Jangan Budayakan Buli Walau Pembulian Ejekan


 

Jangan Budayakan Buli Walau Pembulian Ejekan


▪️
Jangan Mula Sekalipun Sekadar Ejekan

Buli ni sudah menjadi tradisi berzaman. Sama ada buli fizikal atau mental. Kadang kala kita menerima ia dan menjadi ia normalisasi sedangkan permulaan kepada buli pembantaian adalah dengan buli ejekan.

Mangsa buli ejekan dilihat lemah dan menjadi lemah. Menjadikan pembuli ejekan semakin berani yang akhirnya dari mulut berpindah kepada tangan dan kaki. Di sinilah yang kemuncak pembulian sehingga berlakunya pembantaian yang juga menjerumus kepada pembunuhan.

Buli jangan dijadikan budaya, sebab ia bukan budaya yang baik. Ia bukan hanya sikap buruk tetapi membawa kepada jenayah.

Sebab itu Islam dari awal mencegah ia dengan memastikan tiada ejekan menyakitkan hati. Larangan ini jelas dari Rasulullah SAW terhadap satu kisah ketika terjadi perkelahian antara Abu Dzar al Ghiffari dan Bilal bin Rabah, terkeluarlah dari mulut Abu Dzar perkataan “wahai anak wanita hitam”, maka Rasulullah sangat marah terhadap ucapan itu. Baginda mengecam dengan keras Abu Dzar dengan tingkah yang sangat menakutkan. Sabda baginda: “Hai Abu Dzar, telah dikurangi takaran! Tidak ada keutamaan bagi anak wanita berkulit putih atas anak wanita yang berkulit hitam!” - riwayat Ibnul Mubarak

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam juga pernah bersabda kepada Abu Dzar,

ﺍﻧْﻈُﺮْ ﻓَﺈِﻧَّﻚَ ﻟَﻴْﺲَ ﺑِﺨَﻴْﺮٍ ﻣِﻦْ ﺃَﺣْﻤَﺮَ ﻭَﻻَ ﺃَﺳْﻮَﺩَ ﺇِﻻَّ ﺃَﻥْ ﺗَﻔْﻀُﻠَﻪُ ﺑِﺘَﻘْﻮَﻯ
“Lihatlah, engkau tidaklah akan baik dari orang yang berkulit merah atau berkulit hitam sampai engkau mengungguli mereka dengan takwa. - riwayat Ahmad

▪️
Ingat, Buli Adalah Jenayah!

Kes buli ini bukan hanya perlu dipandang serius apabila berlakunya kematian kesan dari buli. Malah, kesan negatif lain seperti rendah diri, putus asa, tekanan mental dan kemurungan kesan dari pembulian juga perlu dipandang serius. Tidak semua kes buli mengakibatkan kematian tetapi pastinya kes buli mengakibatkan kesan buruk dan negatif ke atas mangsa buli.

Buli memberikan kepuasan kepada pembulian dan memberikan tekanan serta ketakutan kepada mangsa buli. Pembuli dengan anggota yang ramai pastinya memiliki kelebihan selamat berbanding mangsa buli yang seorang atau beberapa individu yang tidak ramai berbanding pembuli.

Jika di sekolah, buli dengan ejekan keluarga, peras ugut, dan sebagainya. Di tempat kerja, pembulian dengan menyuruh junior atau mereka yang "lembik" melaksanakan tugas yang tanggungjawab orang lain secara mendera. Begitu juga perihal buli di mana-mana tempat sekalipun. Hakikatnya buli ialah suatu kezaliman kerana menindas.

Kezaliman adalah larangan oleh Allah secara jelas dan tegas sebagaimana firman-Nya dalam hadith qudsi dari Abu Zar yang berbunyi :

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya :
“Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku mengharamkan kezaliman di antara kalian semua, maka janganlah kalian saling menzalimi.” - riwayat Muslim

▪️
Semua Pihak Perlu Bekerjasama, Bukan Menuding Jari
Apabila terdedah kes pembulian, maka smeua pihak perlu cakna dan bertanggungjawab bersama. Bukannya menuding salah siapa. Demi mengelakkan diri dari bertanggungjawab akhirnya warden sekolah yang elauan berapa kerat yang dijadikan kambing hitam untuk tutup kes.

Ibu bapa berperanan awal bagaimana diidkan ke atas anak-anak mereka. Didik dan semai akhlak baik. Pantau dengan siapa mereka berkawan dan apa kelakuan mereka.

Guru-guru juga berperanan dengan tegas mendidik anak murid dengan keperibadian serta syakhsiah yang baik, tidak hanya pada skor A dalam peperiksaan semata-mata.

Pihak pentadbiran sekolah juga berperanan untuk sentiasa mengingatkan para pelajar akan displin dan etika dalam mematuhi undang-undang serta hukuman ke atas mereka yang melanggar undang-undang.

Kawan-kawan dan pelajar lain yang mengetahui dan menyaksikan kes buli berperanan mencegah atau jika tidak mampu laporkan awal ke pihak yang sepatutnya agar kes buli tidak meleret-leret sehingga insiden besar tidak diingini terjadi.

Selain itu, pihak kerajaan dan kementerian berkaitan perlu serius dan pantas dalam isu ini. Jangan kerana ada kepentingan nama institusi ingin dipelihara mengakibatkan nyawa mangsa buli terus terdedah dalam bahaya.

▪️
Bersuaralah, Laporkan! Jangan Subahat

Perkara paling penting dalam persekitaran yang dekat sama sekolah biasa atau asrama serta universiti, pihak yang "menonton" kes pembulian ini jangan rasa seronok melihat orang lain dibuli. Jangan pula rasa tidak mengapa malah lebih teruk dengan mendiamkan diri itu boleh dikira bersubahat.

Zaman canggih sekarang, dengan telifon pintar wujud hampir setiap individu, sewajarnya lebih mudah dan pantas bagi membuat laporan-laporan sebegini ke pihak berkuasa. Malah ia boleh dibuat secara rahsia dan pantas tanpa meninggalkan tempat kejadian.

Kerosakan akan terus berlaku jika masyarakat sekeliling membiarkannya tanpa mencegah dan mengambil langkah pencegahan.

Firman Allah SWT :

لُعِنَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِیۤ إِسۡرَ ٰ⁠ۤءِیلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِیسَى ٱبۡنِ مَرۡیَمَۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ یَعۡتَدُونَ ۝ كَانُوا۟ لَا یَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرࣲ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُوا۟ یَفۡعَلُونَ

Maksudnya :
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. [Surah Al-Ma'idah 78 - 79]

Hanya tinggal keberanian dan sensitiviti oleh saksi yang menonton dan mengetahui.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments