Tidak Tidur Malam Untuk Hidupkan Sepanjang Malam Memburu Lailatul Qadr?

 



Tidak Tidur Malam Untuk Hidupkan Sepanjang Malam Memburu Lailatul Qadr?


1. Bagi yang tiada tanggungjawab di pagi hari seperti komitmen kerja yang melibatkan nafkah wajib dan amanah yang digalas, maka tidak mengapa jika tidak tidur sepanjang malam kerana perhebatkan amalan di malam hari bagi memburu Lailatul Qadr.

2. Bagi yang tidak tidur sepanjang malam kerana menghidupkan sepanjang namun perkara tersebut sehingga menjejaskan ibadah di siang hari seperti tidur selepas Subuh sehingga dekat masuk Zuhur sedangkan ibadah Duhanya luput disebabkan tidur, maka ini bukanlah yang dituntut. Setiap ibadah ada haknya terutama yang wajib kemudian disusuli dengan keutamaan pada ibadah-ibadah yang sunat.

3. Bagi yang tidak tidur sepanjang malam bagi memburu Lailatul Qadr, serta tidak menjejaskan komitmen pagi begitu juga ibadah siang hari, namun memberikan kesan sakit pada tubuh badan, maka ia adalah bercanggah dengan sunnah dan fitrah manusiawi.

4. Jika tiada masalah yang berkaitan dengan no 1, 2 dan 3 maka terserah pada seseorang itu untuk perhebatkan memburu Lailatul Qadr sepanjang malam tanpa tidur. Moga Allah kurniakan limpahan barakah yang banyak.

5. Adapun bagi yang tidak mampu berjaga sepanjang malam, maka tidak mengapa untuk tidur malam, kemudian bangkit melakukan qiyammullail. Yang penting usaha memburu Lailatul Qadr jangan ditinggalkan. Malah justifikasi memperhebatkan memburu Lailatul Qadr adalah tercapai dengan beribadah lebih masa dari kebiasaannya di waktu sebelum ini.

6. Secara asas, menghidupkan malam yang afdhal ialah selepas bangkit dari tidur malam. Orang begini adalah mujahadah kerana sanggup meninggalkan "kenikmatan tidur" yang sedang dikecapi.

Firman Allah SWT :

{ تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمۡ عَنِ ٱلۡمَضَاجِعِ یَدۡعُونَ رَبَّهُمۡ خَوۡفࣰا وَطَمَعࣰا وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ یُنفِقُونَ }

Maksudnya :
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. - [Surah As-Sajdah: 16]

Ayat di atas merujuk, mereka yang bangkit malam berqiyamullail selepas tidur iaitu tidurnya sedikit.

7. Begitu juga firman Allah yang dijadikan hujah pada perkara melibatkan qiyamullail yang afdhal ialah tidur dahulu kemudian bangkit beribadah. Firman Allah SWT :

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya:
Dan (bangunlah bangkit dari tidur) pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "solat tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

8. Malah sekalipun tidur namun tidur boleh dijadikan sebagai ibadah apabila tidur tersebut dengan niat yang betul, berazam untuk bangkit malam serta dihiasi sunnah yang dilakukan sebelum tidur seperti bacaan dan zikir tertentu. Jadi, bahagian tidur pada sebahagian malam turut dikira sebagai ibadah, bukanlah masa yang sia-sia. Sebab itu, jika ditakdirkan Allah, seseorang yang bertekad untuk bnagkit qiyammullail namun tidak mampu tetap mendapat pahala.

Rasulullah SAW bersabda :

ما من امرئٍ تكونُ لهُ صلاةٌ بليلٍ يَغْلِبُهُ عليها نومٌ إلا كَتَبَ اللهُ لهُ أجرَ صلاتِهِ وكان نومُهُ عليهِ صدقةً

Maksudnya :
“Tidaklah seseorang bertekad untuk bangun melaksanakan solat malam, namun tidurnya mengalahkannya, maka Allah tetap mencatat pahala solat malam untuknya dan tidurnya tadi dianggap sebagai sedekah untuknya.” - riwayat An-Nasai

9. Justeru, lihat kepada kemampuan diri dan tidak perlu memandang rendah pada tidur itu sendiri. Yang paling utama beribadah dengan displin dan panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Yang paling penting "pahala menghidupkan malam" paling asas perlu dijaga sebelum ditambah dengan amalan yang lain, ialah dengan memelihara solat Isyak dan Subuh secara berjemaah.
Uthman bin al-Affan RA meriwayatkan aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

Maksudnya:
“Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam.” - riwayat Muslim

10. Akhirnya, dalam berbicara memburu Lailatul Qadr tunjukkan kesungguhan dan pengharapan kepada Allah dalam kita beramal. Pastikan beramal dengan displin. Setiap manusia memiliki kemampuan yang berbeza, manfaatkan kelebihan yang ada. Sekalipun memburu Lailatul Qadr itu ibadah secara terfokus adalah pada malam, namun jangan menjadikan waktu di siang hari pula berlakunya dosa dan maksiat.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments