Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi ayat 23 - 24

 



Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi ayat 23 - 24

Firman Allah SWT :
وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟یۡءٍ إِنِّی فَاعِلࣱ ذَ ٰ⁠لِكَ غَدًا ۝ إِلَّاۤ أَن یَشَاۤءَ ٱللَّهُۚ وَٱذۡكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِیتَ وَقُلۡ عَسَىٰۤ أَن یَهۡدِیَنِ رَبِّی لِأَقۡرَبَ مِنۡ هَـٰذَا رَشَدࣰا
Maksudnya :
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini". - [Surah Al-Kahfi 23 - 24]

🔰
Tadabbur :

📌
Dalam dua ayat ini Allah mengajar manusia menerusi didikan ke atas Rasulullah SAW agar menyebutkan "إن شاء الله" dalam sesuatu urusan yang dilakukan. Ini kerana perkara mendatang adalah di luar kawalan manusia. Manusia hanya merancang dan Allah menentukan.

📌
Manusia boleh optimis dalam sesuatu perancangan namun dalam masa yang sama manusia jangan lupa izin Allah dalam menentukan segala sesuatu. Dengan kata yang lain, manusia usaha atas ikhtiyar yang dikurniakan Allah dan manusia juga tidak sombong dengan usahanya sendiri kecuali kembali berpaut pada Allah.

📌
Dalam sebab turun dua ayat ini ialah apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai kisah pemuda al-Kahfi. Mereka yang bertanya bagi menguji kerasulan Rasulullah SAW. Jika benar Baginda seorang Rasulullah SAW maka sudah pasti Baginda SAW akan dapat menceritakannya.

📌
Ketika Baginda SAW ditanya, Baginda SAW menjawab esok akan dijawab dengan keyakinan Baginda SAW bahawa Allah akan menurunkan wahyu mengenai hal ini esok. Namun berlanjutan sehinggalah 15 hari barulah diturunkan wahyu dan ayat ini diturunkan bagi mendidik bahawa setiap perkara jangan dilupai alan izin Allah, maka sebutlah إن شاء الله.

📌
Perlu diketahui, bukanlah Rasulullah SAW tidak menyebut dengan sengaja kerana Rasulullah SAW adalah insan yang kaya dengan adab dan akhlak yang tinggi. Namun pada ketika itu, pensyariatan dalam menyebut إن شاء الله sebagai adab belum wujud sehinggalah ayat ini diturunkan.

📌
Maka teguran Allah ini bukan bersifat merendahkan Rasulullah SAW dan juga bukan bermaksud Baginda SAW melakukan sesuatu yang kurang. Akan tetapi Allah memilih menerusi batang tubuh Rasulullah SAW untuk dijadikan teladan kepada manusia dalam pensyariatan berbentuk adab ini bagi masa akan datang yang sebelum ini tiada lagi.

📌
Maka sayugia kita selaku umat Baginda SAW mengucapkan إن شاء الله dalam apa jua urusan kita yang mendatang sebagai :

1. Adab kita dengan Allah.
2. Tamda kita berpaut pada Allah.
3. Tanda kita hanya ikhtiyar namun terserah pada Allah izinkan sesuatu itu terjadi.

📌
Dalam kehidupan manusia, kita tidak lari dari :

1. Kita rancang, Allah izinkan ia terjadi.
2. Kita rancang, Allah taqdir sesuatu sesuatu selainnya.
3. Kita tidak rancang, namun tetap terjadi atas kehendak Allah.

📌
Maka betapa lemahnya manusia ini. Justeru, dalam kita disuruh berusaha namun bukan kita disuruh berpaut pada usaha kita tetapi mesti kembali berpaut kepada Allah atas izin dan ketetapan-Nya.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments