Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi ayat 19 - 21

 


Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi ayat 19 - 21

Firman Allah SWT :

وَكَذَ ٰ⁠لِكَ بَعَثۡنَـٰهُمۡ لِیَتَسَاۤءَلُوا۟ بَیۡنَهُمۡۚ قَالَ قَاۤىِٕلࣱ مِّنۡهُمۡ كَمۡ لَبِثۡتُمۡۖ قَالُوا۟ لَبِثۡنَا یَوۡمًا أَوۡ بَعۡضَ یَوۡمࣲۚ قَالُوا۟ رَبُّكُمۡ أَعۡلَمُ بِمَا لَبِثۡتُمۡ فَٱبۡعَثُوۤا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمۡ هَـٰذِهِۦۤ إِلَى ٱلۡمَدِینَةِ فَلۡیَنظُرۡ أَیُّهَاۤ أَزۡكَىٰ طَعَامࣰا فَلۡیَأۡتِكُم بِرِزۡقࣲ مِّنۡهُ وَلۡیَتَلَطَّفۡ وَلَا یُشۡعِرَنَّ بِكُمۡ أَحَدًا ۝ إِنَّهُمۡ إِن یَظۡهَرُوا۟ عَلَیۡكُمۡ یَرۡجُمُوكُمۡ أَوۡ یُعِیدُوكُمۡ فِی مِلَّتِهِمۡ وَلَن تُفۡلِحُوۤا۟ إِذًا أَبَدࣰا ۝ وَكَذَ ٰ⁠لِكَ أَعۡثَرۡنَا عَلَیۡهِمۡ لِیَعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقࣱّ وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ لَا رَیۡبَ فِیهَاۤ إِذۡ یَتَنَـٰزَعُونَ بَیۡنَهُمۡ أَمۡرَهُمۡۖ فَقَالُوا۟ ٱبۡنُوا۟ عَلَیۡهِم بُنۡیَـٰنࣰاۖ رَّبُّهُمۡ أَعۡلَمُ بِهِمۡۚ قَالَ ٱلَّذِینَ غَلَبُوا۟ عَلَىٰۤ أَمۡرِهِمۡ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَیۡهِم مَّسۡجِدࣰا

Maksudnya :
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. "Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya". Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka". - [Surah Al-Kahfi 19 - 21]

🔰
Tadabbur :

📌
Kisah selepas pemuda al-Kahfi dibangkitkan dari tidur yang ratusan tahun menunjukkan :

1. Mereka tidak tahu berapa lama mereka telah tidur.
2. Mereka menyangka tempoh tidur 1 hari setengah, 1 hari atau setengah hari.
3. Walaupun ratusan tahun, namun jasad dan rambut serta bulu di badan mereka dipelihara oleh Allah kerana itu mereka tidak sangka tidur ratusan tahun.

📌
Kekuasaan Allah menerusi kisah ini bukan sekadar mereka tidur ratusan tahun tapi proses perkembangan pada jasad dan pertumbuhan rambut serta bulu juga dikuasai oleh Allah menjadikan mereka rasa tempoh yang sekejap bukan lama apatah lagi tempoh yang mustahil pada akal dan adat manusia iaitu ratusan tahun.

📌
Kuasa Allah tidak terikat dengan peraturan alam dan adat serta akal manusia. Allah Maha Berkuasa. Justeru kisah pemuda ini walaupun menakjubkan para Yahudi namun takjub mereka bukan pada kuasa Allah tetapi kerana kisah itu disebut oleh nenek moyang mereka. Ity sahaja. Jika benar takjub pada kuasa Allah nescaya mereka akan tunduk, patuh dan beriman kepada Allah kerana terlalu banyak kuasa Allah di alam ni termasuk ke atas diri kita.

📌
Sifat pemuda al-Kahfi ialah pemilihan makanan yang halal lagi baik. Ini jelas aoabila perbincangan mereka mewakilkan seseorang keluar dari gua mencari makanan di lapar. Pesanan yang jelas halal lagi baik.

📌
Masalah manusia hari ini apabila mengabaikan atau menganggap remeh isu halal dan baik iaitu tayyiban. Maka berlakulah banyak penyakit dari sumber perut iaitu hasil pemakanan yang tidak sihat.

📌
Orang beriman tidak boleh ambil ringan isu pemakanan. Ini kerana :

1. Soal dosa pahala yang melibatkan status halal.
2. Soal kecerdasan dan kecergasan yang melibatkan status toyyiban.

📌
Setibanya wakil pemuda al-Kahfi di pasar dalam keadaan berhati-hati bagi mengelakkan ditangkap oleh raja zalim di zaman mereka berlakulah dialog dengan penjual kerana wang perak yang dibawanya adalah dari kurun terdahulu iaitu 309 tahun sebelumnya. Apabila dibawa menghadap penguasa dan dilakukan dialog jelas mereka baru sedar suasana telah berubah setelah 309 tahun.

📌
Suasana ketika itu penguasa dari kalangan orang yang baik. Allah telah menggantikan dari raja yang zalim terdahulu. Ini juga kuasa Allah. Dia mengangkat sesiapa yang Dia kehendaki, dan menerunkan sesiapa yang Dia kehendaki. Tidak ada raja atau kerajaan yang akan kekal selama-lamanya.

📌
Di pengakhiran kisah ini, mereka kesemua dijemput oleh raja untuk tinggal di dalam istana namun ditolak kerana mereka beranggapan mahu pulang semula ke gua dan cukuplah hayat mereka yang telah melalui zaman berkurun. Mereka berdoa kepada Allah kemudiannya mereka kembali kepada Allah.

📌
Berlaku perbincangan ada yang mahu didirikan bagi memperingati kisah takjub ini setelah kematian pemuda al-Kahfi. Ada yang mencadangkan patung. Namun akhirnya pihak istana mencadangkan didirikan masjid di sebelah gua agar tujuannya manusia membesarkan Allah.

📌
Pengajaran dari cadangan pembinaan di atas ialah :

1. Perkara takjub berlaku dengan kuasa Allah maka manusia perlu membesarkan Allah.
2. Jangan hanya fokus perkara takjub sehingga tidak "nampak" pengajaran yang Allah berikan agar manusia tunduk dan kembali kepada ajaran Allah.
.
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments