Bulan Syaaban : Persiapkan Diri Menuju Ramadan
▪️Bulan Manusia Lalai, Sedangkan Catatan Amalan Diangkat
Bulan Syaaban disebutkan oleh Rasulullah SAW bahawa manusia lalai mengenainya. Ia berada di antara Rajab dan Ramadan. Pada hari ini pun, Rajab umat mengingatinya kerana persitiwa Israk dan Mikraj serta Ramadan adalah bulan puasa. Namun bulan Syaaban seakan-akan tiada peristiwa khusus yang menjadikan manusia lupa padanya.
Usamah bin Zaid berkata Nabi SAW bersabda:
قَالَ : "ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فِيْهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ العَالَمِيْنَ ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عمَلِيْ وأَنَا صَائِمٌ".
Maksudnya:
“Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”. - Riwayat al-Nasa’ie
Walhal bulan Syaaban merupakan bulan diangkat catatan amalan kepada Allah. Sebab itu Rasulullah SAW lebih suka dalam keadaan berpuasa ketika mana amalan diangkat kepada Allah SWT.
Sebab itu Rasulullah SAW banyak berpuasa di bulan Syaaban. Sebagaimana hadith daripada Aisyah RA, beliau berkata:
كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يصومُ حتَّى نقولَ لا يُفطِرُ ويُفطِرُ حتَّى نقولَ لا يصومُ وما رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ استَكملَ صيامَ شَهرٍ قطُّ إلَّا رمضانَ وما رأيتُه في شَهرٍ أكثرَ صيامًا منهُ في شعبانَ
Maksudnya:
“Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Sya’ban”. - riwayat al-Bukhari dan Muslim
▪️ Jangan Jadikan Bulan Bergaduh Soal Bacaan Yaasin 3 Kali
Saban tahun kita dengar soal khilafiah berlaku yang akhirnya menjurus kepada perdebatan meleret-leret tanpa diuruskan dengan baik. Biasanya bulan Syaaban pada pertengahan bulan yang dikenali sebagai Nisfu Syaaban akan muncullah soal perdebatan meleret mengenai anjuran majlis bacaan Yaasin 3 kali. Walhal hal ini telah pun berpanjangan dan sewajarnya perbincangan yang ilmiah diuruskan bukannya perdebatan meleret-leret.
Dalam konteks polemik Nisfu Syaaban ini ada artikel khusus yang pernah dituliskan, boleh rujuk di sini :
http://bit.ly/2V5qNxq
Beribadah dengan ilmu dan kefahaman. Perbincangan ilmiah biarlah menambahkan pengetahuan dan bukannya mengheret kepada pertelingkahan yang membawa suasana tidak baik antara umat Islam. Asasnya ialah memperbanyakkan amalan-amalan kerana bulan ini dituntut memperbanyakkan apa sahaja amalan mendekatkan diri kepada Allah.
Ini kerana bulan Syaaban merupakan bulan latihan bagi umat Islam bagi persediaan menyambut Ramadan. Latihan ini ialah dengan berpuasa, membaca al-Quran, qiyamullail dan lain-lain. Mudah-mudahan latihan ini menjadikan biasa dan mudaj untuk beramal di bulan Ramadan kelak.
▪️2 Peristiwa Besar Untuk Diambil Pengajaran
Bagi kita, terdapat 2 pengajaran besar untuk diteladani dan diambil dari keduanya iaitu :
1. Peristiwa pertukaran kiblat. Lihat artikel sebelum ini :
https://bit.ly/3as0sjI
2. Peristiwa hadithul ifki (fitnah ke atas Sayidatina Aisyah). Lihat artikel sebelum ini :
https://bit.ly/3bHPGWy
Kedua-dua peristiwa ini ada dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran. Jadi ambillah peluang selain membaca dengan tadabbur sekali. Dan juga tambah pula bacaan dengan kitab-kitab lain seperti sirah bagi mendapatkan pendetailan peristiwa tersebut. Ia lebih baik dari perdebatan meleret dalam sesuatu khilafiah yang hanya membazirkan masa dan merosakkan hubungan sesama umat Islam.
▪️Buat KPI Untuk Ibadah Di Bulan Ramadan
Dalam bab ibadah juga terutama bulan Ramadan, penghulu segala bulan, maka wajarlah kita buat perancangan dan KPI apa yang ingin dicapai pada tahun ini. Ini bagi memastikan kita usahakan yang terbaik dari tahun sebelum ke tahun semasa.
KPI yang boleh dirancang antaranya :
1. Berapa banyak sasaran infaq pada Ramadan tahun ini?
2. Berapa kali khatam al-Quran?
3. Berapa banyak surah al-Quran untuk hafalan baharu?
4. Surah apa yang hendak ditadabbur pada kali ini?
5. Berapa hari berbuka hendak diberikab tajaan?
Dan macam-macam lagi boleh dibuat. Ia adalah untuk rekod dan penelitian peribadi agar sentiasa terus meningkatkan mutu dan kualiti ibadah terutama di bulan Ramadan. Ini kerana istiqamah bukanlah sekadar lakukan ibadah secara statik tetapi usahakan improvement dalam beribadah dari semasa ke semasa.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Comments
Post a Comment