Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi : Ayat 3 - 5

 



Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi : Ayat 3 - 5

Firman Allah SWT :

مَّـٰكِثِینَ فِیهِ أَبَدࣰا ۝ وَیُنذِرَ ٱلَّذِینَ قَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدࣰا ۝ مَّا لَهُم بِهِۦ مِنۡ عِلۡمࣲ وَلَا لِـَٔابَاۤىِٕهِمۡۚ كَبُرَتۡ كَلِمَةࣰ تَخۡرُجُ مِنۡ أَفۡوَ ٰ⁠هِهِمۡۚ إِن یَقُولُونَ إِلَّا كَذِبࣰا

Maksudnya :
Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya. Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:" Allah mempunyai anak". (Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta. - [Surah Al-Kahf 3 - 5]

🔰
Tadabbur :

📌
Ayat ketiga menyambung perihal bagi ganjaran baik yang diterima oleh orang beriman dan beramal soleh sewaktu di dunia iaitu kekal ditempatkan di dalam syurga. Ini adalah sebaik-baik tempat kembali. Dunia hanyalah tempat persinggahan untuk beramal, akhirat jua tempat kita kembali. Hanya dua sahaja sama ada syurga mahupun neraka, nauzubillahi min zalik.

📌
Inilah kebahagiaan yang kekal dan sebenarnya sekalipun di dunia kita diuji dan diberikan cubaan yang
hebat
. Apa jua situasi kita di dunia ini, penentu kepada kebahagiaan kita ialah iman dan amal soleh.

📌
Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi menyatakan di dalam kitab "Iman dan Kehidupan" antara kesilapan umat Islam dalam memahami kehidupan ialah mereka merasakan apabila mereka tidak diuji maka mereka adalah orang yang tenang dengan menganggap ujian di dunia hanyalah bersifat bala. Sedangkan oara Rasul dan Nabi golongan paling
hebat
diuji oleh Allah. Maka ketenangan sebenarnya bukanlah mereka tidak diuji tetapi mereka yang mempunyai hati sentiasa mengingati Allah sama ada dalam waktu senang mahupun susah.

📌
Orang beriman apabila yakin dan menghayati sungguh ganjaran syurga maka dunia tidaklah mengecewakan mereka dan tidak juga menggoda mereka. Ini kerana apa sahaja yang berlaku atas dunia adalah bertempoh, tidak kekal. Yang paling utama kita melengkapkan diri untuk memperolehi ganjaran baik ditempatkan dalam syurga.

📌
Kemudian Allah menemplak golongan kafir yang mensyirikkan Allah dengan mendakwa Allah mmepunyai anak. Dalam ayat al-Quran yang lain, Allah menjelaskan bagaimana dakwaan tidak berasas golongan yang mendakwa Allah memiliki anak antaranya :

1. Nasrani mendakwa Nabi Isa anak Allah.
2. Yahudi mendakwa Uzair anak Allah.
3. Musyrikin mendakwa malaikat anak perempuan Allah.

📌
Kesemua dakwaan tersebut adalah batil dan tidak berasas sama sekali. Mereka menyangka Allah seperti makhluk yang berhajat kepada anak atau legasi sedangkan Maha Suci Allah dari segala yang tidak layak ke atas-Nya.

📌
Memiliki anak adalah fitrah manusia dan sebagai tanda manusia itu bersifat lemah kerana :

1. Anak sebagai penyambung legasi, bermakna kita hidup tidak kekal.
2. Bila ada anak bermakna ada tempoh. Anak muda, ibu bapa tua. Maka tua adalah tempoh akhir dalam perkiraan, ia terdedah kepada binasa.

📌
Antara asas dakwah Islam ialah memberikan amaran kepada mereka yang menyekutukan Allah. Ia bermaksud :

1. Mengajak manusia mentauhidkan Allah.
2. Membela dan mempertahankan kesucian Allah dari dakwaan batil.

📌
Allah menegaskan dakwaan mereka adalah tidak berasaskan ilmu dan bukan juga dari tradisi atau turun temurun yang sebenar. Ini kerana asal keturunan manusia ialah mengabdikan diri kepada Allah. Apa yang mereka terima adalah perkara yang sudah diselewengkan oleh tangan yang tidak bertanggungjawab.

📌
Umat terdahulu mereka melakukan penyelewengan terutama selepas kewafatan para Rasul. Namun istimewa bagi umat Rasulullah SAW, telah dijanjikan oleh Allah bahawa al-Quran dan syariat ini akan dipelihara oleh Allah SWT sekalipun musuh-musuh cuba untuk menyelewengkannya.

📌
Ayat kelima juga mendidik kita secara umum untuk berhati-hati dan tidak mengeluarkan sesuatu tanpa berasaskan ilmu dan tanpa asal usul periksa. Apatah lagi di zaman dunia tanpa sempadan hari ini, apa yang kita sebutkan bukan hanya mereka di sekeliling kita akan mendengar malah zaman kini satu dunia boleh dapati. Kita penipuan yang dilakukan maka sebaran sangat meluas sehingga tidak terjangkau.

📌
Oleh itu, Islam mestilah berasaskan ilmu dan asal usul yang benar. Para ulama menyatakan kekuatan ketulenan Islam ialah pada sanad, ini kerana jika tidak manusia akan bercakap apa sahaja yang mereka mahukan ke atas agama ini.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments