IBRAH PEPERANGAN TABUK : KITA USAHA KERJA KITA, ALLAH BERI PERTOLONGAN

IBRAH PEPERANGAN TABUK : KITA USAHA KERJA KITA, ALLAH BERI PERTOLONGAN




▪️Pendahuluan Siapa sangka Perang Tabuk yang berlaku pada Rejab tahun ke-9 H merupakan pusingan kedua Islam vs Rom setelah pusingan pertama berlaku pada Jumadal Ula tahun ke-8 sebelumnya, diberikan kemenangan percuma kepada Islam, iaitu tanpa tercetus perang dan tiada satu pun titisan darah yang tumpah "menyembah" di bumi. Walaupun Tentera Rom dan gabungannya berjaya menghimpunkan seramai 40 ribu tentera namun Allah mencampakkan kegerunan ke dalam hati-hati mereka iaitu musuh Islam sehingga mereka tidak berani memasuki "gelanggang" medan perang di Tabuk kemudiannya berpaling untuk berpatah balik. Kekuasaan Allah Maha Berkuasa yang mencampakkan kegerunan ke dalam hati-hati musuh. Dalam masa yang sama umat Islam telah mengerah segala kudrat dan melakukan sehabis baik persiapan tenaga, peralatan, infaq dan dan segalanya. Pertolongan Allah Maha Berkuasa atas hamba-Nya, diturunkan setelah selama 20 hari Rasulullah SAW dan para tentera Islam berkampung di Tabuk bersiap menanti kedatangan tentera Rom. ▪️Nama-nama Peperangan Tabuk Peperangan Tabuk terdapat beberapa nama sebagaimana dalam riwayat. Dinama dengan beberapa nama kerana faktor tertentu yang berkaitan. Ia dijelaskan seperti berikut : 1. Perang Tabuk Dinamakan dengan Tabuk kerana medan peperangan berlaku di tempat yang bernama Tabuk. Muaz meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : إِنَّكُمْ سَتَأْتُونَ غَدًا إِنْ شَاءَ اللهُ عَيْنَ تَبُوكَ، وَإِنَّكُمْ لَنْ تَأْتُوهَا حَتَّـى يُضْحِيَ النَّهَارُ، فَمَنْ جَاءَهَا مِنْكُمْ، فَلاَ يَمَسَّ مِنْ مَائِهَا شَيْئًا حَتَّـى آتِيَ Maksudnya : “Sesungguhnya kalian -insya Allah- akan mendatangi mata air Tabuk esok hari, dan sesungguhnya kalian tidak akan mendatanginya sehingga siang sudah meninggi (waktu dhuha). Barangsiapa dari kalian mendatangi-nya, maka janganlah ia menyentuh airnya sedikit pun hingga aku tiba.” - riwayat Muslim 2. Perang al-'Usrah (العسرة) iaitu kesulitan / kesusahan Dinamakan dengan perang al-'Usrah (العسرة) kerana umat Islam berhadapan dengan beberapan kesusahan iaitu : - musim panas yang bersangatan. - perjalanan yang jauh. - kurang atau sedikit bekalan peralatan, dana dan haiwan tunggangan. - kekurangan bekalan air. - kekurangan dana persiapan perang. Firman Allah SWT : لَّقَد تَّابَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلنَّبِیِّ وَٱلۡمُهَـٰجِرِینَ وَٱلۡأَنصَارِ ٱلَّذِینَ ٱتَّبَعُوهُ فِی سَاعَةِ ٱلۡعُسۡرَةِ مِنۢ بَعۡدِ مَا كَادَ یَزِیغُ قُلُوبُ فَرِیقࣲ مِّنۡهُمۡ ثُمَّ تَابَ عَلَیۡهِمۡۚ إِنَّهُۥ بِهِمۡ رَءُوفࣱ رَّحِیمࣱ Maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka." - [Surah At-Tawbah 117] Abu Musa al-Asya’ari meriwayatkan : أَرْسَلَنِي أَصْحَابِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْأَلُهُ الْحُمْلَانَ لَهُمْ إِذْ هُمْ مَعَهُ فِي جَيْشِ الْعُسْرَةِ وَهِيَ غَزْوَةُ تَبُوكَ Maksudnya : "Saya diutus oleh para sahabatku kepada Rasulullah SAW untuk menanyakan tentang kendaraan (tunggangan) yang boleh membawa mereka ketika mereka ikut Baginda SAW dalam pasukan al-Usrah yaitu perang Tabuk." - riwayat al-Bukhari 3. Perang al-Fadhihah (الفاضحة) : Pendedahan Sikap & Komplot Ia dinamakan dengan al-Fadhihah (الفاضحة) kerana dalam peristiwa perang ini mendedahkan sikap dan komplot golongan munafik secara terbuka. Perangai mereka yang tidak suka kepada jihad, mengejek amalan orang Islam dan kebencian dan dengki terhadap Rasulullah SAW. ▪️Pertolongan Allah Turun Setelah Umat Islam Berusaha Dalam peperangan Tabuk ini, ibrah yang boleh diambil ialah Allah Maha Berkuasa memberikan kemenangan "percuma" kepada umat Islam dengan mencampakkan kegerunan ke dalam hati-hati musuh Islam. Namun pertolongan Allah bukanlah diberi secara "percuma" tanpa umat Islam berusaha melakukan apa-apa usaha dan kerja persiapan. Dalam peristiwa ini kita boleh saksikan bagaimama ketekunan Rasulullah SAW selaku pimpinan dan para sahabat yang lain selaku tentera Islam melaksanakan kerja dan usaha bagi menghadapi peperangan Tabuk tersebut. Ketekunan persiapan dan usaha keras tersebut boleh dilihat seperti berikut : 1. Keseriusan Pemimpin Menurut riwayat al-Bukhari, sebulan sebelum berlaku peperangan Tabuk, Rasulullah SAW telah mengasingkan diri dan tidak pulang ke rumah. Sehingga ada pertanyaan yang timbul, adakah Baginda SAW telah menceraikan isteri-isterinya. - rujuk hadith yang panjang di : https://tafsirq.com/hadits/bukhari/2288 Jelas keseriusan Rasulullah dalam memikirkan strategi bagi berhadapan dengan kuasa dunia itu pada lafaz hadith tersebut : وَكُنَّا تَحَدَّثْنَا أَنَّ غَسَّانَ تُنْعِلُ النِّعَالَ لِغَزْوِنَا فَنَزَلَ صَاحِبِي يَوْمَ نَوْبَتِهِ فَرَجَعَ عِشَاءً فَضَرَبَ بَابِي ضَرْبًا شَدِيدًا وَقَالَ أَنَائِمٌ هُوَ فَفَزِعْتُ فَخَرَجْتُ إِلَيْهِ وَقَالَ حَدَثَ أَمْرٌ عَظِيمٌ قُلْتُ مَا هُوَ أَجَاءَتْ غَسَّانُ قَالَ لَا بَلْ أَعْظَمُ مِنْهُ Maksudnya : "... Suatu hari kami membicarakan suku Ghossan sebagai tukang sepatu yang biasanya menyiapkan sepatu kami untuk perang. Maka sahabatku pergi (menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) pada hari gilirannya lalu dia kembali pada waktu 'Isya dengan mengetuk rumahku dengan sangat keras seraya berkata: "Apakah dia sudah tidur?" Aku kaget lalu keluar menemuinya. Dia berkata: "Telah terjadi masalah besar". Aku bertanya: "Masalah apa itu? Apakah suku Ghassan sudah datang?" Dia menjawab: "Bukan, bahkan urusannya lebih penting dan lebih panjang dari masalah itu..." - riwayat al-Bukhari 2. Kerahan Secara Besar-besaran Peperangan Tabuk menyaksikan seramai 30 ribu umat Islam yang terlibat sebagai tentera. Kerahan besar besaran dilakukan demi memenangkan perjuangan Islam. Hanya yang ada keuzuran syar'ie dan tidak berkemampuan sahaja dikecualikan. Ini suatu yang menggemparkan. Tatkala perang Muktah tahun sebelumnya, tentera Islam hanya 3000 namun kali ini 30 ribu. Kerahan secara serius dan peringatan secara keras bagi mereka yang tidak mahu menyertai peperangan tanpa keuzuran syar'i. Firman Allah SWT : یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مَا لَكُمۡ إِذَا قِیلَ لَكُمُ ٱنفِرُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِیتُم بِٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا مِنَ ٱلۡـَٔاخِرَةِۚ فَمَا مَتَـٰعُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ إِلَّا قَلِیلٌ Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak." - [Surah At-Tawbah 38] Kerahan ini meliputi orang muda dan tua tanpa ada yang terkecuali. Firman Allah SWT : انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya : "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." - [Surah At-Tawbah 41] Namun begitu, pengecualian dari Allah Allah kepada golongan berikut : لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَىٰ وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ ۚ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya : "Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - [Surah At-Tawbah 91] 3. Sumbangan Dan Pengorbanan Secara "All Out" Dalam sumbangan wang dan harta pada peperangan Tabuk ini boleh dilihat pada teladan berikut : 1. Sayiduna Uthman Affan menginfakkan 1000 dinar dan juga 300 ekor unta yang siap bekalan perang. Abdul Rahman bin Hubab menceritakan tentang infaq Utsman, beliau berkata : شَهِدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَحُثُّ عَلَى جَيْشِ الْعُسْرَةِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَةُ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَتَا بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ ثَلَاثُ مِائَةِ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْزِلُ عَنْ الْمِنْبَرِ وَهُوَ يَقُولُ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ السَّكَنِ بْنِ الْمُغِيرَةِ وَفِي الْبَاب عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ Maksudnya : “Aku menyaksikan Nabi SAW memotivasi para shahabat dalam Jaisy Al ‘Usrah (iaitu Perang Tabuk -pent), maka Utsman bin Affan berdiri dan berkata, ‘Wahai Rasulullah! Aku akan memberikan 100 unta lengkap dengan muatan dan pelananya di jalan Allah!’. Lalu Nabi SAW memotivasi lagi, dan Utsman kembali berdiri dan berkata, ‘Wahai Rasulullah! Aku akan memberikan 200 unta lengkap dengan muatan dan pelananya di jalan Allah!’. Lalu Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam memotivasi lagi, dan Utsman kembali berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah! Aku akan memberikan 300 unta lengkap dengan muatan dan pelananya di jalan Allah!’. Maka aku melihat Rasulullah turun dari mimbar dan berkata, ‘Tidak ada bagi Utsman sesuatu yang akan menimpanya setelah ini, tidak ada bagi Utsman sesuatu yang akan menimpanya setelah ini’. - riwayat at-Tirmizi 2. Abdul Rahman bin Auf infaq 2000 dirham dan itulah separuh tunai yang ada di tangannya. 3. Sayiduna Umar al Khattab membawa separuh hartanya infaq di jalan Allah manakala Sayiduna Abu Bakr al Siddiq pula menyerahkan semua hartanya di jalan Allah. Sayiduna Umar al-Khattab meriwayatkan : أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا أَنْ نَتَصَدَّقَ فَوَافَقَ ذَلِكَ مَالًا عِنْدِي فَقُلْتُ الْيَوْمَ أَسْبِقُ أَبَا بَكْرٍ إِنْ سَبَقْتُهُ يَوْمًا فَجِئْتُ بِنِصْفِ مَالِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ قُلْتُ مِثْلَهُ قَالَ وَأَتَى أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِكُلِّ مَا عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ قَالَ أَبْقَيْتُ لَهُمْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ قُلْتُ لَا أُسَابِقُكَ إِلَى شَيْءٍ أَبَدًا Maksudnya : “Rasululllah SAW memerintahkan kami pada suatu hari untuk bersedekah, dan waktu itu aku tengah memiliki sejumlah harta, maka aku berkata, ‘Kalau ada satu hari dimana aku mampu mengalahkan Abu Bakar, inilah harinya”. Maka aku datang dengan membawa separuh dari hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Apa yang engkau nafkahkan kepada keluargamu?’, aku jawab, ‘Sejumlah itu (kerana beliau membagi separuh hartanya)’. Kemudian datang Abu Bakar radhiyallaahu ‘anhu membawa semua yang ia miliki, dan Rasulullah SAW bertanya, ‘Apa yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?’, Abu Bakar menjawab, ‘Aku tinggalkan untuk mereka, Allah dan Rasul-Nya’. Aku pun berkata, ‘Tidak akan pernah aku mengalahkan Abu Bakar selama-lamanya" - riwayat Abu Daud Begitu juga sahabat-sahabat yang lain memiliki harta. Malah ada juga sahabat kalangan yang kurang kemampuan turut menyumbang sekadar kemampuan. Antara Abu 'Uqail membawa setengah gantang kurma untuk infaq. Walau para munafiqin mengejek sumbangan yang kecil dan menuduhnya melakukan sedekah kerana mahu riyak namun Allah mempertahankannya dan membalas ejekan para munafiqin dengan ancaman azab yang pedih. Firman Allah SWT : الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ ۙ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ Maksudnya : "Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya." - [Surah At-Tawbah 79] 4. Tentera Islam Kalangan Memiliki Kefahaman Islam Sahih Yang Solid Kali ini, perintah wahyu tegas. Sebahagian munafiqin yang ingin serta diberikan ketetapan bahawa penyertaan mereka tidak menguntungkan malah hanya membebankan. Allah SWT mendedahkan sikap munafiq menerusi firman-Nya : لَوْ خَرَجُوا فِيكُمْ مَا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ Maksudnya : "Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim." - [Surah At-Tawbah 47] Bahkan diperintahkan ke atas Rasulullah SAW untuk menolak dengan tegas permintaan mereka, sebagaimana firman Allah SWT : فَإِنْ رَجَعَكَ اللَّهُ إِلَىٰ طَائِفَةٍ مِنْهُمْ فَاسْتَأْذَنُوكَ لِلْخُرُوجِ فَقُلْ لَنْ تَخْرُجُوا مَعِيَ أَبَدًا وَلَنْ تُقَاتِلُوا مَعِيَ عَدُوًّا ۖ إِنَّكُمْ رَضِيتُمْ بِالْقُعُودِ أَوَّلَ مَرَّةٍ فَاقْعُدُوا مَعَ الْخَالِفِينَ Maksudnya : "Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan dari mereka (orang-orang yang munafik itu di Madinah), kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar (turut berperang), maka katakanlah: "Kamu tidak sekali-kali akan keluar bersama-samaku selama-lamanya, dan kamu tidak sekali-kali akan memerangi musuh bersama-samaku; sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama, oleh itu duduklah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal. " - [Surah At-Tawbah 83] Bukan sahaja penyertaan fizikal para munafiqin ditolak, malah infaq harta yang mereka infaq juga tidak diterima oleh Allah sebagaimana firman-Nya : قُلْ أَنْفِقُوا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا لَنْ يُتَقَبَّلَ مِنْكُمْ ۖ إِنَّكُمْ كُنْتُمْ قَوْمًا فَاسِقِينَ * وَمَا مَنَعَهُمۡ أَن تُقۡبَلَ مِنۡهُمۡ نَفَقَـٰتُهُمۡ إِلَّاۤ أَنَّهُمۡ كَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ وَبِرَسُولِهِۦ وَلَا یَأۡتُونَ ٱلصَّلَوٰةَ إِلَّا وَهُمۡ كُسَالَىٰ وَلَا یُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمۡ كَـٰرِهُونَ Maksudnya : Katakanlah: "Dermakanlah harta kamu sama ada dengan sukarela atau kerana terpaksa, tidak sekali-kali akan diterima daripada kamu, (kerana) sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik". Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan RasulNya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci." - [Surah At-Tawbah 53 - 54] ▪️Larangan Tertarik Dengan Propadanda Munafiq Dalam peristiwa ini, terdapat beberapa larangan Allah dan Rasul-Mya ke atas umat Islam untuk mengelak dan tidak terpengaruh dengan propaganda munafiq, musuh dalaman, yang hanya merugikan perjuangan Islam. Ini kerana propaganda munafiq walau nampak hebat hakikatnya mereka memerangi Islam dari dalam. Menentang Islam sendiri dan hanya menguntungkan musuh luaran. 1. Usah Terpedaya Kekayaan Dan Kelebihan Munafiq Firman Allah SWT : فَلَا تُعۡجِبۡكَ أَمۡوَ ٰ⁠لُهُمۡ وَلَاۤ أَوۡلَـٰدُهُمۡۚ إِنَّمَا یُرِیدُ ٱللَّهُ لِیُعَذِّبَهُم بِهَا فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا وَتَزۡهَقَ أَنفُسُهُمۡ وَهُمۡ كَـٰفِرُونَ Maksudnya : "Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula)." - [Surah At-Tawbah 55] 2. Jangan Terpedaya Dengan Sumpah Munafiq Firman Allah SWT : وَیَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ إِنَّهُمۡ لَمِنكُمۡ وَمَا هُم مِّنكُمۡ وَلَـٰكِنَّهُمۡ قَوۡمࣱ یَفۡرَقُونَ * لَوۡ یَجِدُونَ مَلۡجَـًٔا أَوۡ مَغَـٰرَ ٰ⁠تٍ أَوۡ مُدَّخَلࣰا لَّوَلَّوۡا۟ إِلَیۡهِ وَهُمۡ یَجۡمَحُونَ Maksudnya : "Dan mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang pengecut. Kalau mereka dapat tempat perlindungan, atau gua-gua, atau lubang-lubang dalam tanah, nescaya mereka segera menuju ke arahnya serta melompat masuk ke dalamnya." - [Surah At-Tawbah 56 - 57] 3. Jangan Percaya "Alasan" Jahat Munafiq Firman Allah SWT : فَرِحَ ٱلۡمُخَلَّفُونَ بِمَقۡعَدِهِمۡ خِلَـٰفَ رَسُولِ ٱللَّهِ وَكَرِهُوۤا۟ أَن یُجَـٰهِدُوا۟ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَقَالُوا۟ لَا تَنفِرُوا۟ فِی ٱلۡحَرِّۗ قُلۡ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرࣰّاۚ لَّوۡ كَانُوا۟ یَفۡقَهُونَ Maksudnya : "Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami. [Surah At-Tawbah 81] ▪️Penutup Perang Tabuk memberikan ibrah yang cukup besar. Selaku umat Islam kita mestilah meyakini pertolongan dari Allah dan mengharapkannya sepenuh hati. Allah Maha Berkuasa memberikan pertolongan dan kemenangan tanpa disangka-sangka. Namun yang dinilai ialah berapa banyak usaha persiapan kita dalam menyahut perintah-Nya. Setelah mana Rasulullah SAW dan para sahabat bersungguh dan beramal dalam menyahut seruan Allah, maka diberikan pertolongan dan kemenangam dari Allah SWT. Kemenangan Islam diberikan oleh Allah menerusi dicampakkan kegerunan ke dalam hati-hati musuh. Justeru, kita usaha kerja kita, Allah beri pertolongan. . Disediakan oleh : Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2Uq2uv0

Comments