DUDUK RUMAH : USAH MELAWAK DENGAN MEMAKAI BAJU ISTERI

 DUDUK RUMAH : USAH MELAWAK DENGAN MEMAKAI BAJU ISTERI



▪️Termasuk Larangan Yang Menyerupai Jantina Berbeza


Terdapat larangan keras dalam Islam berkenaan penyerupaan jantina yang berbeza iaitu lelaki menyerupai perempuan dan begitu juga sebaliknya. Penyerupaan jantina lain ada dari sudut :


1. Pemakaian. 

2. Gerak geri dan lenggok badan.

3. Lunak suara.

4. Rupa bentuk yang mengubah fizikal anggota. 

5. Melakukan pembedahan mengubah jantina. 


Walaupun dalam mencari "mood" ketika "bosan" berada di rumah, lawak jenaka perlu dikawal agar tidak terjerebak dengan kelakuan yang tanpa sedar yang sebenarnya merupakan sesuatu yang ditegah di dalam Islam. Islam tidak menghalang hiburan atau lawak jenaka namun di sana adanya batasan dosa pahala yang mesti dipatuhi oleh umat Islam.


Di antaranya ialah memakai pakaian jantina lain seperti si suami memakai pakaian isterinya. Maka ia adalah perbuatan yang seharusnya tidak berlaku kerana ditegah di dalam Islam. Apatah lagi kelakuan demikian cuba dibuat jenaka secara terbuka menerusi rakaman video atau bersiaran langsung bagi menarik perhatian dan reaksi ketawa dari penonton.


Antara nas yang melarang perbuatan lelaki memakai pakaian perempuan dan sebaliknya ialah hadith dari Abu Hurairah bahawa :


لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ ص الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ اْلمَرْأَةِ، وَ اْلمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ


Maksudnya :

“Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang berpakaian wanita, dan (melaknat) wanita yang memakai pakaian lelaki.” - riwayat Abu Dawud 


Dan terdapat juga nas yang melarang penyerupaan jantina lain dari sudut kelakuan gaya dan gerak lenggok tubuh badan seperti larangan dalam hadith dari Ibn Abbas bahawa :


لَعَنَ النَّبِيُّ ص اْلمُخَنَّثِيْنَ مِنَ الرّجَالِ وَ اْلمُتَرَجّلاَتِ مِنَ النّسَاءِ. 


Maksudnya :

Rasulullah SAW melaknat para lelaki yang bergaya seperti wanita dan para wanita yang bergaya seperti lelaki." - riwayat al-Bukhari 


▪️Cari Kreativiti Lain Yang Tidak Bercanggah Syariat


Islam tidak menghalang kreativiti atau lawak jenaka selama mana ia terkawal iaitu tidak melampaui batasan syariat. Dalam keadaan yang mungkin dirasakan tepu kerana sepanjang masa berada di dalam rumah, maka cari idea untuk berkreativiti dan berjenaka bersama ahli keluarga yang baik dan sopan.


Belajar dari teladan Rasulullah SAW yang juga berkreativiti bersama isteri Baginda SAW. Antaranya kisah Baginda SAW berlumba lari dengan Sayidatina Aisyah.


Sebagaimana riwayat dari Sayidatina Aisyah :


  خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ وَأَنَا جَارِيَةٌ لَمْ أَحْمِلِ اللَّحْمَ وَلَمْ أَبْدُنْ ، 


Maksudnya :

Aku keluar bersama Nabi SAW dalam sebahagian musafirnya. Ketika itu aku seorang gadis yang tidak gemuk.


فَقَالَ لِلنَّاسِ : تَقَدَّمُوا فَتَقَدَّمُوا ، ثُمَّ قَالَ لِي : تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقْتُهُ ، 


Baginda berkata kepada sahabat-sahabat lain: Pergi dahulu, lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian Baginda berkata kepada ku: Mari ke sini (Baginda mengajak untuk berlumba lari). Aku akan menewaskan mu. Aisyah berkata: Lalu aku telah menewaskan Baginda.


فَسَكَتَ عَنِّي ، حَتَّى إِذَا حَمَلْتُ اللَّحْمَ وَبَدُنْتُ وَنَسِيتُ ، خَرَجْتُ مَعَهُ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ ، فَقَالَ لِلنَّاسِ : تَقَدَّمُوا فَتَقَدَّمُوا ، ثُمَّ قَالَ : تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ فَسَابَقْتُهُ ، فَسَبَقَنِي ، فَجَعَلَ يَضْحَكُ ، وَهُوَ يَقُولُ : هَذِهِ بِتِلْكَ.


Lalu Baginda mendiamkan diri. Hinggalah tiba pada masa aku sudah menjadi gemuk, dan aku pun sudah terlupa akan hal itu. Aku telah keluar lagi bersama baginda dalam sebahagian musafirnya. Lalu Baginda berkata kepada orang ramai: Pergi dahulu, lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian baginda berkata: Mari ke sini. Aku akan menewaskan mu. Kali ini, Baginda telah menewaskan aku. Baginda pun ketawa dan berkata: Ini merupakan untuk itu (iaitu balasan untuk kekalahan sebelum itu). - riwayat Ahmad dan Abu Dawud


▪️Jaga Maruah Dan Kesopanan


Ada perkara yang harus bersama isteri namun ia tidak harus dibuka untuk tatapan orang ramai secara terbuka. Ini kerana ia boleh dianggap tidak sopan dan tidak menjaga maruah suami isteri. Jadinya sebelum melakukan apa jua tontonan secara langsung atau rakaman, diharapnya ia mampu ditapis terlebih dahulu. Bukan semua perkara perlu dipertontonkan malah perlu menjadi "privacy". Ini kerana selain maruah dan sopan yang perlu dijaga, soal aurat adalah perkara utama.


Disebabkan itu, kelakuan dalam rumah yang melibatkan perkara "sulit" perlu dipelihara. Suasana keadaan dalam rumah umumnya melibatkan hal hal sulit terutama melibatkan kemesraan suami isteri. Disebabkan itu Islam menetapkan adab dalam memasuki rumah seseorang dan adab di dalam rumah dalam memasuki bilik seseorang bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini atau yang tidak disenangi.


Firman Allah SWT :


یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَدۡخُلُوا۟ بُیُوتًا غَیۡرَ بُیُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُوا۟ وَتُسَلِّمُوا۟ عَلَىٰۤ أَهۡلِهَاۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ


Maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)." - [Surah An-Nur 27]


Firman Allah SWT :


یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لِیَسۡتَـٔۡذِنكُمُ ٱلَّذِینَ مَلَكَتۡ أَیۡمَـٰنُكُمۡ وَٱلَّذِینَ لَمۡ یَبۡلُغُوا۟ ٱلۡحُلُمَ مِنكُمۡ ثَلَـٰثَ مَرَّ ٰ⁠تࣲۚ مِّن قَبۡلِ صَلَوٰةِ ٱلۡفَجۡرِ وَحِینَ تَضَعُونَ ثِیَابَكُم مِّنَ ٱلظَّهِیرَةِ وَمِنۢ بَعۡدِ صَلَوٰةِ ٱلۡعِشَاۤءِۚ ثَلَـٰثُ عَوۡرَ ٰ⁠تࣲ لَّكُمۡۚ لَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ وَلَا عَلَیۡهِمۡ جُنَاحُۢ بَعۡدَهُنَّۚ طَوَّ ٰ⁠فُونَ عَلَیۡكُم بَعۡضُكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضࣲۚ كَذَ ٰ⁠لِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلۡـَٔایَـٰتِۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ


Maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." - [Surah An-Nur 58] 


▪️Sifat Malu Benteng Keimanan


Dalam zaman dunia serba terbuka ini, berhati-hati dalam sebaran yang membuka sehingga terbuka sesuatu yang tidak perlu dibuka. Hal ini dibimbangi kerana keghairahan dalam sesuatu perkara maka tiada pertimbangan yang sewajarnya akhirnya terhakisnya sifat yang sepatutnya adanya malu pada sesuatu tempat.


Seperti mana yang dibimbangi, mendedahkan aurat sudah menjadi suasana yang tanpa segan silu lagi. Maka ini adalah bahana akhir zaman yang telah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW.


Bukannya berfikiran tertutup namun perlu adanya displin dalam etika terbuka agar perkara yang umum terbuka dibuka untuk manfaat umum dan bahagian yang perlu di"privacy"kan wajar dikunci elok dari menjadi tontonan umum yang tidak wajar.


Asasnya perkara sebegini berkaitan dengan sifat malu. Sifat malu menjadi benteng keimanan. Tanpa ada sifat malu, manusia akan buat apa sahaja tanpa bimbingan dan pedoman.


Abu Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُولَى: إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ


Maksudnya :

"Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu." - riwayat al-Bukhari


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2x8J1Gp

Comments