ISLAM DAN DEMONSTRASI

ISLAM DAN DEMONSTRASI




▪️
Demonstrasi Sebagai Medium Menzahirkan Sesuatu

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, demonstrasi memberikan maksud :

- tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak, dan seumpamanya
- menunjukkan serta menerangkan cara menggunakan sesuatu (spt mesin, alat solek, dll) atau cara-cara melaku­kan sesuatu.

Demonstrasi sebagaimana yang telah dinyatakan menurut definisi Kamus Dewan dan Pustaka, jelas ia merupakan konsep atau wasilah dalam menyampaikan sesuatu perkara.

Disebabkan itu antara konsep dalam demonstrasi ialah mengadakan himpunan sama ada menyatakan sokongan atau bantahan, perarakan, rapat umum dan apa jua aktiviti yang melibatkan perhimpunan masyarakat yang ramai.

Hukum bagi demonstrasi adalah mengikut kepada tujuan dan wasilah yang digunakannya. Hal ini demikian kerana demonstrasi bukanlah tujuan utama, namun ia merupakan sebagai wasilah atau medium dalam menunjukkan sesuatu tujuan.

Demontrasi yang diharuskan menurut perspektif Islam antaranya ialah :

1. Menunjukkan kekuatan Islam dan umat yang bersatu.
2. Mencegah kemungkaran dan kezaliman serta menyeru ke arah perkara makruf.
3. Menggunakan cara yang tidak bertentangan dengan syarak (tidak mengangkat senjata dan mendatangkan mudharat kepada masyarakat).
4. Sebagai pemberitahuan secara besar-besaran (menuntut hak yang tidak diperolehi).

Demonstrasi yang berbentuk menuntut hak, menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan rakyat dalam berhadapan dengan pemerintahan yang zalim yang melakukan kemungkaran adalah diharuskan.

Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi di dalam kitabnya "Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam" menerangkan bahawa 3 cara apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jelas melakukan kemungkaran. Bahkan sekiranya tindakan secara rahsia masih tidak berjaya, maka wajib ke atas umat Islam apabila mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk mencegahnya melalui :

- undian pilihanraya
- kuasa tentera
- kuasa rakyat

Dalam konteks kuasa rakyat adalah termasuk sekali dengan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bahawa rakyat tidak bersetuju dan menunjukkan bantahan terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh pihak pemerintah.

Hadith dari Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِه، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِلِسانِه، فَإن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِه، وذلك أَضْعَفُ الإِيْمان

Maksudnya :
“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran,maka wajib mengubahnya dengan menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”– Muslim

▪️
Demonstrasi Untuk Membantah Dan Memberi Tekanan Terhadap Kezaliman

Hadith dari Abu Hurairah meriwayatkan :

قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَشْكُو جَارَهُ فَقَالَ « اذْهَبْ فَاصْبِرْ ». فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا فَقَالَ « اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِى الطَّرِيقِ ». فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِى الطَّرِيقِ فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ فَعَلَ اللَّهُ بِهِ وَفَعَلَ وَفَعَلَ فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ ارْجِعْ لاَ تَرَى مِنِّى شَيْئًا تَكْرَهُهُ

Maksudnya :
"Terdapat seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai jirannya, lalu Baginda SAW berkata “Pulanglah dan bersabarlah”. Situasi itu berlaku 2 ataupun 3 kali lalu kata Baginda SAW “Pulanglah dan buang barangmu di atas jalan”. Lalu setelah lelaki tersebut melakukan sebagaimana yang disarankan, ramai orang bertanya puncanya, lalu lelaki ini menceritakan situasinya. Ini membuatkan semua orang yang lalu di situ mencerca jiran lelaki tersebut. Tidak lama selepas itu, jirannya itu datang dan memohon maaf padanya dan berjanji peristiwa lama tidak berulang lagi.

Berdasarkan kepada hadith di atas, Ibnu Qayyim menyebutkan di dalam kitabnya "I’lam Al-Muwaqqi’in" bahawa tidak mengapa bagi seseorang yang dizalimi untuk menceritakan kezaliman yang diterimanya bagi mendapatkan sokongan dan kekuatan dalam mendapatkan kembali hak yang telah dizalimi. Sekiranya dengan perbuatan yang dilakukan tersebut mampu untuk mencegah kezaliman manakala cara nasihat yang baik tidak memberikan kesan.

Malah umat Islam diwajibkan berjihad dalam apa jua keadaan mengikut kemampuan mereka. Hal ini demikian kerana kezaliman wajib dihapuskan dan diperangi.

Setiap cara yang memberikan tekanan kepada musuh kafir adalah perkara yang dipuji oleh syarak sebagaimana ayat al-Quran :

وَمَثَلُهُمۡ فِی ٱلۡإِنجِیلِ كَزَرۡعٍ أَخۡرَجَ شَطۡـَٔهُۥ فَـَٔازَرَهُۥ فَٱسۡتَغۡلَظَ فَٱسۡتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِۦ یُعۡجِبُ ٱلزُّرَّاعَ لِیَغِیظَ بِهِمُ ٱلۡكُفَّارَۗ وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِنۡهُم مَّغۡفِرَةࣰ وَأَجۡرًا عَظِیمَۢا

Maksudnya :
“Dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu.” – Surah Al-Fath : 29

Begitu juga firman Allah SWT :

ذَ ٰ⁠لِكَ بِأَنَّهُمۡ لَا یُصِیبُهُمۡ ظَمَأࣱ وَلَا نَصَبࣱ وَلَا مَخۡمَصَةࣱ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَلَا یَطَـُٔونَ مَوۡطِئࣰا یَغِیظُ ٱلۡكُفَّارَ وَلَا یَنَالُونَ مِنۡ عَدُوࣲّ نَّیۡلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِۦ عَمَلࣱ صَـٰلِحٌۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُضِیعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

Maksudnya :
“Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka merasai dahaga, , penat lelah dan lapar di jalan Allah, dan mereka menjejakkan sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang kafir, dan juga mereka menderita sesuatu yang mencederakan daripada pihak musuh, semua itu ditulis bagi mereka pahala amal yang soleh.” – Surah At-Taubah : 120

▪️
Demonstrasi Salah Satu Medium Mempamerkan Keizzahan Ummah

Mempamerkan keizzahan dan kekuatan kesatuan ummah adalah diharuskan. Ia dapat dilakukan dalam apa jua medium. Dengan mempamerkan keizzahan dan kekuatan kesatuan ummah akan menjadikan musuh Islam gerun dan tidak berani melakukan sesuatu ke atas umat Islam.

Mempamerkan keizzahan dan kekuatan ini dapat dilihat dari sudut memberi sudut pengajaran dalam sirah Nabi SAW. Antaranya ialah :

1. Penghijrahan Sayiduna Umar al-Khattab secara terang-terangan. Dengan kekuatan yang dimiliki menjadi satu keizzahan kepada Islam, beliau berhijrah tanpa ada yang berani menyekat.
2. Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, disambut oleh umat Islam di Madinah secara beramai-ramai. Ia satu bentuk signifikan kegembiraan atas keizzahan dengan kehadiran Baginda SAW yang telah dibaiah untuk mempertahankan Baginda SAW dari sebarang musuh.
3. Praktikal dalam galakan umat Islam umumnya untuk keluar pada pagi Hari Raya termasuklah kalangan wanita yang haid serta kanak-kanak di tempat dilakukan khutbah dan solat Raya di zaman Rasulullah SAW. Ia menunjukkan keizzahan ramainya umat Islam dengan melaungkan takbir, seruan yang satu membesarkan serta mengagungkan Allah secara terang.
4. Kesepakatan secara zahir menerusi Bai’ah Ridhwan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat apabila tersebar berita pembunuhan Sayiduna Uthman oleh pihak musyrikin Mekah. Kesepakatan zahir tersebut mempamerkan keizzahan dan kekuatan ummah atas keteguhan dan keazaman bagi menuntut keadilan hak ummah.

Berkata Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq :

لقد ذكرت المظاهرات في معرض الوسائل التي اتخذها رسول الله صلى الله عليه وسلم لإظهار الإسلام، والدعوة إليه لما روي أن المسلمين خرجوا بعد إسلام عمر رضي الله عنه بأمر رسول الله صلى الله عليه وسلم في صفين (إظهاراً للقوة) على أحدهما حمزة رضي الله عنه، وعلى الآخر عمر بن الخطاب رضي الله عنه

Maksudnya :
Sesungguhnya aku telah menyebutkan perihal demonstrasi pada membentangkan wasilah wasilah yang diambil / dijadikan oleg Rasulullah SAW bagi menzahirkan (kekuatan) Islam dan seruan kepadanya. Sebagaimana diriwayatkan bahawa umat Islam (di Mekah) keluar (secara zahir) selepas pengislaman Umar al-Khattab dengan perintah dari Rasulullah SAW pada dua kumpulan (bagi tujuan menzahirkan kekuatan). Kumpulan pertama dipimpin oleh Sayiduna Hamzah Abdul Muthallib dan satu lagi Sayiduna Umar al-Khattab." [1]

▪️
Demontrasi Aman Dan Pelihara Syarat

Justeru, demonstrasi hanya wasilah bagi sesuatu tujuan. Hukum asalnya harus tetapi bersyarat. Inilah yang diperbahaskan oleh para ulamak.

Para ulamak mengharuskannya dalam konteks kebebasan bersuara yang diraikan selagimana tujuan yang tidak bercanggah syarak. Selain itu beberapa syarat perlu dipelihara iaitu :

1. Tidak mengangkat senjata.
2. Bukan tujuan melakukan kerosakan dan huru hara yang memudaratkan.
3. Menjaga etika dan batasan antara kaum lelaki dan perempuan.
4. Menjaga tatatertib serta akhlak yang terpuji dan hindari perbuatan keji dan akhlak buruk.

Jika demonstrasi aman ini memenuhi syarat maka ia harus malah tidak salah disebutkan ia termasuk jihad kerana ia bertujuan :

1. Menyatakan kebenaran.
2. Menuntut dan mempertahankan hak.
3. Memberhentikan kezaliman.

.


Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
............

Comments