IBRAH DARI PERISTIWA FITNAH KE ATAS SAYIDATINA AISYAH

IBRAH DARI PERISTIWA FITNAH KE ATAS SAYIDATINA AISYAH


▪️Fitnah Senjata Munafik

Peristiwa fitnah ke atas Sayidatina Aisyah dinamakan dengan hadithul ifki. Beliau difitnah mempunyai skandal (zina) bersama sahabat yang bernama Safwan bin Muattal. Fitnah ini berlaku selepas tentera Islam balik dari Peperangan Bani Mustaliq pada bulan Syaaban tahun ke-6.

Di tempat persinggahan sebelum sampai di Madinah, tentera Islam berehat dan Sayidatina Aisyah pula telah keluar untuk menunaikan hajat di suatu tempat yang terselindung daripada pandangan tentera Islam. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.

Lantas beliau tertinggal dan kemudian dijumpai oleh Safwan bin Muattal yang ditugaskan memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Kemudiannya Safwan membawa pulang Sayidatina Aisyah ke Madinah. Apabila kelihatan Safwan berdua-duaan bersama Sayidatina Aisyah maka Abdullah bin Ubay bin Salul mengambil peluang melontarkan fitnah ke atas mereka.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa :

فَهَلَكَ مَنْ هَلَكَ وَكَانَ الَّذِي تَوَلَّى الْإِفْكَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَيٍّ ابْنُ سَلُولَ

Maksudnya :
".. Maka binasalah siapa yang binasa. Dan orang yang berperan menyebarkan tuduhan adalah 'Abdullah bin Ubay bin Salul.." - riwayat al-Bukhari

Kesan yang berlaku ekoran fitnah ini ialah :

1. Mengganggu kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW bersama Sayidatina Aisyah.
2. Menyebabkan kesedihan yang amat atas diri Sayidatina Aisyah yang dituduh.
3. Berlaku porak poranda masyarakat Islam di Madinah.

▪️Munafik Musuh Dalaman Kalangan Umat Islam

Peristiwa fitnah ini memberi pengajaran bahawa umat Islam perlu menyedari adanya musuh dalaman dari kalangan munafik. Kerja mereka adalah menggangu umat Islam dan menyerang umat Islam dengan menimbulkan huru hara.

Peristiwa ini bukan dari musuh luar iaitu musuh tradisi musyrikin Mekah namun dari kalangan mereka yang hidup bersekali bersama-sama dalam masyarakat Islam. Serangan dalaman ini lebih merbahaya kerana :

1. Tidak disangka-sangka.
2. Susah dikenal pasti kerana munafik berpura-pura.
3. Menimbulkan syak antara satu sama lain.

Justeru, Allah memperingatkan bahawa yang membawa berita palsu / fitnah / hadithul ifki ini kalangan dalam masyarakat Madinah itu sendiri bukannya orang luar.

Firman Allah SWT :

إِنَّ ٱلَّذِینَ جَاۤءُو بِٱلۡإِفۡكِ عُصۡبَةࣱ مِّنكُمۡۚ

Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu.." - [Surah An-Nur 11]

▪️Jangan Layan Polemik Yang Tiada Bukti

Fitnah ini semangat hangat apabila terdapat segelintir yang menyambut polemik tersebut. Akhirnya berkata sedangkan tiada bukti dan hanya menurut nafsu. Masalah semakin melarat apabila fitnah tersebut menjadi polemik yang berpanjangan kerana hilang pedoman dari pegangan asas.

Sedangkan dalam Islam sesuatu tuduhan zina mestilah melibatkan 4 orang saksi yang dibawa oleh pihak yang menuduh. Jika tiada, maka tuduhan adalah terbatal dan tertolak. Tidak perlu dilayan atau bermain dengan sangkaan yang akhirnya menjado polemik.

Firman Allah SWT :

لَّوۡلَا جَاۤءُو عَلَیۡهِ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَاۤءَۚ فَإِذۡ لَمۡ یَأۡتُوا۟ بِٱلشُّهَدَاۤءِ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡكَـٰذِبُونَ

Maksudnya :
"Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta." -
[Surah An-Nur 13]

Umat Islam wajib berpegang kepada dasar dan prinsip dalam sesuatu berhukum. Apabila meninggalkan dasar dan prinsip maka berlakulah huru hara.

▪️Wajib Sangka Baik Selagi Tiada Bukti Kukuh

Polemik dari fitnah yang dilemparkan berjaya apabila segelintir umat Islam menaruh sangkaan tidak baik kepada Sayidatina Aisyah. Kadang kala bagi manusia awam apabila berlaku polemik tanpa bukti, mereka mudah percaya dan akhirnya buruk sangka pada mangsa tertuduh dengan berkata "kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang".

Walhal di dalam Islam, sesuatu keadaan itu hukumnya kekal selagimana tidak bukti kukuh akan sebaliknya. Maka sewajarnya masyarakat Islam terus sangka baik pada Sayidatina Aisyah dan Safwan bin Muattal dan tidak melayan polemik kerana :

1. Sayidatina Aisyah merupakan isteri Rasulullah. Maka hukum asal dan zahirnya adalah seorang yang baik.

2. Begitu juga Safwan bin Muattal seorang sahabat yang baik dan cukup menjaga pandangan matanya dan maruah.

Firman Allah SWT :

لَّوۡلَاۤ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ ظَنَّ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِمۡ خَیۡرࣰا وَقَالُوا۟ هَـٰذَاۤ إِفۡكࣱ مُّبِینࣱ

Maksudnya :
"Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata". - [Surah An-Nur 12]

Bagi sikap orang beriman dalam sesuatu polemik fitnah yang tiada bukti ialah :

1. Baik sangka pada orang yang zahirnya baik.
2. Selagi tiada bukti, terus tolak tuduhan tersebut.

▪️Jangan Anggap Remeh Benda Digosip

Fitnah yang berlaku selama sebulan lebih tanpa wahyu diturunkan menjadi ujian ke atas masyarakat Islam Madinah. Ada kalangan mereka yang mengambil pendirian :

1. Diam dan menunggu jawapan dari Rasulullah SAW.
2. Membenarkan kesucian Sayidatina Aisyah secara terang dan lantang.

Manakala yang menyedihkan ada pula segelintir yang terpengaruh dan bercakap-bercakap atau bergosip mengenai hal ke atas Sayidatina Aisyah. Sedangkan fitnah yang dilemparkan merupakan satu perkara besar kerana melibatkan Rasulullah SAW dan maruah umat Islam.

Sebab itu, jangan berasa remeh benda yang kita bermain dengan persepsi dan gosip yang dibuat. Ini kerana hal ini merupakan suatu perkara yang besar dan serius di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT :

إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا لَیۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ وَتَحۡسَبُونَهُۥ هَیِّنࣰا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِیمࣱ

Maksudnya :
"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya." - [Surah An-Nur 15]

Hendaklah orang berimah untuk tidak bercakap melainkan apa yang ada dalam pengetahuan sahaja. Ini lebih baik dan menjaga dari berlaku tokok tambahan yang direka-reka dan hanya memburukkan keadaan yang sedia ada.

Firman Allah SWT :

وَلَوۡلَاۤ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ قُلۡتُم مَّا یَكُونُ لَنَاۤ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَـٰذَا سُبۡحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهۡتَـٰنٌ عَظِیمࣱ

Maksudnya :
"Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan". - [Surah An-Nur 16]

▪️Hukuman Berat Menanti Pembuat Fitnah

Dalam kisah fitnah ke atas Sayidatina Aisyah, turunnya ayat 11 - 26 Surah al-Nur yang membersihkan beliau dari fitnah yang menggemparkan. Setelah sebulan tanpa wahyu, pelbagai ujian berlaku yang cukup menyayatkan hati dalam masyarakat Islam di Madinah antaranya :

1. Sayidatina Aisyah menangis sehingga bengkak kedua matanya.
2. Rasulullah sehinggakan meminta pandangan sahabat sama ada wajar cerai atau tidak.
3. Kaum Aus dan Khazraj hampir bergaduh di hadapan Baginda SAW.
4. Dijatuhkan hukuman qazaf ke atas 3 orang iaitu Hasan bin Thabit, Mistah bin Athatah dan Hamnah binti Jahsy

Adapun di dunia Abdullah bin Ubay bin Salul tidak dijatuhkan hukuman, dan para ulamak berselisih pendapat mengenai hal ini. Antaranya ialah Abdullah bin Ubay bin Salul tidak layak dikenakan hukuman di dunia kerana hukuman di dunia menghapuskan dosa. Justeru, Abdullah bin Ubay bin Salul hanya layak seksaan berat khususnya di akhirat.

Firman Allah SWT :

.. لِكُلِّ ٱمۡرِئࣲ مِّنۡهُم مَّا ٱكۡتَسَبَ مِنَ ٱلۡإِثۡمِۚ وَٱلَّذِی تَوَلَّىٰ كِبۡرَهُۥ مِنۡهُمۡ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِیمࣱ

Maksudnya :
".. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)." - [Surah An-Nur 11]

Lagi firman Allah SWT :

إِنَّ ٱلَّذِینَ یُحِبُّونَ أَن تَشِیعَ ٱلۡفَـٰحِشَةُ فِی ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمࣱ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Maksudnya :
" Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." - [Surah An-Nur 19]

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3bHPGWy

Comments