FAKTOR KESATUAN UMAT ISLAM

FAKTOR KESATUAN UMAT ISLAM



▪️Pengenalan

Kesatuan bagi umat Islam merupakan suatu perkara yang amat penting di dalam menjayakan rancangan mendaulatkan Islam sebagai agama di muka bumi. tanpa ada kesatuan, perpecahan yang berlaku akan menyebabkan umat Islam akan lemah, hilangnya keindahan syiar Islam dan pengaruh Islam di dunia.

Sejak dari dahulu lagi, hati-hati umat Islam telah disatukan oleh Allah SWT bagi membentuk suatu ikatan yang utuh untuk merangsangkan kekuatan kesatuan ummah. Dengan wujudnya kekuatan kesatuan tersebut, ia mampu menjadikan umat Islam disegani lawan dan kawan dan mampu membawa risalah Islam seterusnya mewujudkan Negara Islam yang diimpikan setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyah suatu ketika dahulu.

Usaha-usaha untuk menyatukan umat Islam merupakan satu usaha jihad yang sangat besar dan memerlukan ketekunan dan kesungguhan yang lebih daripada segala-galanya.

Beberapa faktor yang umum dan besar bagi kesatuan umat Islam, antaranya ialah :

▪️ Satu Akidah

Tidak mungkin berlaku kesatuan umat Islam selama mana mereka tidak dihimpunkan di dalam akidah yang satu. Akidah merupakan tunjang di dalam membentuk asas yang sangat penting di dalam membina keperibadian individu dan berkumpulan.

Akidah merupakan suatu konsep yang padanya dipusatkan segala amalan, perbuatan, hubungan dan akhlak. Hasil bagi segala perbuatan, hubungan dan akhlak adalah mengikut acuan akidah. maka sekiranya akidah Islam, segalanya akan dilakukan berdasarkan acuan Islam, sekiranya bukan maka hasilnya juga bukan mengikut acuan Islam.

Justeru, akidah yang membawa kepada kesatuan dan maslahat bagi umat Islam yang pelbagai ialah akidah yang didirikan dengan asas-asas al-Quran dan as-Sunnah. Asas-asas tersebut mampu diterjemahkan di dalam segenap bidang sama ada yang melibatkan perkara pokok atau cabang.

Akidah yang sejahtera dan sahih merupakan jalan yang utama di dalam menyatukan umat Islam di seluruh dunia dan sepanjang masa. Tidak ada jalan yang mampu menyatukan seluruh hati-hati umat Islam keseluruhannya, menyatukan suara mereka dan memberikan kesenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat melainkan kembali kepada Islam yang suci daripada unsur-unsur yang menyeleweng.

Islam yang bersih daripada perkara syirik, bid'ah, hawa nafsu, ta'asub dan perkara-perkara yang keji dan fasid. Akidah Islam sebeginilah yang dituntut ke atas umat Islam keseluruhannya samada dari sudut perbezaan mazhab atau kelompok supaya sama-sama menyatukan diri di dalam Islam dan mengikuti perjalanan para salafus solih yang telah membentuk perjalanan Islam yang teratur.

Maka, di dalam usaha membentuk kekuatan kesatuan umat Islam mestilah melalui jalan yang telah dibentangkan Islam, tidak ada yang lain. Hanya dengan kesatuan umat Islam kemenangan yang dijanjikan akan muncul. maka kesatuan melalui Islam adalah yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Justeru, cara untuk memahami penterjemahan yang sahih bagi kefahaman al-Quran dan as-Sunnah hanya dengan melalui Rasulullah SAW, para sahabat RA, para tabi'en dan golongan yang mengikuti manhaj Islam sehingga ke hari kiamat.

▪️Panduan Dan Sumber al-Quran dan as-Sunnah

Jika faktor yang pertama ialah kembali kepada akidah yang satu, akidah yang benar iaitu Islam, maka kesinambungan daripada itu, bagi mencernakan kekuatan kesatuan adalah dengan menjalankan perlembangan Islam di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara sehinggalah dunia.

Maka sekiranya umat Islam tidak menjalankan mengikut apa yang yang telah diperuntukkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah sebenarnya umat Islam tersebut telah hilang jati diri selaku umat Islam, maruah, kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Dalil-dalil yang terdapat jelas menunjukkan kewajipan di dalam menjalankan perlembagaan Islam mengikut al-Quran dan as-Sunnah. antaranya :

sila rujuk : Surah an-Nisa' ayat 59, Surah al-An'am ayat 114 - 115, Surah as-Syura ayat 10.

Hadis dari Ibnu Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya : "Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang mana sekiranya kamu berpegang teguh dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, itulah kitab Allah SWT (al-Quran) dan Sunnahku (as-Sunnah)." - riwayat Muslim

▪️Berintima' Dengan Islam

Bersungguh-sungguh di dalam menyeru manusia sekalian alam kepada Allah SWT dan menjaga manhaj pergerakan Islam supaya tidak lari daripada landasannya. Berintimak dengan Islam bukan hanya pada beberapa perkara sahaja, bahkan meliputi keseluruhan di dalam akidah dan syariat, manhaj kehidupan, dan memuliakan agama Islam serta menjauhkan dan membersihkan daripada perkara-perkara yang sesat dan menyeleweng.

Islam merupakan agama bagi seluruh kehidupan di dalam menjadikan segala aspek kelakuan manusia berteraskan pengabdian diri kepada Allah SWT sama ada dalam perspektif ibadah, muamalat, akhlak, kehakiman, perniagaan dan sebagainya.

Firman Allah SWT :

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلࣰا مِّمَّن دَعَاۤ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحࣰا وَقَالَ إِنَّنِی مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِینَ

Maksudnya "Dan siapa yang lebih baik kata-katanya yang menyeru kepada Allah SWT dan beramal soleh dan orang tersebut berkata sesungguhnya aku daripada kalangan orang Islam." - Surah Fussilat ayat 33

▪️Mencari Dan Menuntut Kebenaran

Faktor ini merupakan pemangkin bagi menjana kesatuan umat Islam. Sekiranya umat Islam berusaha dan berkeinginan di dalam mencari dan menuntut kebenaran maka akan adanya jalinan ke arah kesatuan. Sekiranya tidak mahu kepada kepada kebenaran nescaya ia mencari kebatilan. Ini kerana, hanya ada sama ada kebenaran atau kebatilan sahaja, tidak ada yang di tengah-tengah.

Firman Allah SWT :

فَذَ ٰ⁠لِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَمَاذَا بَعۡدَ ٱلۡحَقِّ إِلَّا ٱلضَّلَـٰلُۖ فَأَنَّىٰ تُصۡرَفُونَ

"Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?" - Surah Yunus : 32.

Kebenaran itu tidak dapat tidak datangnya daripada keyakinan. Kebenaran sekadar sangka sangkaan semata-mata tidak memadai.

Firman Allah SWT :

وَمَا یَتَّبِعُ أَكۡثَرُهُمۡ إِلَّا ظَنًّاۚ إِنَّ ٱلظَّنَّ لَا یُغۡنِی مِنَ ٱلۡحَقِّ شَیۡـًٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمُ

Maksudnya : "Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan." - Surah Yunus : 36

Kebenaran itu adalah yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah, maka sekiranya sesuatu umat itu mahukan kepada kebenaran, maka mestilah ia mengikuti al-Quran dan as-Sunnah, sekirany tidak,maka ia tergolong di dalam kalangan mereka yang mencari kebatilan.

Di antara cara di dalam mencari dan menuntut kebenaran ialah dengan taqwa kepada Allah SWT, iklhas tidak mengharapkan habuan dan pujian, berlindung dengan Allah SWT tidak dengan kuasa makhluk, mentadabbur al-Quran dan as-Sunnah dan mengikuti jalan para sahabat dan para salasuf solih.

▪️Jalinan Ukhwah Di Antara Sesama Muslim

Sememangnya di dalam usaha menyatukan umat Islam, jalinan ukhwah di antara sesama muslim perlu dilakukan terlebih dahulu. hal ini demikian, kesatuan ummah hasil daripada jalinan ukhwah. Ukhwah merupakan satu anugerah daripada Allah SWT yang diberikan kepada hamba-hambaNya yang ikhlas.

Firman Allah SWT :

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ

Maksudnya : "Sesungguhnya para mukmin itu berukhwah" - Surah Al-Hujurat : 10

Hadis daripada Anas bin Malik bahawa Nabi Muhammad SAW bsrsabda :

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ ، وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ ؛ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ ، أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ .

Maksudnya : "3 perkara yang sesiapa ada pada dirinya akan merasai kemanisan iman, iaitu mencintai Allah dan rasulNya daripada segala-gala yang lain, berkasih sayang dengan seseorang kerana Allah SWT, dan wujudnya perasaanya benci untuk kembali kepada kafir sebagaiman benci untuk dilemparkan ke dalam neraka. - riwayat al-Bukhari

Justeru, jalinan ukhwah bukan hanya semata-mata pada perkara yang dunia dan menguntungkan sahaja, bahkan di dalam nasihat ke arah kebenaran dan mencegah kemungkaran juga melibatkan ukhwah sesama muslim. dengan adanya jalinan ukhwah ini akan membawa kepada pembentukan kelompok atau jemaah yang utuh dengan kesatuan.

▪️Penutup

Dalam momentum perpaduan ummah, perkara utama perlu diperhatikan adalah kesatuan umat Islam. Beberapa faktor disebutkan di atas untuk dijaga agar kesatuan yang dibina membuahkan hasil dan impak positif bagi memacu kekuatan ummah.

Selain itu, bertitik tolak pada kesatuan umat Islam ini akan memimpin ummah secara keseluruhannya dalam mengemudi perpaduan yang besar di bawah panji naungan Islam.

Perancangan demi perancangan bagi kesatuan umat Islam merupakan tingkatan tinggi dalam memimpin perubahan.

Ia dapat dilihat pada peringkat-peringkat tersebut :

1. من الجهالة إلى العلم والثقافة

"dari kejahilan kepada ilmu dan pengetahuan."

2. من العلم والثقافة إلى العمل والحركة

"dari ilmu dan pengetahuan kepada amal dan berharaki"

3. من العمل والحركة إلى وحدة صفوف الأمة

"dari ilmu dan berharaki kepada kesatuan saf ummah"

.

Disediakan oleh,
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2UpAEip

Comments