BAWA PERKATAAN "RAHMAH" DENGAN CARA YANG SEBENAR MENURUT ISLAM

BAWA PERKATAAN "RAHMAH" DENGAN CARA YANG SEBENAR MENURUT ISLAM


▪️Pengenalan

Ekspo Tattoo Malaysia 2019 menjadi hangat susulan peragaan separa bogel dan ekspo tersebut berada tengah kota bandaraya Kuala Lumpur sekali di dalam dewan.

Menjadi kepelikan apabila YB Menteri Agama memberikan respon mengenai isu ekspo tattoo dengan ulasan yang longgar. Malah, beliau pula membidas pengkritik kerana mengaitkan isu yang berlaku di bawah kesalahan kerajaan.

Sedangkan tiada pula ucapan tegas dari beliau yang menemplak atau mengkritik pihak penganjur tersebut.

Di saat penonjolan pembawakan mewujudkan negara rahmah, namun kelihatan kelonggaran terhadap isu-isu yang jelas menyentuh sensitiviti agama dan ummah. Bagaimana perkataan "rahmah" dimanipulasi menjadi "tiket" asal apa sahaja yang datang dari kalangan orang kafir ia "diberi" kelonggaran secara meluas.

▪️Usah Manipulasi Perkataan "Rahmah"

Perkataan rahmah yang disandarkan kepada Rasulullah SAW mestilah difahami dengan makna yang sahih sebagaimana perbahasan para ulamak agar ia tidak dimanipulasikan yang merugikan Islam.

Malaysia di era baharu bawah pemerintahan PH menerusi YB Menteri Agama cuba ingin menonjolkan perkataan "rahmah" dalam setiap slogan yang dibawa seperti "Rahmatan lil Alamin" serta tema "Negara Rahmah Negara Sejahtera".

Namun, perlu berwaspada agar tidak berlaku penyalahgunaan perkataan yang asasnya mempunyai hubung kait dengan agama Islam. Seringkali menjadi sasaran yang dimanipulasikan demi kepentingan sesuatu ideologi yang hakikatnya tidak menepati kehendak syariat yang sebenar. Sebagai contoh :

i. Keadilan - perkataan yang dimanipulasikan oleh golongan Feminisme dalam menuntut hak kesamarataan antara lelaki dan perempuan kerana beranggapan Islam mendiskriminasi hak wanita pada bahagian-bahagian tertentu seperti pembahagian pusaka.

ii. Kebebasan bersuara - perkataan yang dimanipulasikan oleh golongan pasca modernisme termasuklah doktrin asas liberalisme dalam mengiyakan tindakan mereka mempertikaikan sesuatu kebenaran walaupun termaktub secara jelas dalam nas.

iii. Hak asasi manusia - perkataan yang dilaungkan oleh pihak Barat dalam mengetengahkan kehendak nafsu manusia untuk mencapai sesuatu tujuan atas nama hak asasi manusia sekalipun ia bercanggah dengan fitrah manusia yang sebenarnya.

▪️Manipulasi Perkataan Baik, Namun Matlamat Jahat

Sejarah awal Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW turut menjadi saksi bagaimana wujudnya kumpulan yang menyeleweng secara sengaja serta kefahaman yang silap secara tidak sengaja dalam menafsirkan perkataan dalam al-Quran sebagaimana kes yang pernah terjadi antaranya :

i. Kumpulan yang enggan membayar zakat di zaman Sayiduna Abu Bakr dengan menyeleweng makna pada ayat yang memerintahkan mengutip zakat adalah khusus pada Baginda SAW sahaja tidak pada yang lain kerana ayat perintah memggunakan perkataan tunggal (mufrad) iaitu خذ pada ayat 103 dalam Surah at-Taubah.

ii. Kumpulan Khawarij yang menolak perdamaian antara kumpulan Sayiduna Ali bin Abu Talib dan kumpulan Muawiyah Abu Sufyan dalam Majlis Tahkim dengan alasan mereka iaitu إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ yang diambil dari ayat 40 dalam Surah Yusuf.

iii. Teguran Abu Ayyub al-Ansori kepada tentera Islam yang ingin berpatah balik dari terus mara masuk ke dalam Kota Konstinapel kerana menyangka dengan meneruskan langkah akan kalah serta mati yang termasuk dalam larangan kebinasaan iaitu التهلكة dari ayat 195 dalam Surah al-Baqarah.

▪️ "Rahmah" Bukanlah Sehingga Lembik Terhadap Orang Kafir

Perkataan "rahmah" yang mahu digambarkan mesti memahami dengan jelas bahawa ia bukanlah sehingga menggadaikan prinsip dan hilangnya keizzahan Islam di hadapan orang kafir. Malah terdapat banyak ayat al-Quran juga yang tegas terhadap orang kafir antaranya :

i. Ketegasan tiada kompromi dalam bab yang melibatkan aqidah sebagaimana dalan Surah al-Kafirun.

ii. Bersikap keras terhadap orang kafir yang memerangi dan belas kasihan sesama orang Islam sebagaimana ayat 29 dalam Surah al-Fath.

iii. Larangan mengambil teman rapat akan orang kafir yang memerangi agama dan zaman sebagaimana ayat 9 dalam Surah al-Mumtahanah.

iv. Larangan berkasih sayang dengan orang yang menentang Allah dan Rasul sekalipun kalangan kaum keluarga sendiri sebagaimana ayat 22 dalam Surah al-Mujadalah.

▪️Penutup

Justeru, pihak kerajaan dalam merealisasikan perkataan "rahmah" pada maksud yang sebenar ialah dengan memastikan :

i. Pertahan akidah dan mengajak manusia kepada Islam. Pengutusan Rasulullah SAW adalah untuk menyampaikan wahyu Allah ke atas semua manusia. Rahmat ini ialah menyelamat manusia dari kekufuran menuju kebenaran Islam.

Firman Allah SWT :

الۤرۚ كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَیۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَ ٰ⁠طِ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡحَمِیدِ

Maksudnya : "Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji." - Surah Ibrahim : 1

2. Melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh bukan hanya sebahagian. Ini kerana pensyariatan yang ditegakkan juga merupakan rahmat ke atas setiap manusia. Dengan melaksanakan syariat Islam seluruh manusia akan dapat merasai keadilan dan maslahat.

Ibn al-Qayyim berkata :

فإن الشريعة مبناها وأساسها على الحكم ومصالح العباد في المعاش والمعاد، وهي عدل كلها، ورحمة كلها، ومصالح كلها، وحكمة كلها، فكل مسألة خرجت عن العدل إلى الجور، وعن الرحمة إلى ضدها، وعن المصلحة إلى المفسدة وعن الحكمة إلى العبث، فليست من الشريعة وإن أدخلت فيها بالتأويل، فالشريعة عدل الله بين عباده ورحمته بين خلقه وظله في أرضه..

Maksudnya: “Syariah (Islamiyyah) itu terbina dan terasas di atas hukum dan maslahah para hamba dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ia keseluruhannya adil, keseluruhannya rahmat, keseluruhannya maslahah, keseluruhannya hikmah. Maka setiap masalah yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada sebaliknya, daripada maslahah kepada mafsadah (kerosakan), daripada hikmah kepada sia-sia, maka ia bukan daripada syariah walaupun dimasukkan ke dalamnya secara takwilan. Maka syariat Allah itu adil buat semua hamba-Nya, rahmat buat semua makhluk-Nya dan lembayung-Nya di muka bumi.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/14-15)

3. Negara sebagai medium dakwah dan hidayah membimbing manusia ke jalan kebenaran. Bukan menjadi medium yang membuka kerosakan kepada umum.

والدولة الإسلامية التي قامت في المدينة، قامت على الدين، فهو أساسها، وعلى حفظه والدعوة إليه منهجًا لحياتها ورسالتها، وكان ذلك مصدر فخر واعتزاز للأمة الإسلامية كلها ودافعًا لها على التمسك بعقيدتها وشريعتها ومنهاج حياتها، وهو ما كان يميزها عن أمم الأرض التي نشأت دولها بالقهر.

Maksudnya : Adalah negara Islam (di zaman Rasulullah SAW) yang dibina di Madinah, tertegak di atas agama, itulah asasnya, menjadi kemestian menjaganya dan menyeru kepada Islam sebagai manhaj kehidupan dan risalah. Adalah asas agama Islam itu rujukan kebanggaan dan kemuliaan bagi umat Islam serta mempertahankannya dengan berpegang teguh pada akidah dan syariatnya serta manhaj kehidupan. Inilah yang membezakan negara Islam dengan negara yang dibina oleh umat / bangsa di atas muka bumi ini yang didirikan dengan kekerasan." - lihat مسؤولية الدول الإسلامية عن الدعوة ونموذج المملكة العربية السعودية oleh Dr Abdullah bin Abdul Muhassan at-Turki

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3alLM5w

Comments