COVID-19 : APABILA KELUAR LARANGAN SOLAT BERJEMAAH DI MASJID

COVID-19 : APABILA KELUAR LARANGAN SOLAT BERJEMAAH DI MASJID




▪️Larangan Berjemaah Di Masjid Mesti Hanya Dari Pemerintah (Ulil Amri)

Hukum asal bagi umat Islam ialah pengimmarahan masjid dengan mendirikan ibadah secara berjemaah dan jua sebarang aktiviti yang membawa kepada taqwa dan ruang untuk menyucikan jiwa. Inilah asas pembinaan sesuatu masjid yang diterima oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT :

.. لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ یَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِیهِۚ فِیهِ رِجَالࣱ یُحِبُّونَ أَن یَتَطَهَّرُوا۟ۚ وَٱللَّهُ یُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِینَ * أَفَمَنۡ أَسَّسَ بُنۡیَـٰنَهُۥ عَلَىٰ تَقۡوَىٰ مِنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَ ٰ⁠نٍ خَیۡرٌ أَم مَّنۡ أَسَّسَ بُنۡیَـٰنَهُۥ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارࣲ فَٱنۡهَارَ بِهِۦ فِی نَارِ جَهَنَّمَۗ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِینَ

Maksudnya :
".. masjid yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim." - [Surah At-Tawbah 108 - 109]

Lantaran itu, dalam isu pencegahan penularan COVID-19 menerusi himpunan orang ramai termasuk melibatkan himpunan di masjid-masjid mestilah larangan tersebut hanya dikeluarkan oleh pemerintah atau ulul amri bagi urusan tersebut. Ia bagi mengelakkan kecelaruan dan mengakibatkan huru hara jika yang timbul itu bukan dari pemerintah atau badan berwajib yang diarahkan.

Di Malaysia, bidang kuasa agama terletak di bawah negeri kerana Raja atau Sultan merupakan Ketua (bagi urusan) Agama Islam di negeri yang diperintah. Di bawah kuasa Raja, perkara yang berhubung dan yang melibatkan masjid berada di bawah Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Sehubungan itu, sebarang larangan himpunan yang memberikan kesan kepada ketiadaan solat berjemaah fardhu khususnya dan sebarang aktiviti himpunan keagamaan.

Ia termasuklah dalam perkara mentaati perintah pemerintah pada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak disebabkan wujud keuzuran syar'i yang dipertimbangkan berdasarkan situasi tertentu.

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا

Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." - [Surah An-Nisa' 59]

▪️Keuzuran Syar'i Mestilah Bersifat Jelas, Bukan Sangkaan

Arahan larangan dan ketetapan khas yang ingin dikeluarkan tersebut mestilah melalui proses perbincangan dan prosedurnya. Ia bagi memastikan hasil keputusan yang dikeluarkan bersifat matang, menyeluruh dan tidak kerana emosi.

Sehubungan itu, keharusan bagi meniadakan solat berjemaah di masjid sebagaimana ynag disebutkan oleh para ulamak seperti Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Haiah Kibar Ulamak al-Azhar dan lain-lain dapat disimpulkan secara asasnya :

1. Ketakutan dan kebimbangan yang mencapai tahp yakin (محققا للخوف) atau sangkaan yang kuat (غلبة الظن) . Ia berdasarkan laporan dari ahli dan pakar rujuk sesuatu bidang yang terlibat dengan isu atau kes tersebut.

2. Mudarat yang berlaku mengancam nyawa menjadi perkara asas (ضروري) yang berlaku diiktiraf oleh Syarak. Ia bukanlah bersifat syak atau sangkaan semata-mata.

3. Bersifat pencegahan sebagaimana kaedah sad az-zarai' (سد الذرائع) agar masjid yang menjadi tempat himpunan tidak menjadi kebarangkalian yang tinggi berlakunya penularan wabak COVID-19

4. Larangan bersifat sementera bersesuaian dengan pencegahan mudarat. Ia sebagaimana kaedah fiqh yang berbunyi :

الضرر يدفع قدر الإمكان

Sehubungan, berdasarkan kepada laporan semasa kebimbangan terhadap keseriusan penularan COVID-19 adalah dilihat serius apatah lagi apabila Malaysia berada di tempat pertama dan tertinggu jangkita COVID-19 di Asia Tenggara. Jadi hal ini menjadi bukti keseriusan yang pastu bukan hanya syak atau sangkaan. Dan di peringkat Kerajaan Malaysia telah pun mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Mac 2020, jam 10.00 malam.

▪️Syiar Agama Mesti Terus Terpelihara Secara Khusus

Apabila larangan berjemaah dan aktiviti himpunan di masjid dikeluarkan bagi isu COVID-19 ini pada tempoh tertentu, perkara yang mesti dilakukan bagi memastikan syiar agama di masjid terus terpelihara secara khusus ialah :

1. Azan terus dilaungkan pada setiap waktu solat.

Sekalipun berlaku situasi di zaman Rasulullah SAW bahawa di musim hujan terlalu lebat dan disuruh solat di rumah masing-masing namun azan tetap dilaungkan dari masjid.

Daripada Nafi' bahawa :

أَذَّنَ ابْنُ عُمَرَ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ بِضَجْنَانَ ، ثُمَّ قَالَ : صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ ، فَأَخْبَرَنَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُ مُؤَذِّنًا يُؤَذِّنُ ، ثُمَّ يَقُولُ عَلَى إِثْرِهِ : ” أَلاَ صَلُّوا فِي الرِّحَالِ ” فِي اللَّيْلَةِ البَارِدَةِ ، أَوِ المَطِيرَةِ ، فِي السَّفَرِ .

Maksudnya :
"Ibn Umar melaungkan azan pada malam yang terlampau sejuk. Beliau melafazkan, Sollu fi rihaalikum (solatlah di rumah kamu). Lalu beliau menceritakan kepada kami, bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan muazzin melaungkan azan. Sesudah tamat azan, muazzin menyebutkan ‘Alaa sollu firrihaal’. Hendaklah masing-masing solat di rumah. Ia terjadi ketika malam yang sejuknya mencengkam, atau ketika hujan atau saat bermusafir.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Menjadi kesepakatan ulamak bahawa harus menambah lafaz bagi pengarahan umat Islam solat di rumah masing-masing. Tambahan lafaz tersebut sama ada selepas habis azan atau ia menggantikan lafaz "hayya alas solah (حي على الصلاة)" ketika sedang azan.

Lafaz yang tersebut antara 3 seperti berikut :

i. الصلاة في الرحال
ii. صلوا في رحالكم
iii. صلوا في بيوتكم

2. Jemaah kecil terus diadakan di masjid tanpa mengosongkan terus.

Ini boleh dilakukan dengan melibatkan pegawai masjid yang bertugas antaranya Imam, Bilal dan Siak paling minima dalam menunaikan solat fardhu. Ini kerana bagi memastikan syiar Islam terus terpelihara walau secara khusus.

Menurut al-Nawawi dan beberapa tokoh ulama’ lain dalam mazhab Syafie menegaskan bahawa solat berjamaah
hukumnya adalah fardu kifayah. Adapun solat fardu secara berjamaah ini
wajib dilaksanakan di tempat–tempat yang boleh menampakkan syiar jamaah dan Islam seperti di masjid, musolla
atau madrasah. Tetapi jika semua bersepakat melaksanakan solat jamaah di rumah masing-masing yang sama sekali tidak menampakkan syiar Islam, maka tidak gugur kewajipan solat berjemaah tersebut yang merupakan fardu kifayah ke atas mereka. Pendapat inilah yang masyhur dan muktamad serta menjadi pegangan sebahagian besar
para ulama’ dalam mazhab al-Syafi'i.

Firman Allah SWT :

وَإِذَا كُنتَ فِیهِمۡ فَأَقَمۡتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَلۡتَقُمۡ طَاۤىِٕفَةࣱ مِّنۡهُم مَّعَكَ وَلۡیَأۡخُذُوۤا۟ أَسۡلِحَتَهُمۡۖ فَإِذَا سَجَدُوا۟ فَلۡیَكُونُوا۟ مِن وَرَاۤىِٕكُمۡ وَلۡتَأۡتِ طَاۤىِٕفَةٌ أُخۡرَىٰ لَمۡ یُصَلُّوا۟ فَلۡیُصَلُّوا۟ مَعَكَ وَلۡیَأۡخُذُوا۟ حِذۡرَهُمۡ وَأَسۡلِحَتَهُمۡۗ وَدَّ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ لَوۡ تَغۡفُلُونَ عَنۡ أَسۡلِحَتِكُمۡ وَأَمۡتِعَتِكُمۡ فَیَمِیلُونَ عَلَیۡكُم مَّیۡلَةࣰ وَ ٰ⁠حِدَةࣰۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَیۡكُمۡ إِن كَانَ بِكُمۡ أَذࣰى مِّن مَّطَرٍ أَوۡ كُنتُم مَّرۡضَىٰۤ أَن تَضَعُوۤا۟ أَسۡلِحَتَكُمۡۖ وَخُذُوا۟ حِذۡرَكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡكَـٰفِرِینَ عَذَابࣰا مُّهِینࣰا

Maksudnya :
"Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina." - [Surah An-Nisa' 102]

Ayat di atas menjadj dalil bagaimana kaedah solat yang dilakukan semasa ketakutan dan peperangan. Dalam keadaan sedemikian juga, ditekankan aspek berjemaah maka ia menjadi suatu penekanan dan keutamaan bagi solat jemaah sekaligus menjadi syiar Islam.

Namun dalam konteks COVID-19 ia tetap perlu dipelihara secara khusus dalam konteks bilangan minima maksud jamaah tersebut sama ada dua orang atau tiga orang sahaja paling asas bagi mengelakkan himpunan skala besar.

3. Bacaan Qunut Nazilah pada setiap waktu solat fardhu.

Dalam keadaan musibah besar dan meliputi tempat umum yang meluas sepertimana COVID-19 yang diisytiharkan oleh WHO sebagai pandemik maka umat Islam disarankan membaca doa qunut nazilah bagi setiap 5 waktu solat fardhu.

Majoriti ulama berpandangan bacaan doa qunut nazilah harus dilakukan ketika bencana menimpa umat Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak, serangan belalang juta atau selainnya, dan mereka membaca qunut pada semua solat fardhu.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/494)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi mazhab al-Syafie adalah:

ان نزلت بالمسملين نَازِلَةٌ كَخَوْفٍ أَوْ قَحْطٍ أَوْ وَبَاءٍ أَوْ جَرَادٍ أَوْ نَحْوِ ذَلِكَ قَنَتُوا فِي جَمِيعِهَا وَإِلَّا فَلَا

Maksudnya: Sekiranya ditimpa ke atas orang-orang Islam musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut”. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475)

Ini menepati kehendak perintah Allah SWT tatkala umat Islam diuji dengan sesuaty ujian dan musibah agar kembali bermunajat dan merintih kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Firman Allah SWT :

فَلَوۡلَاۤ إِذۡ جَاۤءَهُم بَأۡسُنَا تَضَرَّعُوا۟

Maksudnya :
"Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami." - [Surah Al-An'am 43]

▪️Usah Bersedih Dan Risau Pahala Ibadah Bila Diarah Solat Berjemaah Di Rumah

Bila arahan dikeluarkan oleh pemerintah yang melarang atau menangguhkan solat berjemaah di masjid, maka ia perlu ditaati oleh rakyat umum bagi mencapai maksud mencegah penularan dan mengurangkan kes jangkitan COVID-19. Namun bukan mudah diterima oleh mereka yang sudah melazimi dan sentiasa mengamalkan solat berjemaah di masjid. Bukan tidak patuh, namun mereka sudah mencapai kelazatan berjemaah di masjid.

Kepatuhan tetap diberikan namun kadang kala timbul pula persoalan di benak fikiran adakah pahala ibadah dikira sama dan fadhilatnya bagaimana. Ia mungkin berbeza dengan mereka yang kurang melazimi dan masih belum merasai kelazatan berjemaah.

Bagi persoalan pahala ibadah dan fadhilatnya secara asasnya kita diajar bahawa :

1. Urusan pahala kesemuanya diserahkan kepada Allah SWT. Kita yakin Allah SWT Maha Pemurah dalam memberikan setiap ganjaran bagi apa sahaja amal kebaikan dan kebajikan. Malah asasnya 1 kebaikan dan kebajikan tetap dibalas 10 kali ganda.

Firman Allah SWT :

مَن جَاۤءَ بِٱلۡحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشۡرُ أَمۡثَالِهَاۖ وَمَن جَاۤءَ بِٱلسَّیِّئَةِ فَلَا یُجۡزَىٰۤ إِلَّا مِثۡلَهَا وَهُمۡ لَا یُظۡلَمُونَ

Maksudnya :
"Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun)." - [Surah Al-An'am 160]

2. Walaupun bersolat jemaah di rumah, namun hati masih berpaut pada (ingatan) di masjid maka mudah-mudahan ia tetap termasuk dalam 1 kalangan yang mendapat lindungan di hari akhirat.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ الله في ظِلِّهِ يومَ لا ظِلَّ إِلا ظِلُّهُ: إِمامٌ عادِلٌ، وشابٌّ نَشَأَ في عِبادة الله تعالى، ورَجُلٌ قَلْبُه مُعَلَّقٌ بالمساجد .....

Maksudnya :
"7 golongan yang mendapat naungan lindungan Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan Allah sahaja : pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dalam beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat di masjid-masjid....." - riwayat al-Bukhari dan Muslim

3. Sekalipun tidak dapat lagi berjemaah di masjid atas arahan kerana situasi yang mendesak atau kecemasan, namun niat yang baik tetap dibalas ganjaran pahala sekalipun tidak diberi izin melaksanakannya. Maka pahala tetap diperolehi apabila setiap kali berniat baik.

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW :

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ ....

Maksudnya :
"Sesungguhnya Allah mencatatkan segala kebaikan dan keburukan (untuk diberi balasan), kemudian Dia menerangkan demikian. Maka sesiapa yang berniat azam untuk lakukakan kebaikan namun tidak dapat melakukannya, Allah mencatat baginya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika ia berniat azam untuk lakukan kebaikan dan ia dapat lakukannya maka Allah mencatat baginya di sisi-Nya 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda malah berganda lagi..... " - riwayat al-Bukhari dan Muslim

4. Mendapat pahala besar mentaati pemerintah (selagi tidak diarah melakukab maksiat). Justeru sepanjang larangan itu dikeluarkan dan kita selaku rakyat patuh, maka sepanjang kepatuhan itu mendapat pahala yang besar kerana mentaati pemerintah.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَن أطَاعَنِي فقَدْ أطَاعَ اللَّهَ، ومَن عَصَانِي فقَدْ عَصَى اللَّهَ، ومَن يُطِعِ الأمِيرَ فقَدْ أطَاعَنِي، ومَن يَعْصِ الأمِيرَ فقَدْ عَصَانِي

Maksudnya :
"Sesiapa yang mentaatiku maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Maka sesiapa menderhakai kepadaku maka dia telah menderhakai kepada Allah. Dan sesiapa mentaati ketua (pemerintah) maka sesungguhnya dia telah mentaatiku. Namun siapa yang menderhakai pemerintah maka dja telah menderhakai aku." - riwayat al-Bukhari

Justeru, beramal dengan ilmu dan panduan dari al-Quran dan as-Sunnah. Melakukan kerana diperintah dan meninggalkan sesuatu kerana dilarang maka ia dikira ketaatan yang akan dibalasi ganjaran oleh Allah SWT dengan kemurahan-Nya. Umat Islam wajarlah kembali dan taubat dengan mohon keampunan kepada Allah dalam masa ini. Semoga dihapuskan dosa dan diangkat musibah ini oleh Allah.

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2JjVtWc

Comments