Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi ayat 22




Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi ayat 22

Firman Allah SWT :

سَیَقُولُونَ ثَلَـٰثَةࣱ رَّابِعُهُمۡ كَلۡبُهُمۡ وَیَقُولُونَ خَمۡسَةࣱ سَادِسُهُمۡ كَلۡبُهُمۡ رَجۡمَۢا بِٱلۡغَیۡبِۖ وَیَقُولُونَ سَبۡعَةࣱ وَثَامِنُهُمۡ كَلۡبُهُمۡۚ قُل رَّبِّیۤ أَعۡلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا یَعۡلَمُهُمۡ إِلَّا قَلِیلࣱۗ فَلَا تُمَارِ فِیهِمۡ إِلَّا مِرَاۤءࣰ ظَـٰهِرࣰا وَلَا تَسۡتَفۡتِ فِیهِم مِّنۡهُمۡ أَحَدࣰا

Maksudnya :
(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).
[Surah Al-Kahfi 22]

🔰
Tadabbur :

📌
Terdapat perselisihan jumlah pemuda al-Kahfi oleh orang terdahulu dan juga kalangan ahli kitab sendiri kepada 3 pendapat iaitu :

1. 3 pemuda + 1 anjing
2. 5 pemuda + 1 anjing
3. 7 pemuda + 1 anjing

📌
Allah menjelaskan mereka berselisih pandangan dan yang hanya mengetahui secara spesifik hanyalah Allah. Ini menunjukkan beberapa hal penting sebagai pengajaran :

1. Allah Maha Mengetahui manakala ilmu manusia terbatas apatah lagi jika membincangkan sesuatu yang mereka tidak mampu capai dengan pancaindera mereka kerana bukan di zaman tersebut.

2. Sekalipun al-Quran tidak memperincikan kerana sifat al-Quran sebagai panduan bagi mendidik manusia bahawa yang paling utama dalam sesuatu kisah ialah pengajaran, bukan sekadar rigid nombor dan angka.

3. Pendapat yang kuat mengatakan pendapat ke-3 iaitu 7 pemuda dan 1 anjing kuat kerana pada perselisihan pendapat 1 dan 2 Allah nyatakan diakhirnya keadaan رَجۡمَۢا بِٱلۡغَیۡبِۖ iaitu mereka meraba-raba dalam kegelapan sesuatu yang tidak diketahui menunjukkan mereka sekadar mengagak sahaja. Sedangkan bila disebutkan bilangan 7 pemuda dan 1 anjing tidak dikaitkan sebagaimana pendapat 1 dan 2.

📌
Maka Allah memperingatkan kepada Rasulullah SAW dan menjadi teladan kepada kita dalam berbahas dengan sesiapa maka ada dua keadaan :

1. Berbahas yang mendatangkan faedah apabila perbahasan secara ilmiah dan mempunyai hujah.
2. Berbahas yang sia-sia apabila berbahas dengan seseorang yang tiada hujah dan sekadar mengagak dan sangka-sangka.

📌
Di sinilah perlu kita memahami bahawa Islam agama yang retorik, bukan bersifat khayalan dan sentimental. Allah mendidik manusia bercakap dalam keadaan yang tahu nerdasarkan hujah bukan sebagaimana masyarakat musyrikin atau ahli kitab yang hanya bercakap atas sangkaan dan kemudiaan menisbahkan pada nenek moyang dan orang terdahulu, sedangkan bukan sedemikian.

📌
Begitulah pada hari ini, ramai orang cakna kepada agama itu bagus, namun kalau smeua bercakap mengenai agama tanpa hujah dan hanya sekadar sangka-sangka serta emosi maka itu boleh mendatangkan kerosakan.

📌
Dalam perkara ghaib iaitu sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh pancaindera maka mestilah mempunyai dalil dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyatakannya.

📌
Dari sudut perbahasan yang membawa perbezaan maka ada dua keadaan :

1. Perbezaan kerana kejahilan maka itu perlu diubati dengan kefahaman ilmu yang jelas.
2. Perbezaan kerana sikap maka itu perlu dibersihkan hati agar kembali kepada displin dan kebenaran.
3. Perbezaan kerana penghujahan yang benar maka perbezaan sebegini adalah rahmat yang Allah kehendaki kepada hamba-Nya untuk memikirkan soal hikmah.

📌
Justeru, kisah pemuda al-Kahfi ini sangat memberikan pengajaran kepada kita malah ia dirakamkan oleh Allah sebagai jawapan pertanyaan yang ditanya kepada Rasulullah SAW dalam menguji kebenaran kerasulan Baginda SAW. Ternyata Rasul yang benar sahaja mampu menjawabnya dan Rasulullah SAW menjawabnya menerusi penurunan wahyu dari Allah ini ynag Maha Mengetahui akan sekalian sama ada yang zahir serta ghaib.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments