Minggu Penyusuan Ibu Sedunia

 



Minggu Penyusuan Ibu Sedunia


1. Sambutan minggu penyusuan ibu sedunia ialah pada 1 - 7 Ogos. Ia merupakan kempen dan juga kesedaran betapa pentingnya penyusuan ibu kepada bayi yang baru dilahirkan.

2. Penyusuan ibu amat ditekankan di dalam Islam malah terdapat hukum hakam berkaitan dengannya. Malah kajian juga membuktikan susu ibu adalah susu paling terbaik buat bayi yang baru dilahirkan.

3. Dalam Islam, penyusuan merupakan hak si anak bagi ibu yang berkemampuan. Tempoh sempurna ialah 2 tahun. Dengan penyusuan inilah seorang ibu menanggung beban yang tidak ditanggung oleh si bapa. Tafsiran bagi bebanan demi bebanan seorang ibu sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Kathir yang menjadikan hak ibu ke atas anak berbanding bapa ialah :

i. Bebanan mengandung.
ii. Bebanan melahirkan.
iii. Bebanan menyusukan.

4. Jihad penyusuan ibu merupakan satu usaha bagi menyedarkan betapa pentingnya penyusuan ibu ke atas anak-anak kerana kelebihannya banyak antaranya :

i. Kesihatan anak dan pembesaran yang terbaik.
ii. Hubungan kemesraan anak dengan ibu.
iii. Membentuk psikologi yang terbaik antara ibu dan anak.

5. Di samping itu, jihad penyusuan ini memerlukan juga sokongan dari suami. Suami perlu berikan galakan dan sokong kepada isteri untuk jihad ini sebaiknya melengkapkan 2 tahun. Apatah lagi di zaman ramai wanita bekerjaya di luar, pastinya cabaran ini memerlukan kesefahaman dari kedua pihak. Bagi yang dapat menyusukan secara langsung ini terbaik, namun jika tidak, boleh juga menyusukan bayi dengan susu ibu yang disimpan beku bagi bekalan tempoh-tempoh tertentu.

6. Jika berlaku masalah dan tidak dapat meneruskan penyusuan, maka berbincanglah antara suami isteri agar saling memahami dan terus memberikan sokongan dalam apa jua keputusan. Islam tidak memberatkan berdasarkan kemampuan. Sebagaimana seorang bapa dalam urusan nafkah atas kemampuan, maka begitilah seorang ibu dalam penyusuan berdasarkan kemampuan. Ini berdasarkan ayat 233 dalam Surah al-Baqarah.

7. Bagi yang dapat menyusukan anak secara penuh ucapkanlah syukur pada Allah atas nikmat yang diberikan. Para bapa juga ucapkan terima kasih dan kata-kata motivasi atas usaha memberikan susu terbaik buat anak mereka bersama.

8. Besarnya penyusuan ibu ini sehingga tidak terbalas jasa seorang ibu bagi seorang anak. Dalam Islam juga menetapkan hukum anak susuan bagi bayi yang berumur kurang 2 tahun yang disusukan sebanyak 5 kali susuan mengenyangkan. Pengharaman secara susuan adalah sebagaimana pengharaman secara nasab keturunan.

9. Susuan dalam Islam memiliki kehormatan yang tersendiri. Sebab itu isu dahulu berkenaan bank susu, para ulama membincangkan secara serius bagi mengelakkan wujudnya kekacauan dalam nasab dan juga isu susuan. Kehormatan manusia adalah perkara asas sebab itu bermula dengan menjaga maruah diri kemudian ikatan pernikahan kemudian dalam hal susuan. Ia bukan boleh main campur-campur tanpa displin. Ia soal hukum kerana manusia adalah makhluk yang mempunyai kehormatan, tidak sebagaimana haiwan.

10. Terima kasih kepad isteri atas susunya kepada anak kita. Terima kasih kepada ibu atas susunya yang membesarkan kita. Semoga setiap titisan susuan ditulis pahala besar dan jihad.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments