MALAM NISFU SYAABAN : IBADAH DENGAN ILMU DAN URUS KHILAF

MALAM NISFU SYAABAN : IBADAH DENGAN ILMU DAN URUS KHILAF


▪️Pengenalan

Dalam membincangkan isu mengenai malam nisfu Syaaban ini kita perlu memahami dengan panduan ilmu yang matang tanpa emosi serta tidak pula melakukan sesuatu perkara secara taklid semberono dengan menolak ilmu. Apa yang penting ialah memahami secara sahih dalam sesuatu amalan yang dilakukan.

Malam nisfu Syaaban ialah bermula 15 haribulan Syaaban dengan masuknya maghrib pada pagi harinya 14 haribulan. Ini kerana permulaan kiraan hari di dalam Islam ialah bermula dengan waktu Maghrib kerana kiraan dalam Islam menurut kalendar dikira dengan Qamariah bukannya Syamsiah sebagaimana kalendar Masihi.

Isu yang berlegar kalangan nisfu Syaaban terdapat khilaf kalangan para ulama dalam menatijahkan sesuatu hukum. Sehubungan itu, apa yang penting ialah mengurus khilaf yang baik agar tidak berlaku perpecahan umat.

▪️Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Perkara pertama yang perlu difahami ialah berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban itu secara tersendiri selain lain kelebihan umum yang terdapat pada bulan Syaaban itu.

Antara hujah yang terdapat ialah :

1. Diampuni dosa.

Muaz bin Jabal meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

يَطَّلِعُ اللهُ إلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إلاَّ لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِن

Maksudnya :
“Allah menampakkan (rahmatNya) kepada semua makhluqNya pada malam nisfu Syaaban dan mengampuni mereka semua kecuali orang musyrik atau musyahin (pembuat permusuhan)”. - riwayat Al Tabrani, dan Ibnu Hibban

Hadith ini adalah sahih dan Ibnu Hibban meriwayatkannya di dalam Sahihnya. Justeru, ini di antara hadith sahih yang menjelaskan kelebihan malam nisfu Syaaban yang tidak boleh dinafikan.

2. Salah satu malam yang dimustajab doa oleh Allah.

Imam al-Syafi'i menyebutkan :

إن الدعاء يُستجاب في خمس ليال: في ليلة الجمعة، وليلة الأضحى، وليلة الفطر، وأول ليلة من رجب، وليلة النصف من شعبان... وأنا أستحب كل ما حكيت في هذه الليالي من غير أن يكون فرضاً

Maksudnya :
"Sesungguhnya terdapat doa yang dimustajabkan pada 5 malam iaitu : malam Jumaat, malam Eidul Adha, malam Eidul Fitri, malam pertama Rejab dan malam nisfu Syaaban. Dan aku suka semua apa yang dihikayatkan dari (keutamaan) malam-malam tersebut tanpa bersifat fardhu“ - nukilan dari kitab al-Umm, jil pertama, muka surat 264.

Walaupun ia bukan hadith, namun petunjuk dari ulamak selagimana tidak bercanggah dengan syariat maka tidak menjadi masalah untuk dijadikan panduan dan motivasi beramal. Dengan syarat, selagimana kita tidak menyandarkan kepada Baginda SAW akan nisbah kata-kata ini.

Selain itu pendapat mengenai malam-malam yang dimustajabkan doa ini juga terdapat riwayat yang dinisbahkan kepada sahabat iaitu Ibn Umar oleh Abd Razak di dalam Musannaf dan juga Abu al-Darda' oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra.

▪️Anjuran Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban

Berdasarkan hadith sahih di atas serta beberapa hadith yang lain mengenai kelebihan menghidupkan malam nisfu Syaaban maka ulamak menganjurkan menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan berbuat ibadah kerana fadhilat yang ada.

Ini dapat dilihat kepada pandangan ulamak seperti berikut :

1. Imam al-Syafi'i sebagaimana pendapatnya mengenai malam nisfu Syaaban yang merupakan salah satu dari malam dimustajabkan doa.

2. Ibn Hajar al-Asqalani menerusi al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra juga menyatakan :

لهذه الليلة [يعني النصف من شعبان] فضل، يقع فيها مغفرة مخصوصة واستجابة مخصوصة"

Maksudnya :
"Bagi malam ini (iaitu Nisfu Syaaban) kelebihan, diampunkan dosa dan dimustajabkan doa secara khusus"

3. Ibn Nujaim dari ulamak Hanafiah menerusi al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daiq menyatakan :

ومن المندوبات إحياء ليالي العشر من رمضان، وليلتي العيدين، وليالي عشر ذي الحجة، وليلة النصف من شعبان

Maksudnya :
"Di antara perkara yang disunatkan ialah menghidupkan malam² 10 (akhir) Ramadham, dua malam hari raya, 10 malam Zulhijjah dan malam nisfu Syaaban."

4. Terdapat juga nukilan dari kitab al-Taj al-Iklil dari Mazhab Maliki iaitu :

"رغب في قيام تلك الليلة" [يعني منتصف شعبان].

Maksudnya :
" Digalakkan mendirikan ibadah (menghidupkan) malam tersebut iaitu pertengahan bulan Syaaban."

5. Al-Buhuti dari Mazhab Hanbali menerusi kitabnya Syarh Muntaha al-Iradat menukilkan :

وقال ابن تيمية: "وأما ليلة النصف فقد روى في فضلها أحاديث وآثار، ونقل عن طائفة من السلف أنهم كانوا يصلون فيها

Maksudnya :
Telah berkata Ibn Taymiyyah : Dan adalah malam nisfu (iaitu nisfu Syaaban) telah diriwayatkan akan kelebihannya oleh beberapa hadith dan athar. Dinukilkan dari sekumpulan salafus soleh, sesungghya mereka mendirijan solat pada malam tersebut (erti kata menghidupkannya).

▪️Perbahasan Cara Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban

Terdapat perbahasan mengenai cara bagaimana menghidupkan mam nisfu Syaaban yang boleh dipecahkan kepada beberapa perkara untuk perhatian :

1. Apabila sesuatu riwayat yang jelas akan rekaannya (موضوع) dan terlampau dhaif maka perlu dielak. Justeru, perhatian amalan berdasarkan sumber yang sahih dan dibenarkan oleh para ulamak dalam perbahasannya.

Ini kerana jika telah sepakat ulamak akan sesuatu perkara tersebut adalah rekaan yang melanggar syariat dan menipu atas nama Rasulullah SAW maka ia tertolak.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

Maksudnya :
"Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang bukan dari kami , maka ia tertolak." - riwayat al-Bukhari dan Muslim. Menurut lafaz dari Muslim

2. Memperbanyakkan ibadah apa sahaja seperti solat, zikir, bacaan al-Quran dan lain-lain adalah diperbolehkan dan digalakkan sebagaimana pandangan 4 mazhab di atas.

Namun begitu, terdapat juga ulama yang tidak mengharuskan seperti kebanyakkan ulama wilayah Hijaz dan beberapa pandangan ulamak di Madinah.

3. Pelaksanaan ibadah menghidupkan malam nisfu Syaaban adalah khilaf ulama sama ada secara berjemaah iaitu beramai-ramai atau sendirian.

Pandangan yang mengharuskan secara berjemaah ialah antara :

وقال الإمام محمد بن إسحاق بن العباس المكى الفاكهى المتوفى 272هـ:

"وأهل مكة فيما مضى إلى اليوم إذا كان ليلة النصف من شعبان، خرج عامة الرجال والنساء إلى المسجد، فصلوا، وطافوا، وأحيوا ليلتهم حتى الصباح بالقراءة فى المسجد الحرام، حتى يختموا القرآن كله، ويصلوا"

Maksudnya :
Telah berpandangan Imam Muhammad bin Ishaq bin al-Abbas al-Makki al-Fakihi (wafat pada tahun 272 H) :

"Dan penduduk Mekah pada malam nisfu Syaaban disebabkan kelebihan yang terdapat pada malam tersebut ialah mereka sama ada lelaki dan wanita secara ramai keluar menuju ke masjid, mereka akan solat, melakukan tawaf dan menghidupkan malam tersebut sehingga Subuh dengan membaca Al-Quran di Masjid al-Haram, mereka juga melakukan ibadah solat."

Ibn Rajab al-Hanbali di dalam kitabnya Lataif al-Maarif menyatakan khilaf para ulamak dalam hal menghidupkan malam secara berjemaah atau sendiri seperti berikut :

واختلف علماء أهل الشام في صفة إحيائها على قولين:

أحدهما: أنه يستحب إحياؤها جماعة في المساجد كان خالد بن معدان ولقمان بن عامر وغيرهما يلبسون فيها أحسن ثيابهم، ويتبخرون ويكتحلون ويقومون في المسجد ليلتهم تلك، ووافقهم إسحاق ابن راهوية على ذلك، وقال في قيامها في المساجد جماعة: ليس ببدعة نقله عنه حرب الكرماني في مسائله. والثاني: أنه يكره الاجتماع فيها في المساجد للصلاة والقصص والدعاء ولا يكره أن يصلي الرجل فيها لخاصة نفسه، وهذا قول الأوزاعي إمام أهل الشام وفقيههم وعالمهم

Secara asas maksud di atas ialah Ulama wilayah Syam berbeza pandangan dalam menyatakan sifat atau bentuk menghidupkan malam (yang mempunyai kelebihan seperti malam nisfu Syaaban) kepada 2 pandangan :

i) Harus menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan) secara berjemaah iaitu beramai-ramai di masjid. Dan ia bukan termasuk dalam perkara bid’ah (iaitu bid’ah yang terlarang).

ii) Makruh menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan) secara beramai-ramai di masjid seperti solat dan zikir, namun harus iaitu tidak makruh jika melakukan secara individu. Ini merupakan pendapat Imam al-Auza’i.

▪️Pemahaman Mengenai Amalan Bacaan Yassin 3 Kali

Umum di beberapa tempat kita yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan mengadakan majlis bacaan Yaasin sebanyak 3 kali khatam. Lantas beberapa pemahaman yang perlu diberikan kefahaman :

1. Secara asas, pandangan yang mengharuskan menghidupkan malam nisfu Syaaban kerana jelas kelebihannya menurut hadith dan athar. Namun begitu secara perincian tidak dikhususnya jenis amalam. Yang disebutkan perbanyakkan amalan ibadah apa sahaja seperti mendirikan solat, bacaan al-Quran, zikir dan lain-lain.

2. Amalan bacaan Yaasin tidak bermasalah kerana ia bersifat teknikal mendidik masyarakat setempat dengan amalan yang baik sesuai oleh kebijaksanaan para ulamak yang mendidik. Penerimaannya turun temurun adalah bersifat baik namun tidaklah sebagai mewajibkan.

3. Bagi yang mengamalkan majlis bacaan Yaasin 3 kali khatam perlulah menjaga beberapa perkara :

i. Bacaan yang betul dengan hukum tajwid dijaga. Jangan dikejar angka 3 kali khatam sehingga hukum tajwid dilanggar.

ii. Jangan dinisbahkan ke atas nama Rasulullah SAW. Tiada hadith khusus mengenainya. Namun tidak salah dalam beramal.

iii. Jangan sampai diiktiqad hukumnya wajib. Malah boleh sahaja dilaksanakan apa sahaja majlis zikir, majlis ilmu dan apa jua ibadah untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban tersebut.

▪️Penutup

Dalam beramal sentiasa tingkatkan ilmu kefahaman sebagai pemandu kepada amalan. Walaupun telah turun temurun mengamalkan dan tidak bersalahan namun menambahkan ilmu dari masa ke semasa adalah penting dan menjadi keutamaan.

Selain itu, tambahan ilmu mestilah secara matang agar dalam perkara yang menjadi khilaf pandangan para ulamak tidak menjadikan perpecahan umat. Kembalikan konteks khilaf agar menjadi rahmat bagi umat. Justeru, memahami, berlapang dada dan tidak gopoh adalah penting dalam suatu ilmu dan amalan.

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2V5qNxq

Comments