ISLAM DAN KEPELBAGAIAN
Kepelbagaian Kaum Dan Bangsa
Kepelbagaian kaum dan bangsa tidak menjadi isu di sisi Islam. Malah kepelbagaian ini merupakan fitrah kejadian ke atas manusia yang ditaqdirkan oleh Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Dalam konteks ini, ia merupakan satu kelebihan dengan hikmahnya saling kenal mengenal dan mempelajari kelebihan antara satu sama lain.
Firman Allah SWT :
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ
Maksudnya :
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). - [Surah Al-Hujurat 13]
Sehubungan itu, kemuliaan itu pada ketaqwaan yang dimiliki bukan atas sentimen bangsa dan kabilah.
وعن أبي نضرة قال: «حدثني من سمع خطبة النبي صلى الله عليه وسلم في وسط أيام التشريق فقال: ” يا أيها الناس، إن ربكم واحد وأباكم واحد، ألا لا فضل لعربي على عجمي، ولا لعجمي على عربي، ولا أسود على أحمر، ولا أحمر على أسود إلا بالتقوى، أبلغت؟ “. قالوا: بلغ رسول الله صلى الله عليه وسلم.
Maksudnya :
Dari Abu Nadhrah telah menceritakan kepadaku orang yang pernah mendengar khutbah Rasulullah SAW ditengah-tengah hari tasyriq, beliau bersabda: “Wahai sekalian manusia! Rabb kalian satu, dan ayah kalian satu (maksudnya Nabi Adam). Ingatlah. Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang Ajam (non-Arab) dan bagi orang ajam atas orang Arab, tidak ada kelebihan bagi orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, bagi orang berkulit hitam atas orang berkulit merah kecuali dengan ketakwaan. Apa aku sudah menyampaikan?” mereka menjawab: Iya, benar Rasulullah SAW telah menyampaikan.” - Ahmad
Bangsa yang bersama Islam maka ia dimuliakan kerana Islam. Namun bangsa yang menolak Islam, mencari kemuliaan selain Islam maka ia akan dihinakan oleh Allah. Ini kerana kemuliaan dari Allah dan hanya apabila bersama dengan agama-Nya iaitu Islam.
Berkata Sayiduna Umar al-Khattab :
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزة من دونه أذلنا الله
Maksudnya :
Kita kaum yang Allah muliakan dengan Islam maka jika kita mencari kemuliaan selain Islam, Allah akan menghinakan kita.
Kepelbagaian Agama dan Kepercayaan
Dalam konteks ini, Islam telah meletakkan dan menetapkan pendirian yang jelas dalam membezakan kebenaran dan kebatilan dengan tegas. Asasnya, agama Islam sahaja yang diterima di sisi Allah, manakala agama selain Islam apa sahaja namanya adalah batil dan tertolak sama sekali.
Firman Allah SWT :
إِنَّ ٱلدِّینَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَاۤءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡیَۢا بَیۡنَهُمۡۗ وَمَن یَكۡفُرۡ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِیعُ ٱلۡحِسَابِ
Maksudnya :
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. - [Surah Ali Imran 19]
Bab aqidah dan kepercayaan serta mengiktiraf agama selain Islam adalah dilarang dan tiada kompromi. Ini boleh dilihat sebagaimana tawaran orang mushrikin Quraisy kepada Nabi Muhammad SAW yang ditolak oleh Allah SWT menerusi firman-Nya :
لَكُمۡ دِینُكُمۡ وَلِیَ دِینِ
Maksudnya :
"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku". - [Surah Al-Kafirun 6]
Kemuliaan hanya pada Islam. Islam tidak boleh direndahkan dari yang lain serta tidak boleh disama tarafkan.
وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِینَ وَلَـٰكِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ لَا یَعۡلَمُونَ
Maksudnya :
Bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). - [Surah Al-Munafiqun 8]
Kepelbagaian ini menjadikan kita selaku umat Islam melakukan kerja dakwah, mengajak orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Walau dakwah itu kewajipan namun ia tidak bersifat paksaan ke atas orang bukan Islam.
Firman Allah SWT :
لَاۤ إِكۡرَاهَ فِی ٱلدِّینِۖ
Maksudnya :
Tiada paksaan dalam (menganut) agama Islam. - [Surah Al-Baqarah 256]
Dr Abdullah Naseh Ulwan menyatakan bahawa paksaan ke atas non-Muslim dalam menganut Islam akan menyebabkan beberapa perkara:
- Paksaan menyebabkan jiwa manusia tertekan dan terasa dihina (kerana hilang
naluri semulajadi manusia yang mahu kebebasan).
- Merosakkan nilai kemanusiaan dan membunuh perasaan manusia
- Merosakkan imej seruan dakwah Islam
Kepelbagaian Perayaan Agama dan Adat
Dalam konteks hidup bermasyarakat yang majmuk, setiap agama ada perayaannya dalam sesuatu kepercayaan. Begitu sambutan tradisi yang melibatkan adat sesuatu kaum. Secara asas, sambutan agama Islam ada dua yang diraikan secara tahunan dengan besar iaitu eidul fitri dan eidul adha.
Anas radhiyallahu ‘anhu berkata :
قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الْمَدِينَةَ وَلأَهْلِ الْمَدِينَةِ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ « قَدِمْتُ عَلَيْكُمْ وَلَكُمْ يَوْمَانِ تَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ يَوْمَيْنِ خَيْراً مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ
Maksudnya :
“Ketika Nabi SAW datang ke Madinah, penduduk Madinah memiliki dua hari raya untuk bersenang-senang dan bermain-main di masa jahiliyah. Maka Baginda SAW berkata, “Aku datang kepada kalian dan kalian mempunyai dua hari raya di masa Jahiliyah yang kalian isi dengan bermain-main. Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik bagi kalian, yaitu hari raya eidul Fitri dan eidul Adha (hari Nahr)” - riwayat An-Nasai dan Ahmad)
Sehubungan itu perayaan agama lain adalah diharamkan kerana :
1. Melibatkan akidah dan kepercayaan selain agama Islam
2. Unsur syirik, kufur dan pemujaan
Adapun perayaan bersifat tradisi adat sesuatu kaum, ia perlu diperhalusi. Sekalipun jika diperbolehkan atas keperluan namun terdapat garis panduan perlu dijaga seperti :
1. Tidak melibatkan unsur akidah.
2. Tidak mengiktiraf kepercayaan selain Islam.
3. Tidak ada perasaan reda apatah lagi membesar serta mengagungkan agama Islam.
4. Tidak melibatkan sesuatu tindakan yang ada penyerupaan dari sudut agama yang disebut tasyabbuh dini تشبه ديني
5. Tidak melibatkan ucapan yang kufur atau syirik.
6. Tidak memakan makanan atau minuman yang haram di sisi Syarak.
7. Tidak terlibat dalam ucapacara ritual keagamaan.
Larangan menyerupai agama lain (تشبه ديني) menerusi hadith dari Ibn Umar yang meriwayatkan sabda Nabi Muhammad SAW :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya :
Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia dari kalangannya. - riwayat Abu Daud
Kepelbagaian Pendapat
Asas dalam mengukur sesuatu itu benar atau tidak, mestilah menepati kehendak al-Quran dan as-Sunnah. Pendapat yang bertentangan dengan kedua-duanya maka ia tertolak.
Kepelbagaian pendapat yang membawa kepada perselisihan atau khilaf ada dua :
1. Khilaf yang dibenarkan.
2. Khilaf yang dikeji.
Khilaf yang dibenarkan adalah membawa rahmat kerana membuka ruang kepada ummah dengan kepelbagaian pendapat yang berlaku. Khilaf sebegini adalah :
1. Pada perkara cabang.
2. Pada nas yang bersifat zhanniyyah dilalah yang menerima ijtihad para ulamak.
3. Khilaf yang berlaku dengan beradab tanpa melampaui batasan dalam bermuamalah antara yang tidak sependapat dengannya.
4. Khilaf bukan pada perkara dasar, prinsip dan perkara thawabit.
5. Khilaf dalam mencari kebenaran dengan kekuatan nas tersendiri, bukan mereka-reka demi menegakkan benang yang basah.
Khilaf sebegini, perlu diurus dengan baik agar tidak menimbulkan polemik terkemudian ekoran pertembungan pendapat.
Malah pada perkara yang bukan bersifat perkara tetap dan dasar, dominasi majoriti juga boleh diterima pakai kerana majoriti lebih kukuh dan stabil pada sesuatu masa selagimana tidak bercanggah dengan syariat. Majoriti diterima dalam Islam tapi bukan beriman secara mutlak atas angka yang banyak.
Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Sayiduna Abu Bakr al-Siddiq dan Sayiduna Umar al-Khattab :
لَو اجْتَمَعْتُمَا فِي مَشُورَةٍ مَا خَالَفْتُكُمَا
Maksudnya :
"Jikalau kamu telah bersepakat dalam mesyuarat, maka aku tidak akan bercanggah dengan kamu berdua" - riwayat Ahmad
Khilaf yang berlaku bukanlah mengetepikan kebenaran yang telah jelas kerana wajib berpegang dengan kebenaran walau tidak ramai.
وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِینَ تَفَرَّقُوا۟ وَٱخۡتَلَفُوا۟ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَاۤءَهُمُ ٱلۡبَیِّنَـٰتُۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِیمࣱ
Maksudnya :
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. - [Surah Ali Imran 105]
Kepelbagaian Kumpulan / Parti / Jemaah
Kesatuan merupakan kekuatan yang ampuh. Kerana ia selari dalam pemikiran dan tindakan yang sama. Membina kesatuan adalah tuntutan bagi mengelakkan perpecahan yang akhirnya merugikan agama dan ummah.
Allah menyifatkan barisan perjuangan Islam yang disukai dalam gambaran satu saff kerana ia kukuh dan kuat berbanding dengan berpecah-pecah yang menghilangkan kekuatan.
Firman Allah SWT :
إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِهِۦ صَفࣰّا كَأَنَّهُم بُنۡیَـٰنࣱ مَّرۡصُوصࣱ
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. - [Surah As-Saf 4]
Larangan berpecah belah menerusi firman Allah SWT :
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya :
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. - Surah al-Anfal 46
Seruan kesatuan dalam Islam adalah berasaskan tunjang aqidah dan dasar agana Islam. Adapun selain itu atas sentimen yang bertentangan dengan adalah tertolak. Inilah nikmat kesatuan menerusi ukhuwwah islamiyyah yang dikurniakan oleh Allah.
Firman Allah SWT :
وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰنࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَ ٰلِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ
Maksudnya :
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. - [Surah Ali Imran 103]
Justeru inilah tuntutan supaya membina kesatuan atas dasar yang diperintah oleh Allah. Maka kepelbagaian yang dilarang apabila wujudnya :
1. Bertembung dan bercanggahan.
2. Membawa kepada perpecahan.
3. Merugikan ummah.
Kepelbagaian yang dilarang seperti yang disebutkan di atas hanya menguntung musuh agama. Ini kerana kelemahan ummah akhirnya akan dikuasai oleh musuh agama.
Namun kepelbagaian yang dibenarkan jika :
1. Ikatan kerjasama pada matlamat yang sama dan gerak kerja selari. Disebut taawun تعاون
2. Merupakan pengkhususan yang membantu mengisi kelompongan dengan membawa matlamat umum yang sama. Disebut takhassus تخصص
3. Kewujudan sebagai cabang dalam melebar luaskan lagi gerak kerja. Disebut tanawwu' تنوع
Firman Allah SWT :
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰنِۚ
Maksudnya :
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. - [Surah Al-Ma'idah 2]
.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2xzmSAI
Comments
Post a Comment