Tadarus N Tadabbur
Surah a-Kahfi ayat 7-8
Firman Allah SWT :
إِنَّا جَعَلۡنَا مَا عَلَى ٱلۡأَرۡضِ زِینَةࣰ لَّهَا لِنَبۡلُوَهُمۡ أَیُّهُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلࣰا وَإِنَّا لَجَـٰعِلُونَ مَا عَلَیۡهَا صَعِیدࣰا جُرُزًا
Maksudnya :
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus. - [Surah Al-Kahf 7 - 8]
Tadabbur :
Allah menjadikan dunia sebagai tempat tinggal manusia yang dipenuhi dengan pelbagai perhiasan. Dari sudut kejadian dalam bumi dan juga makanan minuman serta ditundukkan alam ini bagi memudahkan manusia menerokai dan mengambil manfaat darinya. Kesemuanya ini menjadi tanda belas kasihan Allah atas manusia secara umum di samping ia juga menjadi ujian kepada manusia.
Ujian kenikmatan ialah sama ada manusia mensyukuri dengan menggunaman nikmat tersebut untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan membuahkan manfaat atau mengkufuri nikmat dengan mengguna pakai nikmat tersebut ke arah maksiat dan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhajul Abidin menyatakan pujian hamdalah adalah salah satu tanda syukur bukan semata-mata bersyukur. Makna kata ucapan hamdalah tanda syukur menerusi lisan namun mesti disempurnakan dengan amalan yang membawa diri lebih dekat dengan Allah menerusi menggunakan nikmat yang diberikan.
Manusia yang hanya melihat zahir dunia maka akan terpedaya. Inilah pandangan orang kafir. Mereka hanyut dengan materialistik dan apa sahaja gambaran zahir kenikmatan tanpa membawa diri mereka merenung kepada Pemberi Nikmat iaitu Allah. Salah satu sifat Allah ialah mun'im (منعم) iaitu Pemberi Nikmat.
Orang mukmin melihat dunia dengan bersekali batin iaitu tidaklah terpedaya dengan perangkat zahir dunia. Ini kerana dunia adalah tempat sementara untuk beramal. Dunia merupakan jambatan menuju ke akhirat. Dunia merupakan satu alam yang disinggah oleh manusia sebelum meneruskan perjalanan ke alam-alam seterusnya.
Ujian Allah ke atas manusia untuk memperlihatkan sebagai bukti dan ketelusan dalam perhitungan di akhirat kelas siapa kalangan manusia yang lebih baik amalnya. Asas kepada amal yang baik ialah yang lebih bermanfaat menepati neraca taqwa.
Bila membincangkan amal yang
terbaik
maka di sini termasuk juga perbahasan dalam fiqh awlawiyat. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Fiqh al-Awlawiyat menjelaskan perbahasan para ulama manakah amalan yang paling
terbaik
, maka terbahagi kepada 3 pandangan :1. Amalan yang paling berat dan paling susah dikerjakan.
2. Amalan yang paling panjang dan paling lama.
3. Amalan yang menepati kehendak semasa dan paling bermanfaat kepada umum.
Maka no 3 adalah yang dipilih oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam mengangkat perbahasan fiqh al-Awlawiyat kerana terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah bahawa Rasulullah SAW apabila dibentangkan dua perkara maka Baginda SAW akan memilih yang mudah antara keduanya.
Begitu juga terdapat banyak dalil yang menekankan aspek amalan yang memberikan manfaat dan faedah orang ramai lebih didahulukan terutamanya apabila melibatkan perbandingan dengan ganjaran amalan sunat. Seperti berada dalam kepayahan melayan kerenah manusia satu tempoh lebih baik dari 60 tahun beribadah sunat solat dan puasa. Serta banyak lagi.
Sekalipun dunia sekarang penuh dengan kenikmatan namun diperingkat oleh Allah bahawa apa yang ada di dunia itu tidak kekal, akan kembali semua hancur menjadi tanah. Apabila kiamat, maka hancur binasalah segala yang ada di dunia ini.
Orang yang bijak pastinya mengejar kenikmatan akhirat yang kekal. Oleh itu, usahakan dunia sebagai bekalan untuk kita bawa ke akhirat.
Jangan pula abaikan dunia dari sudut abai tanggungnawab khalifah. Sekalipun kita disuruh tidak terpedaya dengan dunia bukan bermaksud kita perlu abaikan tanggungjawab khalifah di atas muka bumi.
Orang yang ingat mati, ialah orang yang melaksanakan tanggungjawabnya kerana apa yang diabaikan dan cuai akan diperhitung di akhirat kelak. Jika orang soleh meninggalkan urusan dunia maka urusan dunia akan dikawal oleh orang jahat.
Dunia diurus di tangan, bukan disemat dalam hati. Inilah zuhud yang sebenarnya.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Comments
Post a Comment