PERBAHASAN PAHALA SYAHID YANG BERKAITAN COVID-19

PERBAHASAN PAHALA SYAHID YANG BERKAITAN COVID-19





▪️Ganjaran Syahid Adalah Hebat

Ganjaran pahala syahid adalah satu ganjaran yang besar di sisi Islam. Syahid diletakkan dalam turutan yang ketiga dalam turutan kedudukan golongan yang mulia dalam beberapa ayat al-Quran selepas para Nabi dan golongan siddiqin.

Firman Allah SWT :

وَمَن یُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ مَعَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِیِّـۧنَ وَٱلصِّدِّیقِینَ وَٱلشُّهَدَاۤءِ وَٱلصَّـٰلِحِینَۚ وَحَسُنَ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ رَفِیقࣰا * ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡفَضۡلُ مِنَ ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ عَلِیمࣰا

Maksudnya :
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya)." -
[Surah An-Nisa' 69 - 70]

Dalam al-Quran, perkataan syahid diulang sebanyak 35 kali manakala perkataan syuhada diulang sebanyak 19 kali. Perkataan syahid di dalam al-Quran lebih khusus dan spesifik kepada mati dalam peperangan berjuang di jalan Allah seperti kisah perang Badar dan Uhud yang dirakamkam kisahnya.

Kelebihan syahid disebutkan dalam hadith iaitu :

1. Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar.
2. Melihat tempatnya di dalam syurga.
3. Dilindungi dari azab kubur.
4. Terjamin keamanannya dari malapetaka besar.
5. Merasakan kemanisan iman.
6. Dikahwinkan dengan bidadari.
7. Diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya.

al-Miqdam meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ: يُغْفَرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دَفْعَةٍ، وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ، وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَيَأْمَنُ مِنَ الفَزَعِ الأَكْبَرِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الوَقَارِ، اليَاقُوتَةُ مِنْهَا خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَيُزَوَّجُ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ زَوْجَةً مِنَ الحُورِ العِينِ، وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ مِنْ أَقَارِبِهِ

Maksudnya:
“Orang yang mati syahid di sisi Allah SWT mempunyai enam keutamaan: diampunkan dosanya ketika darahnya tertumpah untuk pertama kalinya (pertempuran), diperlihatkan tempatnya di dalam Syurga, diselamatkan daripada azab kubur, diberi ketenangan daripada ketakutan ketika dibangkitkan dari kubur, diletakkan di atas kepalanya makhkota daripada permata yang mana permata itu lebih baik daripada dunia dan isinya, dikahwinkan dengan 72 isteri daripada bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada 70 orang daripada ahli keluarganya”. Riwayat al-Tirmizi

Malah, Allah SWT menyebutkan bahawa orang yang syahid hakikatnya mereka "hidup" dan sedang bergembira di sisi Allah dengan pelbagai kurniaan-Nya kepada mereka.

Firman Allah SWT :

وَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِینَ قُتِلُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ أَمۡوَ ٰ⁠تَۢاۚ بَلۡ أَحۡیَاۤءٌ عِندَ رَبِّهِمۡ یُرۡزَقُونَ * فَرِحِینَ بِمَاۤ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ وَیَسۡتَبۡشِرُونَ بِٱلَّذِینَ لَمۡ یَلۡحَقُوا۟ بِهِم مِّنۡ خَلۡفِهِمۡ أَلَّا خَوۡفٌ عَلَیۡهِمۡ وَلَا هُمۡ یَحۡزَنُونَ * ۞ یَسۡتَبۡشِرُونَ بِنِعۡمَةࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضۡلࣲ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا یُضِیعُ أَجۡرَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ

Maksudnya :
"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman." - [Surah Ali Imran 169 - 171]

▪️3 Kategori Syahid

Islam membahagikan syahid kepada 3 kategori :

1. Syahid dunia dan akhirat.
2. Syahid dunia.
3. Syahid akhirat.

Kategori syahid dunia dan akhirat adalah yang paling tinggi sekali iaitu mereka yang mati terbunuh di medan peperangan dalam keadaan berperang menegakkan, mempertahankan dan mengangkat kalimah Allah SWT.

Dari Abu Musa, Abdullah bin Qais al-'Asy' ari neriwayatkan bahawa :

سُئِلَ رسولُ الله صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم عَنِ الرَّجُلِ يُقاتِلُ شَجَاعَةً، ويُقاتِلُ حَمِيَّةً ويقاتِلُ رِياءً، أَيُّ ذلِك في سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُول الله صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم: “مَنْ قاتَلَ لِتَكُون كلِمةُ اللَّهِ هِي الْعُلْيَا فهُوَ في سَبِيلِ اللَّهِ” مُتَّفَقٌ عَلَيهِ

Maksudnya :
“Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sebahagian sahabatnya tentang seseorang yang berperang kerana berani (sifatnya pemberani), seseorang yang berperang kerana fanatisme kebangsaan , dan seseorang yang berperang karena riya’ (agar dipuji orang lain). Manakah di antara niat tersebut yang termasuk jihad di jalan Allah?” Rasulullah SAW menjawab, ”Barangsiapa yang berperang untuk menegakkan kalimat Allah sebagai kalimat yang palinng tinggi, maka dia berada (berjihad) di jalan Allah.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Adapun golongan syahid dunia pula ialah mereka secara zahirnya kelihatan berperang di medan perang, namun hakikat dalamannya adalah untuk mengejar sesuatu habuan dunia seperti mahukan harta ghanimah, pujian orang ramai dan lain-lain. Sebab itu mereka hanya mendapat syahid dunia sahaja di akhirat kelak di sisi Allah. Namun, di dunia sebagai manusia kita berhukum pada zahir sahaja.

Maka pengurusan jenazah kedua-dua syahid ini adalah sama iaitu :

1. Tidak dimandikan.
2. Tidak disolatkan ke atasnya.
3. Dikebumi sebagaimana dalam keadaan mati syahid.

لَا تُغَسِّلُوهُمْ، فَإِنَّ كُلَّ جُرْحٍ – أَوْ كُلَّ دَمٍ – يَفُوحُ مِسْكًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya :
“Jangan kalian mandikan mereka, kerana setiap luka atau darah, akan mengelluarkan bau harum minyak misk pada hari kiamat.” - riwayat Ahmad

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda ketika perang Uhud:

ادْفِنُوهُمْ فِي دِمَائِهِمْ

Maksudnya :
“Kuburkan mereka bersama darah mereka.” - riwayat al-Bukhari

Yang membezakan mereka adalah di akhirat iaitu mereka yang dihukum syahid dunia tidak mendapat ganjaran pahala dan kelebihan sebagaimana yang dijanjikan. Ini kerana niat mereka berubah, tidak ikhlas kerana Allah kerana mencari habuan keduniaan.

▪️Syahid Akhirat : Ganjaran Buat Umat Baginda SAW

Istimewa bagi umat Rasulullah SAW kerana dikurniakan ganjaran syahid sekalipun tidak semata-mata berperang di medan. Ini dinamakan syahid akhirat. Pengurusan jenazah mereka di dunia sebagaimana jenazah umum yang lain iaitu :

1. Dimandikan.
2. Dikafankan.
3. Disolatkan ke atasnya.
4. Dikebumikan.

Namun di akhirat, ganjaran besar menanti mereka di sisi Allah. Sebab itu mereka dinamakan sebagai syahid akhirat, kerana di dunia hukum pengurusan jenazah adalah sebagaimana biasa.

Disebutkan dalam kitab Umdatul Qari Syarh Shahih Bukhari bahawa :

فهم شُهَدَاء حكما لَا حَقِيقَة، وَهَذَا فضل من الله تَعَالَى لهَذِهِ الْأمة بِأَن جعل مَا جرى عَلَيْهِم تمحيصاً لذنوبهم وَزِيَادَة فِي أجرهم بَلغهُمْ بهَا دَرَجَات الشُّهَدَاء الْحَقِيقِيَّة ومراتبهم، فَلهَذَا يغسلون وَيعْمل بهم مَا يعْمل بِسَائِر أموات الْمُسلمين

“Mereka mendapat gelar syahid (akhirat) secara status, bukan hakiki. Dan ini kurniaan Allah untuk umat ini, di mana Dia menjadikan musibah yang mereka alami (ketika mati) sebagai pembersih atas dosa-dosa mereka, dan ditambah dengan pahala yang besar, sehingga menempatkan mereka mencapai darjat dan tingkatan para syuhada hakiki. Kerana itu, mereka tetap dimandikan, dan diuruskan sebagaimana umumnya jenazah kaum muslimin.”

Yang disebutkan syahid akhirat ialah sebagaimana hadith dari Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَا تَعُدُّونَ الشَّهِيدَ فِيكُمْ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، قَالَ: إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِي إِذًا لَقَلِيلٌ، قَالُوا: فَمَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي الطَّاعُونِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Maksudnya :
"Apa yang dimaksudkan orang yang mati syahid di antara kalian?" Para sahabat menjawab, "Wahai Rasulullah, orang yang meninggal di jalan Allah itulah orang yang mati syahid." Baginda SAW bersabda: "Kalau begitu, sedikit sekali jumlah umatku yang mati syahid." Para sahabat berkata, "Lantas siapakah mereka wahai Rasulullah?" Baginda SAW bersabda: "Barangsiapa terbunuh di jalan Allah maka dialah syahid, dan siapa yang mati di jalan Allah juga syahid, siapa yang mati kerana penyakit taun juga syahid, siapa yang mati kerana sakit perut juga syahid." - riwayat Muslim

Begitu juga hadith dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya :
"Orang yang mati syahid itu ada lima; orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati kerana sakit perut, orang yang mati kerana tenggelam, orang yang mati kerana tertimpa reruntuhan dan orang yang terbunuh di jalan Allah." - riwayat al-Bukhari

Dalam satu hadith lain dinyatakan pula 7 jenis syahid. Daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda:

الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ وَالَّذِى يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ

Maksudnya:
"Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah 7 orang, iaitu korban wabak adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan permusafiran dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang punya luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid; dan seorang wanita yang meninggal ketika melahirkan anak adalah syahid.” - riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i)

Juga terdapat hadith lain bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي الطَّاعُونِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَالْغَرِيقُ شَهِيدٌ

Maksudnya :
“Siapa yang terbunuh di jalan Allah, dia syahid. Siapa yang mati (tanpa dibunuh) di jalan Allah dia syahid, siapa yang mati kerana wabah penyakit Taun, dia syahid. Siapa yang mati kerana sakit perut, dia syahid. Siapa yang mati kerana tenggelam, dia syahid.” - riwayat Muslim

Terlalu banyak hadith yang menceritakan kurniaan Allah ke atas umat Baginda SAW ini dengan jenis syahid yang diiktibar sebagai syahid akhirat. Ini merupakan ganjaran dan berita gembira buat umat Baginda SAW di akhirat kelak. Dinamakan juga syahid akhirat adalah antaranya kerana :

1. Kesabaran menanggung bebanan derita di dunia.
2. Bersabar terhadap ujian musibah yang ditaqdirkan oleh Allah ke atas mereka.

Maka mereka yang termasuk dalam mendapat ganjaran syahid ini mestilah asasnya :

1. Muslim.
2. Niat jelas mencari redha Allah.
3. Bersabar.

▪️Mangsa COVID-19 Kalangan Umat Islam Didoakan Syahid Akhirat

Berdasarkan kepada keterangan syahid di atas maka, antara yang dikira syahid akhirat ialah mereka yang mati kerana wabak taun. Maka ia diqiyaskan pada situasi COVID-19 pada hari ini kerana bersifat wabak menular. Malah yang dimaksudkan wabak dalam hadith merangkumi :

الْمَرَضُ الْعَامُّ وَالْوَبَاءُ الَّذِي يَفْسُدُ لَهُ الْهَوَاءُ

"Penyakit umum dan wabak yang mendatangkan kerosakan / mudarat menerus udara (penularan)"

Maka umat Islam yang mati kerana COVID-19 didoakan mereka mendapat ganjaran akhirat atas penyakit yang dipikul dengan kesabaran. Sehubungan itu, keluarga yang bersedih atas kematian ahli keluarganya juga sebagai fitrah manusia yang mempunyai sifat sedih atas kehilangan orang yang tersayang, namun hendaklah menerima ketentuan Allah dengan redha serta memahami bahawa mangsa insha Allah diberikan pahala dan ganjaran syahid akhirat.

Mudah-mudahan dengan kesabaran atas bebanan dan sakit yang ditaqdirkan oleh Allah ke atas mangsa adalah salah satu cara penghapusan dosa bagi mereka agar mereka menemui Allah dalam keadaan yang bersih.

Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا

Maksudnya:
“Apa saja yang menimpa orang Islam seperti kepayahan, penderitaan, kekecewaan, dukacita, gangguan dan tekanan batin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan pastilah Allah menghapus dosa-dosa kesalahannya (dengan sebab-sebab hal tersebut)” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

▪️Duduk Di Rumah Kerana Turut Perintah Kawalan Pergerakan, Juga Beroleh Syahid

Selain itu juga, ada kalangan yang hidup turut diberikan ganjaran seumpama ganjaran pahala syahid. Sebagaimana pada hari ini, apabila kita taat menuruti perintah pemerintah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan berjaga duduk di rumah bagi memutuskan rantaian COVID-19 maka sekalipun tidak ditaqdirkan meninggal dunia, namun tetap berpahala syahid diberikan.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa :

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فَأَخْبَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، فَجَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، فَلَيْسَ مِنْ رَجُلٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ “.

Maksudnya :
"Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wabak (taun), maka Rasulullah SAW mengkhabarkan kepadaku: “Bahawasannya wabak (taun) itu adalah azab yang Allah kirim kepada siapa yang Dia kehendaki, dan Allah jadikan sebagai rahmat bagi orang-orang beriman. Tidaklah seseorang yang ketika terjadi wabak (taun) dia tinggal di rumahnya, bersabar dan berharap pahala (di sisi Allah) dia yakin bahawasanya tidak akan menimpanya kecuali apa yang ditetapkan Allah untuknya, maka dia akan mendapatkan seperti pahala syahid”. - riwayat al-Bukhari

Justeru, besarlah rahmat dan ganjaran dari Allah untuk umat Baginda SAW dalam apa jua keadaan sekalipun sehingga dalam keadaan ujian musibah yang menimpa turut disediakan ganjaran yang hebat seperti pahala syahid dan syahid akhirat. Maka umat Islam perlulah memahami setiap kejadian, ujian dan musibah dengan kefahaman berpandukan dalil agar tindakan yang dilakukan sentiasa beroleh redha Allah dan rahmat-Nya, bukan semata-mata emosi dan nafsu.

Dalam masa yang sama, bila berjaga dari wabak seperti situasi COVID-19 ini pastikan keberadaan di dalam rumah diisi dengan aktiviti berfaedah dan perkara yang baik, bukannya dengan hal-hal maksiat atau apa apa yang mendatangkan dosa di sisi Allah SWT.

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2UHKKtR

Comments