Merdeka : Pertimbangan Yang Adil Memahami Kebangsaan

 Merdeka : Pertimbangan Yang Adil Memahami Kebangsaan


▪️
Kaum dan Perkauman Itu Berbeza

Kaum, bangsa serta etnik yang pelbagai merupakan kejadian Allah atas kejadian manusia yang mempunyai hikmah tersendiri. Bila sebut kaum, ia merujuk kepada kejadian, namun nila sebut perkauman ia merujuk ideologi yang mempengaruhi tindakan.

Seringkali kita terbabas dalam perbahasan apabila gagal membezakan 2 terma ini dengan jelas. Akhirnya wujud kelompok yang ekstrim sama ada belah kanan atau belah kiri.

Allah sendiri menyebutkan kejadian manusia yang pelbagai merangkumi kaum dan bangsa yang berbeza-beza.

Firman Allah SWT :
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ

Maksudnya :
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." - [Surah Al-Hujurat : 13]

Sedangkan perkauman yang membawa makna rasis lebih tertumpu kepada makna asobiyah yang terlarang. Ini kerana kita fahami bahawa asobiyah yang terlarang apabila kita tetap berpihak pada kaum kita sekalipun berada atas dalam landasan kezaliman dan kebatilan.

Rasulullah SAW bersabda :
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّة وليس منا من قاتل علي عصبية وليس منا من مات علي عصبية

Maksudnya :
”Bukan termasuk umatku siapa saja yang menyeru orang pada asabiyah, bukan dari golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan dari golongan kami orang yang mati kerana asabiyah.” - riwayat Abu Daud

Di dalam Hadis yang lain, Nabi S.A.W ditanya;

يا رسول الله, أمن العصبية أن يحب الرجل قومه؟

Maksudnya :
“Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyyah?”
لا، ولكن من العصبية أن يعين الرجل قومه على الظلم

“Sabda Baginda : “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman.” - riwayat Ibnu Majah

▪️
Kebangsaan Merujuk Identiti, Jangan Membentuk Ideologi

Semangat kebangsaan yang ditanam bagi menzahirkan identiti rakyat sesebuah negara tidak bermasalah. Ini kerana setiap rakyat perlu memiliki jatidiri yang selari dengan identiti negara mereka. Setiap negara ada identiti yanh tersendiri.

Namun jika semangat kebangsaan itu merujuk kepada pembentukan satu ideologi maka ia bermasalah. Pembentukan ideologi ini akan mempengaruhi tindakan yang melampaui batas yang hanya mementingkan blok kebangsaannya semata-mata.

Islam tidak halang umatnya mencintai akan negara mereka. Ini kerana negara adalah "rumah besar" bagi masyarakat yang ramai berlindung di dalamnya. Ia menjadi nikmat.

Ibn Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W pernah berkata pada Makkah:

مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ، وَأَحَبَّكِ إِلَيَّ، وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ

Maksudnya :
“Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, pasti aku tidak akan tinggal di tempat selain daripadamu.” - riwayat at-Tirmizi

▪️
Semangat Perkauman Penghalang Perpaduan Nasional

Apabila setiap kaum hanya berjuang demi kaumnya sematanya tanpa ada semangat kebangsaan maka inilah namanya perkauman. Semangat perkauman sebegini akan menghalang proses perpaduan nasional.

Perlu ingat kepelbagaian yang wujud tidak hanya merujuk kepada keunikan namun ia menjadi potensi besar kepada perpecahan jika tidak diurus dengan baik. Bahkan dengan mengekalkan identiti kaum masing-masing di peringkat sosial apa yang berlaku sahaja proses kesepaduan, belum lagi perpaduan. Namun untuk memastikan identiti negara dihayati oleh setiap kaum mestilah dengan proses perpaduan.

Semangat kebangsaan yang ada pada setiap negara moden zaman ini ialah memastikan setiap rakyat mereka mempamerkan identiti negara secara selaras. Bagi Malaysia, imej melayu mendominasi kepada semangat kebangsaan dan identiti negara kerana faktor :

1. Sejarah asal negara ini iaitu semenanjung Tanah Melayu.
2. Dominasi kaum Melayu pada bilangan majoriti.
3. Peruntukan jelas dalam Perlembagaan seperti Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan.
4. Institusi Beraja yang terdiri dari Raja-raja Melayu masih dikekalkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

Disebabkan itu, jika kaum minoriti yang ada dalam negara ini masih lagi mengekalkan sangat perkauman hanya akan menjadi penghalang kepada perpaduan nasional. Lebih teruk lagi apabila tiada semangat kebangsaan dan menjadikan negara luar "asal keturunan" generasi mereka sebagai negara ibunda atau negara Bangsa bagi mereka, ia akan menjurus kepada kecenderungan pengkhinatan yang boleh tercetus.

Sebab itu, tercetus rusuhan kaum dan ketegangan hubungan antara kaum ini ekoran tidak ada semangat kebangsaan bersama. Masakan tidak, jika penekanan kefasiham Bahasa Melayu diabaikan, silibus sejarah asal Malaysia tidak dipenuhi malah tidak menerima imej Melayu sebagai identiti pembentukan negara Bangsa.

▪️
Huru-hara Dalaman Kerana Tiada Semangat Kebangsaan

Sesebuah negara boleh bergolak apabila tidak wujud semangat kebangsaan. Berpaling tadah dengan tidak memberikan kecintaan kepada negara untuk dipertahankan. Bayangkan akan rakyat menjadi pembelot negara apabila menjual rahsia dalaman negara kepada pihak luar.

Sedangkan sirah Rasulullah SAW menunjukkan betapa tegasnya terhadap sikap pengkhianatan terhadap negara. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah SAW isytihar perang kepada Yahudi Bani Nadhir dan Bani Quraizah yang menjadi pengkhianat negara kerana berperancangan bersekongkol dengan musuh luar negara.

Bagi kita yang merupakan umat Islam, selagimana sesuatu perkara itu tidak bercanggah dengan prinsip, dasar dan syariat maka ia dibolehkan apatah lagi realiti di negara kita yang memperuntukkan potensi besar kepada hal ehwal agama Islam. Sekalipun terdapat beberapa lagi usaha baik untuk mengangkat dan memartabatkan syariat Islam dan ianya memakan masa secara berperingkat dan usaha berterusan yang teguh.

Asasnya dalam menyatukan umat Islam yang solid ialah :

1. Agama Islam
2. Seruan kepada taqwa dan kebaikan

Manakala dalam mengajak kaum yang bukan Islam ialah dengan unsur perpaduan nasional serta penerapan semangat kebangsaan dengan identiti negara Bangsa yang jelas.

.

Disediakan oleh :
Dr Muhamad Zuhaili bin Hj Saiman

Comments