NILAI ZAKAT DALAM IBADAH SOLAT

 


NILAI ZAKAT DALAM IBADAH SOLAT


Malam ini pula berkongsi dengan jemaah berkenaan isi ceramah dari Syeikh al-Mutawalli as-Sya'rawi yang menceritakan berkenaan maksud solat itu tiang agama (الصلاة عماد الدين).

Saya melihat rakaman video itu yang mana ketika itu Syeikh masih muda kerana saiz badan yang kurus dan masih berkopiah al-Azhar, dalam satu ceramah yang disampaikan.

Kata Syeikh, agama ialah Islam dan Islam dibina atas 5 rukun. Dan dalam solat pula terdapat kelima-lima rukun Islam tersebut.

Apa yang menariknya ialah apabila Syeikh mengatakan dalam solat ada nilai zakat, saya membayangkan zakat di situ ialah belanja harta kita seperti pakaian kerana syarat sah solat ialah menutupi aurat. Dan apa sahaja perbelanjaan yang berkaitan dengan solat.

Namun Syeikh menjelaskan dari sudut yang sangat menarik di mana nilai zakat pada solat ialah dengan kita "zakatkan" masa kita. Allahu rabbi...

Jika belanja harta boleh dicari dan dihimpun semula namun jika masa ia tidak akan kembali dan diganti. Orang yang solat ialah mereka zakatkan masa mereka.

Orang business amat memelihara masa kerana masa ialah duit. Masa ialah emas. Jika kita berkira dengan urusan dunia sebab itu solat kita acuh tak acuh, sekejap je siap. Kerana apa? Kerana sibuk. Sibuk ni apa? Sibuk ni tidak cukuo masa dengan pekerjaan banyak yang hendak dibuat dalam satu satu masa.

Ketahui, mereka yang mampu solat dengan kadar yang lama ialah mereka yang kaya kerana mereka banyak berzakat. Allahu rabbi.. Terkesan sungguh penjelasan dari Syeikh.

Kita hari ni berkira dengan masa. Masa untuk urusan dunia kita sangat jaga. Tapi bila solat, sekejap je. Baca pun yang rukun je. Yang selain rukun, alah sunat je, tu la alasan kita.

Back to basic. Perkemaskan kualiti solat kita. Jaga solat dan perbaiki solat, insha Allah akan diperelokkan urusan kehidupan kita keseluruhannya.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

**********************************
🔵
Insha Allah, kita akan buat Wakaf Buku Coretan Nurani Surah an-Nur ke tempat-tempat bersesuaian yang akan diagihkan. 1 naskhah RM 25 sahaja. Jika ada berminat, boleh whatsapp terus 016.720.0697.

Comments