Sunnah : Tidak Menimbulkan Polemik Fitnah Kalangan Orang Ramai

 



Sunnah : Tidak Menimbulkan Polemik Fitnah Kalangan Orang Ramai


▪️Fikir Dahulu Sebelum Bertindak

Dunia media sosial zaman hari ini mudah menyebabkan berlakunya salah faham sama ada yang disengajakan oleh pihak musuh atau tidak disengajakan atas diri sendiri yang naif. Apa yang boleh kita kawal ialah tindakan dari kita. Adapun tindakan dari pihak lain, ia di luar kawalan kita.

Ditambah tanpa pedoman dosa dan pahala, manusia mudah bertik mengikut rasa. Bukan mahu kebenaran dan keadilan tetapi lebih mahukan kepuasan. Akhirnya bertindak tanpa fikir kerana itu kepuasan ynag dicari sekalipun kesannya mendatangkan impak buruk atau negatif.

Umat Islam dididik menerusi sirah Rasulullah SAW dan para sahabat untuk kawal tindakan dan elakkan sebarang polemik fitnah berbangkit. Hanya orang yang berfikir berpaksikan keimanan akan mampu kawal tindakan dari diri termasuklah soal bercakap.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya :
"Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah ia berkata baik atau diam." - riwayat al-Bukhari dan Muslim

▪️"Jangan Sampai Ada Yang Berkata Muhammad Membunuh Sahabatnya"

Kita dapat lihat bagaimana tindakan bijaksana Rasulullah SAW dalam menangani tanggapan masyarakat sekeliling dan berusaha mengelak dari situasi yang boleh dimanipulasi musuh sekeliling ialah dengan tidak membunuh atau mengarah bunuh Abdullah bin Ubay bin Salul, bapa munafiqin yang banyak mendatangkan huru hara dalam masyarakat Islam.

Kita dapat lihat cubaan-cubaan jahat Abdullah bin Ubay bin Salul di Madinah antaranya :

1. Hasut tentera Uhud sehingga 300 tentera berpatah kembali. Akhirnya tentera Islam berbaki 700 tentera sahaja.
2. Tidak membantu gerak kerja gali parit dalam persiapan menghadapi perang Ahzab.
3. Mewujudkan fitnah ke atas Sayidatina Aisyah mempunyai skandal dengan Safwan bin Muattal, balik dari peperangan Bani Mustaliq.
4. Menghasut tentera Islam untuk tidak keluar berperang di Tabuk atas alasan cuaca panas terik.
5. Cubaan manipulasi kehadiran Rasulullah SAW dengan jemputan ke masjid dhirar selepas perang Tabuk.

Namun Rasulullah SAW mengambil pendekatan dalam hal ini ialah dengan :

1. Tidak membunuh Abdullah bin Ubay bin Salul.
2. Mentarbiyah para sahabat agar menjauhi sebarang sifat munafiq.
3. Mendahulukan maslahah umum dalam pertimbangan pertembungan dua maslahah.

Malah dalam hadith, jelas menunjukkan Rasulullah SAW menunjukkan tindakan agar tidak mahu wujud tohmahan bahawa Baginda SAW membunuh sahabat sendiri kerana Abdullah bin Ubay bin Salul secara zahirnya dilihat bersama dalam masyarakat Islam di Madinah. Maka jika dibunuh, akan timbul isu Baginda SAW bunuh sahabat sendiri.

Hadith yang berbunyi :

فقام عمر فقال: يا رسول الله دعني أضرب عنق هذا المنافق، فقال النبي ـ صلى الله عليه وسلم -: دَعْه، لا يتحدث الناس أن محمداً يقتل أصحابه

Maksudnya :
(Dalam satu kejadian) maka Sayiduna Umar berdiri dan berkata : Wahai Rasulullah, biarkan aku memenggal leher munafiq ini. Lantas bersabda Rasulullah SAW : biarkan dia (wahai Umar) (supaya) tidak bercakap-cakap manusia bahawa sesungguh Muhammad telah membunuh sahabat-sahabatnya." - riwayat al-Bukhari

▪️Sayiduna Umar Larang Dedahkan Diri Kepada Tohmahan

Mendedahkan diri terdedah kepada tohmahan dengan sengaja bukanlah tindakan yang bijak. Malah hanya menyebabkan berlakunya kesan negatif terutama terhadap agama dan maruah diri.

Sebab itu terdapat kaedah yang berbunyi :

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya:
Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA :

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:
Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Tohmahan dan fitnah boleh terjadi kerana tindakan yang kurang bijak disebabkan antara faktornya :

i. Tidak meraikan suasana sekeliling.
ii. Tidak tepat dan keterlaluan sehingga keraguan mudah terjadi.
iii. Tidak melihat tahap kemampuan penerima sesuatu perkara yang disampaikan.
iv. Gopoh sebelum pada masanya.
v. Sengaja berbuat pelik yang tiada sandaran yang kuat lagi tidak munasabah

Disebabkan itu juga Sayiduna Ali bin Abu Talib berpesan :

ليس كل ما يعرف يقال، وليس كل ما يقال حضر أهله، وليس كل ما حضر أهله حان وقته، وليس كل ما حان وقته صح قوله

Maksudnya :
"Tidak semua yang diketahui harus disampaikan. Tidak semua yang disampaikan, orang layak mendengarnya. Tidak semua orang yang layak, akan mendengar tepat pada waktunya. Dan, tidak semua waktu yang tepat, benar perkataannya."

▪️Pendakwah Harus Bijaksana Dalam Menyampaikan

Menjadi pendakwah bukanlah tiket untuk kita bercakap apa sahaja. Bahkan usah dijadikan mengikuti trending maka kita berbuat apa sahaja sehingga kesannya kita dapati hanya seronok-seronok dan bual kosong yang tidak membawa kepada kefahaman sahih dan beramal.

Syeikh Zarruq di dalam kitabnya Qawaid Tasawwuf menyatakan :

على المتكلم في العلم أن يلحق فروعه بأصوله، ويصل معقوله بمنقوله المتكلم في فن من فنون العلم، إن لم يُلحق فرعه بأصله ويحقق أصله من فرعه، ويصل معقوله بمنقوله، وينسب منقوله لمعانيه، ويعرض ما فهم منه على ما علم من استنباط أهله، فسكوته عنه أولى من كلامه فيه، إذ خطأه أقرب من إصابته، وضلاله أسرع من هدايته.
Maksudnya :
"Bagi seorang yang berkata-kata (dalam hal agama) , hendaknya dia menghubungkan masalah-masalah cabang dengan kaedah induknya, menyatukan antara logik dengan teks-teks al-Quran dan Hadits, dan memahami hubungkait antara teks-teks itu dengan maknanya. Jika tidak, maka diamnya lebih baik dari pada berbicara tatkala tersilapnya ia lebih hampir dari perkara betul, dan kesan kesesatan (kesilapan) lebih cepat (tersebar) dari petunjuknya"
Justeru, berlaku perdebatan meleret-leret pada zaman ini yang tidak menatijahkan manfaat besar pada ummah haruskan diurus dengan baik agar ummah tidak "muak" dengan kalangan para pendakwah yang gopoh. Ikutilah sunnah Baginda SAW iaitu hindari dari sebarang polemik fitnah yang boleh ditimbulkan di kalangan orang ramai.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments