasri' Al-Islami" yang Mendakwa maslahat perlu diutamakan apabila bertembung dengan Nusus Quran & Sunnah yang Qat'ie.
4. Syeikh Ali Abd Raziq:- kitabnya "Al-Islam wa Usul al-Hukm" (Islam dan Usul Perundangan tahun 1925 ) yang mengasingkan politik dan negara dengan Islam.
5. Kumpulan Sisters In Islam (Malaysia) :- sering mendapat bahan kajian ilmiah yang boleh meragukan tentang Islam dari sumber-sumber dari Orientalis Barat.
6. Astora Jabat (Malaysia) Dalam kebanyakan tulisannya juga pernah mengaku dalam satu forum terbuka bahawa dia sengaja membawa isu-isu pelik berkaitan Islam untuk melariskan majalah yang dia menjadi pengarangnya.
7. Dr. Kassim Ahmad ; Semua hal berkaitan hadith. Menafikan hadith secara total. Pemimpin gerakan Anti Hadith Malaysia.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika membahaskan Titah Diraja di dalam Dewan Rakyat pada Mac 2016 ada menyatakan :

"Seringkali golongan orientalis menggunakan hudud sebagai senjata menyerang Islam, hukum potong tangan dijadikan hujah untuk menakutkan orang bukan Islam."

▪️
Serangan Pemikiran Bagi Memburukkan Perjuangan Islam

Perjuangan Islam dalam mendaulatkan agama Allah merupakan jihad yang besar dalam kehidupan di dunia. Ia menjadi kewajipan bagi umat Islam kerana kita tidak diperintahkan hanya sekadar menjadi baik tetapi diperintahkan juga untuk melakukan kerja-kerja islah bagi memperelokkan kehidupan masyarakat sehingga negara menerusi panduan Islam.

Penentangan terhadap perjuangan Islam ini merupakan ketetapan ujian ke atas golongan beriman yang telah diperingatkan oleh Allah SWT agar orang beriman waspada dan istiqamah dalam menghadapi tekanan.

Firman Allah SWT :

وَكَذَ ٰ⁠لِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِیٍّ عَدُوࣰّا شَیَـٰطِینَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ یُوحِی بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضࣲ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورࣰاۚ وَلَوۡ شَاۤءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا یَفۡتَرُونَ

Maksudnya :
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu." - [Surah Al-An'am 112]

Firman Allah SWT juga :

وَكَذَ ٰ⁠لِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِیٍّ عَدُوࣰّا مِّنَ ٱلۡمُجۡرِمِینَۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ هَادِیࣰا وَنَصِیرࣰا

Maksudnya :
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka)." - [Surah Al-Furqan 31]

Musuh akan memburukkan perjuangan Islam seperti :

1. Terrorist.
2. Ektrimis.
3. Jumud.

Tujuannya tidak lain tidak bukan agar wujudnya "Islam Fobia" dari sudut dalaman dan luaran. Sudut dalaman akan menyebabkan umat Islam meninggalkan ajaran Islam kerana bimbang dilihat ektrimis. Manakala sudut luaran pula orang takut dekati Islam kerana imej Islam yang negatif pada sangkaan mereka.

Malah musuh akan terus memburukkan individu atau tokoh yang terlibat dalam perjuangan Islam. Serangan pemikiran tersebut adalah bagi membunuh karakter pejuang Islam yang akhirnya memburuk perjuangan Islam yang dibawa.

Yang peliknya tokoh pejuang dikecam namun bapa segala pengganas dan penjahat iaitu Yahudi Zionis tidak diusik langsung!

Inilah yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW bahawa Islam akan dilihat asing iaitu pelik. Perjuangan Islam dilihat pelik, asing dan negatif.

Hadith dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda :

بَدَأَ الإِسْلامُ غَرِيبًا ، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Maksudnya :
“Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing” - riwayat Muslim

Akhirnya naratif serangan pemikiran terhadap kumpulan yang membawa perjuangan Islam dilihat pada imej buruk dan jahat. Musuh yang sebenarnya iaitu Zahudi Zionis tidak dianggap lagi ancaman. Namun yang menjadi "ancaman" dunia ialah perjuangan Islam.

Lantaran itu, musuh mempercaturkan umat Islam berpecah mengikut sektarian mazhab agar umat Islam tidak mampu bersatu dan anti kepada perjuangan Islam. Disebabkan itulah, ketegasan Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada tahun 2017 di Tehran bagi menyedarkan dunia Islam mengenai hal ini menerusi pidatonya yang bertajuk الحرب لمصلحة من؟ (peperangan yang berlaku bagi maslahat siapa)


.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2xtDSIL

Comments