Habib Salim al-Saqqaf al-Jofri Ketua Baharu, Dr Ahmad Raisuni Letak Jawatan

 



Habib Salim al-Saqqaf al-Jofri Ketua Baharu, Dr Ahmad Raisuni Letak Jawatan


Lembaga Pemegang Amanah bagi Kesatuan Ulama Islam Sedunia melantik Ketua yang baharu pada Sabtu, 10 Sept 2022, bagi menggantikan Dr Ahmad Raisuni yang meletakkan jawatannya.

Dalam mesyuarat khas yang diadakan menerusi platform Zoom, mesyuarat bersetuju melantik Habib Salim Saqqaf sebagai Ketua baharu sehingga habis sesi tempoh yang sedang berlangsung.

Dr Ahmad Raisuni menyatakan peletakkan jawatannya adalah secara pilihan sendiri agar beliau dapat terus bebas memberikan pendapat dan pendiriannya tanpa terikat.

Ia dipercayai susulan satu kenyataan beliau berkaitan isu yang melibatkan Mauritania dan Maghribi, di mana beliau menegaskan bahawa Maghribi sepatutnya kembali seperti asal sebelum wujudnya perang di Eropah di mana Mauritania adalah sebahagian dari Maghribi.

Kenyataan beliau, mendapat kritikan dan sanggahan kerana kewujudan Mauritania telah pun berlaku dan dalam rekod sejarah kewujudan telah diiktiraf sendiri oleh Maghribi dengan perubahan yang telah pun terjadi.

Ketua Baharu iaitu Habib Salim al-Saqqaf al-Jofri merupakan orang Indonesia yang dilahirkan di daerah Solo, Jawa Tengah pada 17 Julai 1954.

Beliau memperoleh PhD dalam bidang Syariah dari Universiti Islam pada tahun 1986.

Beliau juga memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Sosial di Indonesia, dan bekerja sebagai pensyarah pengajian pascasiswazah di Universiti Islam Negeri Sharif Hidayatullah di Jakarta.

Kredit gambar FB الاتحاد العالمي لعلماء المسلمين

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman. 

Comments