KEDUDUKAN MIMPI


KEDUDUKAN MIMPI


1. Mimpi boleh jadi mainan syaitan dan juga boleh jadi berita gembira, jika mimpi berjumpa Rasulullah SAW dan juga berjumpa para auliya.

2. Mimpi bukan untuk dibuat cerita kepada khalayak apatah lagi penghujahan dalam sesuatu hukuman dan tindakan. Ini kerana justifikasi kebenaran terhadap mimpi mudah dipertikai dan sangsi.

3. Mimpi yang baik ialah pengajaran kepada si pemimpi tersebut. Bangkit dari tidur semakin rajin beribadah, insaf kelemahan lalu dan perbaiki diri untuk jadi lebih bertaqwa.

4. Mimpi yang buruk ialah apabila si pemimpi bangkit dari tidur semakin mengarut. Dakwa itu dan ini, seakan hanya dia memiliki kerahsiaan. Ini mainan syaitan menyesatkan manusia.

5. Mimpi tidak perlu heboh sama ada anda mimpi sesuatu yang membawa berita baik atau mimpi yang karut mainan syaitan.

6. Mimpi bukan hujah, ini yang ditegaskan oleh Imam Syahid Hassan al-Banna. Mimpi bukan jawapan magik kepada permasalahan semasa, ini kerana pertelingkahan dalam zaman sahabat juga bukan diselesaikan dengan cara bermimpi tetapi diselesaikan dengan cara muzakarah, muhasabah, mujadalah dan syura.

7. Jangan terpengaruh orang yang menceritakan mimpi mereka. Jika benar sekalipun "tetap boleh dipertikai kebenarannya" apatah lagi mimpi yang jelas-jelas karut lagi penipuannya.

8. Ajaran yang beriorientasikan mimpi jelas sesat. Perlu dibendung. Malah jika dakwaan ajaran sesuatu agama menerusi mimpi maka itu benar-benar penunggang agama.

9. Hanya mimpi yang tidak boleh dikacau oleh syaitan ialah mimpi para Nabi sahaja. Malah salah satu kaedah wahyu disampaikan kepada para Nabi selain Jibrail datang bersemuka ialah para Nabi perolehi dari mimpi yang benar.

10. Jika ada mimpi, diam-diam sahaja. Kerana mimpi bukan untuk dihebohkan. Jika mimpi itu dari mainan syaitan, usah dipercayai, ambil wudhuk dan dirikan ibadah, moga terhindar. Jika mimpi yang baik, jadikan motivasi diri untuk semakin lebih baik dan dekat kepada Allah.

.

Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments