FATHU MAKKAH : KEMENANGAN ATAS KEMENANGAN

FATHU MAKKAH : KEMENANGAN ATAS KEMENANGAN


▪️Hancurnya Berhala, Lenyaplah Kebatilan

Kemenangan di hari Fathu Makkah bukan sebagaimana peperangan-peperangan lain iaitu mendapat harta ghanimah, namun yang lebih besar ialah kota Mekah diisytiharkan bebas dari cengkaman kesyirikan dengan hancurnya semua berhala di sekitar Kaabah dan Mekah sebanyak 360 buah patung.

Menjadikan kota Mekah kembali kepada fitrah yang bukan lagi dikuasai oleh pihak musyrikin. Mekah menjadi tempat suci yang kembali disucikan oleh Allah menerusi peristiwa Fath Makkah ynag berlaku pada tahun ke-20 Hijrah di dalam bukan Ramadhan.

Abdullah meriwayatkan bahawa :

دَخَلَ النَّبِيُّ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ مَكَّةَ يَوْمَ الْفَتْحِ وَحَوْلَ الْبَيْتِ سِتُّونَ وَثَلاَثُمِائَةِ نُصُبٍ، فَجَعَلَ يَطْعُنُهَا بِعُودٍ فِي يَدِهِ وَيَقُولُ :‏ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ، جَاءَ الْحَقُّ، وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ

Maksudnya:
"Nabi SAW memasuki kota Mekah pada hari pembukaan kota Mekah (Fath Makkah) dan di sekeliling Kaabah terdapat 360 buah berhala. Baginda kemudiannya menghancurkannya dengan tongkat yang berada di tangannya seraya mengucapkan firman Allah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat." - riwayat al-Bukhari

Sungguhnya inilah kemenangan besar yang diungkapkan dengan ungkapan الفتح الأعظم

▪️Pengampunan Besar-besaran, Hari Berkasih Sayang

Di hari Fathu Mekah, Rasulullah SAW memperlihatkan keindahan pembukaan oleh Islam yang berbeza dengan perihal sikap penjajahan yang dilakukan oleh pemerintah zalim yang diktator. Mereka kalangan penentang sebelum ini tidaklah dihukum seksa atay bunuh. Malah tawaran dari Baginda SAW amat mengejutkan. Baginda SAW menunjukkan kemuliaan akhlak yang teragung dan rahmat sekalian alam.

Lihat ketika mana orang-orang kafir Quraisy yang ditempelak kekalahan saat terjadinya Fathu al-Makkah (Pembebasan Kota Makkah), Baginda SAW bertanya kepada mereka :

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ وَيَا أَهْلَ مَكَّةَ مَا تَرَوْنَ أَنِّي فَاعِلٌ بِكُمْ؟

Maksudnya :
“Wahai sekalian Quraish dan wahai masyarakat Makkah apakah kamu menyangka bahawa aku akan melakukan (pembalasan) terhadap kamu semua?”

Kafir Quraisy menjawab :

خَيْرًا أَخٌ كَرِيمٌ وَابْنُ أَخٍ كَرِيمٍ

Maksudnya :
“(Kami berharap engkau) berbuat yang baik terhadap kami, wahai saudara yang baik budi, anak keturunan mulia.”

Jawab Rasulullah SAW :

فَإِنِّي أَقُولُ لَكُمْ كَمَا قَالَ يُوسُفُ لِإِخْوَتِهِ؛ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ اذْهَبُوا فَأَنْتُمُ الطُّلَقَاءُ

Maksudnya :
“Sungguh aku akan katakan kepada kamu sebagaimana Nabi Yusuf (alaihissalam) terhadap saudara-saudaranya; Kamu pada hari ini tidak akan disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah lalu), beredarlah kalian sebebasnya!” (Zaadul Ma’ad, Ibn Qayyim al-Jawziyyah)

▪️Kemasukan Islam Secara Berbondong-bondong

Hebatnya peristiwa Fathu Makkah ini, yang menjadi perhatian bukanlah berapa angka kematian pihak lawan kerana Islam masuk dengan aman. Namun perhatian yang dilihat ialah masuknya Islam secara berbondong-bondong kalangan masyarakat Mekah. Ini juga termasuklah kalangan mereka yang sebelum ini penentang tegar menerusi penyertaan siri-siri peperangan ke atas Islam sebelum ini.

Antaranya ialah Abu Sufyan, Hindun bin Utbah, Suhail, Ikrimah bin Abu Jahal dan banyak lagi. Petanda berakhirnya seteru tradisi antara umat Islam di Madinah dengan musyrikin Mekah. Kemenangan tetap berpihak pada Islam dengan penyertaan mereka memeluk Islam.

Firman Allah SWT :

إِذَا جَاۤءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ * وَرَأَیۡتَ ٱلنَّاسَ یَدۡخُلُونَ فِی دِینِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجࣰا * فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا

Maksudnya :
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. - [Surah An-Nasr 1 - 3]

Kemenangan bukan sekadar mempertahankan hak Islam namun kemenangan menarik hati manusia memeluk Islam. Inilah kemenangan ynag agung. Di saat perang manusia memikirkan keselamatan nyawa mereka namun dalam Fathu Mekah mereka memikirkan keamanan bersama Islam dengan memeluk agama Islam.

▪️Kemenangan Yang "Diatur" Oleh Allah, Bukan Keinginan Manusia

Jika melihat keinginan, keberangkatan Rasulullah SAW bersama lebih 1000 sahabat telah bermula pada tahun 6 Hijrah untuk memasuki Mekah dan menunaikan umrah. Ini kerana Rasulullah SAW bermimpi memasuki Mekah dan melakukan ibadah.

Dengan keadaan berpakaian ihram dan tanpa membawa apa-apa kelengkapan peperangan, jelas membuktikan niat dan matlamat bukan namun untuk menziarah Kaabah dan menunaikan ibadah.

Keadaan begitu jelas apabila reaksi Sayiduna Umar yang merasakan kebimbangan juga atas kelicikan musyrikin Mekah dengan pertanyaannya :

يَا رَسُولُ الله تَدْخُلُ عَلَى قَومٍ هُمْ لَكَ حَربٌ بغير سِلاَحٍ وَلاَ كُراعٍ

Maksudnya :
"Wahai Rasulullah, adakah engkau ingin masuk kepada satu kaum yang mana mereka ingin memerangi engkau dalam keadaan tidak ada senjata dan tiada kuda.” - rujuk Tarikh al-Tabari

Namun tahun tersebut umat Islam tidak dapat memasuki Mekah, berdasarkan perjanjian Sulh Hudaibiyah yang dimeterai. Sehinggakan sekembalinya mereka ke Madinah, tergambar reaksi tergamam dan sedikit kecewa sehingga apabila diperintahkan untuk bertahallul dan bayar dam agak kelewatan dilakukan menyebabkan Rasulullah SAW berasa berang dengan situasi tersebut.

Inilah keinginan manusia ingin memasuki Mekah pada tahun ke-6 Hijrah bagi tujuan ibadah umrah, namun Allah aturkan pada tahun ke-8 Hijrah mereka bukan sekadar masuk tetapi mendapat kemenangan besar lebih dari apa yang diinginkan dan dksangka.

Mimpi Rasulullah SAW memasuki Mekah tetap dibenarkan mengikut aturan Allah bukan menurut keinginan manusia.

Firman Allah SWT :

لَّقَدْ صَدَقَ ٱللَّـهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءْيَا بِٱلْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ إِن شَآءَ ٱللَّـهُ ءَامِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا۟ فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya :
”Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya). [Surah al-Fath : 27]

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3cF35j5

Comments