ISLAM DAN WAKTU SUBUH

ISLAM DAN WAKTU SUBUH


▪️Waktu Subuh dan Fajar

Perkataan subuh dan fajar memberikan makna yang sama, makna yang satu. Tiada beza antara keduanya kerana apa yang dikehendaki adalah sama. Jika disebut solat subuh maka ia turut bermaksud solat waktu fajar. Begitulah sebaliknya.

Berkata Imam al-Syafi'i di dalam kitab "al-Umm" :

وقال صلى الله عليه وسلم: «من أدرك ركعة من الصبح»، والصبح: الفجر؛ فلها اسمان: الصبح والفجر، لا أحب أن تسمى إلا بأحدهما

Maksudnya :
"Dan bersabda Rasulullah SAW (menerusi satu hadith) : "sesapa yang mendapatkan satu rakaan dari subuh". Dan subuh itu ialah fajar. Baginya dua nama iaitu subuh dan fajar. Aku tidak suka untuk menamakan kecuali salah satu dengannya."

Dan berkata al-Hitob al-Ru'aini al-Maliki di dalam kitabnya "Mawahib al-Jalil" berkenaan waktu subuh bahawa :

ولها أسماء، منها: صلاة الصبح؛ لوجوبها حينئذٍ، والصبح والصباح أول النهار... وتُسمى: صلاة الفجر؛ لوجوبها عند ظهوره

Maksudnya :
"Baginya (solat Subuh) beberapa nama. Di antaranya solat Subuh kerana diwajibkan pada ketika itu (waktu Subuh). Dan kalimah الصبح dan الصباح adalah awal pagi. Dan dinamakan juga solat Fajar kerana diwajibkan solat ketika jelas waktunya (fajar atau subuh).

Maka apabila disebut subuh atau fajar dalam nas al Quran atau hadith maka ia merujuk makna yang sama, tiada beza antara keduanya. Sebagaimana yang melibatkan hukum berkaitan solat Subuh dan bermula waktu berpuasa.

▪️Perkataan Subuh Dalam al-Quran

Perkataan yang merujuk waktu Subuh disebut beberapa tempat di dalam al-Quran. Ia sama ada dengan perkataan Subuh atau perkataan Fajar serta yang merujuk kepada solat awal pagi.

Bagi perkataan Subuh yang disebutkan secara zahir antaranya ialah :

1. Ayat ke 96 Surah al-An'am :

فَالِقُ ٱلۡإِصۡبَاحِ وَجَعَلَ ٱلَّیۡلَ سَكَنࣰا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ حُسۡبَانࣰاۚ ذَ ٰ⁠لِكَ تَقۡدِیرُ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡعَلِیمِ

Maksudnya :
"Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui."

2. Ayat ke 81 Surah Hud :

إِنَّ مَوۡعِدَهُمُ ٱلصُّبۡحُۚ أَلَیۡسَ ٱلصُّبۡحُ بِقَرِیبࣲ

Maksudnya :
"Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?"

3. Ayat ke 18 Surah al-Takwir :

وَٱلصُّبۡحِ إِذَا تَنَفَّسَ
Maksudnya :
"Dan siang, apabila ia mulai terang"

4. Ayat ke 3 Surah al-'Adiyat :

فَٱلۡمُغِیرَ ٰ⁠تِ صُبۡحࣰا
Maksudnya :
"Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh"

Bagi perkataan fajar yang disebutkan merujuk waktu Subuh pula antaranya ialah :

1. Ayat ke 78 Surah al-Isra' :

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمۡسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّیۡلِ وَقُرۡءَانَ ٱلۡفَجۡرِۖ إِنَّ قُرۡءَانَ ٱلۡفَجۡرِ كَانَ مَشۡهُودࣰا

Maksudnya :
"Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya)."

2. Ayat ke 58 Surah al-Nur :

ٰ⁠ مِّن قَبۡلِ صَلَوٰةِ ٱلۡفَجۡرِ وَحِینَ تَضَعُونَ ثِیَابَكُم مِّنَ ٱلظَّهِیرَةِ وَمِنۢ بَعۡدِ صَلَوٰةِ ٱلۡعِشَاۤءِۚ

Maksudnya :
".. sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak.."

3. Ayat pertama Surah al-Fajr :

وَٱلۡفَجۡرِ * وَلَیَالٍ عَشۡرࣲ *

Maksudnya :
"Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)."

4. Ayat ke 5 Surah al-Qadr :

سَلَـٰمٌ هِیَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ

Maksudnya :
"Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Ada kala penggunaan al-ghadah (الغداة) juga memberikan maksud solat Subuh walaupun dari sudut bahasa ia bermaksud waktu di antara fajar dan terbitnya matahari.

Riwayat Anas bin Sirin berkata, Aku bertanya kepada Ibnu 'Umar :

أَرَأَيْتَ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ أُطِيلُ فِيهِمَا الْقِرَاءَةَ فَقَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى وَيُوتِرُ بِرَكْعَةٍ وَيُصَلِّي الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ وَكَأَنَّ الْأَذَانَ بِأُذُنَيْهِ

Maksudnya :
"Apakah solat dua rakaat sebelum solat Fajar bacaannya dipanjangkan?" Maka dia menjawab, "Nabi SAW melaksanakan solat malam dua rakaat dua rakaat lalu witir dengan satu rakaat, dan Baginda mengerjakan solat dua rakaat sebelum melaksanakan solat Fajar, seakan adzan ada di sisi telinganya." - riwayat al-Bukhari

▪️Kelebihan Solat Subuh Dan Berkaitannya

Solat Subuh di antara salah satu waktu solat fardhu yang lima. Kesemuanya penting dan wajib dipelihara. Mana-mana yang meninggalkan solat fardhu dengan mengingkari kefardhuannya dihukumkan kufur. Manakala yang meninggalkannya kerana malas adalah fasiq dan berdosa besar.

Setiap satu solat fardhu mempunyai penekanan dan kelebihannya tersendiri berdasarkan dalil nas al-Quran dan hadith. Begitu juga dengan solat Subuh. Antara kelebihan berkaitannya ialah :

1. Solat sunat sebelumnya (qabliyyah) ganjaran terlebih baik dari seisi dunia.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

ركعتا الفجرِ خيرٌ من الدنيا وما فيها

Maksudnya :
"Dua rakaat sebelum Subuh adalah terlebih baik dari dunia dan seisinya." - riwayat Muslim

2. Mendapat jaminan dan keselamatan dari Allah SWT.

Jundub bin Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَن صَلَّى الصُّبحَ فَهُوَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ ، فَلا يَطلُبَنَّكُمُ اللَّهُ مِن ذِمَّتِهِ بِشَيْءٍ فَيُدرِكَهُ فَيَكُبَّهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ

Maksudnya:
“Sesiapa yang mengerjakan solat Subuh maka dia berada dalam zimmah Allah (jaminan Allah). Maka janganlah sampai kamu dituntut oleh Allah daripada sebarang jaminan-Nya lalu Dia nanti mendapatkannya lantas dihumbannya ke dalam Neraka Jahanam.” - riwayat Muslim

3. Dicatat kedudukan sebagai orang bertakwa dan tetamu Allah.

Abu Umamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَوَضَّأَ، ثُمَّ أَتَى الْمَسْجِدَ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ، ثُمَّ جَلَسَ حَتَّى يُصَلِّيَ الْفَجْرَ كُتِبَتْ صَلَاتُهُ يَوْمَئِذٍ فِي صَلَاةِ الْأَبْرَارِ، وَكُتِبَ فِي وَفْدِ الرَّحْمَنِ

Maksudnya :
”Barangsiapa yang berwudhu kemudian datang ke masjid dan mengerjakan solat dua rakaat sebelum solat subuh, kemudian duduk sampai melaksanakan solat subuh, maka solatnya pada hari itu dicatat sebagai solat orang-orang yang bertakwa dan tercatat sebagai tamu-tamu Allah.” - riwayat Thabrani

4. Mereka yang bersungguh mendapatkan solat Subuh maka dijauhi dari sifat munafiq :

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَثْقَلَ صَلَاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ، وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Maksudnya:
“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat isyak dan solat al-Fajar (subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.” - riwayat Muslim

5. Memelihara solat Subuh secara berjemaah mendapat umpama beribadah malam sepanjang malam.

Uthman bin al-Affan meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

Maksudnya:
“Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam.” - riwayat Muslim

▪️Solat Subuh Dan Kaitannya Dengan Kemenangan

Solat Subuh amat dititik beratkan oleh Rasulullah SAW dengan memeliharanya dengan mendirikan secara tunai, berjemaag serta didahului dengan dua rakaat sebelumnya iaitu sunat qabliyyah.

Ini kerana mereka yang boleh menjaga waktu solat Subuh nescaya mereka yang bangun akhir malam dan mengorbankan masa lena tidur berpanjangan. Kelakuan bangun dengan mempersiapkan diri dengan berwudhuk dan mendirikan solat adalah mereka yang bebas dari belitan syaitan. Malah mereka yang memelihara waktu solat Subuh adalah orang yang cerdas dan terhindar dari sifat malas.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ ، يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ. فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلاَّ أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ.

Maksudnya :
"Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu apabila kamu tidur dengan tiga ikatan. Ia menepukkan pada setiap ikatan; bagimu malam yang panjang maka tidurlah. Apabila kamu bangun dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk maka terbuka pula satu ikatan. Apabila kamu bersolat terbukalah satu ikatan. Maka di pagi hari kamu akan bersemangat dan merasa segar. Jika tidak nescaya di pagi hari perasaannya buruk dan malas." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Untuk memperolehi kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah mestilah mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan menjauhi sifat malas. Inilah yang dipraktikkan menerusi solat Subuh sebagaimana yang disebutkan dalam hadith di atas.

Golda Meir yang merupakan Perdana Menteri ke-4 Israel menegaskan bahawa mereka akan terus dapat mengalahkan umat Islam selagi mana bilangan umat Islam yang mendirikan solat Subuh tidak menyamai bilangan jemaah solat Jumaat!

Ibn Mas'ud meriwayatkan bahawa :

ذُكِرَ عِنْدَ رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ رَجُلٌ نَامَ لَيْلَةً حتَّى أَصْبَحَ، قالَ: ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ في أُذُنَيْهِ، أَوْ قالَ: في أُذُنِهِ

Maksudnya :
"Ada seorang lelaki yang disebut-sebut di sisi Nabi SAW, iaitu bahawa orang tersebut tidur di waktu malam sampai pagi - iaitu tidak bangun untuk solat, lalu Baginda SAW bersabda: "Orang itu sudah dikencingi oleh syaitan dalam kedua telinganya" atau Baginda SAW bersabda: "ditelinganya." - riwayat Muslim

Justeru, solat Subuh merupakan antara indikator penting terhadap pentarbiyahan ke atas umat Islam dalam mencapai kemenangan yang diredhai oleh Allah. Ini kerana kemenangan dari Allah akan dicapai dengan :

1. Tidak hanyut dengan kemewahan dunia.
2. Menjaga hubungan kuat dengan Allah.

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/348e7dl

Comments