Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi ayat 13 - 15




Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi ayat 13 - 15

Firman Allah SWT :

نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَیۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّهُمۡ فِتۡیَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدࣰى ۝ وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَا۟ مِن دُونِهِۦۤ إِلَـٰهࣰاۖ لَّقَدۡ قُلۡنَاۤ إِذࣰا شَطَطًا ۝ هَـٰۤؤُلَاۤءِ قَوۡمُنَا ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦۤ ءَالِهَةࣰۖ لَّوۡلَا یَأۡتُونَ عَلَیۡهِم بِسُلۡطَـٰنِۭ بَیِّنࣲۖ فَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبࣰا

Maksudnya :
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah. - [Surah Al-Kahfi 13 - 15]

🔰
Tadabbur :

📌
Kisah pemuda al-Kahfi ini diceritakan oleh Allah menerusi wahyu-Nya kepada Rasulullah SAW. Sebab nuzul apabila orang Yahudi bertanya kepada Rasulullah SAW bagi menguji Rasulullah SAW jika benar kerasulan Baginda SAW.

📌
Allah menjelaskan kriteria watak bagi kisah al-Kahfi ini sebagaimana berikut :

1. Kalangan pemuda.
2. Beriman kepada Allah.
3. Tidak bersetuju dengan suasana kufur yang berlaku dalam masyarakat.
4. Tegas mempertahankan akidah.

📌
Ketegasan dalam mempertahankan akidah merupakan prinsip. Ini antara pengajaran menerusi kisah ini. Ini kerana akidah sejak dari zaman Nabi Adam sehingga rasul terakhir Nabi Muhammad SAW adalah sama iaitu mentauhidkan Allah, mengabdikan diri kepada Allah tidak selain-Nya.

📌
Zaman bagi pemuda al-Kahfi ini terdapat perbezaan pandangan kalangan ahli tafsir iaitu :

1. Berlaku sebelum zaman Nabi Isa dibangkitkan. Kisah ini ada dinyatakan dalam kitab Taurat cuma tidak diperincikan waktunya.
2. Berlaku selepas zaman Nabi Isa dibangkitkan. Kisah ini tidak terdapat dapat kitab Taurat mahupun Injil.
3. Ada yang berpandangan, pemuda al-Kahfi ketika memasuki gua ditidurkan adalah sebelum kebangkitan Nabi Isa namun mereka dibangkitkan dari tidur selepas zaman Nabi Isa dibangkitkan.

📌
Terdapat kajian sejarah, yang mengikut pandangan zaman berlaku adalah selepas beberapa ratus tahun Nabi Isa dibangkitkan, bahawa zaman itu pemuda al-Kahfi hidup pada masa Raja Decius dari Rom. Raja dan rakyat ketika itu menyembah berpahala sedangkan pemuda al-Kahfi mengikuti ajaran peninggalan Nabi Isa iaitu mentauhidkan Allah.

📌
Jelas dalam ayat al-Quran bahawa ketegasan pemuda al-Kahfi meninggalkan masyarakat tempat mereka kerana kerosakan syirik iaitu menyembah beberapa tuhan.

📌
Dalam hal ini, situasi pemuda al-Kahfi adalah tidak menguasa suasani kerana faktor bilangan yang sedikit dan tidak mempunyai kuasa maka langkah yang
terbaik
ialah mengasingkan diri dan mempertahankan akidah. Ini situasi yang mana kerosakan telah berlaku berleluasa dan menguasai.

📌
Mereka bukan melarikan diri dari tanggungjawab tetapi situasi yang berlaku ialah mempertahankan akidah dari kerosakan menjadi benteng utama dan pergi ke gua adalah jalan terakhir.

📌
Adalah menjadi salah faham jika kisah ini menjadikan kita lari dari tanggungjawab dakwah dan kerja Islam atas alasan mempertahankan akidah kerana situasi di zaman pemuda al-Kahfi ketika itu sudah terlalu rosak dan dikuasai oleh kerosakan apabila raja mereka sendiri kufur dan syirik kepada Allah.

📌
Dalam konteks ini beberapa pengajaran dalam jalan dakwah ialah :

1. Mempertahankan akidah dan menyeru masyarakat kembali mentauhidkan Allah.
2. Jangan terpengaruh dengan kerosakan sekeliling, jauhi dari kerosakan yang mempengaruhi.
3. Orang beriman mesti berjemaah, bergerak sama, dengan meribatkan hati-hati mereka dalam keimanan kepada Allah.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments