Mengapa Kajian Selalu Tersasar? Fahami Skop dan Limitasi Kajian


 


Mengapa Kajian Selalu Tersasar? Fahami Skop dan Limitasi Kajian


"Dr, bila boleh jumpa?" tanya pelajar sarjana di bawah seliaan saya.
"Petang ni pun boleh sambil santai-santai dan ngeteh, jadi la". Ok pertemuan dibuat dan berlakulah perjumpaan dan perbincangan.

Tanggungjawab SV atau co-SV ialah menyelia, memberikan nasihat pandangan dan membimbing agar pelajar bukan sekadar tulis tesis tetapi tahu kepada mereka tulis sedemikian.

Biasanya dalam penyelidikan ni dua perkara :

1. Isi penyelidikan atau content. Ini biasa dan basic. Rata-rata akan faham apa yang mereka tulis dari bab 1 - bab akhir. Jika diminta ulas, insha Allah mereka boleh ulas dengan baik dan terperinci.
2. Mengapa ia ditulis sebegini. Haaa.. ini tidak semua, kerana ia melibatkan kefahaman yang terkait dengan metodologi penyelidikan. Kenapa ia ditulis begini dan kenapa perlu ada itu dan tidak perlu ada ini dalam tajuk, bab, karangan dan seumpamanya. Ini memerlukan kefahaman awal, KENAPA IA DITULIS? Ia bukan sebagaimana yang no 1 di atas, iaitu APA YANG AKU TULIS?. Ia berbeza.

Contohnya, dalam tajuk kajian, kita tulis "bla..bla.. bla di Selangor". Namun apabila dibaca perbahasan dan penyelidikan yang dilakukan tiada pun kaitan atau data terkumpul yang melibatkan skop dan limitasi kajian yang disebutkan "di Selangor". So, jelas pelajar kurang memahami justifikasi apa itu skop dan limitasi kajian.

Tujuan skop dan limitasi kajian dalam sesuatu penyelidikan ia merujuk kepada :

1. Fokus kajian kita yang terfokus.
2. Tempat atau sasaran uji kaji dilakukan serta mendapatkan data yang hendak dianalisis.
3. Keboleh mampuan dan capaian penyelidikan yang sesuai dengan tahap penyelidikan bagi memastikan kajian dapat mencapai objektif.

Kadang kala berlaku kesilapan dalam memahaminya, apabila difahami skop dan limitasi kajian adalah bersifat "sesuatu yang kita tidak mampu capai". Bukan ia bukan sedemikian.

Ini kerana penyelidikan adalah bersifat "piramid terbalik" iaitu mestilah spesifik dan khusus. Hanya yang berkaitan dengan bidang, permasalahan kajian dan kepakaran sahaja. Jika tiada kaitan kita tidak bincangkan dalam tajuk ini. Jika hendak bincangkan ia jadi antaranya :

1. Tajuk baru bagi kajian baharu.
2. Hanya tambahan dalam subtajuk kecil pada bab bukannya perkara besar.

Tak faham? Macam ini. Contoh tajuk kajian :

"Pengamalan Rebat Dalam Penyelesaian Awal Bagi Pembiayaan Perumahan oleh Perbankan Islam : Analisis Pembentukan Model Rebat Mulzim"

Dalam tajuk di atas, perkara besarnya ialah :

1. Rebat dan hukum yang berkaitan dengan muamalat Islam. Definisi dan dalil dari al-Quran dan al-Hadith serta pandangan para sarjana Islam.
2. Rebat yang terjadi yang diamalkan dan operasi oleh perbankan Islam. Perlu analisis kandungan dan sejarah pengoperasian serta ketetapan dari MPS Bank Negara, MPS SC dan lain-lain.
3. Kemukakan kes-kes berkaitan penyelesaian awal pembiayaan perumahan yang berkait dengan rebat dari sudut kiraan rebat, faktor pemberian rebat, isu mahkamah terlibat dan sebagainya. Tujuan analisis maklumat. Di sinilah, pengkaji akan dedahkan mana kelompongan yang didapati bagi memulakan langkah cadangan yang hendak dibawa pada bab seterusnya.

So, mungkin akan ada nak kaitkan dengan rebat dan maqasid syariah. Tapi maqasid syariah tidak boleh dijadikan satu BAB yang besar. Kerana ia bukan fokus dan tidak dimasukkan dalam tajuk. Jika disentuh pun hanya pada bahagian kecil / subtajuk dalam sesuatu bab. Mungkin kerana pembentukan teori yang hendak dibuat.

Jika fokus kajian melibatkan rebat dan maqasid syariah maka pelajar perlu mengubah fokus permasalahan yang dibawa seperti :

"Modul Kiraan Pemberian Rebat ke atas Penyelesaian Awal Pembiayaan Perumahan yang memenuhi Maqasid Syariah"

Kalau macam ini ok.

Jadi, pastikan skop dan limitasi kajian ialah sesuatu yang menunjukkan fokus kajian dan mesti ada kaitan dalam kajian di buat.

Pelajar tersebut angguk : tanda faham.
Alhamdulillah.

** tajuk kajian hanyalah contoh.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments