ISLAM DAN PEMBAHARUAN (TAJDID)

ISLAM DAN PEMBAHARUAN [TAJDID]



▪️
Pembaharuan Itu Ketetapan

Salah satu keistimewaan syariat Islam ialah fleksibeliti مرونة iaitu bersesuaian sepanjang masa. Dasar dan prinsipnya tetap namun teknikal dan caranya anjal yang sesuai dengan sesuatu zaman, tempat dan fokus isu.

Inilah keunikan dalam syariat Islam. Perubahan yang berlaku termasuk pembaharuan merupakan sifat yang ada pada syariat Islam itu memandangkan suasana kehidupan sentiasa berubah dan berkembang.

Malah, agama ini akan terus disuburkan oleh Allah dengan wujudnya mujaddid (pembawa pembaharuan) dalam agama dalam konteks yang sahih dan terpelihara dengan prinsip yang bersumber dari al-Quran dan as-Sunnah.

Hadith dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)" - riwayat al-Hakim

▪️
Pembaharuan Fokus Skop Ijtihad, Bukan Dasar

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya السياسة الشرعية في الضوء الكتاب والسنة النبوية menjelaskan dalam memahami nas al-Quran dan as-Sunnah maka perlu difahami bahawa ia dibahagi kepada 4 kategori :

1. Qath'iyah al-thubut, wa qath'iyah al-dilalah (قطعية الثبوت وقطعية الدلالة).
Ayat al-Quran yang jelas hukumnya dan tidak boleh di ta'wilkan serta ditafsirkan dengan maksud yang lain.

2. Qath'iyah al-thubut, wa zhanniyah al-dilalah (قطعية الثبوت وظنية الدلالة).
Kebanyakkan nas al-Quran dan hadith mutawatir adalah ( ظنية الدلالة ) iaitu hukumnya menerima ijtihad atas sebab ihtimal pada lafaz lughah dari takhrij, taqyid, majaz dan sebagainya.

3. Zhanniyah al-thubut, wa qath'iyah al-dilalah (ظنية الثبوت وقطعية الدلالة).
Terdapat hadith ahad (حديث آحاد) yang memberi makna qat'ie dan tidak difahami selain darinya.

4. Zhanniyah al-thubut, wa zhanniyah al-dilalah (ظنية الثبوت وظنية الدلالة).
Kebanyakkannya hadith ahad (حديث آحاد) yang menerima ijtihad atas ihtimah pada lafaz lughah dari takhrij, taqyid, majaz dan sebagainya.

Berdasarkan kepada pembahagian nas tersebut maka ijtihad yang diterima pada nas yang bersifat ظنية الدلالة. Ijtihad diperlukan bagi memastikan hukum yang diistinbat memenuhi konteks :

i. Maslahat yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.
ii. Memenuhi piawaian maqasid al-syariah.

Pembaharuan yang berlaku adalah dengan berprinsip dan dasar yang teguh. Perubahan hanya pada skop ijtihad yang membawa maslahat ke atas manusia bersesuaian dengan perubahan zaman berdasarkan kajian ke atas illahnya.

Di sinilah yang dibezakan antara thawabit الثوابت iaitu perkara tetap serta mutaghiyyirat متغيرات yang menerima perubahan.

Dalam konteks mutaghaiyyirat ia menyentuh soal :

1. Cabang فروع bukannya usul أصول.
2. Wasilah bukannya tujuan matlamat.
3. Hikmah bukannya dasar ketetapan.

▪️
Pembaharuan Bukan Berkiblatkan Barat Dan Nafsu

Pembaharuan atau laungan reformasi dalam agama hendaklah dipastikan bukan sesuatu yang berkiblatkan Barat. Ini kerana sebagaimana yang dijelaskan pembaharuan tidak boleh masuk dalam hal yang thawabit.

Pembaharuan yang dilaungkan atas nama masalahat, kemodenan serta kemajuan namun jika berkiblatkan Barat maka ia adalah tertolak.

Golongan seumpama disebut sebagai Muattilah al-Judud المعطلة الجدد. Golongan ini menolak nas sekalipun yang قطعية الثبوت وقطعية الدلالة atas nama modenisasi atau maslahat yang ingin dicapai.

Antara doktrin yang berlaku :

1. Menolak ketetapan hukuman hudud dalam perundangan jenayah Islam, atas nama keadilan menerusi apa jua hukuman selain hudud.
2. Mentakwil makna pemakaian jilbab atau pemakaian wanita yang menutupi aurat atas alasan moden, dan pemakaian menutup aurat adalah jumud dan hanya tradisi kalangan kaum arab.

Justeru contoh pembaharuan yang ingin dicapai oleh golongan muattilah al-judud adalah tertolak kerana jelas bercanggah dengan nas-nas yang muktamad akan hukumnya. Kerana itu golongan ini dinamakan muattilah المعطلة ynag bermaksud perosak. Mereka mengenepikan dan mengesamping nas secara mutlak kerana menurut hawa nafsu mereka.

Apa yang mereka inginkan ialah penolakan terhadap nas, tidak mahu tunduk kepada ketetapan Syarak sebagai panduan kehidupan. Mereka mahukan nama Islam tanpa syariat!

Inilah yang ditegur bahawa muslim tanpa Islam. Berwajahkan muslim tapi tidak mahu menerima sepenuhnya Islam. Akhirnya ukuran pembaharuan yang mereka ingin adalah melihat apa yang dilakukan oleh Barat dan apa yang Barat redha.

▪️
Pembaharuan Sentiasa Berlaku, Jumud Membawa Kerosakan

Satu lagi kumpulan pula, bersifat beku dan tidak menerima pembaharuan semasa. Sifat tersebut dipanggil jumud. Kumpulan ini dinamakan الظاهرية الجدد kerana sikap mereka yang melihat secara zahir atau literal tanpa mengkaji dan menganalisis mengenai hikmat dan tujuan sesuatu pensyariatan. Justeru apa yang termaktub secara zahir itulah yang dipegang secara tertutup.

Sikap menolak pembaharuan ini juga membawa kerosakan kepada agama dan penganut Islam itu sendiri. Islam menjadi tidak relevan dan tidak bersesuaian atas salah faham mereka dalam memahami nas.

Akhirnya ini yang disebut secara radikal kerana berlaku ketegasan yang melampauu batas. Tidak menerima perbincangan dan juga menolak segala apa yang tersirat sekalipun wujud qarinah.

Antara pegangan mereka ialah :

1. Tidak menerima langsung penggunaan wang kertas sebagai medium yang mengambil hukum emas dan perak sebagaimana dinar dan dirham. Tiada hukum zakat, riba dan berkaitan dengannya kerana wang kertas tiada dalam sebutan nas.
2. Tidak menerima ijtihad semasa kerana tidak tertulis pada nas.

Golongan ini menutup ruang ijtihad bukan kerana alasan dibimbangi berlaku fitnah namun kerana mereka sendiri tidak menerima ijtihad.

▪️
Pembaharuan Adalah Menyelesaikan Isu Semasa

Pembaharuan yang diterima ialah dengan mengekalkan nas dan hukum yang tetap lagi muktamad, di samping berijtihad pada nas yang menerima perbahasan ijtihadiyyah bagi tujuan memenuhi maqasid al-syariah dan maslahat yang dibenarkan.

Pembaharuan yang boleh dicontohkan sebagaimana ulamak menggelar Imam as-Syafi'i merupakan mujaddid kerana antara jasa besar beliau adalah membawa manhaj yang menyatukan pertembungan 2 aliran semasa antara ahlu ra'yi أهل الرأي dengan ahlu hadith أهل الحديث. Penulisan kitab beliau yang berjudul al-Risalah merupakan satu cetusan baru dalam ilmu Usul Fiqh yang jelasnya secara bertulis dan dibukukan bagi memastikan manhaj dalam sesuatu pendalilan dilakukan dengan teliti dan tuntas.

Begitu juga, bagi pendokong gerakan Islam khususnya boleh bersetuju antara mujaddid lagi iaitu Imam Hasan al-Banna itu sendiri, pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir. Pandangan beliau dalam mengharmonikan perbalahan dan pertembungan antara salaf dan khalaf sebagaimana boleh difahami merujuk kepada kitab Usul 'Isyrin. Serta galakan beliau terhadap penulisan oleh Syeikh Sayyid Sabiq dalam memberikan kefahaman fiqh bagi merungkaikan taaksub mazhab yang berlaku dalam sebahagian mazhab.

Begitu juga penulisan Imam as-Syatibi dalam menerangkan displin ilmu berkenaan maqasid al-syariah secara tersusun dan terfokus. Membolehkan pengkaji terus mengembangkan perbahasan fiqh dengan lebih meluas berdasarkan kefahaman dan pertimbangan displin itu tersebut yang kini sangat meluas perbincangannya dan banyak menyelesaikan isu yang berlaku.

Banyak lagi pembaharuan yang berlaku dan yang paling utama ialah menyelesaikan isu semasa uang berlaku. Sama ada gelaran mujaddid tersebut diberikan atau tidak, maka ia berbeza-beza pandangannya ke atas tokoh itu.

Adapun tempoh 100 tahun juga terdapat perbahasan adakah ia dikira secara rigid angka 100 atau yang dikehendaki juga tempoh yang berlakunya sesuatu permasalahan besar yang lama, akan muncul mujadid yang memperbaiki kefahaman masyarakat kembali kepada landasan agama yang sahih.

Begitu juga terdapat perbahasan adakah mujadid yang dimaksudkan dalam hadith hanya "seseorang" atau bagaimana. Terdapat pandangan ulamak yang menyatakan ia tidak terhada pada "seseorang" malah boleh berlaku lebih dan juga "secara berkumpulan".

• Ibn Hajar : "Tidak semestinya setiap seratus tahun itu akan muncul seorang sahaja reformis, kemungkinan perkara tersebut dilakukan secara berkumpulan." [Fath al-Bari, 13:295]
• Al-Zahabi : "Aku berpendapat lafaz “man” di dalam hadith tersebut menunjukkan jama’ dan bukannya mufrad”.[Tarikh al-Islam, 7:99]

▪️
Pembaharuan Memahami Isu Dengan Jelas

Pembaharuan paling penting berlaku ke atas kefahaman dan displin ilmu agar manusia tetap memahami agama Islam dengan tepat mendapat redha Allah.

Pentingnya pembaharuan pemikiran yang kembali kepada landasan Islam yang sebenar. Ini kerana serangan pemikiran Barat adalah jarum halus merosakkan umat Islam dan sedikit demi sedikit menjauhkan umat dari Islam dan meninggalkan pegangan beragama.

Musuh memanipulasi istilah agama sehingga merosakkan kefahaman yang benar. Mewujudkan istilah berkaitan agama bagi memburukkan agama. Maka lahirlah doktrin musuh namun menempak pada istilah Islam seperti Islam Democrat, Islam Liberal, Islam Sosialis, Sisters In Islam dan lain-lain lagi

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya الأزهر بين الأمس واليوم والغد terdapat kritikan beliau pada pengajian di universiti al-Azhar dan halaqah Azhar suatu ketika dahulu apabila hanya statik dalam perbahasan dalam konteks aqidah ini dan kumpulan pecahannya sekadar muktazilah, jabariah, qadariah, murjiah dan lain-lain sahaja.

Beliau menegaskan sedangkan ummah ketika itu sedang berhadapan dengan ideologi Barat sekularisme, liberalisme dan lain-lain. Sepatutnya diperbaharui silibus dan pengistilahan bagi mereka yang mengaji faham isu semasa yang berlaku.

Umat perlu tahu apa itu ideologi Barat dan ciri-cirinya agar menjauhi dan tidak terikut. Jika tidak, apa yang dipelajari tidak dapat diadaptasi dalam kehidupan dan cabaran sebenar yang semasa.

Begitu juga, dalam lapangan politik di Tanah Air kita iaitu Malaysia, peranan para ulamak dan pejuang terhadap kefahaman masyarakat mengenai politik menurut kerangka siyasah syar'iyyah.

Maka di sinilah peranan PAS agar manusia fahami politik dengan benar. Bukan politik cara Barat. Dan bukan juga meninggalkan politik atas alasan politik itu mengotorkan.

.


Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3arpZJR

Comments