ISLAM DAN PALESTIN
Palestin Adalah Hak Dan Kewajipan Ummah
Isu Palestin berkait rapat dengan umat Islam memandangkan tanah Palestin di dalam terdapat Baitul Maqdis atau al-Quds yang terdapat keistimewaan tersendiri di sisi Islam.
Isu ini tidak hanya untuk orang Arab tetapi ia isu ummah. Sesiapa sahaja yang beragama Islam pasti akan dekat padanya isu berkaitan Palestin tersebut. Hanya mereka yang telah diracuni pemikirannya sahaja oleh musuh Islam akan mengabaikan dan tidak mempedulikan isu berkaitan Palestin.
Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya القدس قضية كل مسلم menegaskan kedudukan Baitul Maqdis di sisi umat Islam ialah :
i. Kiblat yang pertama.
ii. Tempat terpilih berlakunya israk mikraj.
iii. Masjid ketiga yang diagungkan selepas Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi.
iv. Tempat para nabi dan bumi yang diberkahi dan disebutkan sebanyak 5 kali dalam al-Quran.
v. Bumi jihad dan syahid.
Muhammad Immarah di dalam kitabnya القدس الشريف في الدين والتاريخ والأساطير menyatakan perebutan 3 umat kerana masing-masing percaya bahawa Baitul Maqdis adalah tanah yang suci mengikut pegangan masing-masing :
i. Islam : kiblat pertama, tanah lahirnya ramai para nabi dan salah satu dari 3 masjid yang dibesarkan dan diagungkan dalam Islam.
ii.Masihi : dianggap gereja yang mulia, akan dibangkitkan al-Masih dari kuburnya kelak. Tempat kiblat dan tempat bermohon hajat.
iii. Yahudi : tempat suci bagi kepercayaan mereka. Menurut ahli sejarah Yahudi bahawa Nabi Sulaiman telah membina sebuah kuil yang diberi nama haikal @ kuil Sulaiman.
Perjuangan mempertahankan Baitul Maqdis bukanlah perjuangan bagi penduduk Palestin sahaja mahupun bangsa Arab semata-mata. Ia merupakan hak setiap ummah yang wajib pertahankannya dari jajahan dan cengkaman musuh Islam.
Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf (mantan Mufti Mesir) mengeluarkan fatwa pada tarikh 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 1 Januari 1956 menerusi Lajnah Fatwa al-Azhar, Mesir menyatakan :
“Palestin merupakan negara Islam manakala Israel telah melakukan pencerobohan keatasnya. Seluruh dunia Islam diwajibkan untuk menghidup dan menggerakkan semangat jihad dikalangan masyarakat Islam untuk membebaskan Palestin dan menegakkan hukum Allah serta menolong rakyatnya. Haram bagi sesiapa dikalangan umat Islam yang menolong Israel atau memuliakan mereka bahkan haram dalam apa jua sekalipun untuk membantu mereka mendapatkan walaupun satu depa tanah Palestin. Mengiktiraf pembentukan negara haram Israel merupakan satu pengkhianatan kepada Allah dan Rasul serta seluruh umat Islam yang telah dipertanggugjawabkan untuk menjaganya."
Palestin Dinodai Selepas Umat Islam Dibahagi-bahagi
Perjanjian Sykes-Picot pada Mei 1916 merupakan satu perjanjian rahsia yang telah dibuat oleh dua orang diplomat iaitu Sir Mark Sykes dan Picot Georges yang mewakili negara British dan Perancis semasa Perang Dunia Pertama. Sykes dan Picot telah merancang untuk membahagikan Empayar Uthmaniyah apabila berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Perjanjian ini telah membahagikan wilayah milik umat Islam di Syria, Lubnan dan Turki Cilicia untuk diletakkan dibawah ‘kawalan’ kerajaan Perancis manakala Palestin, Jordan dan kawasan sekitar Teluk Parsi dan Baghdad adalah dibawah ‘kawalan’ kerajaan British.
Projek cadangan pembahagian negara Palestin kepada dua penempatan iaitu bahagian Arab Palestin dan bahagian Yahudi telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Peel pada tahun 1936 dan telah mendapat tentangan menerusi bantahan besar-besaran Arab pada 1936-1939. Cadangan ini dikuatkan dengan kenyataan rasmi dasar kerajaan British yang menyokong penubuhan negara orang Yahudi di Palestin menerusi Pengisytiharan Balfour pada 2 November 1917.
Perisytiharan Balfour 1917 (bertarikh 2 November 1917) merupakan kenyataan rasmi dasar kerajaan British yang menyokong penubuhan negara orang Yahudi di Palestin dengan syarat tidak merugikan hak-hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi di Palestin atau hak-hak dan status yang dinikmati oleh bangsa Yahudi di negara lain.
Peranjian dan perancangan yang dibuat di atas adalah susulan selepas pemecahan negara-negara Islam dengan pemetaan yang baru ke atas wilayah-wilayah Islam. Ia berlaku apabila kuasa Islam menerusi Khilafah Uthmaniyyah semakin lemah apabila berlaku pergolakan dalaman yang termakan jarum nasionalis yang menyaksikan negara-negara Arab tidak lagi mahu berada di bawah pusat pemerintahan Khilafah Uthamniyyah yang dinamakan dengan Pemberontakan Arab الثورة العربية الكبرى pada Jun 1916 yang dipimpin oleh Syarif Hussin.
Berjayanya pemberontakan arab dengan Perjanjian McMahon 1915 apabila Lawrence telah menjanjikan kepada masyarakat Arab bahawa mereka akan mentadbir sendiri wilayah mereka berdasarkan semangat ‘nasionalisme’ dengan syarat masyarakat Arab membantu Tentera Berikat untuk menewaskan tentera kerajaan Uthmaniyah.
Dunia Islam lemah dengan pergolakan dalaman ekoran jarum nasionalis dengan pemberontakan Arab, serta serangan doktrin sekularisme dalam negara Turki sendiri oleh pembawanya iaitu Mustafa Kamal at-Tartuk. Dalam masa yang sama musuh-musuh Islam bersatu, walau mereka berebut kekayaan dan penguasaan namun dalam menentang Islam mereka bersatu. Umat Islam dibahagi-bahagi dan diperintah (divide and rule) dan Khilafah ditumbangkan secara rasmi pada 3 Mac 1924.
Akhirnya, berlaku undian di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 29 November 1947 yang hasilnya menunjukkan undian majoriti menerusi Resolusi 181 membawa kepada penerimaan pelan pembahagian negara Palestin kepada penempatan arab Palestin dan Yahudi. Sekaligus mengiktiraf penubuhan negara Israel dengan pencerobohan ke atas tanah di Palestin.
Musuh Sepikan Isu Palestin, Umat Terperangkap Isu Perang Proksi
Musuh Islam tidak pernah berhenti menjalankan agenda dan perancangan mereka ke atas pengawalan dunia, penguasaan ekonomi, "menjajah" Palestin dan mengekang kebangkitan kekuasaan serta kesatuan Islam. Menjajah Palestin menjadi perancangan musuh yang besar kerana dengan penguasaan ke atas Palestin menjadikan musuh :
1. Memenuhi kepercayaan agama dan iktikad mereka sama ada dari sudut tempat suci atau munculnya "mahdi" versi mereka.
2. Pemusatan kuasa dalam mengekang kebangkitan dan kesatuan negara-negara Arab yang dominan sebagai negara Islam pada sejarah asal.
3. Menguasai salah satu tempat strategik untuk kawalan ketenteraan dan juga laluan penting bagi penguasaan ekonomi Asia Barat khususnya.
Benarlah firman Allah SWT :
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡیَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَىِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَاۤءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِی جَاۤءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرٍ
Maksudnya :
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu." - [Surah Al-Baqarah 120]
Pergolakan dan perang saudara yang terjadi di dunia Arab menjadi percaturan di bawah Musuh Islam atau secara jelasnya Amerika. Ia bertujuan tidak lain tidak bukan menjayakan :
1. Pergolakan dalaman umat Islam bagi merosakkan kesatuan ummah.
2. Menguntungkan negara-negara yang menjadi kilang pengeluar senjata kerana pembelian dan pembekalan senjata disalur ke negara bergolak.
3. Blok Barat khususnya Amerik dalam menguji kekuatan Blok Timur bagi memastikan Hageomi Amerika kekal dan tidak dicabar oleh Blok Timur dan sekutu mereka.
Dato Seri Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sewaktu menghadiri sidang di Tehran, Iran membacakan kenyataan yang bertajuk الحرب لمصلحة من؟ bagi mengingatkan negara-negara umat Islam dan para ulamak serta ummah agar menyedari konflik Asia Barat khususnya dalam polemik yang berlaku hanyalah menguntungkan Israel di sebalik Amerika. Ini kerana, Israel sudah tidak difokuskan dan seolah-olah "tidak lagi merbahaya dan menjadi ancaman".
Malahan dalam kitab beliau yang berjudul الإسلام وعلاقته بالإرهاب menegaskan polemik ini akhirnya yang menjadi mangsa adalah kalangan umat Islam yang terdiri dari rakyat biasa. Inilah perkara malang jika umat Islam masih terperangkap dalam polemik sektarian mazhab yang berlegar.
Dalam keadaan umat Islam disibukkan dan negara pula "dicaturkan" oleh musuh, perancangan musuh tetap diteruskan. Ini dapat dilihat pada :
i. Presiden Amerika, Donald Trump mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember 2017.
ii. Presiden Amerika Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah memasyhurkan ‘Pelan Damai’ (Vision for Peace) pada 29 Januari 2020 dengan mengiktiraf bahawa Baitulmaqdis sebagai ibu negara milik mutlak Israel termasuk seluruh petempatan haram Yahudi di Tebing Barat Palestin.
Perjuangan Palestin Belum Berakhir
Mehnah dan tribulasi dalam perjuangan Islam merupakan asam garam dalam dunia perjuangan. Rasulullah SAW juga diuji bahkan lebih berat daripada kita. Maka tidak perlu bersedih dengan mehnah dan tribulasi, apa yang pasti kita merupakan makhluk yang mulia di sisi Allah sekira kita beriman walau dicerca dan dicaci.
Firman Allah SWT :
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحۡزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِینَ
Maksudnya :
“Jangan kamu berasa hina dan sedih, kamu lebih tinggi (mulia) sekiranya kamu benar-benar beriman.” - [Surah Ali Imran : 139]
Perjuangan memerlukan pengorbanan dan semangat juang yang tinggi. Seruan Islam tidak menjanjikan kemewahan dan mempunyai tempoh yang diketahui. Halangan dan tentangan manusia terhadap seruan Islam merupakan suatu kepastian, kerana mereka masih belum mengetahui. Namun perjuangan tidak boleh dihentikan.
Firman Allah SWT :
لَوۡ كَانَ عَرَضࣰا قَرِیبࣰا وَسَفَرࣰا قَاصِدࣰا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ
Maksudnya :
“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.” - [Surah at-Taubah : 42]
Perjuangan tidak pernah berhenti dan tamat. Pergolakan yang berlaku di dunia yang menyaksikan umat Islam ditindas merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan bahawa perjuangan Islam tidak pernah berhenti. Islam terus diperjuangkan sehinggalah manusia kembali kepada Allah iaitu sehingga hari kiamat.
Hadith dari al-Mughirah bin Syukbah bahawa Rasulullah SAW bersabda :
لا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ أَوْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ
Maksudnya :
“Akan ada sentiasa satu kelompok daripada umatku yang akan memperjuangkan perintah Allah, mereka tidak akan mampu diberi mudarat, dicela serta dihalang sehinggalah Allah menurunkan urusan-Nya (hukuman keputusan) sedangkan mereka terus berjuang" - menurut lafaz riwayat Muslim
Hadith di atas mempunyai beberapa jalur riwayatnya yang berbeza pada lafaz pada beberapa tempat namun tetap pada maksudnya yang sama iaitu wujudnya sekumpulan ynag terus berjuang demi kebenaran dan agama Islam.
Malah terdapat lafaz tambahan yang spesifik yang menunjukkan khusus kepada perjuangan di Baitul Maqdis.
Sebagaimana tambahan lafaz berikut dari hadith dari Abu Umamah seperti berikut :
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
Maksudnya :
"Sahabat bertanya : Dimanakah mereka wahai Rasulullah SAW? Jawab Baginda SAW : Di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis." - riwayat Ahmad
.
Disediakan oleh
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3atdcXo
Comments
Post a Comment