NUZUL AL-QURAN : TURUN UNTUK DILAKSANA, SEBELUM DIANGKAT

 NUZUL AL-QURAN : TURUN UNTUK DILAKSANA, SEBELUM DIANGKAT


▪️ Maqasid Penurunan al-Quran


Al-Quran merupakan kalam Ilahi yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana. Beriman dengan al-Quran merupakan kemestian kerana termasuk dalam salah satu dari rukun Iman iaitu mempercayai kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah ke atas Rasul-Nya.


Maqasid penurunan al-Quran dinyatakan secara jelas oleh Allah menerusi beberapa firman-Nya iaitu :


1. Petunjuk (hidayah) dan pembeza antara haq dan batil.


Firman Allah SWT :


شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ


Maksudnya :

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. - [Surah Al-Baqarah 185]


2. Pengubat dan rahmat bagi orang beriman.


Firman Allah SWT :


وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَاۤءࣱ وَرَحۡمَةࣱ لِّلۡمُؤۡمِنِینَ وَلَا یَزِیدُ ٱلظَّـٰلِمِینَ إِلَّا خَسَارࣰا


Maksudnya :

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. - [Surah Al-Isra' 82]


3. Memberikan peringatan kepada manusia.


Firman Allah SWT :


كِتَـٰبٌ أُنزِلَ إِلَیۡكَ فَلَا یَكُن فِی صَدۡرِكَ حَرَجࣱ مِّنۡهُ لِتُنذِرَ بِهِۦ وَذِكۡرَىٰ لِلۡمُؤۡمِنِینَ


Maksudnya :

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman. - [Surah Al-A'raf 2]


4. Penyelamat dari jalan kesesatan. 


Rasulullah SAW bersabda :


تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ


Maksudnya:

Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya. - riwayat Imam Malik


▪️ Mengajar Fadhilat Tanpa Menafikan Maqasid


Adapun dari sudut fadhilat dan galakan terhadap al-Quran adalah satu kemuliaan yang ditetapkan oleh Allah ke atas al-Quran. Jangan pula mengejar fadhilat yang terdapat namun leka terhadap maqasid penurunan al-Quran.


Umpamanya membaca untuk sekian fadhilat tapi tidak beramal dengan isi kandungannya. Begitu juga memperbanyakkan bacaan dan mengambil barakah menghafaz namun keyakinan terhadap kebenaran al-Quran masih goyah.


Antara jelas fadhilat al-Quran yang terdapat banyak dalil sama ada menerusi ayat al-Quran sendiri atau hadith ialah antarnya :


1. Gandaan pahala bacaan bagi 1 huruf dikira 10 kebajikan.

2. Pendinding dari gangguan makhluk halus dan was was syaitan. 

3. Melihat a-Quran pun dikira mendapat pahala.


Dan sememangnya al-Quran adalah bukan kalam makhluk atau juga catatan makhluk, disebabkan itu ia penuh dengan pelbagai kelebihan, fadhilat dan kurniaan. Namun jangan lupa mengejar fadhilat sehingga menafikan maqasid tujuan penurunan.


Lantaran itu, perkara pertama sekali untuk al-Quran dijadikan sebagai petunjuk adalah mestilah tiada keraguan pada al-Quran. Terus yakin dan membenarkannya.


Firman Allah SWT :


ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ


Maksudnya :

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. - [Surah Al-Baqarah 2]


Jika masih ada keraguan padanya maka sia-sialah sahaja sekalipun mempunyai suara lunak dalam pembacaan dan memiliki otar pintar dalam pengajian.


▪️"Turun" Dengan Maksud Perintah, Bukan Pilihan


Mengikuti kebenaran al-Quran dengan mengamalkan seluruh kandungannya adalah satu perintah yang mesti dilaksanakan. Ia bukannya bersifat pilihan.


Analoginya apabila sesuatu itu turun dari pihak atasan kepada pihak bawahan maka ia merujuk arahan atau perintah. Manakala jika sesuatu datang dari pihak bawahan kepada pihak atasan ia merujuk permohonan atau rayuan.


Justeru, diperintahkan agar menuruti apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW yang mesti diikuti oleh umat Baginda SAW.


Firman Allah SWT :


ٱتَّبِعُوا۟ مَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِیَاۤءَۗ قَلِیلࣰا مَّا تَذَكَّرُونَ


Maksudnya :

(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan". - [Surah Al-A'raf 3]


▪️Laksanakan al-Quran, Jangan Sampai Ia "Diangkat"


Maksud al-Quran diangkat ini ialah hilangnya pedoman al-Quran dalam kehidupan manusia. Manusia sudah tidak lagi rujuk dan mengamalkan al-Quran. Bahananya di waktu itu manusia dalam kegelapan kesesatan.


Peringatan dari Baginda SAW bahawa al-Quran akan "diangkat". Ia merupakan suasana yang menakutkan dan ujian atas keimanan. Peristiwa akhir zaman yang mencabar akidah dan keimanan manusia.


Al-Quran sebagai penyelamat manusia namun bila "diangkatnya" al-Quran maka apa lagi yang boleh menyelamatkan manusia?


Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan :


لَيُسْرَيَنَّ عَلَى الْقُرْآنِ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَلا يُتْرَكُ آيَةٌ فِي مُصْحَفٍ وَلا فِي قَلْبِ أَحَدٍ إِلا رُفِعَتْ


Maksudnya: “Akan ditinggalkan al-Quran  pada malam tersebut dan tidak akan keka satu ayat di dalam mushaf (al-Quran ) dan uga di dalam hati seseorang melainkan ia(al-Quran ) telah diangkat.” - riwayat al-Darimi 

 

Berdasarkan apa yang diriwayatkan berkaitan bab ini apa yang disebut oleh Muhammad bin Nasr pada bangun di waktu malam, daripada hadis Abdullah bin Amr, beliau berkata: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga al-Quran itu kembali sebagaimana ia diturunkan. Padanya bunyi di sekitar arash seperti bunyi lebah.” Lalu berkata: “Kamu baca tetapi tidak beramal denganku”


Huzaifah bin al-Yaman meriwayatkan :


يدرُسُ الإسلامُ كما يدرُسُ وَشيُ الثَّوبِ حتَّى لا يُدرَى ما صيامٌ، ولا صلاةٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدَقةٌ، ولَيُسرى على كتابِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ في ليلَةٍ، فلا يبقى في الأرضِ منهُ آيةٌ، وتبقَى طوائفُ منَ النَّاسِ الشَّيخُ الكبيرُ والعجوزُ، يقولونَ: أدرَكْنا آباءَنا على هذِهِ الكلمةِ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، فنحنُ نقولُها فقالَ لَهُ صِلةُ: ما تُغني عنهم: لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَهُم لا يَدرونَ ما صلاةٌ، ولا صيامٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدقةٌ؟ فأعرضَ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ ردَّها علَيهِ ثلاثًا، كلَّ ذلِكَ يعرضُ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ أقبلَ علَيهِ في الثَّالثةِ، فقالَ: يا صِلةُ، تُنجيهِم منَ النَّار ثلاثًا.


Maksudnya:

“Ajaran Islam akan terhakis sebagaimana terhakisnya baju sehingga tidak dketahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadat, apa itu sedeqah dan akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun. Golongan yang tersisa itu ialah kelompok manusia yang lanjut usia dan lemah, lalu mereka berkata: Kami menemui bapa-bapa kami di atas kalimat “Tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah”, maka kami pun mengucapkannya. Shilah berkata kepadanya: kalimat “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” tidak cukup mereka. Ini kerana, mereka tidak tahu apa itu solat, apa itu puasa, apa itu ibadah dan apa itu sedekah. Maka Huzaifah berpaling daripadanya, namun dia menolaknya dan hal itu dilakukan sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga, Huzaifah berkata: “Wahai Shilah, kamu telah menyelamatkan mereka dari neraka”. Huzaifah mengucapkannya sebanyak tiga kali.” - riwayat Ibn Majah


Justeru, tanggungjawab kita terhadap al-Quran ialah :


1. Beriman dengan al-Quran.

2. Membaca al-Quran.

3. Memahami al-Quran.

4. Melaksanakan isi kandungan al-Quran.

5. Mujahadah menyebarkan ajaran al-Quran.


Tanpa kelima-lima perkara di atas, maka termasuk golongan yang menjadikan al-Quran sesuatu yang disia-siakan.


Firman Allah SWT :


وَقَالَ ٱلرَّسُولُ یَـٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِی ٱتَّخَذُوا۟ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورࣰا


Maksudnya :

Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai". - [Surah Al-Furqan 30]


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman


Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2ztRxAo

Comments