COVID-19 : PAHALA SEPANJANG DUDUK DI RUMAH

COVID-19 : PAHALA SEPANJANG DUDUK DI RUMAH




▪️Pahala Melayani Isteri Dan Anak-anak

Islam amat menitik beratkan soal penjagaan rumah tangga yang dibina agar mencapai sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan). Asas pembentukan ini ialah bermula dari hubungan suami isteri yang baik dan saling melayani kemesraan antara satu sama lain.

Allah SWT turut memerintah untuk bertanggungjawab dan melayani dengan baik akan isteri. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya :
"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." - Surah an-Nisa' : 19

Malah teladan dari Rasulullah SAW menunjukkan melayan dengan baik dan mesra akan ahli keluarga Baginda SAW sekalipun Baginda lah SAW orang yang paling sibuk dalam urusan dakwah dan urusan ummah.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى

Maksudnya :
“Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” - riwayat at-Tirmizi

Dalam tempoh keberadaan di duduk semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, jangan disia-siakan pahala ini berlalu begitu sahaja tanpa apa apa tindakan untuk mengeratkan lagi hubungan serta menjadi tempat mengadu kasih anak-anak yang selama ini juga mempunyai blok masa tersendiri sewaktu persekolahan.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan :

قَدِمَ نَاسٌ مِنْ الْأَعْرَابِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا أَتُقَبِّلُونَ صِبْيَانَكُمْ قَالُوا نَعَمْ فَقَالُوا لَكِنَّا وَاللَّهِ مَا نُقَبِّلُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمْلِكُ أَنْ كَانَ اللَّهُ قَدْ نَزَعَ مِنْكُمْ الرَّحْمَةَ

Maksudnya :
"Sekelompok orang badwi datang menemui Rasulullah SAW, mereka berkata, "Apakah kalian mencium anak-anak kalian?" Para sahabat menjawab, "Ya." Maka orang-orang Arab badwi itu berkata, "Demi Allah, kami tidak pernah melakukannya." Maka Nabi SAW bersabda: "Aku memiliki apa yang telah Allah hilangkan dari sikap kasih sayang kalian" - riwayat Ibn Majah

▪️Pahala Solat Fardhu Secara Berjemaah

Dalam situasi sekarang ini dengan tiadanya aktiviti solat berjemaah di masjid, maka dirikanlah solat fardhu berjemaah di rumah. Malah pahalanya adalah sama sebagaimana pahala berjemaah semasa di masjid. Ini kerana ketidak hadiran ke masjid adalah disebabkan wujudnya keuzuran syar'i apatah lagi ketetapan dari ulul amri untuk memastikan masjid tidak menjadi medan himpunan ramai orang sehingga boleh merisikokan berlakunya jangkitan wabak COVID-19.

Abu Burdah bin Abu Musa bahawa ia menemani Yazid bin Abu Kasyabah dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya :
"Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala sebagaimana ketika amalannya semasa bermukim dan dalam keadaan sihat.” - riwayat Ahmad

Memelihara solat berjemaah fardhu walau di mana jua berada merupakan satu tuntutan dan tetap lebih baik dari bersendirian sebanyak 27 kali ganda.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya :
”Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” - Riwayat Muslim

Jadi hidupkan solat fardhu berjemaah di rumah agar kita tidak terlepas atau berkurangan pahala ibadah yang selama ini telah dikerjakan. Jangan kerana tiada berjemaah di masjid maka ditinggalkan terus solat secara berjemaah sedangkan ia boleh dilaksanakan di rumah dalam situasi sekarang ini.

▪️Pahala Menghidupkan Suasana Beribadah Di Rumah

Menghidupkan suasana ibadah di rumah merupakan saranan dalam Islam. Ia tidak hanya terhad pada situasi sekarang ini sahaja namun pada setiap masa. Bahkan Rasulullah SAW melarang menjadikan rumah seumpama kuburan yang "gelap" kerana sunyi dari ibadah yang lakukan padanya.

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا

Maksudnya:
“Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu. Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Apa yang dimaksudkan dengan solat pada hadith tersebut ialah solat sunat yang dilakukan secara sendiri. Ini kerana bagi kaum lelaki, solat fardhu dituntut berjemaah di masjid kecuali jika terdapat keuzuran. Ini dikuatkan lagi dengan hadith daripada Zaid bin Thabit R.A, Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya:
"Sesungguhnya sebaik-baik solat bagi seseorang adalah di rumahnya, kecuali solat fardhu." - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Walaupun para isteri dan wanita bersolat di rumah, namun hadith di atas tetap dituju secara khusus untuk para kaum lelaki menjadikan sebahagian solat sunatnya dididirikan di rumah. Ini boleh dilakukan pada solat sunat malam seperti tahajjud dan qiamullail di akhir 1/3 malam.

Selain ibadah solat, Rasulullah SAW turut menyuruh umatnya menghidupkan suasana ibadah di rumah dengan membaca al-Quran. Amalan ini juga fadhilatnya sebagai "pendinding" kepada penghuni rumah tersebut dari gangguan syaitan dan perkara yang tidak elok.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya:
“Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” - Riwayat Muslim dan al-Nasa’ie

Ibnu Mas’ud meriwayatkan :

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ

Maksudnya:
“Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.” - Riwayat al-Tabrani

Dalam situasi biasa pun Islam menyuruh umatnya menghidupkan suasana ibadah di rumah masing-masing, maka bila situasi kena duduk di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan maka lebih banyak masa dan aktiviti boleh dilaksanakan untuk menghidupkan suasana ibadah di rumah.

▪️Pahala Mengikut Sunnah Rasulullah SAW Dalam Mencegah Wabak

Panduan mencegah sesuatu penularan wabak apa sahaja namanya boleh diambil dari teladan sunnah Rasulullah SAW. Ini berdasarkan larangan Baginda SAW dari memasuki tempat wabak yang boleh menyebabkan berlaku jangkitan serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan tersebarkan jangkitan yang sedia ada.

Abu Salamah bin Abdul Rahman meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda :

لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ

Bermaksud:
“Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Rasulullah SAW juga telah memerintahkan mereka yang berada di tempat wabak untuk tidak keluar dari kawasannya. Mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki tempat yang terkena wabak:

Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

Bermaksud:
“Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” - riwayat Muslim

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya:
“Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.” - riwayat al-Bukhari

▪️Pahala Mentaati Pemerintah (Ulul Amri)

Islam amat menitik beratkan kehidupan bermasyarakat dan soal kepimpinan sekalipun dalam kelompok yang kecil. Bermula jemaah 3 orang sekalipun dalam permusafiran pun, Baginda SAW menyuruh untuk melantik seorang ketua kerana kehidupan mesti terpimpin dan dipimpin.

Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya:
“Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik sebagai ketua.” - riwayat Abu Daud

Apatah lagi dalam konteks yang lebih besar iaitu sebuah negara maka urusan kepimpinam lebih besar dan serius. Malah Islam memberi hak kepada pemerintah untuk ditaati oleh rakyat yang berada di bawahnya selagimana sesuatu arahan, perintah mahupun larangan tersebut tidak bercanggah dengan syarak.

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا

Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." - [Surah An-Nisa' 59]

Justeru, dalam situasi sekarang ini, perintah yang dikeluarkan adalah bagi memastikan maslahat umum rakyat lebih terpelihara dari sebarang kebarangkalian risikl yang bakal terjadi. Maka berada di rumah kerana menurut perintah pemerintah ia termasuk dalam ibadah yang dikira oleh syarak.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَن أطَاعَنِي فقَدْ أطَاعَ اللَّهَ، ومَن عَصَانِي فقَدْ عَصَى اللَّهَ، ومَن يُطِعِ الأمِيرَ فقَدْ أطَاعَنِي، ومَن يَعْصِ الأمِيرَ فقَدْ عَصَانِي

Maksudnya :
"Sesiapa yang mentaatiku maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Maka sesiapa menderhakai kepadaku maka dia telah menderhakai kepada Allah. Dan sesiapa mentaati ketua (pemerintah) maka sesungguhnya dia telah mentaatiku. Namun siapa yang menderhakai pemerintah maka dja telah menderhakai aku." - riwayat al-Bukhari

▪️Pahala Mendatangkan Manfaat Dan Tidak Menyusahkan Membebankan Pihak Bertugas

Dengan duduk di rumah tanpa keluar bersahaja tanpa ada keperluan mustahak ia termasuk dalam perancangan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini. Ia juga saham manfaat yang boleh dilaksanakan oleh rakyat umum agar tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan risiko berjangkit dan dijangkiti ekoran berada di luar rumah dan terlibat dengan himpunan serta bersentuhan secara sosial di luar.

Lantaran itu, inilah pahalanya dengan memberi manfaat membantu perancangan ke arah pencegahan dan tidak menambahkan lagi bebanan ke atas para petugas yang sedang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja secara langsung atau barisan hadapan @ front liner dengan wabak ini.

Firman Allah SWT :

مَّن یَشۡفَعۡ شَفَـٰعَةً حَسَنَةࣰ یَكُن لَّهُۥ نَصِیبࣱ مِّنۡهَاۖ وَمَن یَشۡفَعۡ شَفَـٰعَةࣰ سَیِّئَةࣰ یَكُن لَّهُۥ كِفۡلࣱ مِّنۡهَاۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ مُّقِیتࣰا

Maksudnya :
"Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." - [Surah An-Nisa' 85]

Marilah kita duduk di rumah menurut Perintah Kawalan Pergerakan serta memanfaatkan masa keberadaan di rumah dengan aktiviti berfaedah dan sesuatu yang mendatangkan pahala di sisi Allah SWT.

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/33Qgstp

Comments