ISLAM DAN SIFAT MALU
▪️1 Cabang Dari Iman
Islam meletakkan sifat malu sebagai sifat yang tinggi kedudukannya. Ia merupakan salah satu dari cabang iman. Makna kata sifat malu bukanlah hanya bersifat kebiasaan sesuatu bangsa namun ia sifta yang didik oleh Islam ke dalam diri umatnya kerana berkaitan dengan iman.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً, فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ, وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ, وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ
Maksudnya :
“Iman itu ada tujuh puluh sekian atau enam puluh sekian cabang. Maka iman yang paling utama adalah ucapan ‘Laa Ilaaha Illallaah’ dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan. Dan malu adalah cabang dari Iman.” - riwayat Muslim
Secara fitrahnya, sifat malu sudah pun ada dalam diri manusia. Malu yanh didorong dan menjadi cabang dari iman ialah apabila :
1. Sifat malu menegah dirinya dari melakukan maksiat dan dosa sama ada sendirian secara tertutup apatah lagi secara terbuka.
2. Sifat malu yang menghalang dirinya dari memiliki perasaan mazmudah yang mahu menunjuk-nunjuk demi pandangan manusia sehingga menyebabkan meninggalkan pandangan dari Allah.
3. Sifat malu menjadikan ia tidak membuka aurat kepada mereka yang diharamkan melihatnya.
▪️Malu Tidak Bertempat Menghalang Dari Mendapat Ilmu
Seorang Tabiin iaitu Mujahid menegaskan bahawa :
لَا يَنَالُ الْعِلْمَ حَيِيٌّ وَلَا مُسْتَكْبِرٌ
Maksudnya:
“Ilmu tidak akan diperolehi bagi orang malu dan juga orang yang sombong.”
Sifat malu yang tidak bertempat bukanlah ajaran dari Islam. Malu tidak bertempat kesannya tidak mendapat ilmu kerana sofat malu ilmu menghalang dirinya dari :
1. Bertanya untuk mendapatkan jawapan.
2. Melatih dari mencuba mendapatkan jawapan.
3. Duduk di hadapan dalam kelas pengajian.
4. Menghadiri kelas agar tidak diketahui oleh guru.
5. Menjadikan diri terhalang dari komunikasi dengan guru.
Wanita kalangan Ansar dipuji kerana sifat malu yang ada dalam diri mereka tidak menjadikan mereka "malu" dari mendalami ilmu agama.
Sayidatina Aisyah berkata :
نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الأَنْصَارِ لَمْ يَمْنَعْهُنَّ الْحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّينِ
Maksudnya :
Sebaik-baik wanita ialah wanita kaum Ansar, perasaan malu tidak membataskan mereka untuk mendalami ilmu agama. - riwayat al-Bukhari
▪️Perisai Dari Kerosakan Hidup
Sifat malu merupakan perisai manusia dari melakukan maksiat dan perbuatan yang merosakkan. Tanpa sifat malu, manusia akan buat apa sahaja ya g diingini. Jika sudah hilang sifat malu kepada Allah dan ditambah lagi hilang juga malu kepada manusia, maka manusia akan rosak dan merosakkan. Ia tidak akan peduli melainkan hanya keinginan nafsunya dicapai.
Jika manusia hilang malu kepada Allah namun masih ada sifat malu kepada manusia, tetap akan berlaku kerosakan. Manusia akan berpura-pura di hadapan manusia namun melakukan maksiat di saat ketiadaan manusia sekelilingnya.
Mesti tanam sifat malu kepada Allah dan mendorong ia juga bersifat malu kepada manusia sekeliling agar dia tidak melakukan maksiat atau perbuatan merosakkan sama ada di kala sendirian atau terang-terangan di hadapan manusia.
Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al Anshary Al Badry meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya :
Sesungguhnya ungkapan yang telah dikenal orang-orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau suka. riwayat al-Bukhari
▪️Malulah Kepada Allah, Mencegah Dari Maksiat
Ibn Mas'ud meriwayatkab bahawa Rasulullah SAW bersabda :
استحيوا من الله حق الحياء . قالوا: إنا نستحيي يا رسول الله. قال: « ليس ذلكم. ولكن من استحيا من الله حق الحياء فليحفظ الرأس وما وعى، وليحفظ البطن وما حوى، وليذكر الموت والبلى. ومن أراد الآخرة ترك زينة الدنيا، فمن فعل ذلك فقد استحيا من الله حق الحياء
Maksudnya :
“Malulah kalian kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya” Para sahabat berkata; “Sungguh kami malu (kepada-Nya) wahai Rasulullah” Beliau bersabda; “Bukan itu, orang yang malu kepada Allah dengan sebenarnya hendaknya menjaga kepala dan yang berada di sekitar kepala; menjaga perut dan apa saja yang masuk ke perut; menjaga kemaluan, dua tangan, dan dua kaki. Dan hendaklah ia mengingat mati dan kehancuran. Barangsiapa yang menginginkan akhirat, niscaya ia meninggalkan perhiasan hidup di dunia dan lebih mementingkan akhirat dari pada dunia. Barangsiapa yang melakukan hal tersebut, maka sungguh ia telah malu kepada Allah dengan sebenarnya.” - riwayat al-Tirmizi
Tanda malu yang sebenar ialah menjaga diri dari melakukan maksiat. Ini kerana malu bukan hanya bermaksud menutup muka dari kantoi diketahui oleh manusia sahaja. Ini kerana Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap apa yang kita lakukan.
Malu yang mencegah diri dari maksiat inilah kehendak sebenar dari sifat malu. Inilah sifat malu yang menjadi satu cabang dari iman. Kesilapan memahami sifat malu yang sebenar menjadi manusia hanya malu pada manusia, akhirnya tanpa manusia di sekeliling, maksiat tetap dilakukan secara sendirian dan tersembunyi.
▪️Sifat Jahiliyyah Tanda Hilangnya Sifat Malu
Apa sahaja kelakuan jahiliyyah iaitu yang bertentangan dengan Islam menandakan gaya hidup yang tidak memiliki sifat malu. Sama ada pada penampilan, pemakaian, pergaulan dan apa sahaja yang kembalikan manusia kepada cara hidup jahiliyyah maka ia adalah malapetaka kerana sifat malu sudah hilang, dan tiada nilainya.
Gambaran akhir zaman bagaimana Rasulullah SAW memperingati pemakaian kaum wanita yang seakan telanjang kerana ia diancam sebagai salah satu dari dua golongan yang diazab dalam neraka.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ
Maksudnya :
dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya (mengoda lelaki ke arah melakukan zina). - riwayat Muslim
▪️Tercabut Sifat Malu, Hilang Amanah, Berlaku Kerosakan
Kerosakan dalam kehidupan di dunia berpunca antaranya apabila manusia sudah tercabut dari mereka sifat malu. Ini kerana tiada apa lagi yang boleh menegahnya. Lantas, manusia akan bertindak seumpama haiwan yang hanya mahu memuaskan nafsu sahaja.
Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُهْلِكَ عَبْدًا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ فَإِذَا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا مَقِيتًا مُمَقَّتًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا مَقِيتًا مُمَقَّتًا نُزِعَتْ مِنْهُ الْأَمَانَةُ فَإِذَا نُزِعَتْ مِنْهُ الْأَمَانَةُ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا خَائِنًا مُخَوَّنًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا خَائِنًا مُخَوَّنًا نُزِعَتْ مِنْهُ الرَّحْمَةُ فَإِذَا نُزِعَتْ مِنْهُ الرَّحْمَةُ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا رَجِيمًا مُلَعَّنًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا رَجِيمًا مُلَعَّنًا نُزِعَتْ مِنْهُ رِبْقَةُ الْإِسْلَامِ
Maksudnya :
"Apabila Allah SWT hendak membinasakan seorang hamba maka Dia akan mencabut rasa malu darinya, apabila rasa malu sudah dicabut darinya maka kamu akan mendapatinya dalam keadaan sangat dibenci. Jika kamu tidak mendapatinya melainkan dalam keadaan sangat dibenci, maka akan dicabut amanah darinya, apabila amanah telah dicabut darinya, maka kamu tidak mendapatinya kecuali dalam keadaan menipu dan tertipu. Apabila kamu tidak menjumpainya melainkan dalam keadaan menipu dan tertipu, maka akan dicabut darinya sifat kasih sayang, dan apabila dicabut darinya kasih sayang, kamu tidak akan menjumpainya kecuali dalam keadaan terlaknat lagi terusir, dan apabila kamu tidak menjumpainya melainkan dalam keadaan terlaknat lagi terusir, maka akan dicabut darinya ikatan Islam." - riwayat Ibn Majah
▪️Sifat Malu Akan Membawa Kebaikan Dunia Dan Akhirat
Dunia akhir zaman dan dunia zaman terbuka ini antara penekanan utama ialah mesti mendidik dan menanam sifat malu dalam setiap diri manusia khususnya umat Islam. Tanpa sifar malu, perkara aib mudah sahaja didedahkan. Masalah dalaman menjadi perbualan terbuka oleh ramai pihak.
Bagi memastikan sifat malu dididik, umat Islam mesti cerdik menilai medium agar tidak bermudah-mudah mendedahkan sesuatu yang dilarang oleh Syarak iaitu :
1. Mendedahkan aurat.
2. Menjatuh maruah dan tidak sopan.
3. Mewujudkan suasana fitnah bagi menjatuhkan seseorang yang tidak bersalah.
4. Memperagakan lenggok tubuh dan mengundang fitnah.
Justeru, Islam menegaskan bahawa sifat malu akan mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Semaikan sifat malu dan bersifat dengan malu pada tempatnya yang betul agar memelihara agama, maruah dan ummah.
Imran bin Hushain meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الحياء لا يأتي إلا بخير
Maksudnya :
”Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan kecuali kebaikan.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam hadith yang lain Baginda SAW bersabda:
الحياء كله خير
Maksudnya :
”Sifat malu adalah baik semuanya.” - riwayat Muslim
.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2y6DuA8
Comments
Post a Comment