HIJRAH : IKTIQAD MANTAP, STRATEGI HEBAT

 HIJRAH : IKTIQAD MANTAP, STRATEGI  HEBAT



▪️Hijrah : Sikap Terpuji & Peristiwa Agung


Antara salah satu sifat orang beriman yang dipuji oleh Allah ialah sifat hijrah. Walaupun hijrah hakiki iaitu peristiwa perpindahan dari Mekah ke Madinah telah tiada namun sifat dari aplikasi hijrah tetap dipuji kerana sanggup meninggalkan dunia semata-mata redha Allah dan Rasul-Nya.


Firman Allah SWT :


وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوا أَوْ مَاتُوا لَيَرْزُقَنَّهُمُ اللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ


"Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia." - [Surat Al-Hajj 58]


Abdul Hayyi al-Farmawi di dalam kitabnya دروس حركية من الهجرة النبوية menegaskan peristiwa hijrah bukanlah peristiwa biasa tetapi ia mengandungi banyak pengajaran ke atas individu mahupun gerakan Islam. Ini kerana hasil hijrah Nabi SAW menjadikan : 


i. Sebaran dakwah lebih meluas.

ii. Terbinanya sebuah negara Islam.


Selepas mana sebaran dakwah disekat dan mendapat tentangan dan halangan dalam terbinanya sebuah negara untuk melaksanakan perundangan Islam, maka Madinah memiliki 4 kriteria penting pembinaan sebuah negara islam iaitu : 


i. Tempat : dimiliki oleh orang Islam.

ii. Kaum : umat Islam majoriti.

iii. Undang-undang : dapat diletakkan rujukan al-Quran dan al-Sunnah dalam piagam Madinah.

iv. Pemerintah : dari kalangan umat Islam.


Abdul Hayyi al-Farmawi juga menjelaskan bahawa dengan peristiwa hijrah tersebut maka : 


i. Sumber kemuliaan muslim dengan dapat iltizam dengan syariat Allah.

ii. Bukti Islam bukan hanya berteori tetapi bersifat praktikal.

iii. Penyucian jiwa dahulu sebelum berjayanya pembinaan negara. Kelompok ansar memeterai aqabah aqabah sebanyak dua kali sebeum Nabi SAW berhijrah.

iv. Kesatuan dan kesepatan ummah dalam menegakkan syariat Allah.

v. Seruan dengan berita gembira bukan dengan ugutan ancaman. Kaum ansar diberikan berita gembira dengan syurga dalam melaksanakan baiah aqabah.

vi. Keperluan mencari dan membina suasan yang baik untuk kelangsungan dakwah.

vii. Keperluan asas kepentingan dalam dakwah individu sebagai agen islam.


Raghib al-Sirjani di dalam penulisan في ظلال الهجرة النبوية di dalam web tadbirnya www.islamstory.com menegaskan hijrah bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana tiada janji akan kesenangan material sebelum berlakunya hijrah. Malah mereka terpaksa tinggalkan segala-gala kesenangan yang dimiliki di Mekah. Sebab itu Allah memberikan ganjaran besar kepada muhajirin sebagaimana ayat al-Quran di atas.


Beliau meringkaskan kepentingan pengajaran dari peristiwa hijrah ialah : 


i. Kepentingan niat yang ikhlas.

ii. Hijrah keseluruhan berlaku apabila tertutup dan terhalang pintu dakwah di Mekah.

iii. Hijrah ke Madinah berlaku ke atas semua orang Islam tidak sebagaimana hijrah perlindungan ke Habsyah.

iv. Berlaku hijrah bukan secara semberono tetapi berdasarkan arahan pimpinan bawah Nabi SAW.

v. Hijrah menyempurnakan fasa dakwah Mekah dan bermula fasa baru dakwah Madinah.

vi. Hijrah di zaman Nabi SAW sama sekali tidak mampu diaplikasikan pada bila-bila masa sebagaimana yang dikecapi kejayaan di zaman Baginda. Maka tiada lagi hijrah hakiki melainkan niat dan jihad.

vii. Peringkat pertama hijrah ialah meninggalkan maksiat dan ajakan syahwat.


▪️Hijrah : Perancangan Hebat


Hijrah Rasul menunjukkan kepentingan berstrategi dalam menjayakan sesuatu perancangan. Ini dapat dilihat bagaimana perancangan-perancangan yang berlaku seperti :


i. Pemilihan bulan untuk Rasulullah SAW pada bulan Safar kerana di bulan ini, kaum Quraisy kembali keluar Mekah berdagang setelah berada dalam Mekah semenjak bulan Zulkaedah. Maka ia mengelakkan kesangsian pihak musyrikin jika mendapati ketiadaan Rasulullah SAW jika tiada dalam Mekah. 


ii. Hijrah Rasul dilaksanakan dengan pelawaan dari kaum Aus dan Khazraj setelah termeterainya 2 kali perjanjian Aqabah yang menyaksikan kesediaan kaum Aus dan Khazraj menyambut kehadiran Baginda SAW ke Yathrib (nama lama bagi Madinah sebelum berlakh hijrah). 


iii. Penyusunan posisi penggerak dalam menjayakan agenda Hijrah Rasul dengan kaum pemuda diposisikan di bahagian getir dan besar tanggungjawabnya iaitu :


a. Sayiduna Ali bin Abu Talib - menggantikan di tempat tidur Rasulullah SAW mengelirukan musuh.


b. Abdullah bin Abu Bakr. - pengumpul maklumat semasa dan menghantar maklumat ke Rasulullah SAW semasa di Gua Thur.


c. Amir bin Fuhairah - pengembala kambing yang menutup jejak langkah Abdullah bin Abu Bakr agar tidak dikesan oleh musuh.


iv. Peranan muslimat juga terserlah dengan watak Asma binti Abu Bakr berperanan menyediakan makanan dan ulang alik menghantar ke Gua Thur sepanjang persembunyian Rasulullah SAW bersama Sayiduna Abu Bakr di dalamnya.


v. Peranan kalangan non Muslim yang tidak bermusuhan, lagi membantu iaitu Abdullah bin Uraiqit yang diupah sebagai petunjuk jalan ke Madinah melalui jalan yang bukan kebiasaan dilalui oleh musyrikin Mekah bagi mengelakkan bertembung di tengah perjalanan.


▪️Hijrah : Allah "Bersama" Kita


Selain itu juga, peristiwa agung Hijrah memaparkan bagaimana didikan Rasulullah SAW dalam memperteguhkan keyakinan dan menenangkan kerisauan Sayiduna Abu Bakr. Beliau bukannya bimbang akan keselamatan dirinya namun bimbang akan keselamatan Rasulullah SAW.


Kasihnya terhadap Rasulullah SAW mengatasi keselamatan dirinya. Kasihnya kerana khuatiri kesinambungan Islam tanpa Rasulullah SAW. Namun dalam saat getir di dalam Gua Thur ketika persembunyian, lantas turunlah wahyu menenangkan Sayiduna Abu Bakr bahawa keyakinan Allah bersama mereka. Malahan jika tanpa makhluk menolong Baginda SAW sekalipun tetap Allah akan menolong dan menenangkan Baginda SAW.


Firman Allah SWT :


إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدۡ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذۡ أَخۡرَجَهُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ثَانِیَ ٱثۡنَیۡنِ إِذۡ هُمَا فِی ٱلۡغَارِ إِذۡ یَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحۡزَنۡ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَاۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِینَتَهُۥ عَلَیۡهِ وَأَیَّدَهُۥ بِجُنُودࣲ لَّمۡ تَرَوۡهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفۡلَىٰۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِیَ ٱلۡعُلۡیَاۗ وَٱللَّهُ عَزِیزٌ حَكِیمٌ


Maksudnya :

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. - [Surah At-Tawbah 40]


▪️Hijrah : Tuntutan Kelangsungan Politik Islam Menjadi Keutamaan


Hijrah juga menunjukkan pembentukan negara Islam di Madinah tercapai dengan asas yang kuat apabila penyatuan ummah serta persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar berjaya membina satu kekuatan ketumbukan yang kuat sekalipun di Madinah terdapat 3 puak Yahudi yang besar  iaitu Nadhir, Qainuqa' dan Quraziah yang menguasai sektor masing-masing namun masing-masing bertelagah atas kepentingan sendiri. 


Kekuatan kesatuan berjaya menjadikan Rasulullah SAW meletakkan Piagam Madinah yang melonjakkan kepentingan Islam dengan menjadikan rujukan utama dalam pentadbiran Madinah adalah al-Quran dan al-Sunnah. Dengan kekuatan persaudaraan dan kesatuan, ummah menjadi kuat dan kekuatan ini digunakan untuk kepentingan Islam. 


Asas pengajaran dari ini ditekankan 2 perkara penting iaitu :


i. Kekuatan kesatuan ummah di Madinah yang berjaya memimpin masyarakat di Madinah dan mengatasi kuasa monopoli 3 kaum Yahudi iaitu Nadhir, Qainuqa' dan Quraizah dalam sektor tertentu termasuklah ekonomi.


ii. Hijrah Rasul menjadi bukti survival perjuangan politik membina negara adalah maslahat besar jika hendak dibandingkan dengan kelebihan atas ibadah persendirian yang boleh diperolehi jika kekal dalam Mekah dengan adanya Kaabah di dalamnya. Ini kerana kebaikan politik Islam akan dirasai oleh semua umat dan rakyat yang berada di bawahnya. Sebab itu tidak hairanlah dalam 7 golongan di akhirat yang mendapat perlindungan dan naungan dari Allah disenaraikan pemimpin yang adil lada senarai pertama.


Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ الله فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ِظلَّ ِإلاَّ ِظلَّهُ : ِإمَامٌُ عَا ِدلٌ، وَشَا بٌّ نَشَأ ِفي عِبَا دَةِ اللهِ تعلى، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي المَسَاجِدِ، وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِي اللهِ، اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ اِمْرَأةٌ ذَاتُ مَنْصَبٍ وَ جَمَالٍ، فَقَاَلَ: إِنِّي َأخَافُ اللهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَهٍ، فَأخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ


Maksudnya :

“ Ada tujuh kelompok yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya yaitu: Pemimpin yang adil, remaja yang senantiasa beribadah kepada Allah, seseorang yang senantiasa hatinya dipertautkan dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai karena Allah dimana keduanya berkumpul dan berpisah kerana-Nya, seorang laki-laki yang ketika dirayu oleh wanita bangsawan lagi rupawan, lalu menjawab: “sesungguhnya saya takut kepada Allah”, seseorang yang mengeluarkan sedekah kemudian ia merahsiakannya sampai-sampai tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian kedua matanya menitisskan air mata”. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman


Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/34izJG8

Comments