MENJADI UMAT YANG BEKERJA

 





MENJADI UMAT YANG BEKERJA


▪️
Bekerja Dan Tidak Sekadar Berkata-kata

Umat Islam pada hari ini memikul satu amanah serta tanggungjawab yang sangat besar dalam membawa agenda Islam ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh para pejuang yang terdahulu sehingga tersebarnya Islam diserata dunia. Kejayaan yang dimiliki suatu ketika dahulu oleh umat Islam sehingga membuka mata seluruh manusia mengenai kehebatan Islam bukanlah suatu kejayaan yang mampu dicapai dengan kata-kata sahaja apatah lagi kejayaannya bukanlah sesuatu yang datang bergolek melainkan ada di sana kesungguhan dan pengorbanan.

Mustafa Masyhur mengingatkan kepada para pejuang mengenai suatu perkara yang sangat penting. Satu kata-kata yang ringkas namun memberikan makna yang sangat mendalam. Beliau berkata :

“Islam tidak akan tertegak dengan berkata-kata”

Apa yang cuba disampaikan oleh beliau ialah, pejuang agama Islam tidak hanya boleh duduk selesa dalam memperjuangkan dakwah bahkan mesti bersusah payah serta mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan gerak kerja Islam bagi memartabatkan Islam di mata dunia.

Memang benar apa yang diingatkan oleh beliau kerana itulah Islam sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini adalah agama yang dipraktikkan bukan hanya teori semata-mata. Maksudnya pejuang agama Islam mesti melaksanakan gerak kerja Islam untuk mencapai kemenangan Islam, bukan hanya mampu menuturkan kata-kata yang memukau semata-mata bahkan sekadar teori sahaja tanpa mencurahkan bakti dalam gerak kerja Islam.

Dr Yusuf al-Qardhawi ditanya mengenai apakah kewajipan umat Islam atau apakah prioriti umat Islam masa kini, beliau menjawab dengan ringkas iaitu “melaksanakan gerak kerja Islam”.

▪️
Ujian Selepas Kemenangan Lebih Mencabar

Dan inilah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW serta para sahabat radiallahu ‘anhum di awal era kedatangan Islam. Bermula dengan dilatih agar tahan lasak menahan ujian ketika di Mekah sehingga ada di kalangan mereka yang terkorban antaranya Sumayyah, ibu kepada Yasir. Bilal bin Rabah apabila diketahui oleh tuannya bahawa beliau telah memeluk Islam, lalu diseksa dengan dijemur di tengah panas dan dadanya diletakkan batu yang sangat besar.

Sehinggalah selepas 13 tahun Islam disebarkan di Mekah, maka Rasulullah SAW serta para sahabat radiallahu ‘anhum diperintahkan oleh Allah untuk berhijrah ke Madinah. Maka gerak kerja Islam bermula dengan lebih besar apabila Madinah menjadikan negara pertama yang dipacu oleh sistem Islam secara menyeluruh di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW.

Maka bermulalah era wujudnya golongan munafik yang bertopengkan Islam demi keselamatan diri namun di sebaliknya memusuhi Islam serta ingin menghancurkan Islam. Bahkan peperangan juga berlaku selepas penghijrahan. Peperangan demi peperangan yang menyaksikan pertempuran antara umat Islam dengan pihak musuh khususnya golongan kafir Mekah. Maka semakin ramai tentera Islam yang terkorban syahid dalam setiap peperangan.

Hal ini jelas, Islam terus bergerak dengan gerak kerja Islam. Tidak kira di mana, gerak kerja Islam mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Dan inilah tuntutan Islam ke atas umatnya iaitu melaksanakan gerak kerja Islam.

▪️
Usah Hanya Berangan-angan

Terdapat beberapa ayat al-Quran serta hadis yang menyuruh umat Islam agar melaksanakan gerak kerja Islam serta kewajipan menyampaikan dakwah.

Firman Allah SWT :

وَقُلِ ٱعۡمَلُوا۟ فَسَیَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَیۡبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَیُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

Maksudnya :
“Dan katakanlah (wahai Muhammad), bekerjalah (beramallah) kamu (akan segala yang dieprintahkan), maka Allah dan rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan,dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah At-Taubah : 105)

Berkaitan dengan kewajipan melaksanakan gerak kerja Islam, al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna ada berkata bahawa :

“Ramai manusia yang berkhayal namun tidak ramai yang mampu menterjemahkan dengan kata-kata. Dan daripada kalangan yang ramai berkata-kata tersebut, hanya terlalu sedikit yang sanggup untuk turun bersama-sama untuk bersusah payah dalam melaksanakan gerak kerja dan jihad”

Jelaslah bahawa mengapa prioriti utama umat Islam hari ini ialah bekerja, kerana ramai yang hanya mampu berkhayal mengimpikan khilafah Islam kembali ditegakkan namun tidak ramai yang turun ke medan untuk melaksanakan setiap gerak kerja Islam.

Ramai di kalangan mereka yang berasa senang dan selesa dengan hanya melaksanakan gerak kerja dari sudut berkata-kata semata-mata. Namun, Islam tidak akan tertegak dengan hanya semata-mata menuturkan kata-kata, sebagaimana yang telah dipesan oleh Mustafa Mayshur.

Syair arab ada menyebut bahawa :

لا تكن عبد المنى
فالمنى رؤوس أموال المفاليس

“Janganlah kamu menjadi hamba angan-angan, sesungguhnya angan-angan adalah modal orang muflis.”

Justeru, dalam mencapai kemenangan Islam perkara utama ialah pelaksanaan gerak kerja Islam. Bahkan perlu difahami bahawa gerak kerja Islam ini memerlukan tempoh yang panjang dan ia adalah susah yang dipenuhi dengan pelbagai ujian dan halangan.

▪️
Tugas Kita Bekerja, Hasilnya Serah Pada Allah

Mesti letakkan di dalam minda setiap para pejuang agama Islam bahawa persoalan yang perlu diletakkan ialah setara manakah kita telah melaksanakan gerak kerja Islam, bukannya persoalan bilakah kemenangan akan diturunkan kepada kita.

Firman Allah SWT :

لوْ كانَ عَرَضَاً قَرِيباً وسَفَراً قاصِدَاً لاتَّبَعُوكَ ولَكِنْ بَعُدَتْ علَيْهِمُ الشُّقَّةُ

Maksudnya :
“Sekiranya (dakwah dan perjuangan) adalah sesuatu perkara yang bertempoh (sekejap) dan jarak yang dekat, nesacaya mereka akan mengikuti kamu (wahai Muhammad), akan tetapi ia (dakwah dan perjuangan) adalah jauh serta berat ke atas kamu (beban).” (Surah At-Taubah : 42)

Satu riwayat yang masyhur yang dijadikan sebagai motivasi kepad para pejuang agama Islam iaitu berkenaan Khabbab yang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda SAW sedang bersandar berhampiran dengan Kaabah, lalu Khabbab berkata :

أَلا تَسْتَنْصِرُ لنا أَلا تَدْعُو لنا

“Adakah kamu (wahai Rasulullah) tidak memohon pertolongan (kepada Allah) ke atas kami? Adakah kamu tidak berdoa (kepada Allah untuk menurunkan bantuan) kepada kami?”

Lalu baginda SAW menegur Khabbab dengan sabdanya SAW :

قد كان من قَبْلَكُمْ يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ له في الأرض فَيُجْعَلُ فيها فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ على رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ ما دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ فما يَصُدُّهُ ذلك عن دِينِهِ والله لَيَتِمَّنَّ هذا الْأَمْرُ حتى يَسِيرَ الرَّاكِبُ من صَنْعَاءَ إلى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إلا اللَّهَ وَالذِّئْبَ على غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

“Sesungguhnya orang - orang sebelum kamu , ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya , kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya , namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah . Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh (tidak bersabar).” – al-Bukhari

Maka ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW menyuruh umatnya berjuang serta melaksanakan gerak kerja Islam tanpa ada tempoh tertentu bahkan bersabar dalam melaksanakannya kerana Allah akan memberikan kemenangan atau pertolongan kepada umat Islam apabila tiba masa yang ditetapkan.

▪️
Gerak Kerja Mestilah Secara Berjemaah

Dalam menunaikan kewajipan bagi melaksanakan gerak kerja Islam, Allah SWT menyuruh umat Islam agar membentuk kesatuan ummah dalam melaksanakan gerak kerja Islam. Hal ini demikian, Islam tidak datang untuk individu akan tetapi ia mestilah digerakkan secara berjemaah.

Firman Allah SWT :

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya :
“Dan hendaklah ada di antara kamu suatu golongan yang mengajak orang berbuat baik, menyuruh mereka mengerjakan kebaikan dan melarang mereka dari berbuat yang mungkar dan hanya mereka itulah orang-orang yang betul-betul beruntung” (Surah Ali-’Imran: Ayat 104)

Firman Allah SWT :

كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَـٰبِ لَكَانَ خَیۡرࣰا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

Maksudnya :
“Adalah kamu sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia untuk menyuruh mereka mengerjakan kebaikan dan melarang mereka dari berbuat yang mungkar dan beriman kepada Allah, dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman nescaya itulah yang lebih baik bagi mereka, namun sebahagian mereka itu beriman sedangkan kebanyakkan mereka itu fasik.” (Surah Ali-‘Imran : 110)

Malah ditunjukkan teladan menerusi Rasulullah SAW turut bekerja bersama para sahabat. Ia digerakkan secara kolektif dan tersusun dengan struktur organisasi yang terancang. Kekuatan gerak Islam asasnya pada kekuatan kesatuan kerja yang diumpamakan oleh Allah SWT sebagai bangunan yang tersusun kukuh.

Firman Allah SWT :

إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِهِۦ صَفࣰّا كَأَنَّهُم بُنۡیَـٰنࣱ مَّرۡصُوصࣱ

Maksudnya :
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." [Surah As-Saf 4]

▪️
Dalam kerja, Jangan Dahului Pimpinan

Displin kerja secara berjemaah amat penting. Ia menjamin kelancaran dalam sesuatu perancangan dan kesepaduan dalam gerak kerja. Tanpa displin akan membawa kepada kucar kacir dan suasana menjadi kelam kabut. Inilah rahsia bagi kekuatan gerak kerja dalam berjemaah.

Pemimpin memandu perjalanan ahli di bawahnya dan ia wajib dipatuhi selagimana tidak bercanggah dengan syarak. Malahan jika kesemua ingin mengikut pandangan tersendiri dan keinginan masing-masing maka ini akan menimbulkan kecelaruan dan boleh terjadi pertembungan yang tidak berkesudahan.

Justeru, tidak mendahului pimpinan merupakan aspek gerak kerja yang penting mencapai sesebuah kejayaan. Firman Allah SWT :

وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ فِیكُمۡ رَسُولَ ٱللَّهِۚ لَوۡ یُطِیعُكُمۡ فِی كَثِیرࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ لَعَنِتُّمۡ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ حَبَّبَ إِلَیۡكُمُ ٱلۡإِیمَـٰنَ وَزَیَّنَهُۥ فِی قُلُوبِكُمۡ وَكَرَّهَ إِلَیۡكُمُ ٱلۡكُفۡرَ وَٱلۡفُسُوقَ وَٱلۡعِصۡیَانَۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلرَّ ٰ⁠شِدُونَ

Maksudnya :
"Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus."
[Surah Al-Hujurat 7]

▪️
Jangan Tunggu Sempurna Baru Nak Bekerja

Maka kewajipan melaksanakan gerak kerja Islam tidak tunggu sehingga seseorang itu benar-benar sempurna, kerana tidak ada manusia yang sempurna melainkan Rasulullah SAW sahaja. Apa yang penting ialah melaksanakan gerak kerja Islam sekadar mana yang ia mampu dan tahu. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya melaksanakan gerak kerja Islam oleh setiap umat Islam.

Meninggalkan gerak kerja Islam antara amar makruf nahi mungkar akan mengakibatkan kemurkaan Allah. Antaranya ialah Allah tidak menerima lagi doa yang pohon.

Sayidatina Aisyah radiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

مُرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَوْا عن الْمُنْكَرِ قبل أَنْ تَدْعُوا فلا يُسْتَجَابَ لَكُمْ

“Suruhlah orang mengerjakan kebaikan, dan laranglah mereka mengerjakan kejahatan, sebelum kamu mendo’a tetapi Aku tidak mengabulkannya.” – riwayat Ibnu Majah

Melaksanakan gerak kerja juga kemestian dan mengikut kemampuan. Ia memberi petunjuk apa yang termampu terus dilaksanakan. Bukannya dengan beralasan tunggu untuk jadi sempurma terlebih dahulu.

Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata : “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda” :

من رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بيده فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangannya (kuasa), jika tidak mampu maka cegahlah ia dengan lisannya, dan jika tidak mampu maka cegahlah ia (membenci dan tidak meredhai) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman.” – riwayat Muslim

▪️
Fahami Dengan Jelas Tujuan, Objektif dan Matlamat Kerja

Seorang sahabat Nabi SAW, yang bernama Ruba’i bin ‘Amir ketika beliau memimpin tentera umat Islam, beliau menjawab soalan yang dilontarkan oleh Rustum, ketua panglima perang tentera Rom. Rustum bertanya :

“Apakah tujuan kamu(umat Islam) datang ke sini bahkan ke tempat-tempat lain? Adakah kamu mahukan harta serta kekuasaan?”

Lalu Ruba’i bin ‘Amir menjawab dengan jelas :

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضِيق الدنيا إلى سعَتَها، ومن جَوْر الأديان إلى عدل الإِسلام،

“Demi Allah yang telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah makhluk kepada menyembah Allah yang Maha Esa, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan daripada penyelewengan agama-agama kepada keadilan Islam."

Firman Allah SWT :

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِیلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ

Maksudnya :
“Ajaklah manusia ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan, dan dengan nasihat yang baik; dan berdebatlah dengan mereka, dengan cara yang paling baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui, siapa yang sesat dan jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui, siapa yang mengikuti petunjuk” (Surah An-Nahl : 125)

Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran, hadis serta beberapa kalam tokoh-tokoh, jelas menunjukkan kepada kita bahawa kewajipan dalam melaksanakan gerak kerja Islam. Gerak kerja Islam ini pelbagai mengikut posisi setiap para pejuang. Cuma apa pasti, setiap para pejuang mesti melaksanakan amanah tersebut walau pelbagai cabaran yang melintang dan ranjau yang mesti dihadapi.

.
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments