ISLAM DAN KEGANASAN

ISLAM DAN KEGANASAN




▪️
Islam Agama Membawa Kesejahteraan

Islam yang dibawakan oleh Rasulullah SAW membawa mesej selamat, sejahtera dan kebaikan. Ia meliputi dunia dan akhirat. Islam menyelamatkan manusia dengan menolak, tidak mengiktiraf dan menentang sebarang perkara yang membawa keganasan serta kezaliman.

Malah Islam menyatakan seorang muslim ialah orang lain merasai selamat dari lidah dan tangannya. Ini kerana muslim adalah pembawa dan pejuang kepada Islam yang dianuti.

Hadith dari Abdullah bin 'Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ.

Maksudnya :
"Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Allah SWT penegasan pengharaman sebarang bentuk kezaliman termasuklah sekali keganasan kerana ia menyebabkan hak seseorang docerobohi.

Hadith dari Abu Zar bahawa Rasulullah SAW bersabda : Allah SWT berfirman :

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya :
"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas Ku, dan Aku menjadikannya antara kamu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling menzalimi." - riwayat Muslim dan Ahmad

▪️
Islam Menentang Keganasan Secara Total

Keganasan hanya membawa kebinasaan dan kehancuran. Dalam pensyariatan jihad, ia bertujuan bagi mempertahankan hak dan juga menentang keganasan pihak musuh yang mahu berperang.

Walaupun jihad perang oleh umat Islam namun di sana ada adab dan garis panduan yang mesti dipelihara. Apa atau siapa sahaja yang tidak memberi ancaman dan tidak terlibat dalam peperangan maka ia tidak boleh diapa-apakan oleh tentera Islam. Dilarang sama sekali. Ini kerana jihad perang yang berlaku adalah untuk melenyapkan keganasan musuh yang tidak mahu menyerah dan berdamai.

Firman Allah SWT :

أُذِنَ لِلَّذِینَ یُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُوا۟ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِیرٌ * ٱلَّذِینَ أُخۡرِجُوا۟ مِن دِیَـٰرِهِم بِغَیۡرِ حَقٍّ إِلَّاۤ أَن یَقُولُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضࣲ لَّهُدِّمَتۡ صَوَ ٰ⁠مِعُ وَبِیَعࣱ وَصَلَوَ ٰ⁠تࣱ وَمَسَـٰجِدُ یُذۡكَرُ فِیهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِیرࣰاۗ وَلَیَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن یَنصُرُهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِیٌّ عَزِیزٌ

Maksudnya :
"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." - [Surah Al-Hajj 39 - 40]

Islam meletakkan perdamaian di hadapan dan pilihan pertama lagi utama. Ini ditunjukkan menerusi perintah Allah untuk Rasulullah SAW menerima perdamaian yang dihulurkan oleh pihak musuh sekali tidak mengetahui rahsia di sebalik dan hanya diminta bertawakkal kepada Allah. Ini kerana Islam mahukan kedamaian dan menolak keganasan.

Firman Allah SWT :

۞ وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ * وَإِن یُرِیدُوۤا۟ أَن یَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِیۤ أَیَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِینَ

Maksudnya :
"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman." - [Surah Al-Anfal 61 - 62]

▪️
Islam Membenarkan Perjanjian Bagi Menolak Keganasan

Pengajaran dari Hilf (perjanjian) Fudhul menjadi panduan di mana perjanjian dengan kerjasama mana-mana pihak dibenarkan bagi tujuan menolak keganasan dan membanteras kezaliman yang berlaku.

Hadith dari Abdullah bin ‘Auf radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda :

لَقَدْ شَهِدْتُ فِي دَارِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جُدْعَانَ حِلْفًا مَا أُحِبُّ أَنَّ لِيَ بِهِ حُمْرَ النَّعَمِ ، وَلَوْ أُدْعَى بِهِ فِي الإِسْلامِ لأَجَبْتُ

Maksudnya :
“Aku menghadiri sebuah perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an. Tidaklah ada yang melebihi kecintaanku pada unta merah kecuali perjanjian ini. Andai aku diajak untuk menyepakati perjanjian ini di masa Islam, aku pun akan mendatanginya.” - riwayat Al-Baihaqi

Di antara isi perjanjian tersebut ialah kesepakatan dan bantuan untuk selalu membela siapa saja yang dizalimi dari penduduk Mekkah. Dan mereka akan menghukum orang yang berbuat zalim sampai dia mengembalikan hak-haknya. Ini diterima kerana Islam menolak apa sahaja keganasan dan kezaliman dari sesiapa sahaja.

Malah secara umum, apa sahaja kerjasama yang membawa kebaikan adalah dibenarkan oleh Islam termasuklah menentang keganasan. Fokus perjanjian atau kerjasama dilihat pada isinya sekalipun dengan pihak yang kita tidak sukainya.

Firman Allah SWT :

وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ أَن صَدُّوكُمۡ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ أَن تَعۡتَدُوا۟ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ

Maksudnya :
"Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)." - [Surah Al-Ma'idah 2]

▪️
Musuh Mencipta Imej "Islam Terrorist"

Musuh Islam tidak pernah berhenti memerangi Islam. Antara racun yang menular dalam pemikiran manusia yang direka oleh musuh Islam ialah mencipta imej Islam terrorist iaitu Islam adalah agama keganasan dengan rekaan hujah.

Ia bertujuan menimbulkan Islam fobia di kalangan :

1. Orang luar umum agar tidak menerima dan mendekati Islam.
2. Orang Islam sendiri agar meninggalkan perintah Allah yang dipolemikkan sebagai terrorist iaitu keganasan seperti meninggalkan perintah jihad.

Bagi menjayakan racun yang direka tersebut, musuh memanipulasikan :

1. Jihad sebagai peperangan mutlak dan ia bersifat keganasan.
2. Islam tersebar dengan peperangan.
3. Menimbulkan salah faham terhadap hukuman jenayah Islam terutamanya hudud yang melibatkan hukuman potong tangan, rejam dan qisas pada hukuman bunuh balas.

Tuan Guru Dato Seri Presiden PAS di dalam kitabnya الإسلام وعلاقته بالإرهاب menjelaskan bagaimana peranan Barat mewujudkan istilah terrorist yang dikaitkan dengan Islam apabila mereka menafsirkan secara manipulasi perkataan إرهاب pada sudut yang negatif sahaja tanpa menilai dengan pertimbangan yang tepat menerusi neraca syarak. Sebagaimana pada sudut yang positif membawa maksud seperti :

1. Persiapan Islam bagi menggerunkan musuh.
2. Sifat gerun kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT :

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةࣲ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَیۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِینَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ یَعۡلَمُهُمۡۚ

Maksudnya :
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya." - [Surah Al-Anfal 60]

Firman Allah SWT :

یَـٰبَنِیۤ إِسۡرَ ٰ⁠ۤءِیلَ ٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتِیَ ٱلَّتِیۤ أَنۡعَمۡتُ عَلَیۡكُمۡ وَأَوۡفُوا۟ بِعَهۡدِیۤ أُوفِ بِعَهۡدِكُمۡ وَإِیَّـٰیَ فَٱرۡهَبُونِ

Maksudnya :
"Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain)." - [Surah Al-Baqarah 40]

▪️
Perdamaian Adalah Diutamakan

Asasnya, apa sahaja perdamaian diutamakan dalam Islam. Peperangan yang berlaku bukanlah pilihan pertama apatah lagi utama. Ia merupakan pilihan terakhir yang tidak mampu dielakkan.

Sehubungan itu, tentera Islam yang bertebaran membuka kota-kota menawarkan syarat Islam dan berada di bawah kekuasaan Islam dan membayar jizyah sebagai tanda ketaatan di bawah kekuasaan Islam. Bukannya menerjah dengan melakukan keganasan atau peperangan.

Firman Allah SWT :

قَـٰتِلُوا۟ ٱلَّذِینَ لَا یُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِ وَلَا یُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَلَا یَدِینُونَ دِینَ ٱلۡحَقِّ مِنَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ حَتَّىٰ یُعۡطُوا۟ ٱلۡجِزۡیَةَ عَن یَدࣲ وَهُمۡ صَـٰغِرُونَ

Maksudnya :
"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar "Jizyah" dengan keadaan taat dan merendah diri." - [Surah At-Tawbah 29]

Begitu jelas, bagaimana Islam mendahulukan perdamaian sebagaimana Firman Allah SWT berikut :

۞ وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ * وَإِن یُرِیدُوۤا۟ أَن یَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِیۤ أَیَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِینَ

Maksudnya :
"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman." - [Surah Al-Anfal 61 - 62]

Sebab itu Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyifatkan jihad peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah SAW ialah جهاد الدفاع iaitu mempertahankan diri dan hak. Ia bukan sebagaimana yang direka oleh musuh kononnya jihad peperangan itu sebagai keganasan Islam sebagaimana yang mereka dakwa.

Malah Rasulullah SAW sendiri melarang untuk umat Islam bercita-cita bertemu dengan musuh. Larangan ini merujuk dua perkara :

1. Islam mendahulukan perdamaian.
2. Peringatan terhadap tentera Islam agar tidak bertemu musuh dalam keadaan bongkak dan lupa pertolongan Allah.

Hadith dari bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أَيُّهَا النَّاسُ، لا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ، وَاسْأَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلالِ السُّيُوفِ

Maksudnya :
"Wahai manusia, jangan kamu bercita-cita untuk bertemu musuh. Mohonlah kepada Allah kebaikan. Maka apabila kamu ditaqdirkan bertemu musuh maka bersabarlah (tetap), dan ketahuilah sesungguhnya syurga di bawah bayangan pedang-pedang (besar pahala jihad) - riwayat Muslim

Justeru, dalam Islam apa sahaja yang boleh membawa kemudaratan antaranya keganasan maka mestilah dilenyapkan sebagaimana kaedah tersebut :

الضرر يزال

Maksudnya :
"Kemudaratan mesti dilenyapkan"


.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2JiXFgz

Comments