Zikir Lafaz "Huwa" هو dan Berkaitannya, Ia Untuk Ahli Toriqah Itu Sahaja


 

Zikir Lafaz "Huwa" هو dan Berkaitannya, Ia Untuk Ahli Toriqah Itu Sahaja


1. Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan zikir lafaz tunggal Allah ... Allah, maka lebih-lebih lagi mereka tidak akan bersetuju dengan zikir lafaz هو semata-mata. Bagi mereka jika lafaz tunggal Allah tidak membawa kepada faedah makna yang lengkap apatah lagi lafaz dhamir.

2. Manakala orang yang bersetuju dengan lafaz tunggal Allah sekalipun belum tentu bersetuju dengan lafaz هو kerana pada mereka lafaz Allah adalah jelas nama bagi zat Tuhan, manakala هو hanyalah kata ganti nama / dhamir yang memerlukan kepada isim untuk dikembalikan makna dhamir tersebut.

3. Untuk mereka yang tidak bersetuju dengan zikir lafaz Allah boleh rujuk pada ulasan saya terdahulu di link berikut :

4. Dari sudut perbahasan zikir lafaz هو terdapat pandangan-pandangan dari sudut nilai ketasawufannya berdasarkan dalil dan juga interpertasi kefahaman menerusi zouq ذوق. Dari sudut dalil ulama tasawuf membawakan ayat-ayat al-Quran yang padanya lafaz هو yang merujuk kepada makna Allah.

5. Manakala dari sudut kefahaman menerusi interpertasi zouq ذوق bahawa dalam membicarakan bahawa zikir lafaz هو adalah kerana :

i. Tanda malu seseorang hamba menyebut langsung nama Allah apatah lagi dengan lafaz dhamir mukhatab seperti أنت yang dirasakan seperti kurang adab. Lantas dibicarakan dengan dhamir ghaib iaitu هو.

ii. Zikir yang padanya lafaz هو hanya di mulut sedangkan dalam hati merujuk Allah. Maka ذوق berzikir dalam keadaan ringkas pada lafaz tetapi tetap lengkap pada hati.

6. Secara asas, pembawakan dalil umum dan tafsiran secara zouq ذوق itu menunjukkan zikir lafaz هو adalah mempunyai faedahnya tersendiri. Dari sudut makna zikir, kaedah zouq dan adab pada kaedah yang diterapkan dalam berzikir.

7. Maka tidak wajar untuk kita ketepikan begitu sahaja. Setiap kalam yang mempunyai nilai dan faedahnya wajar diterima dari membiarkan begitu sahaja. Selagimana ada nilai yang boleh dipakai dan tidak secara terang adanya pelanggaran Syarak. Kaedah fiqh menyatakan :

إعمال الكلام أولى من إهماله

8. Namun perlu diingatkan bahawa konteks perbahasan ini adalah perbincangan tasawuf yang khusus menerusi jalur toriqat. Maka bagi ahli toriqat yang menerima ijazah pengamalan zikir lafaz هو dipersilakan amalkan dengan menjaga kaifiat lengkap yang diajari oleh syeikh / mursyidnya sehingga benar-benar menepati penghujahan dari pembawalan dalil yang dinyatakan.

9. Dalam masa yang sama, amalan khusus sebahagian toriqat seumpama ini tidak perlu dipaksa ke atas orang awam atau golongan yang tidak sekumpulan dengannya. Ia hanyalah untuk ahlinya sahaja. Ini kerana ia kembali kepada kaedah berzikir secara khusus oleh toriqat tersebut, maka ia terpakai ke atas ahli toriqah itu sahaja atas iltizam dengan apa yang dipelajari dan beramal menerusi jalur toriqat yang disertainya.

10. Maka dalam hal sebegini memadai dinukilkan petikan dari Syeikh Dr Nuh Sulaiman menerusi fatwanya dalam membicarakan hal kewujudan toriqah iaitu :

ولا شكّ أن في الصوفية هذه الأيام جماعة مستقيمة ملتزمة بالمنهج الصحيح، فمن بحث عنهم فوجدهم فقد ظفر بخير عظيم، ومن لم يجدهم ففي تعاليم الشريعة الإسلامية الواضحة ما يُغنيه.

Maksudnya :
Tidak diragukan lagi bahawa dalam tasawuf hari ini terdapat kumpulan yang lurus yang komited dengan pendekatan yang betul, maka sesiapa yang mencari mereka dan mendapati mereka telah mencapai kebaikan yang besar, dan sesiapa yang tidak menemuinya, dalam ajaran Syariah Islam yang jelas apa yang mencukupkannya (untuk beramal).

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments