Wanita, Apa Kata Islam?


 

Wanita, Apa Kata Islam?


Bila semalam 8 Mac membicarakan Hari Wanita, sebenarnya Islam lebih terkehadapan dalam mengangkat kedudukan wanita dan memuliakannya berbanding agama lain dan ideologi selain Islam.

▪️
Wanita Juga Hamba Allah, Diberi Pahala Atas Amal Soleh

Islam mengiktiraf bahawa wanita juga sebagai hamba Allah yang diberikan pahala atas amal soleh dan ibadah yang dilakukan sebagaimana firman Allah SWT :

فَٱسۡتَجَابَ لَهُمۡ رَبُّهُمۡ أَنِّی لَاۤ أُضِیعُ عَمَلَ عَـٰمِلࣲ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰۖ

Maksudnya :
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan. - [Surah Âl-`Imrân: 195]

▪️
Fitrah Khusus Wanita Menjadikan Hak Ke Atas Anak Lebih Dari Bapa

Wanita dengan fitrah yang khusus padanya menjadikan kedudukan seorang ibu dilebihkan ke atas seorang anak kerana ibu menanggung 3 kali bebanan kesusahan yang tidak ditanggung oleh seorang bapa atau lelaki. Inilah yang disebutkan oleh Ibn Abbas dalam menafsirkan maksud وهنا على وهن iaitu mengandung, melahirkan dan menyusukan, sebagaimana dalam firman Allah SWT :

وَوَصَّیۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَ ٰ⁠لِدَیۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنࣲ وَفِصَـٰلُهُۥ فِی عَامَیۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِی وَلِوَ ٰ⁠لِدَیۡكَ إِلَیَّ ٱلۡمَصِیرُ

Maksudnya :
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). - [Surah Luqmân: 14]

▪️
Wanita Dan Lelaki Saling Membantu, Bukan Bersaing Tidak Sihat Dan Bermusuh

Islam sama sekali tidak mengajar bahawa lelaki dan perempuan itu bermusuh dan bersaing cara tidak sihat. Islam menekankan bahawa lelaki dan perempuan adalah saling bantu membantu sekalipun dalam gerak kerja perjuangan Islam. Berbeza dengan ideologi feminisme kononnya mahu memperjuangkan hak wanita dengan menjadikan isu-isu gender yang menampakkan wanita tidak diberikan keadilan. Akhirnya mahu hak wanita diangkat secara bersaing yang tidak sihat dan merosakkan fitrah wanita yang diciptakan oleh Allah.

Firman Allah SWT :

{ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِیَاۤءُ بَعۡضࣲۚ یَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَیُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَیُطِیعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ سَیَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ }

Maksudnya :
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. - [Surah At-Tawbah: 71]

Perbezaan fitrah yang juga membawa kepada pengkhususan sesuatu perkara bukanlah merendahkan martabat wanita tetapi itulah keadilan yang diberikan oleh Islam dengan maksud adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sebagai sistematik lelaki diangkat menjadi ketua kerana tanggungjawab yang bersesuaian padanya tanpa merendah kedudukan wanita.

▪️
Perbezaan Fitrah Adalah Ujian Kepatuhan dan Adil

Perbezaan fitrah kejadian dan perbezaan yang membawa kepada soal tatacara ibadah tertentu lebih bermatlamatkan menguji keimanan dan pengabdian tunduk patuh pada perintah Allah. Maka jika difikirkan dengan logik juga kita akan memahami hikmah yang ditentukan tersebut.

Sebab itu, dalam hal rumah tangga lelaki yang menjadi ketua keluarga dalam masa yang sama diberikan yang tanggungjawab ke atas lelaki atau suami mencari nafkah. Inilah yang diperingatkan oleh ulama dalam ayat yang Allah sebutkan وبما أنفقوا من أموالهم sebagaimana dalam firman-Nya :

{ ٱلرِّجَالُ قَوَّ ٰ⁠مُونَ عَلَى ٱلنِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضࣲ وَبِمَاۤ أَنفَقُوا۟ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡۚ

Maksudnya :
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. - [Surah An-Nisâ': 34]

▪️
Wanita Berperanan Dalam Perjuangan Islam

Dalam sirah Rasulullah SAW juga membuktikan keterlibatan muslimat seperti Baiah Aqabah ke-2 yang disertai oleh Nusaibah binti Kaabah dan Asma' binti Amru bin Adiy.

Begitu juga peranan Asma binti Abu Bakr as-Siddiq dalam menyiapkan bekalan kepada Rasulullah SAW dan Sayiduna Abu Bakr yang bersembunyi dalam Gua Thur pada peristiwa Hijrah Rasul. Hanyasanya ulama khilaf mengenai sama ada :

1. Asma yang hantar sendiri ke Gua Thur.
2. Asma siapkan bekalan pada awal ketika Rasulullah SAW dan Sayiduna Abu Bakr keluar rumah dan dibawa ke Gua Thur.
3. Dikirimkan kepada Amir bin Fuhairah, gembala biri-biri yang juga ditugaskan menutupi kesan jejak langkah Abdullah bin Abu Bakr.

Malah dalam siri-siri peperangan juga ada dilibatkan muslimat pada tugasan tertentu seperti khidmat membawakan air dan merawat kecederaan tentera Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Ummu Sulaim dan kelompok wanita Ansar.

Awal lagi, apabila Rasulullah SAW menerima wahyu maka Sayidatina Khadijah adalah orang pertama yang memeluk Islam sebelum Sayiduna Ali dan Sayiduna Abu Bakr serta para sahabat dan sahabiyah yang lain.

▪️
Diciptakan Wanita Dari Tulang Rusuk Yang Bengkok, Bukan Untuk Dihina

Hal ini termasuk dalam khilaf perbincangan ulama. Ini kerana ulama berbahas adalah perkataan ضلع iaitu tulang rusuk yang disifatkan dengan bengkok dalam hadith yang diriwayatkan muslim adalah perkataan secara hakiki atau majazi?

Sebahagian ulama menyatakan ia lafaz hakiki. Maka ia secara tidak langsung memperincikan ayat al-Quran mengenai ayat pertama Surah al-Nisa mengenai diciptakan "dari" Adam akan pasangannya. Perkataan "dari" iaitu من memberikan maksud dari tulang rusuk.

Manakala sebahagian ulama menyatakan kalimah tulanh rusuk hanyalah majazi pada perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah SAW dalam mendidik para isteri dan wanita. Ini kerana hadith tersebut menyebutkan :

1. Perkataan نساء menunjukkan wanita secara umum bukannya khusus Hawa. Ini kerana proses kejadian Hawa secara khusus berbeza kerana ia wanita pertama dan tidak melalui proses persenyawaan dan kehamilan sebagaimana manusia lain.

2. Kalimah من "dari" pada ayat pertama Surah al-Nisa bermaksud Hawa diciptakan dari kejadian unsur kemanusiaan yang sama. Sebab itu Adam tidak terkejut melihat Hawa dalam syurga meskipun dalam syurga tiada manusia lain melainkan hanya Adam sahaja ketika itu serta malaikat tidak diciptakan jantina.

▪️
Wanita Mulia Bersama Islam

Kemuliaan itu dari Allah dan Dia memuliakan sesiapa sahaja yang dikehendaki bagi mereka yang patuh kepada perintah-Nya dan menurut Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Maka para wanita untuk terus mulia di sisi Islam dan dimuliakan di sisi Allah maka :

1. Beriman dan amal soleh.
2. Menutupi aurat dengan lengkap.
3. Hiasi dengan sifat malu yang merupakan cabang iman.
4. Jaga syakhsiah "muslimah".
5. Hargai fitrah kewanitaan dengan patuh pada perintah agama.

Sebenarnya terlalu banyak dalil dan hujah menunjukkan Islam memelihara wanita, memuliakan mereka, mengangkat kedudukan mereka dan sebagainya. Jika nak tulis semua tak cukup 365 hari siang dan malam.

Hargailah wanita sekeliling kita terutamanya ibu, isteri, anak perempuan dan adik beradik perempuan kita. Lelaki adalah pelindung kepada wanita. Lelaki adalah wali ke atas wanita yang berada di bawah penjagaannya.

Fahami berbezaan fitrah dan psikologi untuk lebih menjadikan kita bersyukur pada Allah dan hidup saling melengkapi.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments