JANGAN EKPLOITASI KEBAJIKAN SEPANJANG TEMPOH PKP
▪️Peniaga Usah Manipulasi Harga Barangan
Manipulasi harga barangan adalah sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Manipulasi harga dalam bahasa Arab disebut sebagai التلاعب بالأسعار yang mengakibatkan peningkatan harga dari harga asal sesuatu barang yang dikenakan ke atas pelanggan.
Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, manipulasi harga boleh berlaku dengan sebab pembelian panik oleh rakyat. Ini mengakibatkan permintaan tinggi oleh rakyat atas sesuatu barangan sedangkan stok barang adalah terhad. Maka peniaga yang berniat jahat aman mengambil kesempatan ekoran pembelian panik dengan manipulasi harga bagi keuntungan berganda.
Walaupun Islam tidak menegah peniaga mengaut keuntungan malah Islam juga tidak menghadkan kadar keuntungan namun isu manipulasi harga diharamkan kerana :
1. Menambahkan beban pembeli atas pertambahan harga.
2. Sifat tidak baik dengan mengambil kesempatan dalam keadaan situasi yang tertekan dan ekonomi terjejas.
Harga merupakan nilai atas sesuatu barangan dan ia berinteraksi menerusi permintaan dan penawaran dari penjual dan pembeli. Selama mana berlaku redha iaitu persetujuan maka hukumnya sah. Namun boleh terjadi dosa apabila harta dimakan secara batil antaranya ialah manipulasi harga dengan cara :
1. Sorok barang bagi menghadkan stok dengan tujuan harga naik melambung.
2. Mengambil kesempatan atas pembeli dalam situasi panik dengan kenaikkan harga dari kebiasaan.
Firman Allah SWT :
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ
Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu." - [Surah An-Nisa' 29]
Apabila berlakunya kes manipulasi harga seperti cara di atas maka pihak kerajaan berkewajipan untuk memantau dan melakukan penetapan harga bagi mengelakkan penindasan. Penetapan harga adalah bagi mengawal semula keadaan yang memberikan maslahat kedua-dua pihak agar pasaran kembali normal tanpa kelakuan yang menjejaskan aktiviti ekonomi.
Berkata Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya "al-Halal wa al-Haram fi al-Islam" berkenaan penetapan harga (التسعير) :
فيباح التسعير استجابة لضرورة المجتمع أو حاجته، ووقاية له من المستغلين الجشعين،
Maksudnya :
"Diharuskan penetapan harga bagi tindak balas kepentingan masyarakat dan keperluannya serta mencegah dari tindakan orang yang eksploitasi dengan tamak."
▪️Jangan Terpedaya Dengan Scammer
Dalam tempoh PKP khususnya selepas pengumuman pelan Pakej Rancangan Ekonomi Rakyat atau disebut PRIHATIN yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada Jumaat lalu, 27 April 2020, maka hati-hati dengan pihak penipuan cyber iaitu scammer. Hati-hati dengan link yang tersebut dengan cuba mendapatkan maklumat peribadi seseorang. Kesannya akan dieksplotasi bagi keuntungan pihak sindiket scammer.
Rakyat dalam keadaan terkesan ekonomi sekarang pastinya pastinya mencari sumber-sumber yang boleh diperolehi untuk mendapatkan bantuan bagi menampung dan meringankan beban. Namun kadang kala, sifat tanpa selidik awal boleh menjerat seseorang termasuk dalam perangkap scammer secara tidak sedar.
Justeru, pastikan sumber yang diperolehi berkenaan permohonan sesuatu bantuan adalah yang sah dan dari pihak yang berautoriti. Apa jua keadaan selidiki sesuatu informasi iaitu tabayyun adalah kaedah yang paling baik bagi mencegah sesuatu keburukan yang mendatang terutama di zaman media sosial berkembang pesat ini.
Firman Allah SWT :
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن جَاۤءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإࣲ فَتَبَیَّنُوۤا۟ أَن تُصِیبُوا۟ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةࣲ فَتُصۡبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِینَ
Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." - [Surah Al-Hujurat 6]
Penipuan sebegini adalah berdosa besar kerana memakan harta secara batil. Memakan harta secara haram mengakibatkan seksaan api neraka kelak. Maka kepada yang terlibat dengan penipuan sindiket scammer ini mestilah merasai kegerunam ancaman neraka dan meninggalkan pekerjaan haram ini.
Jabir bin Abdullah meriwayatkab bahawa Rasulullah SAW bersabda :
لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ ، النَّارُ أَوْلَى بِهِ
Maksudnya :
"Tidak masuk syurga daging yang tumbuh dari sumber haram, api neraka lebih layak baginya." - riwayat Ahmad
▪️Jujur Dan Jangan Tamak Pada Permohon Bantuan
Antara sikap yang perlu dibentuk dalam memohon bantuan ialah sikap jujur dan jangan tamak. Setiap orang perlu fikir sama kesusahan orang lain yang turut terjejas ekonomi dalam tempoh PKP ini. Maka pastikan permohonan yang dibuat adalah benar-benar layak dengan memberikan informasi yang diminta secara jujur. Menipu hanya akan mengakibatkan permohonan orang lain yang benar-benar layak akan ditolak ekoran peruntukan dana sumbangan yang terhad.
Mereka yang tidak jujur adalah tamak dan hanya mementingkan diri sendiri. Sedangkan bantuan yang dihulurkan adalah bagi memastikan bantuan ke atas mereka yang benar-benar susah. Tiada siapa yang terlepas dari kesan terjejasnya ekonomi masing-masing tempoh PKP namun keutamaan adalah pada :
1. Usaha menangani COVID-19
2. Kebajikan mereka yang benar-benar susah mengikut kriteria yang ditetapkan.
Sifat seorang mukmin khususnya ialah memikirkan sama kebajikan orang lain malah mendahulukan mereka yang lebih susah dari kesusahan mereka yang sedia ada. Inilah sifat ithar yang dipuji oleh Allah SWT ke atas para sahabat Ansar yang membantu para sahabat Muhajirin.
Firman Allah SWT :
وَٱلَّذِینَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِیمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ یُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَیۡهِمۡ وَلَا یَجِدُونَ فِی صُدُورِهِمۡ حَاجَةࣰ مِّمَّاۤ أُوتُوا۟ وَیُؤۡثِرُونَ عَلَىٰۤ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةࣱۚ وَمَن یُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Maksudnya :
"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." - [Surah Al-Hasyr 9]
Sifat tidak jujur adalah sifat tercela di dalam Islam. Boleh jadi dengan ketidak jujuran itu bermakna dia memakan sesuatu harta yang bukan haknya. Maka ini adalah perkara yang perlu dielakkan dan sangat ditakuti kesannya di akhirat kelak.
Ibn Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلىَ البِرِّ وَإِنَّ البرَّ يَهْدِيْ إِلىَ الجَنَّةِ وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ وَيَتَحَرَّى الصِّدْقَ حَتىَّ يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدِيْقاً, وَإِيَّاكُمْ وَالكَذِبَ فَإِنَّ الكَذِبَ يَهِدِى إِلىَ الفُجُوْرِ وَإِنَّ الفُجُوْرَ يَهْدِي إِلىَ النَّارِ وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيتَحَرَّى الكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كذاباً
Maksudnya :
“Wajib atas kalian berlaku jujur, kerana sesungguhnya jujur itu menunjukkan (pelakunya) kepada kebaikan, dan kebaikan itu menunjukkan kepada syurga. Seseorang senantiasa jujur dan berusaha untuk selalu jujur sehingga ia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang sangat jujur. Dan jauhilah oleh kalian sifat dusta, kerana sesungguhnya dusta itu menunjukkan pelakunya kepada keburukan, dan keburukan itu menunjukkan kepada api Neraka. Seseorang senantiasa berdusta dan berusaha untuk selalu berdusta sehingga ia ditulis disisi Allah sebagai seorang pendusta.” - riwayat Muslim
▪️Jangan Sekadar Memberi, Usahakan Pemberian Kepada Yang Benar-benar Susah
Situasi sekarang perlu dihadapi bersama-sama dan saling cakna antara satu sama lain. Sekarang bukan masa hanya mementingkan diri sendiri dan mengabaikan orang lain. Ada yang zahirnya jelas dalam mengharapkan bantuan dengan permohonan dan aduan yang diluahkan. Dan dalam masa yang ada juga yang sebenarnya memerlukan namun mereka tidak meminta-minta atas faktor mereka berkorban bagi pihak lain.
Kedua-dua ini perlu diberikan perhatian untuk sama-sama dibantu. Bantuan jangan sekadar beri tetapi sebolehnya pastikan tahap keutamaan yang layak dibantu. Bantuan kalau boleh bukan hanya untuk "kebajikan telah disumbangkan" tetapi sebolehnya diusahakan bantuan yang diberikan adalah menampung kekurangan dan kesempitan pihak yang susah.
Hal ini boleh diambil pengajaran menerusi ada sesuatu keadaan bahawa memberi hutang adalah lebih baik dari bersedekah kerana ketika itu hutang yang diberikan melepaskan kesempitan orang yang benar-benar susah. Walaupun pada asas, keadaan biasa, sedekah adalah lebih baik kerana terus melepaskan haknya ke atas harta dengan diberikan kepada pihak yang menerima.
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فَقُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَا بَالُ الْقَرْضِ أَفْضَلُ مِنْ الصَّدَقَةِ قَالَ لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إِلَّا مِنْ حَاجَةٍ.
Maksudnya :
“Pada malam aku diisra’kan (Mikraj) aku melihat tulisan di atas pintu syurga, ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda‘. Aku bertanya Jibril kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah? Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan” - riwayat Ibn Majah
Apa pun, setiap amalan baik adalah mulia dan diganjari pahala oleh Allah. Namut tingkatkan kualiti dalam pekerjaan adalah soal efisien untuk menambahkan mutu dan nilai adalah satu perkara yang terlebih baik. Justeru, saluran kebajikan pastikan ianya bagi menampung kesusahan dan kesempitan pihak yang benar-benar susah untuk diutamakan.
▪️Cakna Orang Sekeliling Sekalipun Mereka Tidak Zahir Meminta
Setiap orang perlu berperanan cakna masyarakat sekeliling dan mengambil berat. Sikap ini akan membantu banyak pihak dengan kebaikan dirasai bersama. Ada yang susah namun tidak zahir meminta. Ini kerana mereka lebih kesihan pada orang lain sekalipun hakikatnya mereka juga terlebih utama untuk mendapat kebajikan.
Sikap cakna ini bagi memastikan usaha baik dalam membantu dan memberi kebajikan dapat dirasai semua dan mudah-mudahan tiada yang tertinggal atau terlepas pandang. Malah utamakan mereka yang utama adalah satu sikap yang baik agar kerja sumbangan kebajikan lebih berdisplin dan efisien.
Keutamaan diberikan kepada mereka yang terjejas teruk ekonomi. Kerana sumbangan kebajikan berbentuk kewangan bagi menampung perbelanjaan. Begitu juga sumbangan berbentuk barangan asas dapur untuk meringankam bebanan perbelanjaan.
Firman Allah SWT :
لِلۡفُقَرَاۤءِ ٱلۡمُهَـٰجِرِینَ ٱلَّذِینَ أُخۡرِجُوا۟ مِن دِیَـٰرِهِمۡ وَأَمۡوَ ٰلِهِمۡ یَبۡتَغُونَ فَضۡلࣰا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَ ٰنࣰا وَیَنصُرُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ
Maksudnya :
"(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya)." - [Surat Al-Hasyr 8]
Keutamaan juga boleh diperuntukkan kepada mereka yang susah dan memiliki ciri khidmat pada agama Allah SWT. Ini kerana peranan mereka banyak menyumbang pada agama Islam. Mencukupkan keperluan mereka juga boleh memberi maksud memberikan kekuatan pada agama Islam dengan tenaga kerja dan kepajaran yang ada.
Firman Allah SWT :
لِلۡفُقَرَاۤءِ ٱلَّذِینَ أُحۡصِرُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ لَا یَسۡتَطِیعُونَ ضَرۡبࣰا فِی ٱلۡأَرۡضِ یَحۡسَبُهُمُ ٱلۡجَاهِلُ أَغۡنِیَاۤءَ مِنَ ٱلتَّعَفُّفِ تَعۡرِفُهُم بِسِیمَـٰهُمۡ لَا یَسۡـَٔلُونَ ٱلنَّاسَ إِلۡحَافࣰاۗ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنۡ خَیۡرࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمٌ
Maksudnya :
"(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya." - [Surah Al-Baqarah 273]
.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2wDSCox
Comments
Post a Comment