RESPON KITA TERHADAP COVID-19

 RESPON KITA TERHADAP COVID-19



▪️Jaga Kebersihan Pada Tahap Tinggi


Kepentingan menjaga kebersihan amat dititik beratkan dalam Islam. Islam tidak hanya sekadar menyuruh umatnya menjaga kebersihan luaran malah kesucian dalam turut dipertegaskan. Malahan, bersih dan suci menjadi topik awal dalam pengajian fiqh ibadah kerana menjadi syarat kepada sah dan kesempurnaan sesuatu ibadah.


Firman Allah SWT :


 إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلتَّوَّ ٰ⁠بِینَ وَیُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِینَ


Maksudnya :

"SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." - [Surah Al-Baqarah 222]


Di sinilah kita dapat melihat hikmat sesuatu pensyariatan agama Islam sebagai agama yang amat serius dalam hal kebersihan dan penyucian sehingga diletakkan sebagai sebahagian atau cabang dari imam.


Abu Malik Al Haritsy bin ‘Ashim Al ‘Asy’ary meriwayatkan bahawa Rasulullah  SAW bersabda :


الطُّهُوْرُ شَطْرُ اْلإِيْمَانِ


Maksudnya :

"Bersuci sebahagian dari iman." - riwayat Muslim


Malahan saranan sunnah Baginda SAW sendiri apabila seseorang bangun dari tidur untuk membasuh tangannya.


Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ ، فَلَا يَغْمِسْ يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ


“Dan apabila seseorang bangun daripada tidurnya, hendaklah ianya membasuh kedua tangannya 3 kali sebelum ia memasukkannya (tangan) ke dalam bekas yang berisi air (kolam). Kerana sesungguhnya, ia tidak tahu dimana tangannya berada (semasa tidur).”


Dalam isu melibatkan COVID-19, rakyat semua diminta berada dalam keadaan menjaga kebersihan yang tinggi. Yang penting pencucian tangan dipastikan bersih dengan :


i. Cara basuhan yang betul.

ii. Dengan penggunan hand sanitizier. Jika tiada, digantikan dengan pencuci tangan lain sebagai alternatif.


Ini kerana wabak COVID-19 boleh berjangkit menerusi bersentuhan yang mudah biasa menerusi sentuhan tangan ke atas apa yang disentuh. Justeru, rakyat diminta kerap membersihkan tangan terutama apabila menyentuh sesuatu yang menjadi sentuhan orang ramai agar dapat menghindari jangkitan wabak dengan segera dan tidak menular kepada individu lain pula. 


Adapun perbincangan kandungan alkohol dalam hand sanitizer, maka ia telah dijawab oleh para mufti dan ulamak akan keharusannya kerana :


i. Tidak semua alkohol itu arak walaupun dalam arak itu adanya alkohol.

ii. Tidak berlaku proses sebagaimana proses pemerapan penghasilan arak.


▪️Bersegera Dapatkan Pemeriksaan Jika Terdapat Simptom


Nasihat, saranan dan gesaan kepada orang ramai ialah mengambil sikap tanggungjawab dengan kadar segera dalam situasi COVID-19 ini iaitu bersegera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika dirinya terdapat simptom-simptom yang dinyatakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Ini adalah bagi memastikan adalah ia telah dijangkiti wabak atau tidak bagi tindakan susulan rawatan pemulihan atau pencegahan penularan berjangkit kepada orang ramai. Kuarantin secara sukarela bagi suspek amat ditegaskan malah inilah sunnah perubatan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW apabila melibatkan sesuatu wabak yang menular lagi berjangkit.


Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:


إذا سَمِعْتُمْ بالطَّاعُونِ بأَرْضٍ فلا تَدْخُلُوها، وإذا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بها فلا تَخْرُجُوا مِنْها


Maksudnya :

“Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim


Selaku umat Islam khususnya, mendapatkan pemeriksaan dan rawatan adalah sebagai tanda ikhtiyar kita selaku kewajipan seorang hambar dengan mengambil asbab yang berkaitan. Rasulullah SAW sendiri berubat, mengajar cara ikhtiyar dalam berubat serta menyuruh umat berubat.


Abu Darda' meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


إِن الله أنزل الدَّاء والدواء ، وَجعل لكل دَاء دَوَاء ، فَتَدَاوَوْا ، وَلَا تداووا بِمحرم


Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah Taala telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram”. ( HR Abu Dawud)


Justeru simptom COVID-19 sebagaimana yang dikeluarkan penjelasan oleh KKM untuk perhatian orang ramai ialah :


1. Demam dan suhu badan atas 38°

2. Batuk.

3. Kesukaran bernafas.


Maka mana-mana pihak yang terdapat simptom atau gejala di atas mestilah terus mendapatkan pemeriksaan dan rawatan bagj tindakan susulan. 


▪️Jaga Jarak Sosial Dan Elak Berjabat Tangan


COVID-19 merupakan wabak yang mudah berjangkit antara manusia dan juga menerusi sentuhan seperti berjabat tangan. Menjadi satu pencegahan bagi kita memastikan risiko berjangkit dikurangkan dan dicegah dengan :


1. Menjaga jarak sosial.

2. Tidak mengadakan himpunan dan tidak menghadiri.

3. Elakkan dari berjabat tangan.


Kesemua langkah ini merupakan saranan bagi membendung penularan yang boleh berlaku dengan pantas. Apatah lagi kes suspek dari hari ke hari semakin meningkat terutama yang dikesan dari mereka yang terlibat dalam himpunan yang besar. Disebabkan itu, bagi membendung penularan ini agar tidak menjadikan kes lebih melambung maka :


1. Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac - 31 Mac 2020.

2. Titah Raja bagi negeri yang diperintah untuk penangguhan aktiviti dan himpunan yang melibatkan di masjid dan surau dengan tiada solat berjemaah Fardhu dan solat Jumaat diganti dengan solat Zohor.


Saranan di atas adalah bagi memastikan tiada wabak menukar berjangkit yang akhirnya menyakiti orang lain. Wabak COVID-19 tidak sekadar menyakiti malah sudah ada rekod kematian disebabkannya termasuk di Malaysia. Maka ia bukanlah isu kecil tetapi serius yang mesti ditangani dengan tegas dan tuntas.


Malah Islam amat menitik beratkan soal agar tidak melakukan apa-apa yang boleh menyebabkan menyakiti orang lain sekalipun pada bau yang tidak enak. Bayangkan Baginda SAW juga tegas menegur orang yang makan bawang sehingga mulutnya berbau tidak enak dengan gesaan tidak hadir berjemaah di masjid agar tidak menyakiti orang ramai, maka inikan pula wabak yang menular dan boleh mengakibatkan kematian. 


Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


مَنْ أَكَلَ الْبَصَلَ أَوِ الثَّوْمَ أَوِ الْكَرَّاثَ فَلَا يَقْرَبَنْ مَسْجِدَنَا


Maksudnya :

“Barangsiapa yang makan bawang merah, bawang putih atau bawang daun, maka jangan sekali kali mendekat ke masjid kami” - riwayat al-Bukhari


▪️Tidak Keluar Dari Rumah Kecuali Mustahak


Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac - 31 Mac 2020 maka orang ramai perlu sedar bahawa ia bukanlah tempoh sambil lewa dan boleh keluar sesuka hati. Apa yang dikehendaki ialah berada di dalam rumah dengan mengelakkan diri terlibat dalam himpunan dan elak mendekatkan diri aktiviti bersosial pada jarak yang dekat.


Ini tidak lain tidak bukan adalah untuk lebih mencegah penularan wabak COVID-19 selepas berlaku peningkatan kes dari hari ke hari apatah lagi Malaysia telah mencatatkan 2 kematian bagi rekod pertama iaitu seorang dari Johor yang oernah terlibat menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling dan seorang lagi ialah paderi di Sarawak yang pernah ada rekod penyakit kronik.


Jika sayangkan ahli keluarga di kampung, maka elakkan dulu pulang ke kampung kerana dibimbang wabak ini dibawa pulang dari bandar, tempat tinggal ke halaman kampung pula. Jika ini berlaku maka kemudaratan telah semakin meluas.


Malah tegahan dari Allah apa-apa sahaja dari tindakan melakukan kebinasaan. Pengajaran umum dari ayat berikut :


.. وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِینَ


Maksudnya :

".. dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." - [Surah Al-Baqarah 195]


Dalam Islam sebarang kemudaratan mestilah dilenyapkan. Ini kerana Islam datang membawa maslahat. Maka kemudaratan adalah haram dan mesti dilenyapkan kerana kemudaratan membawa kepada kehancuran, kebinasaan dan kesengsaraan.


Kaedah fiqh menyebutkan :


الضرر يزال


Maksudnya : "Kemudaratan mesti dilenyapkan".


▪️Tolong Kempen Kesedaran Pada Orang Ramai


Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai mesti bergabung tenaga, bekerjasama dan saling membantu untuk menghadapi wabak COVID-19 ini agar menghasilkan petunjuk ke arah yang positif. Peranan kerajaan memastikan komunikasi penyampaian maklumat dan koordinasi dalam menyusun langkah dan strategi sampai ke pihak rakyat dengan baik dan semampu mungkin.


Rakyat juga mesti sahut dan menjadi agen penerangan secara sukarela kepada orang ramai bagi menjayakan sekarang ini Perintah Kawalan Pergerakan. Suasana panik akan berlaku apabila :


1. Informasi sebenar tidak sampai.

2. Penyebaran info bukan dari sumber autoriti.

3. Tidak mematuhi arahan semasa.

4. Bertindak sendiri tanpa memikirkan soal kepentingan orang ramai.


Firman Allah SWT :


قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَىٰ شَاكِلَتِهِۦ


Maksudnya :

"Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing". [Surah al-Isra' : 84


Situasi sekarang perlulah semua pihak untuk :


i. Usah mempolitikkan isu, tumpu kerja memelihara maslahat umum.

ii. Usah menuding jari salah siapa, tumlu kerjasama bersama yang memberi impak yang besar.

iii. Sentiasa menjadi orang yang cakna, peka dan menyampaikan info dengan berkesan.

iv. Gembleng tenaga membantu menjayakan kempen kesedaran secara meluas.


Firman Allah SWT :


وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ


Maksudnya :

"Dan hendaklah saling tolong menolong atas kebajikan dan taqwa dan jangan tolong menolong atas dosa dan peemusuhan." - Surah al-Maidah : 2


Abu Mas'ud al-Ansori meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


من دل على خير فله مثل أجر فاعله


Maksudnya :

"Sesiapa yang menunjukkan atas sesuatu kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya" - riwayat Muslim


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman


Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/39jSjw7

Comments